Followers

Wednesday, November 17, 2010

Penunjuk ekonomi positif tingkat keyakinan masyarakat luar: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata momentum
positif dalam ekonomi negara mutakhir ini, telah meningkatkan keyakinan rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa terhadap hala tuju kerajaan. Perdana Menteri berkata beberapa penunjuk ekonomi, antaranya pencapaian
tertinggi Bursa Malaysia baru-baru ini, kedudukan nilai mata wang negara yang
semakin kukuh serta kemampuan daripada segi indeks persaingan, menggambarkan
keyakinan semua pihak terhadap segala perancangan kerajaan.
Beliau berkata penunjuk-penunjuk ekonomi yang positif itu juga akan membolehkan
Malaysia mencapai kadar pertumbuhan sekurang-sekurangnya tujuh peratus tahun
ini.
"Alhamdulillah, memang perkembangan mutakhir ini menampakkan bahawa kita telah berjaya untuk mencetuskan apa yang saya sifatkan sebagai momentum positif dalam
ekonomi untuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang video dengan masyarakat dan
penuntut Malaysia di enam buah negara sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman
rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Sabah & Sarawak: Integriti, disiplin azam Hamza

Pesuruhjaya Polis Sabah mahu anggota miliki kesungguhan laksana tugas
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru, Datuk Hamza Taib berazam meningkatkan keberkesanan tugasan pegawai dan anggotanya dengan menekankan integriti dan disiplin bagi memelihara keamanan dan keharmonian di negeri ini.

Sejajar tugas PDRM, menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin keselamatan setiap anggota masyarakat, beliau mahu pegawai dan anggotanya bukan setakat melaksanakan tugasan harian, malah memelihara integriti yang berfungsi sebagai tunjang membentuk pegawai dan anggota cemerlang.
"Saya tidak ada visi atau misi tertentu kerana kita tertakluk pada dasar ditetapkan Bukit Aman. Bagaimanapun, saya akan memastikan setiap pegawai dan anggota PDRM memiliki kesungguhan pada tugas dan mengamalkan integriti kerana tanggapan masyarakat terhadap polis sekarang sudah jauh berubah.
"Ketika saya menyertai PDRM 35 tahun lalu, tanggapan masyarakat terhadap tugas polis berbeza dengan sekarang. Oleh itu, kita harus menjalankan tugas sejajar perubahan zaman," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani dokumen penerimaan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Datuk Noor Rashid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, kelmarin.

Majlis itu disaksikan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi Menangani Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohd Fuzi Harun. Sebelum ini, Hamza adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Noor Rashid yang berkhidmat tiga tahun dan tujuh bulan di Sabah akan memulakan tugasnya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, mulai hari ini.

Hamza, 54, yang berasal dari Jasin, Melaka menyertai PDRM sebagai Inspektor Percubaan pada 16 November 1975.
Sehubungan itu, Hamza meminta semua Ketua Polis Daerah (KPD) memberi kerjasama padu kepada beliau dalam melaksanakan tugas berkenaan, sekali gus memastikan PDRM bukan setakat melaksanakan tugas dengan cemerlang, malah terus memastikan rakyat hidup tanpa sebarang kebimbangan.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Noor Rashid meminta KPD memberikan kerjasama padu kepada Hamza bagi memastikan pelaksanaan tugas secara licin dan berkesan.

Sehubungan itu, beliau meminta KPD memastikan pegawai dan anggota polis di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas secara penuh dedikasi sejajar tuntutan zaman yang memerlukan mereka memiliki ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

Sementara itu, Mohd Fuzi berkata, Noor Rashid berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dan ia harus diteruskan Hamza dengan keyakinan mampu membentuk pasukan polis yang berdaya tahan terhadap pelbagai cabaran semasa.

PM tunai solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara bersama rakyat jelata.
Berbaju Melayu merah jambu, Perdana Menteri yang kelihatan segak dan diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, tiba di perkarangan masjid itu kira-kira 8.30 pagi dan disambut Imam Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni, yang mengimamkan solat sunat berkenaan.
Dalam khutbahnya, khatib mengingatkan hadirin bahawa lafaz talbiah yang menyeru masyarakat kembali dan berkorban untuk Islam, telah memberi kesedaran bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat di negara ini.
Katanya, kelemahan dalam mempertahankan Islam akan menjerat bangsa menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam mengambil kesempatan sempena Hari Raya Korban, untuk membina keutuhan tali persaudaraan serta bermaafan, lebih-lebih lagi dalam menangani isu membabitkan agama serta masa depan umat Islam.

"Maka, sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, dan perbezaan latar belakang fahaman atau politik.

"Buang yang keruh, ambillah yang jernih, ketepikanlah segala perbezaan tersebut," katanya.
Selesai menunaikan solat, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat, sebelum bertemu dengan mereka yang sudah berbaris untuk bersalaman dengannya.

Najib kemudian menziarah, bertahlil, berdoa dan menyiram air mawar di pusara ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Lebih 10,000 rakyat jelata dan warga asing mula mengunjungi Masjid Negara seawal 7 pagi dengan wajah ceria serta memakai pakaian berwarna-warni. - BERNAMA

Gempa kuat gegar Laut Banda

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia, jam 4.06 pagi tadi.
abatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata pusat gempa itu terletak 399 kilometer tenggara Ambon dan 1,831 kilometer di Tawau, Sabah. - BERNAMA

Pandangan Anwar terhadap Malaysia satu "suara sumbang": PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata pandangan
Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Malaysia adalah satu suara sumbang yang tidak mencerminkan pendapat pemimpin-pemimpin dunia. Perdana Menteri berkata pandangan Ketua Pembangkang itu merupakan "satu
suara sahaja tetapi suara yang minoriti".
"Pemimpin-pemimpin dunia mengiktiraf kejayaan kita... bererti bahawa dia
(Anwar) merupakan suara sumbang sebenarnya.
"Dan (pandangan Anwar) tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia
terhadap Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang video
bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara, di kediaman rasmi
Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian
Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar, yang mendakwa pengiktirafan
yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap
sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.
Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha
terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia Julia Gillard supaya memberi
tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) atas alasan mengamal rasuah dan
menipu pada pilihan raya.
Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia dua hari
lepas, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu
untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang
dihadapinya gagal. -- BERNAMA

3 Mei sebagai iktibar supaya tak berulang: Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tidak perlu untuk menjadikan peristiwa 13 Mei sebagai hari yang
diperingati. "Tidak perlu sebab 13 Mei ini kita jadikan satu peristiwa dalam lipatan sejarah sebagai iktibar, sebagai sempadan untuk kita supaya ia tidak berulang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang video
bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara sempena Hari Raya
Aidiladha di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.
Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Najib diminta mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia baru-baru ini, yang
mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari
Keharmonian Kaum. - Bernama

Regu bowling sumbang emas ketiga

GUANGZHOU: Gandingan Adrian Ang dan Alex Liew raih pingat emas ketiga Malaysia di Sukan Asia Guangzhou dalam acara bowling beregu lelaki. -- BERNAMA

Bimbang kejadian batu 'terbang' berulang


MANSOR Zainol menunjukkan batu yang terpelanting dari sebuah kuari ke pagar rumahnya di Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 17 Nov. - Trauma dengan kejadian batu kuari 'terbang' yang merosakkan bumbung rumahnya di Kampung Pelet di sini semalam, Mansor Zainol, 43, berharap ia tidak berulang lagi.

Bagi Mansor, kejadian itu menjadi igauan buruk buat dia sekeluarga kerana nyaris mencederakan anak sulungnya, Mohd. Izzat, 15, yang berada di ruang tamu.

Menurutnya, biarpun wakil kuari terbabit ada mengunjungi rumahnya selepas kejadian itu, namun dia masih kesal dengan kejadian itu kerana bimbang ia akan berulang.

"Pengarah syarikat terbabit ada datang melawat saya sejurus selepas kejadian dan berjanji akan membaiki kerosakan bumbung dan dinding serta menggantikan peralatan rumah yang rosak.

"Dia juga meminta maaf di atas apa yang berlaku dan akan membayar pampasan sewajarnya kepada keluarga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam, sebahagian bumbung rumah Mansor yang didiami bersama isteri, dua anak dan adiknya itu berlubang ditimpa ketulan batu yang diletupkan dari kuari yang terletak berhampiran rumahnya.

Jelas Mansor, pemilik kuari perlu mengambil kira kerosakan rumah serta trauma yang dialami mereka sekeluarga dalam menentukan jumlah pampasan yang harus dibayar.

"Selepas apa yang berlaku, saya rasa bimbang nak berehat di rumah pada waktu siang ketika letupan kuari itu dijalankan.

"Kalau boleh tak nak berlaku lagi kejadian seumpama ini biarpun kami akan terus menetap di atas tanah pusaka ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, suasana sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini juga tidak meriah seperti biasa kerana mereka masih membersihkan batu-batu di sekitar rumah.

6 sekeluarga terselamat rumah bergegar


Zamie Saat (kanan) menunjukkan tebing parit sebelah rumahnya yang runtuh di Kampung Tanah Merah, Krubong, Melaka, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
MELAKA 17 Nov. - Enam sekeluarga yang sedang berehat di rumah sempena Hari Raya Aidiladha bergegas menyelamatkan diri apabila tebing parit berhampiran kediaman mereka di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini, runtuh.

Kejadian yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu ini ketika hujan lebat, menyebabkan rumah mereka bergegar.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemilik rumah itu, Zamie Saat, 37, berkata, sewaktu kejadian dia bersama isteri dan anak-anak sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Sebaik berasa rumah bergegar, saya dan isteri membawa anak-anak keluar dari rumah menyelamatkan diri. Ingatkan rumah kami runtuh tetapi syukurlah tebing parit yang runtuh itu sekadar merosakkan sebahagian dinding rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zamie berkata, runtuhan tebing parit itu mengenai dinding sebelah kanan rumahnya menyebabkan simen longkang turut rosak dan dinding retak.

"Saya bersyukur kerana rumah tidak runtuh dan seluruh ahli keluarga selamat," katanya lagi.

Dia percaya kejadian itu berpunca daripada masalah hakisan tebing parit itu yang terletak bersebelahan rumahnya.

Katanya, hakisan yang berlaku di tebing itu semakin serius setelah kolam takungan banjir di belakang rumahnya siap dibina tahun lalu.

"Air dari longkang dan taman-taman perumahan berhampiran disalurkan ke dalam kolam takungan itu melalui parit ini," katanya.

Keadaan itu katanya, menyebabkan tebing parit mudah terhakis dan menyebabkannya runtuh apabila hujan lebat.