Followers

Tuesday, June 8, 2010

Shahrizat minta polis turut dakwa lelaki dalam kes buang bayi

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyarankan polis meneruskan siasatan dengan menjejaki lelaki yang bertanggungjawab dalam kes pembuangan bayi di Chendering, Kuala Terengganu, dua tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun ibu kepada bayi malang itu yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering telah dijatuhkan hukuman, kementerian berpendapat kes ini tidak seharusnya tamat begitu sahaja.
"Mesej yang perlu disampaikan kepada masyarakat umum ialah kesalahan bagi kes pembuangan bayi tidak seharusnya diletakkan di atas bahu seorang wanita semata-mata.
"Sebaliknya, pihak lelaki juga mesti dipertanggungjawabkan dan perlu menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa mensabitkan pihak lelaki bersama-sama dengan pihak wanita dalam kes pembuangan bayi.

"Teknologi yang canggih pada masa kini khususnya penggunaan kaedah DNA boleh dimanfaatkan bagi mengenalpasti bapa bayi berkenaan," katanya.

Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM7,000 ke atas Zarina Sulaiman, 22, selepas mengaku bersalah membuang mayat bayi lelaki yang dilahirkannya, dua tahun lalu. - BERNAMA

Khidmat kaunseling untuk atasi gangsterisme di sekolah: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah gangsterisme di kalangan pelajar sekolah menerusi khidmat kaunseling, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya khidmat kaunseling yang diberikan tidak mampu mengubah sikap pelajar terbabit, barulah tindakan tegas akan dikenakan.
"Berdasarkan laporan yang diterima kementerian, seramai 32 pelajar sekolah menengah terlibat dalam kegiatan itu pada 2005 diikuti 56 orang (2006), 49 orang (2007), 81 orang (2008) dan 60 orang (2009)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, definasi gangsterisme di sekolah adalah merujuk kepada murid yang melakukan salah laku berunsur jenayah seperti pemerasan, ugutan, memukul atau seumpamanya secara terancang.

Katanya, bagi kes yang membabitkan murid sekolah rendah, perlakuan seumpamanya dikategorikan sebagai kenakalan kanak-kanak dan tindakan yang diambil adalah secara dalaman dengan melibatkan ibu bapa mereka, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain usaha memberi kesedaran kepada murid terbabit.

"Langkah lain yang diambil bagi membendung masalah berkenaan termasuk membentuk kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) serta membabitkan ibu bapa melalui PIBG dan masyarakat dalam aktiviti di sekolah dalam usaha membendung masalah gangsterisme.

"Kementerian juga menggalakkan penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)," katanya.
Muhyiddin berkata, sehingga tahun lalu sejumlah 7,046 buah KPJ telah berjaya diwujudkan merangkumi 1972 kelab di sekolah menengah dan 5,074 kelab di sekolah rendah. - BERNAMA

Malaysia tidak akan bankrap seperti Greece: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Malaysia tidak akan bankrap seperti yang berlaku kepada Greece dan Iceland berikutan kejayaan negara mengekalkan hutang di paras terkawal.
Perdana Menteri berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan akan terus dirancang, dipantau dan dikawal dengan baik serta bertanggungjawab.
"Paras defisit dijangka akan turun dan paras hutang akan terus terkawal pada jangka masa sederhana dan panjang.
"Usaha ini akan membantu memastikan paras hutang dan defisit Kerajaan Persekutuan tidak akan meningkat sehingga menjejaskan kemampuan negara membayar balik hutang," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Parlimen.

Lim dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang diambil untuk memastikan Malaysia tidak menjadi seperti Iceland dan Greece yang bankrap dan memerlukan bantuan daripada masyarakat serantau.

Perdana Menteri berkata, tahun lalu, jumlah hutang negara berkurangan kepada RM233.92 bilion daripada RM236.18 bilion tahun sebelumnya walaupun peratusannya meningkat sedikit.

Beliau berkata, pengurangan itu adalah disebabkan bayaran balik bersih hutang jangka sederhana dan panjang oleh Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta yang lebih mengimbangi ambilan bersih lebih besar oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK).
"Kekukuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) juga menyumbang kepada penurunan hutang luar negara secara keseluruhan.

"Nisbah khidmat hutang luar negara pada 31 Disember tahun lalu dianggarkan pada tahap tujuh peratus, mencerminkan kekukuhan pendapatan eksport untuk membayar tanggungan hutang.

"Nisbah rizab antarabangsa kepada hutang luar jangka pendek lebih daripada mencukupi bagi menampung 4.2 kali hutang luar jangka pendek," katanya.

Perdana Menteri berkata, selain itu kerajaan juga mengambil beberapa langkah khusus untuk mengurangkan hutang luar negara.

"Dasar semasa kerajaan ialah mengutamakan pinjaman dalam negeri yang tidak menyebabkan inflasi. Ini adalah kerana mudah tunai yang tinggi di pasaran domestik serta kos pinjaman yang lebih murah.

"Selaras dengan matlamat konsolidasi kedudukan fiskal secara berperingkat, Bajet 2010 memberi penekanan kepada langkah untuk menambah baik keberkesanan dan kecekapan pendapatan serta perbelanjaan kerajaan.

"Kerajaan sedang mengkaji penstrukturan sistem subdisi bahan api yang juga sebahagian besar dalam perbelanjaan tahunan kerajaan," katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi memperkukuhkan aliran pendapatan, kerajaan sedang berusaha memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Menerusi GST, asas pendapatan kerajaan akan diperluas dan sekali gus lebih terlindung daripada ayunan kitaran harga minyak," katanya.

Hubungan diplomatik tidak jamin Israel boleh didakwa di mahkamah antarabangsa: Tun M

KUALA LUMPUR: Kekejaman Israel tidak akan sampai ke muka pengadilan walaupun negara yang menjadi mangsa mempunyai hubungan diplomatik dengan regim Zionis itu, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, selagi kuasa besar dunia melindungi negara tersebut, sebarang hubungan diplomatik tidak akan memberi apa-apa makna, apatah lagi untuk mengheret regim itu ke muka pengadilan.
"Ini tidak berkesan. Banyak orang mengadakan hubungan dengan Israel. Mereka (Israel) boleh melakukan jenayah tetapi oleh kerana mereka dilindungi oleh kuasa terbesar di dunia, anda tidak boleh heret mereka ke mahkamah," katanya selepas merasmikan pameran, "The 10th International Exhibition on Laboratory Instrumentation, Equipment, Automation and Services" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Dr Mahathir menjawab pertanyaan pemberita sama ada sudah tiba masanya untuk Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel bagi membolehkannya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa sekiranya berlaku sebarang kekejaman ke atas warga negara Malaysia.

Beliau berkata, kekejaman Israel ketika ini adalah realiti kehidupan dan tidak berkaitan dengan hubungan diplomatik.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, selagi kuasa dunia Barat tidak diimbangi kuasa Timur, dunia terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk melihat ketidakadilan Israel akhirnya ditangani.

"Saya fikir kita terpaksa menunggu 50 tahun lagi bila kuasa Barat dapat diimbangi dengan Timur. Ketika itu, barangkali kita akan lihat perhatian diberikan terhadap ketidakadilan yang dilakukan Israel," katanya.
Ahad lalu, askar regim Zionis, membunuh sembilan aktivis kemanusiaan dan menahan puluhan sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa ketika kapal itu melakukan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mavi Marmara adalah salah satu daripada konvoi beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 negara dalam misi itu.

Jumaat lalu, askar Israel menahan kapal MV Rachel Corrie pula yang ditaja Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang juga sebahagian konvoi itu.

Turut berada di atas kapal itu ialah enam sukarelawan Malaysia.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Sabtu lalu. - Bernama

Najib sokong NGO teruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tetap akan menyokong program dan usaha badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Saya fikir amat baik sekiranya NGO ini, kalau mereka bersetuju untuk terus membuat program seperti menghantar bantuan kemanusiaan dengan menggunakan bot atau kapal tertentu atau dengan apa cara sekali pun.
"Ini adalah supaya masalah dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza akan sentiasa dalam perhatian masyarakat dunia," katanya kepada pemberita selepas meraikan enam lagi sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan tentera Israel pada jamuan makan tengah hari di kediamannya di Langgak Duta di sini, hari ini.
Mereka ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, ketiga-tiganya daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, dan Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin, kedua-duanya daripada TV3.

Mereka yang menaiki kapal MV Rachel Corrie ditahan selepas tentera Israel menawan kapal itu dan membawanya ke Pelabuhan Ashdod. Mereka kemudian dibebaskan di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan dan pulang ke tanah air malam tadi.

Najib berkata, misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim Zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, Mukhriz berkata PGPO kini dalam usaha untuk mendapatkan semula kapal yang terbabit dalam misi kemanusiaan itu, termasuk kapal MV Rachel Corrie yang mungkin boleh digunakan semula untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan pada masa depan.

"Kalau boleh kita hendak kapal-kapal kita balik, Changer 1 dan 2 dan juga Rachel Corrie sebab itu telah dibayar. Sekarang ini, usahanya ialah untuk kerajaan Turki dan Jordan membantu membebaskan kapal-kapal kita," katanya.

Mengenai rancangan terbaru PGPO, Mukhriz berkata pertubuhan itu akan cuba membantu rancangan bekas Ahli Parlimen Britain, George Galore, yang mempunyai hubungan rapat dengan Gaza untuk menghantar 60 kapal misi bantuan kemanusiaan ke sana.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan kerajaan Malaysia yang disifatkan sebagai perangsang kepada sukarelawan negara untuk meneruskan rancangan penghantaran misi bantuan ke Gaza itu. - BERNAMA

Peniaga di Kedah boleh hubungi KPDNKK untuk dapatkan gula

ALOR SETAR: Peniaga di Kedah yang terputus bekalan gula boleh menghubungi terus Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mendapatkan barangan itu bagi mengelak masalah ketiadaan gula di pasaran.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah, Mohd Salleh Ma'amor berkata pihaknya telah bersiap-sedia untuk menyediakan bekalan gula sejak sebulan lepas terutama pada masa cuti sekolah yang banyak diadakan kenduri kahwin.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar stok gula yang banyak ke kedai dan masalah bekalan sering berlaku jika peniaga terlibat mengambil daripada pihak lain.
"Seperti di kampung, peniaga di sana tidak ambil daripada kita. Mereka ambil daripada kedai runcit besar. Kita sebenarnya dah atasi masalah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagi pihak yang mengadakan kenduri kahwin, beliau berkata mereka boleh datang terus ke pejabat KPDNKK negeri memandangkan pihak berkenaan memerlukannya dalam jumlah yang besar dan pihaknya juga telah bersedia dengan stok bagi tujuan itu.

Beliau mengulas dakwaan orang ramai bahawa bekalan gula sukar diperoleh terutama di negeri-negeri di utara dan bersempadan dengan Thailand.

Mohd Salleh berkata, masalah kekurangan tidak sepatutnya berlaku kerana pihaknya sentiasa memastikan bekalan gula sampai pada masanya dan jumlah yang mencukupi terutama ketika musim cuti sekolah ini.
Mengenai masalah penyeludupan dan dakwaan bahawa gula Malaysia banyak dijual di wilayah-wilayah selatan Thailand, Mohd Salleh berkata penyeludupan gula menerusi Kedah tidaklah begitu serius.

"Apa yang banyak berlaku, orang dari Kedah apabila melawat saudara-mara di selatan Thailand, mereka akan bawa gula. Jumlahnya tidak banyak. Kalau jumlahnya banyak, kita akan tangkap," katanya. - BERNAMA

Lebih 15,000 sertai Rally 1Malaysia Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Lebih 15,000 Pemuda Barisan Nasional (BN) mewakili pelbagai parti komponen bersama pertubuhan bukan kerajan (NGO) dan golongan belia akan membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini bagi menyertai Rally 1Malaysia.
Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata perhimpunan yang dijadualkan pada 12 tengah hari itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN.
Katanya, majlis itu bukan saja pentas untuk menyatupadukan golongan belia di negara ini tetapi untuk menyatakan sokongan padu kepada Gagasan 1Malaysia.
"Kehadiran orang ramai membabitkan rakyat pelbagai kaum akan menyuntik semangat perpaduan lebih jitu antara belia seluruh negara, sejajar dengan hasrat 1Malaysia.

"Rally 1Malaysia bakal menterjemahkan semangat 1Malaysia melalui kesedaran mengenai keunikan budaya satu sama lain yang tidak sama sekali melunturkan keseragaman aspirasi belia Malaysia," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata kemuncak kepada acara Rally 1Malaysia itu adalah pelancaran program Jelajah 1Malaysia (JOM).
"JOM adalah satu program turun padang oleh Pemuda BN bagi mendekati masyarakat seluruh negara bagi merasai denyut nadi mereka di samping bersama-sama melaksanakan pelbagai program yang diyakini dapat merealisasikan hasrat 1Malaysia.

"Pada majlis itu juga, sebuah bas JOM yang akan membawa Pemuda BN menjelajah seluruh negara akan turut dilancarkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Pindaan ISA dijangka ke Parlimen bulan depan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan dua lagi akta di bawah undang-undang pencegahan dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata dua akta lain itu adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Semua pindaan undang-undang pencegahan itu kini di peringkat akhir kelulusan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangka akan dapat dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen bulan hadapan selepas diluluskan Peguam Negara dan Kabinet," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Abu Seman berkata, tiga lagi akta iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959, masih di peringkat semakan Bahagian Penggubalan, Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan kita meminda akta-akta ini adalah untuk memelihara hak orang tahanan dan mengelakkan salah guna kuasa dalam melaksanakan undang-undang pencegahan," katanya.

Mac lalu, Kabinet memutuskan pindaan ke atas ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Abu Seman berkata, pindaan dan penambahbaikan bagi semua undang-undang pencegahan itu meliputi kuasa-kuasa Menteri, tempoh tahanan, kuasa polis, hak dan layanan terhadap orang tahanan, manakala pengguguran beberapa seksyen hanya membabitkan ISA.
Antara pindaan yang dibuat terhadap ISA membabitkan pengurangan tempoh tahanan tanpa bicara selain tempoh tahanan di bawah Ordinan Darurat.

Abu Seman berkata, pindaan terhadap semua akta itu berdasarkan perbincangan dengan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua yang mahukan ISA dihapuskan manakala yang lain bersetuju agar pindaan dilakukan," katanya.

Beliau juga berkata, pindaan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan juga telah siap dikaji oleh kementerian dan dihantar ke bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan. - BERNAMA

KPDNKK rampas barangan tiruan bernilai RM1.3 juta

JOHOR BAHRU: Kementerïan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 500,000 barangan tiruan, kebanyakan barangan Piala Dunia 2010, bernilai RM1.3 juta di sebuah stor pakaian di Taman Bukit Indah di sini jam 9 pagi tadi.

ASEAN perlu tingkat penyertaan AS, Russia: Najib

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mengkaji semula dan sentiasa menyelaras cara ia mengendalikan hal ehwalnya dalam usaha untuk berfungsi dengan lebih berkesan dan cekap bagi menghadapi cabaran dalam lanskap strategik global yang sentiasa berubah, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ASEAN juga perlu mencari jalan bagi meningkatkan penyertaan Russia dan Amerika Syarikat dalam agenda reka bentuk pembangunan serantaunya.
"Ia diperlukan selaras dengan peningkatan pentingnya AS yang menjadi pelengkap kepada orde rantau Asia Pasifik, manakala aspek geografi Russia pula menjadikan ia sebagai pihak utama dalam dalam perkembangan hal ehwal rantau itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-24 di sini hari ini.
Turut hadir dalam persidangan tiga hari anjuran ASEAN-Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ASEAN-Isis), sebuah rangkaian kerja kumpulan pemikir ternama di Asia Tenggara itu ialah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Najib berkata, peningkatan dalam pentingnya pembabitan kedua-dua negara ini dalam reka bentuk pembangunan di rantau Asia Pasifik dilihat lebih ketara kini memandangkan Washington akan terus melebarkan pengaruhnya aspek ekonomi, politik dan kebudayaan masa depan.

"Moscow pula dengan gigih sedang meningkatkan hubungan dua hala dengan banyak negara, yang merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan oleh negara-negara serantau," katanya.

Najib berkata, potensi hubungan Russia dan AS dengan negara Asia Tenggara juga tambah ketara sebagaimana yang digambarkan dalam Sidang Kemuncak Asean di Hanoi baru-baru ini, di mana isyarat yang benar-benar jelas diutarakan bagi menggalakkan Russia dan Amerika supaya mengukuhkan pembabitan mereka dalam membentuk perubahan rantau ini.
Beliau berkata, kedua-dua negara itu turut memenuhi keperluan rasmi untuk terbabit dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

"Mereka menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, menjadi rakan dialog Asean, dan memiliki hubungan kerjasama yang cukup akrab dengan pelbagai negara secara terus dan pertubuhan-pertubuhan tertentu," katanya.

Najib turut menggesa negara peserta persidangan itu untuk menimbangkan cara bagaimana pembabitan Russia dan Amerika di rantau ini boleh direalisasikan.

Merujuk kepada reka bentuk pembangunan rantau Asia Pasifik, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia harus dilihat sebagai satu siri lingkaran berpusat dengan Asean terletak di tengah-tengahnya, diikuti dengan Asean Plus Three (APT) dan EAS, di mana mereka mewakili evolusi dan peningkatan kematangan dalam kerjasama di rantau Asia Pasifik.

"Bagi Asia Tenggara, reka bentuk pembangunan serantau akan terus menjadi langkah yang dilaksanakan secara berterusan. Kami akan berusaha menyepadukan manfaat penting yang dihasilkan menerusi Asean dan APT.

"Pada masa yang sama, kami akan membangunkan EAS sebagai ruang untuk kerjasama dengan lingkaran lebih besar di rantau yang lebih luas," katanya.

Persidangan itu dihadiri kira-kira 250 peserta dari rantau Asia Pasifik, terdiri daripada perwakilan, ahli akademik dan NGO. - BERNAMA

Kementerian penerangan mohon peruntukan RM3 bilion luaskan jalur lebar

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memohon peruntukan lebih RM3 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar negara.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, berkata ia juga akan membolehkan Malaysia bertanding di peringkat global dalam pembekalan jalur lebar.
Beliau berkata, peruntukan itu juga adalah bagi memastikan RTM dapat menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan lebih berkesan menggunakan kaedah baru.
"Dalam RMK-10 ini, kami telah mengemukakan pelbagai bentuk projek dan program bagi memastikan penarafan RTM meningkat dalam usaha memastikan keberkesanan agensi media rasmi kerajaan dalam memainkan peranannya.

"Kami harap kerajaan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya," katanya selepas menyampaikan hadiah kuiz mega National Geographic di sini, semalam.

Kamaruddin berkata, kementerian memberikan tekanan kepada tiga sektor dalam permohonan untuk peruntukan RMK10 iaitu komunikasi, penerangan dan kebudayaan.

Bagaimanapun, keutamaan tetap diberi kepada sektor komunikasi kerana ia akan diguna untuk memacu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terutama dalam memastikan pencapaian sektor industri kreatif. - Bernama

80 peratus sudah terima konsep 1Malaysia

PASIR MAS: Konsep 1Malaysia kini diterima oleh 80 peratus rakyat negara ini, kata Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Abdullah Murad.
Katanya, sebahagian kecil lagi berada di kawasan terpencil seperti pedalaman di mana maklumat agak sukar disampaikan walaupun sudah dua tahun konsep itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kefahaman juga agak berbeza kerana terdapat perbezaan politik di negara ini," katanya selepas merasmikan Program BersamaMu 1Malaysia di Pusat Latihan Khidmat Negara Cancun Park, Kampung Kangkung di sini, semalam.
Abdullah berkata, perangkaan itu diperoleh daripada satu kajian membabitkan 12,200 rakyat negara ini.

"Kita akan minta pegawai-pegawai kita memperjelaskan perkara itu kepada mereka yang belum menerima lagi konsep 1Malaysia," katanya. - Bernama

Kejadian kluster ILI berkurangan kepada 44

PUTRAJAYA: Jumlah kluster penyakit serupa influenza (ILI) yang masih aktif di seluruh negara ketika ini berkurangan kepada 44 berbanding 49 pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga jam 8 pagi ini, tiada kejadian kluster ILI baru dilaporkan.
Kali terakhir kejadian kluster dilaporkan adalah pada 4 Jun lalu.
Dr Mohd Ismail berkata, sebanyak empat kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) oleh makmal, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini 14,969 kes.

Beliau berkata, jumlah kes ILI yang dirawat di wad hospital di seluruh negara kini ialah 535 kes dan daripada jumlah itu 47 kes atau 8.8 peratus disahkan positif influenza A (H1N1).

Dr Mohd Ismail berkata, jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sembilan kes dan semuanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko.

"Tiada kematian baru dilaporkan dan jumlah kes kematian kekal 88 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu serta langkah-langkah pencegahan boleh layari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan dengan menelefon 03-88810200/0300. - BERNAMA