Followers

Wednesday, June 9, 2010

Sindiket judi bola raih pertaruhan lebih RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti sekurang-kurangnya empat sindiket perjudian bola sepak dalam talian tanpa lesen telah bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu, membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis telah menubuhkan satu pasukan pada April lalu bagi memantau sindiket terbabit yang dipercayai didalangi beberapa individu termasuk yang bergelar Datuk dan mengandungi pakar teknologi maklumat.
"Kita sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Mohd Bakri berkata, unit pemantau itu akan bekerjasama dengan INTERPOL bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

Bagi membanteras perjudian semasa Piala Dunia di Afrika Selatan yang bermula Jumaat ini, unit pemantuan itu telah melancarkan operasi dikenali sebagai Ops Soga (soccer games) di semua negeri sejak sebulan lalu.

Katanya, sindiket ITU dipercayai turut mengambil pelajar lepasan jurusan IT dengan memberi bayaran lumayan bagi menjalankan aktiviti itu.

Mohd Bakri berkata, sindiket itu turut menggunakan kafe siber sebagai tempat pertaruhan.
Katanya, sindiket itu juga dipercayai bersekongkol dengan along bagi memberi pinjaman kepada mereka yang ingin berjudi.

"Amaran saya kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan," katanya. - BERNAMA

2 pelajar Malaysia di Yaman tidak terbabit dengan al-Qaeda: Anifah

PUTRAJAYA: Dua penuntut Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Yaman kerana disyaki terbabit dengan rangkaian al-Qaeda, telah dibebaskan pada 30 Mei lalu dan dihantar pulang ke negara ini Rabu lalu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan Kedutaan Malaysia di Yaman juga mendapati mereka tidak terbabit dengan sebarang organisasi pengganas atau al-Qaeda seperti yang disangka pihak tertentu.
"Mereka hanya pelajar biasa, tetapi mereka cuma tidak mengetahui mengenai keperluan. Bagaimanapun, kita menghormati undang-undang Yaman dan mereka telah dihantar pulang pada 2 Jun," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Wisma Putra di sini hari ini.
Beliau mengulas penahanan penuntut berkenaan bersama 58 individu lain kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rangkaian al-Qaeda serta mempunyai hubungan dengan Umar Farouk Abdulmutallab, warga Nigeria yang cuba meletupkan kapal terbang di Amerika Syarikat pada Krismas lalu.

Penuntut terbabit ialah Raziff Mohd Arif, 18 dan Azizul Alfian, 22, kedua-duanya mengikuti pengajian bahasa Arab di sebuah universiti di Sanaa, ibu negara Yaman.

Anifah berkata, di Yaman apabila hendak keluar dari sesuatu kawasan sana, seseorang mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Tetapi dua pelajar itu telah pergi menziarah rakan dan mereka telah ditahan dan disyaki terbabit dengan kumpulan lain," katanya.
Sehubungan itu, Anifah berkata beliau telah mengarahkan Kedutaan Malaysia di Yaman, Mesir dan Jordan memberi taklimat mengenai undang-undang negara-negara berkenaan kepada penuntut Malaysia yang berada di sana.

Katanya, langkah itu bagi memastikan mereka mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di negara tersebut. - BERNAMA

H1N1: 8 kes baru disahkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) dan tiada kematian dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata, lapan kes H1N1 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang mempunyai faktor risiko.
"Disebabkan jangkitan H1N1 masih aktif di kebanyakan negara, orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk maklumat terkini berkaitan virus H1N1 serta langkah pencegahan sila layari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - BERNAMA

Wushu: Keputusan Sukma ke-13 Melaka

MELAKA: Berikut adalah keputusan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang berlangsung di sini, hari ini:
Wushu (Nanquan lelaki):
Emas: Ho Mun Hua (MEL) 9.70 mata Perak: Kevan Cheah (PEN) 9.65 mata
Gangsa: Lau Hui Wei (SAR) 9.57 mata

Nanquan wanita:
Emas: Wong Yik Yan (NSE) 9.45 mata
Perak: Tai Cheau Xuen (NSE) 9.42 mata
Gangsa: See Min (WP) 9.40 mata - Bernama