Followers

Monday, September 21, 2009

Rumah terbuka Kabinet meriah

KUALA LUMPUR: Walaupun hujan turun dengan lebat untuk seketika, suasana rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana di sini tetap meriah dengan lebih daripada 50,000 rakyat dan orang kenamaam hadir di majlis itu.

Orang ramai mula berduyun-duyun datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri seawal jam 9 pagi walaupun majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinet dijadualkan bermula pada jam 11 pagi.

Ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan parti lain, diplomat, orang kenamaan, pelancong dan wakil pertubuhan bukan kerajaan menghadiri acara itu yang membuktikan semangat sebenar 1Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Makanan yang dihidangkan juga membayangkan menu pelbagai kaum di Malaysia dan sehingga jam 3 petang masih ramai yang menunggu giliran untuk mengucapkan selamat Hari Raya kepada Najib dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa sidang media di situ, Najib berkata walaupun ini kali pertama beliau mengadakan rumah terbuka selepas mengambil alih jawatan perdana menteri, "semuanya berjalan lancar dan hadirin berpuas hati dengan aturcara majlis dan hidangan."

"Saya, isteri dan kakitangan merancang aturcara dan jenis makanan untuk dihidangkan kepada tetamu dan saya gembira kerana semuanya berjalan lancar mengikut rancangan," kata Najib.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kerana membantu dalam menjayakan majlis rumah terbuka itu.

Di majlis rumah terbuka ini yang berakhir pada sebelah petang, Najib dan anggota Kabinetnya termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam, menyambut tetamu di Dewan Utama Seri Perdana.

Kecuali hujan lebat buat seketika itu, semuanya berjalan lancar dengan polis trafik memastikan lalulintas yang lancar di luar Kompleks Seri Perdana.

Juga satu konsert di ruang terbuka diadakan untuk menghiburkan hadirin dan jelas hadirin gembira dengan hidangan yang disediakan dan dendangan muzik artis tempatan. - Bernama

Ribut petir di Sabah, Labuan berterusan hingga pagi

KUALA LUMPUR: Ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang di Sabah dan Labuan dijangka berterusan sehingga pagi esok.

Jabatan Meteorologi, dalam satu kenyataan malam ini, menyatakan kawasan terbabit ialah bahagian pantai barat dan pedalaman Sandakan iaitu daerah Tongod dan Kinabatangan.

Kawasan lain ialah daerah Lahad Datu dan Kunak di Tawau. - Bernama

Indonesia terima penjelasan isu tarian Pendet: Anifah

PUTRAJAYA: Jakarta menerima penjelasan Kuala Lumpur bahawa Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet berasal dari negara ini, kata Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Beliau mengulas hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya, Hassan Wirayuda, bagi meredakan hubungan kedua-dua negara yang terjejas berikutan beberapa isu sejak kebelakangan ini.

Isu tarian Pendet timbul berikutan kesilapan iklan promosi Discovery Network berhubung program Enigmatic Malaysia.

Ia memaparkan tarian Pendet sebagai seni budaya Malaysia hingga menyebabkan banyak pihak di republik itu marah.

H1N1: Angka korban kekal 77 kes

KUALA LUMPUR: Sejumlah 219 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sehingga jam 9 pagi tadi.

Tiada kematian H1N1 didaftarkan hari ini di Malaysia dan jumlah terkumpul adalah 77 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 143 kes telah dibenar keluar, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 80 buah hospital termasuk 9 hospital swasta di seluruh negara adalah 680 kes.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 213 pesakit atau 31 peratus adalah kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 213 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 33 kes atau 15 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kataya, jumlah itu termasuk empat kemasukan kes baru dan dua kes dibenar keluar.

"Sebagai makluman, seramai 25 atau 76% kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (9), penyakit kronik (5), obesiti (6), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2)," kataya.

Ops Sikap: 31 kematian pada 1 Syawal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 114 kematian sejak Ops Sikap ke-20 bermula 13 September lalu.

Menurut kenyataan Bukit Aman hari ini, empat kematian adalah di lebuh raya, 16 di jalan persekutuan, enam di jalan negeri, tiga di jalan bandaran dan dua di lain-lain jalan.

Setakat semalam, iatu dalam tempoh lapan hari sejak Ops Sikap ke-20 dijalankan, tiga kategori yang paling banyak mencatatkan kematian ialah pengguna motosikal dengan 76 kematian, diikuti pengguna motokar (54) dan pejalan kaki (7).

"Jumlah kemalangan semalam adalah 1,013 kemalangan dan jumlah saman yang dikeluarkan ialah 4,766," menurut kenyataan itu.

Jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 340 kes diikuti jalan persekutuan (277), jalan negeri (225) dan jalan-jalan lain (118) dan lebuh raya (71).

Ops Sikap ke-20 dijalankan sehingga 27 September ini yang bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena musim perayaan kali ini. - Bernama

H1N1: Tiada kematian baru, hanya 15 kes ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Hanya 15 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan sehingga jam 9 pagi tadi.

Tiada kes kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh sama dan angka korban kekal pada 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 121 kes telah dibenar pulang, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 91 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara seramai 604 orang. "Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 151 pesakit atau 25 peratus adalah kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 151 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 31 kes atau 21 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, jumlah itu termasuk satu kes yang telah keluar dari ICU.

"Sebagai makluman, seramai 22 atau 78 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (5), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2)," katanya.

Ibu Menteri Besar Perlis meninggal dunia

KANGAR: Ibu kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Mahasa Jusoh, 86 meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah di sini pagi ini akibat sakit tua.

Allahyarham yang menerima rawatan di hospital itu sejak 21 Julai lalu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8 pagi.

Berada di sisi beliau ialah anak dan cucu.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kechor dekat sini dan antara yang menziarah ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Md Isa berkata, jenazah ibunya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Hutan Changkat Abi berhampiran rumahnya selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu dua lelaki, termasuk Md Isa, dan dua perempuan serta 18 cucu dan 10 cicit.

Semasa hayatnya, Allahyarham turut bergiat aktif dalam politik dan berjuang dalam Pergerakan Wanita Umno sejak awal penubuhannya.

Md Isa berkata, ibunya adalah pendorong kepada beliau menyertai politik. - Bernama