Followers

Saturday, September 18, 2010

Forensik polis masih masuki lokasi pembunuhan Sosilawati

KUALA LANGAT: Kenderaan anggota forensik polis masih
kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu di sini.
Tinjauan Bernama berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu
memasuki kawasan terbabit seawal 8.30 pagi tadi dan keluar semula
beberapa jam kemudian.

Sebuah kereta peronda MPV polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu
kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.
Kesemua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum
diarahkan berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.

Petugas media masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi
mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain yang
dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu sebelum didapati dibunuh dan dibakar di
ladang berkenaan.

Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama turut
memperlahankan kenderaan malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau
kawasan berhampiran.

Sementara itu, seorang lelaki yang merupakan pengusaha kantin di sekolah
berhampiran dan hanya mahu dikenali sebagai Uncle berkata beliau masih sukar
untuk mempercayai kejadian itu berlaku di lokasi berkenaan.

"Ketika hari awal kejadian saya nampak ramai orang saya ingat ada
penggambaran filem, tetapi bila baca surat khabar dan tengok televisyen baru
saya tahu ada kejadian bunuh," katanya. -- BERNAMA

Malaysia tak perlu nasihat Lee Kuan Yew: Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Malaysia tidak perlukan nasihat Menteri
Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kerana mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kepelbagaian dan komposisi kaum serta adat resam masyarakat
di Malaysia jauh berbeza dengan Singapura.

"Kita jauh berbeza dengan Singapura dan kenyataan Lee yang mengkritik sistem
diamalkan di negara ini tidak boleh diterima kerana Malaysia menggunakan
langkah dan kaedah yang berlainan dalam menguruskan hal berkaitan budaya serta perbezaan agama pelbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah
terbuka Aidilfitri beliau di sini hari ini.

Lee dalam akhbar New York Times keluaran 1 Sept lepas mengkritik sistem
diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta
menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Lee turut membayangkan Malaysia mungkin lebih baik
jika tidak terpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai
tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut menafikan Malaysia
menyisih dan mengetepikan kaum minoriti di negara ini.

"Kalau kita buat begitu (menyisihkan kaum) sudah tentu Malaysia menghadapi
masalah...negara tidak pernah menyisihkan mana-mana kaum dan sentiasa menganggap
semua kaum sangat penting kepada negara.

"Pelbagai etnik dan kaum ada di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,
Sehingga kini tidak pernah timbul mana-mana kaum disisihkan dan kerajaan juga
sentiasa bersikap adil kepada semua," katanya. -- BERNAMA

Kes Sosilawati: Suspek utama, 2 lagi disambung reman Sabtu depan

KUALA LUMPUR: Dua peguam adik beradik dan seorang lagi suspek kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung reman sehingga 25 September ini.
Semalam, laporan menyebut polis akan memohon lanjutan reman untuk tiga dari lapan suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata permohonan itu akan dikemukakan hari ini dan tempoh lanjutan itu akan bergantung kepada keputusan Majistret.
Polis membuat tangkapan pertama pada 9 September melibatkan seorang lelaki dipercayai Datuk dan adiknya yang juga seorang peguam di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September.

Dilaporkan tempoh reman lima suspek disambung hingga Khamis ini (23 September) manakala tempoh reman tiga lagi, termasuk dua peguam itu tamat hari ini.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Rumah terbuka pupuk perpaduan nasional: PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Pekan, di sini berkata amalan rumah terbuka menjadi satu wadah untuk memupuk persefahaman, keharmonian dan saling menghormati antara sesama rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Rumah terbuka akan lebih bererti sekiranya kita bukan hanya membuka rumah tetapi turut membuka hati kita.
"Jika kita membuka rumah dengan menerima tetamu tanpa mengira siapa, kaum dan agama, ia akan menjadi wadah yang bermakna untuk memupuk perpaduan nasional berasaskan Gagasan 1Malaysia," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Najib turut mengingatkan pemimpin Umno supaya sentiasa bersikap rendah diri dan tawaduk serta sanggup menerima kedatangan rakyat ketika mereka dalam keadaan susah atau senang.

"Jika kita berada pada landasan yang benar dan berpegang kepada gagasan 1Malaysia, saya percaya rakyat akan tetap memberi sokongan kepada kita terutama apabila kita memerlukannya," katanya.

Setakat ini, lebih 50,000 tetamu menghadiri rumah terbuka yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang ini.

Hadirin yang mengunjunginya berpeluang menikmati pelbagai juadah disediakan di hampir 100 gerai.
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhamad dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Haiza, Maya, Syed Sobrie serta Jaafar Onn dan Raja Azura bertindak sebagai pengacara. - BERNAMA