Followers

Wednesday, September 8, 2010

Aidilfitri disambut Jumaat

KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, sebentar tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat, 10 September 2010.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat," katanya.
Pengumuman beliau disiarkan menerusi RTM dan TV3
Tarikh Aidilfitri di Malaysia ditetapkan berdasarkan rukyah dan hisab.

Enam maut nahas di Lahad Datu

TAWAU: Enam orang terbunuh manakala enam lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di KM35, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ASP Bong Kuet Khiun, berkata kejadian 10.25 pagi itu membabitkan sebuah bas mini, sebuah Perodua Viva, sebuah lori dan sebuah bas ekspres.
"Identiti tiga yang terbunuh sudah dikenal pasti iaitu penumpang Perodua Viva Azlan Aziz, 17, pemandu lori Norawi Madu, 37 dan anak lelakinya Mohamad Azrul, 14.
"Tiga lagi termasuk dua wanita adalah penumpang bas mini dan belum dikenal pasti, namun kesemua mereka mati di tempat kejadian, manakala enam mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dirawat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Bong berkata sebuah bas mini dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak dipercayai cuba memotong Perodua Viva terbabit sebelum dirempuh bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

"Turut dirempuh bas ekspres berkenaan ialah Perodua Viva sebelum bas tersebut terbabas ke dalam gaung, manakala lori yang mengekori bas mini dan Perodua Viva turut terbabas ke dalam gaung dipercayai hilang kawalan selepas mengelak pelanggaran dengan bas ekspres," katanya. - BERNAMA

AJK bertanggungjawab jaga kesucian masjid: Mashitah

KUALA LUMPUR: Anggota jawatankuasa masjid atau surau diminta lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesucian tempat beribadat orang Islam itu agar ia terus terpelihara daripada pihak yang cuba mempolitikkannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata ahli jawatankuasa lebih mengetahui ruang sesuai di kawasan masjid atau surau yang boleh digunakan untuk aktiviti membabitkan orang bukan Islam, sekiranya masjid atau surau dipilih sebagai tempat sesuatu program itu diadakan.
"Perkara paling penting ahli jawatankuasa masjid kena bertanggungjawab memelihara kesucian masjid kerana mereka lebih mengetahui had kawasan mana yang dibenarkan untuk mengadakan aktiviti yang terbabit dengan orang bukan Islam," katanya selepas melancarkan dan mengedarkan cakera padat khas Hari Raya "Teman Perjalanan" kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Baru-baru ini, kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, dalam Surau Al-Huda di Kajang dan memberi ucapan di ruang utama solat telah menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Sebuah akhbar menyiarkan gambar wanita yang tidak bertudung itu sedang berucap, sambil diperhatikan oleh seorang pegawai surau berkenaan.

Seorang lagi wakil rakyat bukan Islam, William Leong, pula telah masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa di Selayang Baru untuk satu majlis lain.

Mashitah berkata, Islam tidak melarang orang bukan Islam untuk memasuki perkarangan masjid tetapi bukanlah hingga ke dalam ruang solat kerana ia adalah tempat suci bagi orang Islam untuk menunaikan solat.
"Perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya ahli jawatankuasa memainkan peranan lebih awal dalam menjaga kesucian masjid," katanya.

Mengenai CD berkenaan, Mashitah berkata ia mampu memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung keselamatan mereka sewaktu pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.

CD itu mengandungi nasihat, pesanan, doa dan ucapan Hari Raya daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pihak berkuasa, tokoh masyarakat, personaliti dan artis.

Sebanyak 4,000 CD hasil inisiatif Karyawan Bestari Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Jaksa Pendamai Selangor, MFDM Holding Sdn Bhd serta sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Plus Expressways Bhd itu, diedarkan percuma kepada pengguna jalan raya. - BERNAMA

19 maut hari kelima Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dicatat pada hari kelima Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan bilangan yang terbunuh sejak operasi itu bermula Jumaat lalu kini berjumlah 67 orang.
Perangkaan di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sehingga semalam majoriti yang terkorban adalah dari kalangan penunggang motosikal dan dua kematian melibatkan kereta serta satu penjalan kaki.
Enam kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, empat jalan negeri, tiga jalan bandaran, dan masing-masing dua lebuh raya serta lain-lain.
Perangkaan PDRM juga menunjukkan daripada 1,313 kemalangan yang dicatat semalam, 606 berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (297), jalan negeri (219), lebuhraya (124), dan lain-lain (67).

Sebanyak 11,245 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sikap ke-22 yang bermula sejak 3 September lalu dan berakhir pada 17 September ini.

Ops Sikap yang mula beroperasi sejak 2001 oleh PDRM mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan yang lain, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat, dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia serta pihak swasta seperti TM Berhad, PLUS Berhad, MTD, dan badan uniform seperti St John Ambulans. - BERNAMA

Musa mahu PDRM tegas dan berintegriti

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata integriti setiap jabatan dalam Polis Diraja Malaysia amat penting untuk kebaikan setiap pegawai dan anggotanya.
Dalam satu amanat menjelang persaraan beliau Isnin ini, Musa berkata apabila wujudnya integriti dalam pasukan, tanggungjawab membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan lagi.
"Jangan tolak ansur dalam soal integriti ini, rosak pasukan nanti," katanya pada majlis penyerahan tugas di sini hari ini kepada Tan Sri Ismail Omar yang dilantik menggantikan beliau.
Malah, Musa berkata PDRM bukan peminta sedekah dan bukan "pungut duit orang lain" tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.

Katanya, anggota dan pegawai PDRM tidak boleh berpuak-puak dan menjadi "pak turut" bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, setiap jabatan dalam PDRM perlu memberikan sokongan kepada Ismail bagi memacu PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara. - BERNAMA

9 ditahan di Kangar sambut Aidilfitri hari ini

KANGAR: Sembilan anggota Jamiah Al-Zikri Awwalun, termasuk lima sekeluarga, ditahan selepas dikesan menyambut Aidilfitri awal di sebuah surau yang menjadi markas pergerakan kumpulan itu di Seriab, di sini, hari ini.
Kumpulan berkenaan yang membawa fahaman berasal dari Indonesia, ditahan selepas dikesan menunaikan solat Aidilfitri yang disertai khutbah disampaikan ketua mereka yang berusia 51 tahun.