Followers

Thursday, September 10, 2009

Najib seru komuniti Hopo seluruh dunia melabur di Malaysia

GENTING HIGHLANDS: Datuk Seri Najib Razak menyeru komuniti Hopo, satu subkumpulan komuniti Hakka, di seluruh dunia untuk mengambil kesempatan dari peluang perniagaan dan perdagangan yang ditawarkan di Malaysia, berikutan langkah liberalisasi sepenuhnya subsektor 27 perkhidmatan, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia, yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Timur yang cergas, merupakan satu destinasi yang berdaya maju dan komuniti Hopo yang mempunyai jaringan di seluruh dunia, berserta pengetahuan dan kepakaran masing-masing, boleh bersatu tenaga dan bekerjasama dengan rakan mereka di Malaysia.

Najib berkata komuniti Hopo mempunyai kekukuhan mereka sendiri - sama ada modal, teknologi, bahan mentah, saiz pasaran, kuasa membeli, logistik atau rangkaian pengedaran, yang boleh disandarkan dan membentuk perkongsian atau ikatan strategik.

"Saya menjemput anda untuk menyertai kami di dalam perjalanan ke arah negara maju yang turut menawarkan kemungkinan yang menerujakan. Ahli perniagaan dan usahawan di kalangan anda boleh berpadu tanaga dengan rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek di Malaysia, China dan malah di negara ketiga," katanya semasa menyampaikan ucaptama di Konvensyen Komuniti Hopo Dunia Pertama di sini hari ini.

Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 delegasi dari 18 negara.

Komuniti Hopo, yang merangkumi suku daripada penduduk Hakka di Malaysia, berasal dari kawasan Teochew di selatan China.

Sejak berkurun lalu, mereka telah merantau ke bahagian lain di dunia termasuk Hong Kong, Macau, Taiwan, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Najib berkata, komuniti Hopo di Malaysia, yang tinggal di negara ini sejak beberapa jenerasi dan terlibat di dalam perlombongan timah, perladangan, pembangunan hartanah dan pengilangan, boleh bertindak sebagai duta dan membantu mempromosikan negara ini sebagai destinasi bagi pelaburan asing dan pelancongan.

"Melalui pengetahuan dan jaringan anda, komuniti Hopo di Malaysia boleh bertindak sebagai rakan tempatan bagi usahasama dan aktiviti promosi di negara ini," katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa peluang baru dan tambahan boleh diperoleh di koridor wilayah seperti Iskandar Malaysia di Johor, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang mempunyai Zon Ekonomi Khas dan memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi, aktiviti berasaskan pengetahuan dan perkhidmatan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada para usahawan dan pelabur dari China dan dari kalangan komuniti Hopo di seluruh dunia bahawa anda dialu-alukan di Malaysia.

Kerajaan saya adalah properniagaan dan mesra pasaran dan akan meningkatkan dan memudahkan anda untuk melakukan perniagaan di sini," katanya.

Najib turut menekankan bahawa kerajaan telah menambah baik sistem penyampaian awam dan menyingkatkan proses kelulusan dan komited untuk menyediakan peningkatan peluang kepada pelabur domestik dan antarabangsa untuk melabur di dalam ekonomi Malaysia yang kian berkembang.

Katanya, infrastruktur kelas pertama yang disatukan dengan dasar kerajaan yang mengupaya dan mesra perniagaan merangsang syarikat pelbagai negara utama untuk menubuhkan pangkalan dan operasi di Malaysia manakala yang lain telah mengembangkan perniagaan masing-masing dan melabur semula untuk mengambil kesempatan dari insentif yang ditawarkan.

Mengenai China, yang juga rakan perdagangan utama Malaysia, Perdana Menteri berkata, kemunculan tanda-tanda pemulihan di rantau ini yang didahului China yang mencatatkan pertumbuhan tahunan 7.9 peratus antara April dan Jun, telah membuka peluang kepada perniagaan.

Melalui jaringan dalam bidang perdagangan, pelancongan dan pertukaran kebudayaan, katanya ahli perniagaan dan usahawan boleh mengambil kesempatan daripada kekukuhan peningkatan ekonomi dan hubungan sedia ada yang mendalam dan meneroka perniagaan baharu.

"Ekonomi global telah mengalami krisis ekonomi terburuk di dalam tempoh beberapa dekad. Tidak diragui lagi bahawa masih ada harapan dan peluang yang besar - yang lebih baik dicerminkan oleh karektor China bagi krisis, yang anda sudah kenali, yang juga mewaliki peluang," katanya.

Konvensyen Komuniti Hopo Pertama yang bertemakan "Mempromosi Perdagangan, pelancongan dan Pertukaran Kebudayaan Melalui Jaringan" itu diadakan selama tiga hari. - Bernama

Konsul Malaysia temui NGO berpengaruh di Kalimantan

KUCHING: Konsul Malaysia di Kalimantan, Zairi Basri sudah menemui wakil pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berpengaruh di wilayah Indonesia itu bagi membincangkan isu terkini membabitkan hubungan kedua-dua negara.

"Dalam perbincangan berkenaan, mereka bersetuju tidak membuat sebarang perkara yang akan memburukkan lagi keadaan antaranya berdemonstrasi," katanya hari ini.

Zairi berkata perbincangan bersemuka itu melibatkan wakil daripada Pemuda Panca Sila, Pemuda Melayu Kalbar dan seorang peguam yang menganggotai pelbagai NGO berpengaruh di Kalimantan.

"NGO ini mempunyai rangkaian hubungan yang besar dan diharapkan perbincangan tersebut akan memberi kesan positif," katanya.

Berdasarkan rekod, terkini terdapat 100 rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Kalimantan Barat, kebanyakannya di ladang kelapa sawit. - Bernama

Aset 40 orang paling kaya di Singapura cecah AS$39 bilion

SINGAPURA: Aset 40 orang paling kaya Singapura kini berjumlah AS$39 bilion, meningkat 22 peratus berbanding AS$32 bilion tahun lalu, demikian menurut Senarai Orang Paling Kaya Singapura 2009 Forbes Asia.

Dalam senarai yang dikeluarkan hari ini, Forbes berkata peningkatan kekayaan itu sebahagiannya disumbangkan oleh lonjakan dalam pasaran saham negara berkenaan kepada hampir 90 peratus sejak paras terendahnya pada Mac.

"Tahun ini, 19 jutawan dalam senarai itu menjadi lebih kaya, termasuk enam daripada 10 orang paling kaya dalam senarai itu, manakala nilai bersih 13 yang lain susut," katanya.

Mendahului senarai itu ialah tokoh berpengaruh sektor hartanah berusia 81 tahun, Ng Teng Fong, yang memiliki aset bersih AS$8 bilion, meningkat berbanding AS$7 bilion tahun lalu.

Ng dan keluarganya menguasai syarikat milik persendirian, Far East Organisation dan anak syarikatnya, Sino Group, yang sudah memajukan lebih 700 hotel, gedung beli-belah dan kondominium di sini dan Hong Kong.

Keluarga mendiang Khoo Teck Puat, pemilik bank, yang aset bersihnya susut ASS$600 bilion pada 2008 kepada AS$5.5 bilion, kekal di tempat kedua.

Mendiang mewariskan harta kepada 14 anaknya pada 2004 namun keluarga berkenaan menjual pegangan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 bagi kira-kira AS$4 bilion.

Mereka masih menguasai Goodwood Group of Hotels.

Forbes berkata orang yang mendapat keuntungan paling besar tahun ini ialah jutawan minyak sawit berusia 60 tahun, Kuok Khoon Hong, dengan menduduki tangga ketiga dalam senarai itu, meningkat dari tempat kelima tahun lalu apabila aset bersihnya meningkat sebanyak AS$2.2 bilion kepada AS$3.5 bilion, setelah sahamnya dalam firma minyak sawit, meningkat 70 peratus sejak tahun lalu.

Ahli perniagaan baru yang tersenarai ialah pemaju hartanah, Kwee Brothers, menduduki tempat keempat dengan memiliki aset bersih AS$3.2 bilion, (5) Pengerusi United Overseas Bank, Wee Cho Yaw (AS$3.1 bilion), (6) jutawan hartanah Zhong Sheng Jian (AS$2 bilion), (7) pelabur Peter Lim (AS$1.5 bilion), (8) Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, Kwek Leng Beng (AS$1.2 bilion), (9) bekas pengerusi Oversea-Chinese Banking Corp Singapura Lee Seng Wee (AS$800 juta) dan (10), rakyat Malaysia Ong Beng Seng dan isterinya Christina Ong (AS$700 juta).

Syarikat Ong, 65, dan isterinya, kini disenarai di republik ini. Mereka adalah antara pasangan paling berpengaruh di sini.

Ong, ialah pengarah urusan hartanah hotel yang termasuk Four Seasons, hotel Hard Rock di Asia Tenggara, selain memilih hak ke atas Grand Prix Singapura.

Beliau baru sahaja menjadi pengedar rasmi Ferrari tunggal republik itu manakala isterinya mengurus Como Hotels & Resorts, Club 21, memiliki studio yoga dan kedai makanan kesihatan. - Bernama

Proses pemutihan pendatang tanpa izin dilaksanakan fasa ketiga: Hishammuddin

PUCHONG: Kerajaan akan melaksanakan proses pemutihan pendatang tanpa izin fasa ketiga bermula bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata untuk itu pendatang tanpa izin diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk mendaftar diri.

"Langkah pemutihan ini bukan tindakan balas kerajaan terhadap pendatang tanpa izin khasnya dari Indonesia tetapi memberi peluang kepada mereka mendaftar selepas kadar levi dikurangkan 50 peratus pada April lalu," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Isu PKFZ: Polis ambil keterangan CEO Kuala Dimensi

KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman merekod kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing hampir empat jam hari ini, dipercayai ada kaitan dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tiong tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira jam 9 pagi dan hanya keluar jam 2 petang.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

3 juta hidap H1N1 di Thailand


SEBUAH farmasi di Los Angeles, Amerika Syarikat meletakkan papan iklan promosi menawarkan suntikan vaksin selesema kepada orang ramai. - Foto AFP

12 lagi korban terbaru jadikan 142 kematian jangkitan selesema babi

BANGKOK: Thailand yang mencatatkan 12 kematian baru akibat selesema babi menjadikan jumlahnya 142 kes H1N1 di negara itu setakat ini, menganggarkan tiga juta orang mungkin dijangkiti virus berkenaan. Kenyataan semalam termasuk mereka yang sudah sembuh atau tidak menunjukkan lagi simptom.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Paijit Warachit berkata, sembilan daripada 12 kematian terbaru itu adalah wanita. Semua mereka berusia lebih 50 tahun dan sesetengahnya pernah menghidapi masalah penyakit lain.

Paijit berkata, situasi berkenaan semakin stabil tetapi "kami perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga menjelang musim sejuk apabila dijangka akan berlaku peningkatan jumlah kes di seluruh dunia".

Mangsa penyakit berkenaan semakin dikesan di wilayah luar bandar di kalangan pekerja kilang dan petani. Kes sebelum ini tertumpu di Bangkok.

Sementara itu di WASHINGTON, pesakit yang mempunyai tanda seperti selesema dan mempunyai kesukaran bernafas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera Tamiflu atau Relenza walaupun sebelum ujian selesema dibuat terhadap mereka.

Doktor juga diminta mewujudkan satu sistem supaya pesakit yang mendapat penyakit selesema H1N1 mempunyai preskripsi sendiri untuk terus mendapatkan sendiri ubat berkenaan sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

"Rawatan tidak sepatutnya menanti pengesahan makmal bagi influenza kerana ujian makmal boleh menangguhkan rawatan," kata CDC dalam satu garis panduan di halaman webnya.

"Mereka terlalu muda dan tua, orang yang mempunyai masalah perubatan kronik dan wanita hamil perlu dirawat dengan antivirus apabila mereka mempunyai penyakit seperti influenza," kata Dr Anne Schuchat dari CDC kepada pemberita.

Tetapi ramai pesakit tidak memerlukan sebarang rawatan langsung bagi H1N1 kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti setakat ini pulih dengan sendiri.

"Mereka boleh pulih dengan hanya sup ayam di rumah, minum banyak air dan rehat," kata Schuchat. � AP

Kabinet putuskan tubuh pasukan khas kaji isu PKFZ: PM

PUTRAJAYA: Kabinet putuskan penubuhan petugas khas bagi mengkaji isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), termasuk kemungkinan berlaku salah laku, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Kabinet di kediamannya di Sri Satria, di sini, sebentar tadi.

Pasukan petugas PKFZ ditubuhkan: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, para pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kewangan, bagi mengkaji projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kabinet, pagi ini, telah berbincang isu itu dengan panjang lebar dan memutuskan mengenai penubuhan pasukan petugas peringkat tertinggi itu.

"Isu itu dibahagikan kepada tiga. Satu adalah untuk mengenal pasti jika ada penggelapan atau penyalahgunaan kuasa atau seseorang bertindak bertentangan dengan undang-undang.

"Perkara ini akan dikendalikan oleh polis dan Peguam Negara.

"Kita mahu siasatan yang menyeluruh dan lengkap berhubung perkara ini.

"Kebenaran menjadi satu keutamaan. Keduanya ialah tadbir urus yang baik. Kita ingin tahu sejak bermulanya projek ini jika ada tadbir urus yang baik.

"Dan ketiga apa yang perlu kita lakukan dengan PKFZ sekarang, yang boleh memberi nilai yang baik bagi wang. Kita juga mahu mengurangkan kos operasi.

"Bagi aspek kedua dan ketiga, kita telah memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas. Pasukan petugas ini akan melaporkan balik dengan Kabinet dan kemudian kita akan usahakan tindakan yang sesuai," katanya selepas berbuka puasa dengan Menteri-menteri Kabinet dan orang kenamaan di kediamannya di Sri Satria, di sini hari ini. - Bernama

Kerajaan Indonesia akan pastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Indonesia akan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin berikutan terdapat sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing yang mahu mengusir rakyat Malaysia.

Beliau berkata perkara itu telah disampaikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da''i Bachtiar kepada beliau dalam pertemuan mereka tengah hari ini.

"Saya dah sampaikan kepada Pak Try Sutrisno (Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka Indonesia Tan Sri Try Sutrisno) kebimbangan Malaysia terhadap keselamatan rakyatnya dan beliau janji untuk sampaikan kepada pemerintah Indonesia.

"Duta Besar Indonesia dalam pertemuan tengah hari tadi telah memberitahu bahawa mereka sedang mengambil tindakan untuk memastikan tidak ada apa-apa berlaku kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri di kediaman rasminya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing menahan kenderaan-kenderaan yang melalui Jalan Diponegoro di Jakarta, Indonesia dalam gerakan yang dipanggil "Sweeping Malaysia" (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Kumpulan terbabit tidak berpuas hati dengan sikap berlembut Kerajaan Indonesia terhadap Malaysia berhubung isu tarian Pendet sebelum ini.

Indonesia sebelum ini menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet berasal dari Bali dalam promosi pelancongan walaupun kesilapan itu sebenarnya dilakukan oleh sebuah syarikat swasta dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia. - Bernama

Tidak perlu kaji semula pendekatan hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu mengkaji semula dasar hubungan luar terutama pendekatan berlembutnya dengan Indonesia hanya kerana isu ganyang Malaysia yang dipelopori segelintir pihak di republik itu, baru-baru ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata peristiwa sedemikian akan muncul dari semasa ke semasa.

"Cuma di Malaysia kita tidak menterjemahkannya seperti yang berlaku di Jakarta... jadi, bak kata Pak Try (Tan Sri Try Sutrisno), kumpulan itu bukan kumpulan yang besar.

"Tetapi nampaknya mereka mempunyai hitungan yang negatif terhadap isu tertentu dan menterjemahkan dengan fizikal...Itulah yang kita tidak mahu.

"Tidak perlu untuk kita mengungkai banyak dasar atau pun perkara yang sudahpun kita setuju...jadi kita serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan kedua-dua negara dan selepas itu kita akan susul," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas bertemu delegasi EPG (Kumpulan Tokoh Terkemuka) Indonesia yang diketuai Jeneral (B) Tan Sri Try Sutrisno.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia patut mengkaji semula pendekatan berlembut yang diamalkannya dalam hubungan dengan negara lain khususnya Indonesia dalam menangani isu seperti ganyang Malaysia dan tarian Pendet.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Dr Musni Umar dan Dr Pudentia Maria Purenti Sri Sunianti dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Tan Sri Da''i Bachtiar serta Menteri Penasihat Kedutaan Widyarka Ryananta.

Rais berkata sehubungan itu, kementerian akan meneruskan program-program untuk merapatkan silaturrahim antara rakyat di kedua-dua negara.

Katanya, beberapa program juga telah disusun dan akan dilaksanakan tidak lama lagi, antaranya program untuk para wartawan dari kedua-dua negara dan program pertukaran budaya.

"(Pengerusi Media Prima Berhad) Datuk Johan Jaafar akan mewakili Malaysia dan beliau telah berlepas ke Jakarta dua minggu lalu dan telah memberikan beberapa cadangan kepada kementerian untuk tindakan susulan.

Rais berkata projek itu adalah projek antara persatuan kedua-dua negara namun kementerian yang menyokong usaha itu akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Sementara itu, Try Sutrisno berkata Indonesia komited untuk terus menjalin hubungan mesra dengan Malaysia agar kedua-duanya boleh bekerjasama dan saling menguntungkan kedua-dua pihak. Sehubungan itu, beliau berharap media massa di kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk menjelaskan sesuatu isu yang berbangkit dengan lebih tepat untuk difahami oleh rakyat Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut ditanya sama ada ini bermakna isu ganyang Malaysia yang sedang hangat di Indonesia sudah selesai.

"Kita kembang dan suburkan hal-hal yang baik tetapi kita tanam dalam-dalam hal-hal yang negatif yang tidak membawa manfaat kepada kedua-dua negara," katanya.

Mengenai isu keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia, Try Sutrisno berkata rakyat negara ini tidak perlu khuatir kerana pihak berkuasa negara itu telah dan sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani masalah itu.

Widyarka pula berkata, Ketua Polis Indonesia Jeneral Bambang Hendarso Danuri telah menahan dan memeriksa beberapa anggota kumpulan yang terlibat dalam isu ganyang Malaysia hari ini. Sebelum itu, delegasi Indonesia turut menemui ketua delegasi EPG Malaysia iaitu Tun Musa Hitam dan Try Sutrisno menyifatkan pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana terbuka dan ikhlas membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu pendatang asing tanpa izin dan pembantu rumah tidak termasuk antara perkara yang dibincangkan. - Bernama