Followers

Monday, January 4, 2010

Kerajaan cadang denda pemohon gagal tuntut MyKad

KUCHING: Kerajaan bercadang mengenakan hukuman denda terhadap pemohon yang gagal menuntut Kad Pengenalan Pintar (MyKad) dalam tempoh tiga tahun, selepas membuat permohonan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu dan besar kemungkinan denda akan dikenakan seperti denda terhadap kehilangan dokumen pengenalan diri itu.

"Kita perlu mengambil tindakan memandang kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi membuat MyKad," katanya selepas melawat ibu pejabat JPN Sarawak dan mendengar taklimat pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan di sini, hari ini.

Abu Seman berkata, MyKad yang gagal diambil pemiliknya di pejabat JPN berhampiran tiga tahun selepas tarikh permohonan akan diklasifikasi sebagai “Mykad Tidak Dituntut”.

Katanya, jumlah MyKad tidak dituntut oleh pemiliknya di Sarawak mencecah 18,497 unit.

Katanyam walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan pemohon mengambil MyKad mereka melalui pertolongan wakil rakyat, ketua kampung dan penubuhan Unit Bergerak JPN, namun masalah kegagalan menuntut kad berkenaan masih berlaku.

Mengulas dakwaan wujudnya penduduk Sarawak memiliki dua kewarganegaraan khususnya mereka yang menetap berhampiran sempadan Brunei, Abu Seman berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu didapati berasas.

"Jika ada bukti, kita akan lucutkan kewarganegaraan individu tersebut kerana bukan dasar Malaysia membenarkan rakyatnya memiliki dua kewarganegaraan," katanya. - Bernama

Kalimah Allah: KDN fail rayuan petang tadi

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang tadi memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan ‘Herald - The Catholic Weekly’, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said ketika dihubungi sebentar tadi bahawa notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan di Putrajaya jam 4 petang tadi.

Katanya, permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu pula akan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, esok.

Kerajaan yakin landasan berkembar siap ikut jadual

BUTTERWORTH: Kerajaan yakin pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (PLBE) akan siap mengikut jadual pada 2013, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata walaupun pembinaan landasan itu menghadapi sedikit kelewatan berikutan masalah pengambilan tanah, ia tidak menjejaskan keseluruhan projek.

"Sasaran kemajuan projek pada November 2009 sepatutnya 47.2 peratus tetapi kita hanya dapat capai 34.3 peratus sahaja. Ini bermakna sasaran kita kurang sebanyak kira-kira 12.8 peratus," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan saguhati kepada setinggan yang terjejas akibat pembinaan landasan berkembar itu, di sini, hari ini.

Seramai 131 setinggan masing-masing menerima RM42,000 pada majlis itu.

Ong berkata setelah masalah pengambilan tanah itu selesai, peratusan kelewatan itu dijangka menurun daripada 12.8 peratus kepada lima peratus.

"Bila berlaku kelewatan pada peringkat tertentu, ini tidak bermakna keseluruhan projek itu akan lewat. Kita mungkin boleh mempercepatkan pembinaan landasan itu selepas ini," katanya.

Ong berkata kerja-kerja pembinaan PLBE, yang dikendalikan MMC-Gamuda JV kini berjalan lancar di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

PLBE, sejauh 329 km itu berharga RM12.485 bilion.

Ia adalah kesinambungan kepada projek pembinaan landasan berkembar elektrik menghubungkan Rawang di Selangor dan Ipoh, Perak yang siap sepenuhnya pada 31 Disember 2007. - Bernama

Kalimah Allah: Muhyiddin minta rakyat yakin langkah diambil kerajaan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat yakin dengan langkah yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu penggunaan perkataan "Allah" dalam The Herald-Catholic Weekly yang dibenarkan Mahkamah Tinggi, Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat khsusunya umat Islam harus bertenang seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Najib semalam berkata, umat Islam perlu bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu itu dan kerajaan amat memahami perasaan dan sensitiviti umat Islam berkaitan isu itu.

Mengulas perkara itu, langkah yang diambil kerajaan itu akan mengambil kira pelbagai sensitiviti, meliputi aspek sejarah dan kesannya.

"Kita turut mengambil kira bagaimana tindakan ini dari sudut Perlembagaan negara, undang-undang, ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan Subang Bestari sempena permulaan sesi persekolahan 2010, dekat Subang, pagi ini.