Followers

Sunday, May 31, 2009

Angin kencang dan laut bergelora di Sabah

KUALA LUMPUR: Angin kencang barat daya selaju 40 hingga 50 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak sehingga 3.5 meter yang sedang berlaku di perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan di Sabah dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, hari ini, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil serta kegiatan rekreasi dan sukan laut.

Sementara itu, ribut petir yang kini melanda perairan Palawan dan Reef North diramal berterusan sehingga petang ini.

Keadaan ini menyebabkan angin kencang selaju 40 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil," menurut kenyataan itu. - Bernama

Thailand sahkan kes keempat H1N1

BANGKOK: Thailand mengesahkan kes Influenza A (H1N1) keempatnya, yang membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang pulang dari Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kesihatan Awam, Witthaya Kaewparadai, berkata lelaki itu dimasukkan ke hospital di sini pada 25 Mei kerana demam dan menghidap selesema.

Witthaya berkata, lelaki itu kini sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital.

Semalam, kementerian itu mengesahkan kes ketiga H1N1 negara itu selepas ujian terhadap seorang wanita yang pulang dari AS, positif virus itu.

Maklumat terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan 53 negara secara rasmi melaporkan 15,510 kes jangkitan H1N1, termasuk 99 kematian. - Bernama

5 lagi kontak Influenza A (H1N1) dikuarantin di rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga hari ini, terdapat lima lagi kontak kepada individu yang disahkan positif Influenza A(H1N1) yang diletakkan di bawah kuarantin rumah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 kontak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata dua daripada kontak tersebut adalah kontak kepada kes yang disahkan di Taiwan pada 24 Mei lalu manakala tujuh lagi ialah kontak kepada kes yang disahkan di Singapura.

"Dua kontak kepada kes di Taiwan akan tamat tempoh kuarantin pada hari ini. Tujuh kes lagi adalah kontak kepada kes di Singapura, di mana satu akan tamat tempoh kuarantin pada 1 Jun dan enam lagi akan tamat pada 2 Jun.

"Tiga lagi adalah kontak kepada kes di Hong Kong di mana dua akan tamat kuarantin pada 4 Jun dan satu akan tamat pada 5 Jun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kontak yang sedang dikuarantin dalam keadaan sihat dan memberikan kerjasama yang baik kepada Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Ismail, berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Bertindak Cepat (CPRC) Kebangsaan juga sudah mendapat maklumat daripada Jabatan Imigresen mengatakan bahawa terdapat 40 kontak kepada kes-kes di Singapura di kalangan warganegara asing yang masuk ke Malaysia baru-baru ini, sudah keluar ke negara lain.

Katanya, sehingga jam 8 pagi ini, bilik CPRC sudah menerima notifikasi 17 kes yang dimasukkan ke wad pengasingan di enam Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan penyiasatan.

Menurutnya, daripada 17 kes itu, 14 adalah negatif manakala tiga masih menunggu keputusan.

Sehingga kini, 341 kes sudah dimasukkan ke wad pengasingan untuk penyiasatan di mana 336 disahkan negatif dan dua kes yang disahkan positif adalah yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 9 pagi ini, sebanyak 1,562 kes baru dilaporkan di seluruh dunia menjadikan keseluruhan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal sebanyak 17,072 kes.

Peningkatan itu berlaku di 16 buah negara iaitu Australia, Belgium, Kanada, China, Perancis, Jerman, Greece, Israel, Jepun, Mexico, Russia, Slovakia, Switzerland, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Sebanyak 16 kematian baru dilaporkan iaitu di Mexico 12 kematian dan empat di AS menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 115, manakala jumlah negara yang dikesan terdapat wabak Influenza A(H1N1) kekal kepada 55 negara. - Bernama

Lubnan, Hungary, Estonia lapor H1N1

WHO umum 15,500 kes dengan 99 maut

BEIRUT: Lubnan menjadi negara terbaru mengesahkan kes Influenza A (H1N1) semalam, manakala dalam perkembangan lain, sebuah kapal berlabuh di bandar Brisbane, Australia meskipun dibantah pegawai pelabuhan kerana ada kes H1N1 di kalangan penumpangnya.

Menteri Kesihatan Lubnan, Mohammad Khalifeh, mengesahkan tiga kes Influenza A sambil menegaskan keadaan terkawal.

“Seminggu lalu, kami menghadapi masalah yang sudah dikawal. Tiada virus merebak di Lubnan tetapi ia membabitkan tiga orang yang tiba dari negara asing, seorang daripadanya warga tempatan,” katanya.

Khalifeh berkata, sekumpulan warga Lunan mengha diri seminar latihan di institut, Sepanyol, lokasi virus itu.

Mereka diasingkan seminggu di Beirut dan seorang warga Lubnan dijangkiti tetapi sudah pulih.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sehingga kelmarin lebih 15,500 kes baru H1N1 dilaporkan di seluruh dunia membabitkan 99 kematian, kebanyakannya di Mexico.

Di BUDAPEST: Menteri Kesihatan Hungary mengesahkan kes pertama Influenza A. Menteri itu, Tamas Szekely, berkata ia membabitkan seorang pelancong Brazil yang tinggal di New York.

Di TALLINN: Pihak berkuasa Estonia turut melaporkan kes pertama H1N1 membabitkan warganya yang pulang dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, di CANBERRA: Pegawai kesihatan memeriksa 85 daripada hampir 2,000 penumpang kapal Pacific Dawn di Brisbane, Queensland.

Penumpang lain tidak tidak turun dari kapal yang berlabuh beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal, Sydney.

Ramai masih ceria dan menunjukkan isyarat selamat ketika turun dengan memakai topeng muka.

Bagaimanapun, penumpangnya tidak dibenar turun di pulau atau tempat peranginan di kawasan terumbu karang berhampiran Queensland kerana ada penumpang kapal sebelum ini positif H1N1. - Agensi

Sabah & Sarawak: Jambatan Bum-Bum ditangguh

SEMPORNA: Projek Jambatan Pulau Bum-Bum bernilai RM100 juta yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Semporna seperti diumumkan dalam Bajet 2009 Kerajaan Persekutuan ditangguh sementara berikutan kegawatan ekonomi global.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata projek yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu akan diteruskan selepas ekonomi kembali stabil.

"Jambatan Pulau Bum-Bum yang bermatlamat meningkatkan ekonomi penduduk kerana memudahkan pemasaran hasil pertanian dan perikanan serta perhubungan penduduk akan diteruskan pada masa depan," katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat Semporna di Kampung Terusan, Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.