Followers

Sunday, July 18, 2010

Kementerian Kewangan nafi berbelanja boros sehingga buat pelarasan subsidi

IPOH: Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa kerajaan berbelanja boros sehingga perbendaraan negara semakin susut dan mengakibatkan pelarasan subsidi gula, gas petroleum cecair (LPG) dan petrol RON 95 serta diesel.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pendapatan negara tahun ini sebaliknya bertambah kira-kira RM10 bilion hasil daripada peningkatan kutipan cukai pendapatan dan perniagaan serta korporat.
Katanya, pelarasan subsidi perlu dibuat supaya sistem ekonomi negara lebih cekap, iaitu sebahagian daripada Langkah Transformasi Kerajaan (GTP) dan mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ketika menggubal Bajet 2010 tahun lalu, anggaran asal pendapatan negara ialah RM148 bilion tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mengutip cukai dengan cekap menjadikan pendapatan keseluruhan negara tahun ini kira-kira RM158 bilion.

"Kementerian Kewangan boleh menggunakan lebihan RM10 bilion ini untuk menampung pelarasan subsidi RM750 juta tetapi kita tidak mahu terus kekal terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana.

"Kita menggunakan lebihan dana RM10 bilion ini untuk GTP dengan mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan melalui Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan MBE.

"Menerusi MBE, kerajaan akan membantu pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan supaya pendapatan mereka meningkat secara berperingkat-peringkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Surau Taman Chepor Damai, dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam Harakah bahawa Kementerian Kewangan mengalami masalah kewangan meruncing akibat berbelanja secara boros.

Ahmad Husni berkata, Kementerian Kewangan membelanjakan hasil negara sebelum ini secara berhemah kerana Malaysia adalah negara sedang membangun yang masih memerlukan banyak pembinaan infrastruktur fizikal.


Katanya, dana negara terpaksa dibelanjakan untuk pembinaan jalan raya, lebuh raya, bangunan sekolah, hospital, meningkatkan keselamatan negara dan perumahan untuk rakyat dengan matlamat membawa kesejahteraan kepada orang-ramai.

PM minta PAS henti hina UMNO, jangan letak prasyarat

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan PAS supaya berhenti menghina UMNO dalam ceramah dan kenyataannya jika serius dalam hasrat berbincang semeja demi perpaduan orang Melayu.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO sentiasa bersedia menggerakkan usaha ke arah perpaduan demi masa depan orang Melayu tetapi ia tidak sewajarnya dilingkungi pelbagai prasyarat seperti dikenakan PAS sebelum ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin Cina Sabah di Pasific Sutera Harbour, di sini, sebentar tadi.

Politik Melayu akan bertambah kukuh jika UMNO tukar dasar: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan UMNO untuk menukar dasarnya kepada Islam.
"Pada saya, kalau UMNO tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.
"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar pada 1990 dan 2008 lalu," kata Menteri Besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan UMNO apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat. - BERNAMA

Muhyiddin alu-alukan pihak yang mahu jadi perantara

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia untuk menjadi perantara atau orang tengah bagi membantu proses mewujudkan persefahaman di antara UMNO dan PAS.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata ini kerana usaha untuk menyatupadukan orang Melayu dan Bumiputera Islam bukan hanya terletak pada satu badan sahaja.

"Apa pun, saya menghargai kalau ada pihak-pihak yang katanya bersedia sama ada menjadi orang tengah, menjadi fasilitator untuk mempermudahkan usaha-usaha ini. "Jadi kalau mufti ke, bekas mufti ke, saya fikir mereka ini boleh berperanan, begitu juga banyak pihak-pihak yang lain (seperti) pemimpin Melayu, Bumiputera dan Islam...kalau mereka sanggup untuk tampil membantu proses mewujudkan persefahaman ini, saya fikir kita harus alu-alukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti berkenaan.

Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua belah pihak. - BERNAMA