Followers

Monday, September 7, 2009

Bom Perang Dunia Kedua ditemui di Lutong

MIRI: Sebutir bom Perang Dunia Kedua yang ditemui tertanam di Kampung Pasir Lutong, kira-kira 12 kilometer dari sini semalam, dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Polis hari ini.

Ketua Polis Miri, ACP Jamaludin Ibrahim, memberitahu Bernama hari ini bahawa unit itu memusnahkan bom sepanjang 18-inci itu di kawasan terbuka di bekas landasan terbang Lutong.

Mengesahkan bahawa bom itu dari zaman perang 1940an, beliau berkata ia ditemui oleh seorang pengimpal berusia 45 tahun semasa sedang membersihkan kawasan rumahnya pada kira-kira 6.30 petang.

Jamaludin menasihatkan penduduk di Lutong supaya berhati-hati bila berkebun atau mencangkul di sekitar rumah mereka kerana dikhuatiri ada bom yang tertanam memandangkan Lutong pernah dihujani bom semasa perang berkenaan. - Bernama

H1N1: Tiada kematian baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Bilangan korban akibat Influenza A (H1N1) kekal pada 73 apabila tiada kes kematian baru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 228 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama 248 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,283 ILI sedang dirawat di 96 buah hospital termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara. "Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 214 pesakit (16.7%) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 214 kes yang telah disahkan H1N1, 48 kes berada di ICU di mana tujuh kes adalah kemasukan baru, sementara 11 lagi kes telah keluar dari ICU.

Katanya daripada 48 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (60.4%) mempunyai faktor risiko.

"Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (11), kanak-kanak bawah 5 tahun (7), morbid obesiti (9), hamil/postnatal (1) dan penyakit respiratori (1),' katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, kajian mendapati merokok adalah faktor risiko bagi jangkitan influenza terutama di kalangan orang muda. Katanya, jangkitan influenza adalah lebih teruk di kalangan perokok kerana asap rokok merosakkan saluran pernafasan dan memburukkan lagi keadaan pesakit.

"Malah pendedahan kepada asap rokok secara pasif juga perlu dielakkan," katanya.

Dua calon miliki simptom H1N1 duduki UPSR esok

KUALA LUMPUR: Dua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masing-masing dari Johor dan Pulau Pinang, yang mempunyai gejala jangkitan Influenza A (H1N1), bakal menduduki peperiksaan itu di hospital di negeri berkenaan, serentak dengan 517,906 calon lain di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata beberapa petugas peperiksaan akan ditempatkan di hospital yang menempatkan murid berkenaan ketika mereka menduduki peperiksaan itu.

Beliau berkata persediaan untuk dua calon itu adalah antara langkah diambil Kementerian Pelajaran bagi mengawal penularan H1N1 di kalangan calon yang menduduki UPSR tahun ini di 8,289 pusat peperiksaan seluruh negara.

"Selain itu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan kira-kira RM5 juta untuk menyediakan kelengkapan seperti topeng mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman tangan dan alat jangkasuhu untuk calon UPSR sebelum mereka menduduki peperiksaan itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata bilik pengasingan juga disediakan di setiap pusat peperiksaan dan calon yang dikenal pasti mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius ketika saringan, perlu menduduki peperiksaan di bilik berkenaan.

"Bilik pengasingan itu jauh dari dewan utama peperiksaan dan mereka akan diawasi oleh beberapa petugas," katanya.

Alimuddin berkata seramai 32,944 petugas peperiksaan ditempatkan di pusat peperiksaan tahun ini.

Seramai 517,908 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR mulai esok hingga Khamis ini di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 510,125 atau 98.5 peratus adalah calon sekolah di bawah kementerian dan sekolah bantuan kerajaan manakala bakinya 7,783 atau 1.5 peratus ialah calon sekolah swasta. - Bernama

306 murid positif dadah:AADK

PUTRAJAYA: Seramai 306 murid di beberapa sekolah rendah di negara ini dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah tahun ini, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abdul Bakir Zin.

Beliau berkata, murid berkenaan dikesan positif dadah hasil ujian air kencing secara pro aktif yang dijalankan Unit Pencegahan AADK.

"Di Kelantan kami dapati lebih kurang 60 orang murid sekolah positif dadah. Kami berjaya mengesan mereka melalui Program Intervensi Pelajar yang dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran.

"Program ini dilakukan khusus untuk mengesan secara pro-aktif murid sekolah yang berkemungkinan menjadi penghisap dadah," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani "Term of Referrence" dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, AADK turut menjalankan program susulan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.

Abdul Bakir bekata Unit Pencegahan AADK turut melakukan pengawasan terhadap pelbagai badan, jabatan dan agensi kerajaan untuk memastikan tiada penyalahgunaan dadah berlaku di kalangan penjawat awam.

"Setakat ini tiada penjawat yang positif dadah yang kami kesan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap pemandu bas sempena musim perayaan ini. - Bernama

Ketua kampung bantu pendatang dapat MyKad akan dipecat

TUARAN: Tindakan undang-undang akan diambil termasuk menamatkan perkhidmatan ketua kampung yang didapati terbabit membantu dan mempermudahkan pendatang asing tanpa izin mendapatkan MyKad di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor, berkata MyKad adalah hak istimewa rakyat Malaysia dan tidak layak dimiliki pendatang tanpa izin.

"Kita tidak mahu pendatang tanpa izin memperoleh MyKad ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini semalam.

Hajiji diminta mengulas dakwaan timbalan ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah Datuk Kong Hong Ming minggu lalu mengenai wujudnya usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad seperti yang disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini.

Kong, dalam kenyataannya, mendakwa ramai pendatang tanpa izin dari negara jiran dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar dalam operasi yang didakwa dijalankan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau dan Kota Kinabalu.

Hajiji berkata dakwaan itu akan disiasat dan jika dibuktikan benar mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan. - Bernama

Hormati sikap hormat antara kaum dihormati dunia: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kesejagatan agama Islam dan sikap hormat kepada kaum lain akan menjadikan Malaysia lebih dihormati masyarakat dunia di persada antarabangsa.

Perdana Menteri berkata demikian pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, pagi ini.