Followers

Wednesday, November 4, 2009

Sabah&Sarawak: Disyor jadi agropelancongan

Bertujuan manfaatkan penduduk kampung untuk tambah peluang pekerjaan

MENUMBOK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri diminta membangunkan Stesen Pertanian Kelapa di Kampung Tanjung Aru di sini, sebagai kawasan agropelancongan, selain memanfaatkan sepenuhnya fungsi sebagai pusat penyelidikan tanaman kelapa di Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata stesen itu yang dibuka pada 1980 di kawasan seluas 400 hektar belum dibangunkan sepenuhnya kerana separuh dari keluasannya masih terbiar.

Katanya, kementerian berkenaan wajar merancang pembangunan bersesuaian bagi memastikan tanah yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk penyelidikan tanaman kelapa digunakan sepenuhnya demi kebaikan rakyat.

“Selain menjadikan kawasan ini sebagai pusat penyelidikan kelapa, ia juga boleh dimajukan sebagai pusat agropelancongan. Saya yakin langkah itu akan memanfaatkan penduduk kampung dari segi peluang pekerjaan.

"Sehubungan itu, saya meminta kerajaan negeri khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil kira cadangan ini dan membuat kajian mengenai kesesuaiannya sebagai pusat agropelancongan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian kepada media selepas merasmikan Surau al-Hidayah Stesen Pertanian Kampung Tanjung Aru, di sini.

Hadir sama wakil Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hanafiah Mohamad; Penguasa Stesen Pertanian Kampung Tanjung Aru, Yasin Muhamad dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri, Isnin Aliasnih.

Lajim berkata, jika usaha itu dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu lagi daya tarikan baru kepada pelancong dan orang ramai yang berkunjung ke daerah kecil ini.

“Kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya sudah disediakan di kawasan ini, oleh itu tiada masalah untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

"Kerajaan negeri juga boleh memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakannya," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Lajim yang juga Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) meminta umat Islam di negeri ini supaya turut menjadikan surau sebagai tempat untuk mengukuhkan perpaduan sesama orang Islam.

Katanya, pelbagai program keagamaan yang dianjurkan jawatankuasa surau boleh menjalin semangat muhibah di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Islam.

"Selain untuk beribadat, surau atau masjid perlu dijadikan sebagai tempat untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam. Pelbagai program lain seperti kelas fardu ain dan kelas bimbingan al-Quran boleh dianjurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sabah&Sarawak: 50,000 penduduk utara Sabah terputus hubungan

Laluan rosak ke Kota Belud berpunca tanah runtuh beberapa bulan lalu belum dibaiki

KOTA MARUDU: Lebih 50,000 penduduk dari lima daerah di utara Sabah berdepan masalah terputus hubungan berikutan laluan rosak dari daerah ini ke Kota Belud yang berpunca daripada beberapa kejadian tanah runtuh Belud sejak beberapa bulan lalu, belum dibaiki.

Selain penduduk daerah ini, mereka yang menetap di Kudat, Pitas, Tandek dan Matunggong turut bergantung kepada jalan berkenaan sebagai laluan utama setiap hari.

Ia juga menjadi laluan pintas pengguna dari Kota Kinabalu menuju ke Pantai Timur Sabah seperti Beluran, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau sejak jalan baru melalui daerah ini ke daerah berkenaan dibina hampir empat tahun lalu.

Tinjauan mendapati lebih 10 kejadian tanah runtuh dikesan sepanjang laluan itu yang dengan sendirinya menjejaskan strukturnya, sekali gus mendedahkan pengguna terhadap risiko kemalangan.

Kejadian tanah runtuh itu dikesan berlaku di Kilometer 31, Kilometer 32, Kilometer 34, Kilometer 36, Kilometer 37, Kilometer 40 dan Kilometer 43 Jalan Kota Marudu-Kota Belud.

Daripada jumlah itu, hanya dua bahagian jalan terbabit mengalami runtuhan serius dan dibaiki Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu berhampiran Kilometer 36 dan Kilometer 43.

Bagaimanapun, hampir semua bahagian jalan yang mengalami runtuhan itu sudah diletak tanda amaran sebagai peringatan pemandu berhati-hati melalui kawasan berkenaan.

Berikutan itu, pengguna berharap JKR dapat mengambil tindakan segera membaiki bahagian jalan yang terjejas oleh kejadian tanah runtuh untuk kebaikan dan keselamatan mereka.

Pengguna dari Kota Marudu, Tony Kaduk, 42, berkata tindakan membaiki jalan runtuh itu dapat mengelak penduduk di daerah ini dan empat daerah lain terputus hubungan dengan daerah lain.

"Biasanya hujung tahun kerap berlaku hujan berterusan dan keadaan itu boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

"Ada baiknya langkah pencegahan diambil sekarang sebelum berlaku perkara tidak diingini, terutama yang membabitkan aspek keselamatan.

"Jalan raya dalam keadaan elok dapat mengurangkan risiko kemalangan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Difahamkan, beberapa kemalangan berlaku di kawasan laluan terjejas walaupun belum ada kes mengorbankan nyawa pengguna.

Pengguna dari Pitas, Billy William, 44, berharap laluan sempit disebabkan tanah runtuh dapat dilebarkan kepada saiz asal.

"Keadaan jalan sempit turut membahayakan lalu lintas, terutama kenderaan berat yang sering menggunakan kawasan berkenaan," katanya.

Gempa Iran cederakan 700 mangsa

TEHRAN: Gempa bumi di Iran mencederakan sekurang-kurang 700 penduduk di selatan negara itu.

Agensi media Iran melaporkan 100 yang tercedera sudah dimasukkan ke hospital manakala yang lain cedera ringan.

Gempa bumi pada magnitud 4.9 itu menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas pada jam 2.56 pagi waktu tempatan, menyebabkan tenaga elektrik dan talian telefon terputus. - AP

Sabah&Sarawak: Lima NGO tentang tenaga kotor

Loji jana kuasa arang batu bertentangan usaha lindungi hutan, hidupan liar di Sabah

KOTA KINABALU: Lima badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah bergabung bagi menentang sebarang penggunaan tenaga tidak bersih termasuk yang dihasilkan daripada loji jana kuasa arang batu di negeri itu.

Gabungan yang dikenali sebagai Sabah Unite to Re-Power the Future atau Green Surf itu dibentuk sejajar usaha Sabah yang mementingkan pemuliharaan, sekali gus menyifatkan penggunaan tenaga tidak bersih termasuk pembinaan loji jana kuasa arang batu sebagai bertentangan dengan kerja melindungi hutan dan hidupan liar.

Lima NGO yang menyertai gabungan itu Land Empowerment Animals and People (Leap), Partners of Community Organisations (Pacos Trust), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Sabah dan Pejabat Tabung Hidupan Liar Antarabangsa (WWF) Malaysia cawangan Sabah.

Ketua Pegawai Teknikal WWF-Malaysia cawangan Sabah, Dr Rahimatsah Amat, berkata kawasan baru yang dikenal pasti bagi pembinaan loji jana kuasa arang batu iaitu di Semenanjung Dent di pantai timur Sabah adalah sebahagian daripada Eko-Wilayah Marin Sulu-Sulawesi dan Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

"Malaysia komited dalam kedua-dua aspek itu, malah perairan di kawasan berkenaan mempunyai pelbagai spesies marin merangkumi penyu, paus, ikan lumba-lumba dan dugong," katanya di sini, kelmarin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan keputusan kerajaan membina loji jana kuasa arang batu di Felda Sahabat, kira-kira 100 kilometer dari Lahad Datu sebagai penyelesaian masalah kekurangan bekalan elektrik di pantai timur Sabah.

Susulan itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan Semenanjung Dent berhampiran Felda Sahabat di Lahad Datu sebagai tapak sesuai bagi membina loji arang batu di Sabah tetapi ia akan dilakukan selepas kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diterima.

Loji jana kuasa arang batu yang boleh menghasilkan tenaga elektrik hingga 300 megawatt asalnya dicadang dibina di Silam, dekat Lahad Datu tetapi ditolak kerajaan negeri selepas mendapat bantahan penduduk tempatan.

Ia kemudian dipindahkan ke Sandakan tetapi turut ditolak penduduk tempatan yang kemudian menggesa kerajaan supaya tampil dengan loji jana kuasa menggunakan teknologi mesra alam.

Sementara itu, Pengarah Leap, Cynthia Ong, berkata walaupun Green Surf memberi penekanan terhadap kepentingan tenaga bersih bagi melindungi alam sekitar secara keseluruhan, ia bukan NGO yang bergerak sebagai antikerajaan.

"Sebaliknya, kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha memastikan hanya sumber tenaga bersih digunakan di negeri ini. Gabungan ini juga dibentuk bagi memenuhi gesaan dan rayuan orang ramai.

"Ia kerana pembinaan loji menggunakan tenaga arang batu adalah bertentangan dengan usaha pemuliharaan dan mengancam kebersihan alam sekitar," katanya.

Gempa 5.5 Richter gegar utara Jepun

TOKYO: Gempa sederhana 5.5 Richter menggegarkan utara Jepun, awal pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran berlaku jam 4.03 pagi waktu tempatan (1803 GMT) berpusat di 142 kilometer (km) di barat daya Kepulauan Bonin, kira-kira 1,000km di utara ibu negara, Tokyo. - AFP

Kesan peraturan baru NAP diteliti: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia meneliti semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) jika ia memberi kesan buruk kepada rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyediakan laporan jika berlaku rasa tidak puas hati mana-mana pihak akibat peraturan baru yang mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

"Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati kerana keretanya akan diuji selepas tempoh tertentu tapi langkah itu bukan untuk menyusahkan tapi untuk tujuan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar alasan jika peraturan baru itu membebankan rakyat.

"Mereka harus kemukakan kes-kes kenapa mereka rasa susah untuk syarat itu dikenakan...beban apa, kita boleh dengar kalau ada asas tertentu untuk kita buat pengecualian, itu kita kena telitilah.

"Mungkin ada sesetengah orang yang telah lama memiliki kereta tak mampu membayar kos pemeriksaan dan sebagainya," katanya.

Peraturan baru itu membabitkan kira-kira sejuta kenderaan penumpang dan dilaporkan boleh membebankan golongan kurang kemampuan dan menjejas industri jualan kereta terpakai.

Ia adalah antara 18 langkah baru dalam kajian semula NAP bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi. - Bernama

Perlu ada mekanisme tarik SME sertai akuakultur: TPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mewujudkan mekanisme khusus untuk menarik lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) terbabit dalam sektor akuakultur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mekanisme itu penting bagi membolehkan SME membantu dalam meningkatkan pengeluaran industri perikanan di negara ini dan mengembangkan potensi sektor akuakultur ke peringkat antarabangsa.

"Apa yang penting bagaimana kita mahu menarik pelaburan sama ada pelaburan sederhana atau besar. Jadi, saya fikir sektor ini berpotensi jika lebih ramai pengusaha SME boleh terbabit dalam sektor akuakultur," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Akuakultur Asia-Pasifik dan Ekspo Antarabangsa Makanan Laut Malaysia 2009 PWTC di sini hari ini.

Katanya, antara mekanisme yang sewajarnya disediakan oleh kementerian adalah untuk mewujudkan kembali tabung pembangunan akuakultur yang pernah disediakan dulu serta memudahkan proses kelulusan pinjaman yang dipohon oleh pengusaha SME.

Muhyiddin berkata, kementerian juga perlu meluaskan kerjasama dengan Mardi bagi membantu SME daripada segi pemprosesan dan teknologi agar lebih banyak produk berkualiti dapat dihasilkan sejajar dengan peningkatan penggunaan produk berasaskan ikan di seluruh dunia.

"SME juga boleh bekerjasama dengan sektor swasta bagi membantu membangunkan ternakan akuakultur dengan membeli daripada syarikat swasta yang mengusahakan akuakultur untuk diproses dalam bentuk makanan sejuk beku.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan akan bersungguh-sungguh memaju dan mengembangkan pasaran produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian buatan Malaysia di peringkat global.

"Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali bergantung kepada pertanian untuk memenuhi keperluannya," katanya.

Persidangan dan ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu turut dihadiri lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara. - Bernama

Pemimpin bawahan sekat ahli baru masuk Umno: Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Kepimpinan Umno perlu sedar bahawa keputusan yang dibuat oleh pemimpin cawangan atau peringkat bawahan mungkin menghalang orang baru iaitu golongan profesional muda menyertai parti itu.

Bekas Perdana Menteri yang juag bekas Presiden Umno. Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tidak akan berlaku pembaharuan tanpa orang baru dalam parti serta parti itu akan semakin kecil.

"Saya fikir perkara penting bagi kepimpinan Umno adalah kesedaran bahawa Umno semakin kecil kerana pemimpin peringkat bawahan sebenarnya menyekat kemasukan orang baru menyertai Umno.

"Jika tiada pembaharuan, mereka (pemimpin peringkat bawahan) akan menjadi tua dan bersara namum mereka sahaja yang ada untuk rakyat membuat pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis siri wacana Perdana ke-10 bertajuk "Peranan Wanita dan Pemuda Dalam Pembangunan Negara" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Semasa sesi soal-jawab mengenai ucaptamanya, Dr Mahathir juga mengulas bahawa is bukan kegagalan sistem tetapi salah guna pendekatan yang berlaku di peringkat bawahan.

Beliau menjelaskan bahawa untuk menjadi seorang ahli Umno, seseorang itu terlebih dahulu perlu menyertai cawangan berbanding berdaftar secara langsung dengan parti.

Bagaimanapun, pemimpin peringkat bawahan mungkin melihat orang baru ini sebagai ancaman kepada kedudukan mereka dan berkomplot untuk menyingkirkan orang baru ini.

"Sistem ini bukan teruk tetapi pemimpin peringkat cawangan perlu memahami bahawa untuk Umno berjaya, Umno memerlukan lebih ramai pemimpin handal," katanya.

Mengenai krisis MCA, Dr Mahathir berkata parti itu perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukan kepentingan peribadi.

Dr Mahathir juga mengingatkan golongan pemuda supaya memberi lebih tumpuan kepada pendidikan dan menimba ilmu serta kemahiran supaya menjadi pemimpin yang berwibawa dan tidak membuang masa mengadakan demonstrasi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata undang-undang dan peraturan yang dilihat mendiskriminasi golongan wanita perlu dikaji.

Katanya dalam masyarakat Islam terdapat beberapa injunksi Islam yang perlu dikaji sama ada ianya benar-benar Islam atau tidak yang mendiskriminasi wanita.

Bagaimanapun, katanya, negara ini bertuah kerana keadaan tidak begitu buruk di sini berbanding negara Islam lain.

"Kebebasan Islam di negara ini jauh lebih baik berbanding negara Islam lain dan dalam keadaan tertentu negara bukan Islam juga," katanya.

Dr Mahathir menjawab soalan seorang wakil kumpulan ''Sisters in Islam'' yang bertanya sama ada undang-undang yang tidak mencerminkan perubahan peranan wanita dalam masyarakat perlu diubah di mana wanita kini menjadi rakan dan bukan didominasi. - Bernama

KPI: Najib temui menteri Jumaat ini

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak akan menemui semua menteri Jumaat ini bagi melihat sejauh mana prestasi kementerian masing-masing mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri yang tegas untuk mengubah kualiti hidup rakyat negara ini dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan sejak memegang jawatan itu April lalu.

"Kita tak boleh main-main, kena serius. Saya percaya kita nak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti pembangkang, sudah agak macam berkecamuk. Sebab itu ada wakil rakyat sudah meninggalkan parti mereka, tidak masuk Umno tetapi sokong Umno, Badrul (Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah).

"Saya dengar ramai lagi nak keluar kerana sudah hilang keyakinan kepada pihak parti pembangkang, tidak berkemampuan. Ini bukan saja berlaku di Selangor tetapi juga di negeri lain dan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta DAP.

"Pelbagai masalah berbangkit (di kalangan parti pembangkang) yang menunjukkan tidak ada kemungkinan mereka boleh mentadbir sesebuah negeri sebaik BN," katanya ketika menghadiri Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Warga Emas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam dan pemimpin tempatan dari Umno, MCA dan MIC.

Muhyiddin berkata, BN sudah berada di landasan yang jauh lebih baik berbanding setahun lalu kerana sudah ada harapan baru dan keyakinan untuk terus disemarakkan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengajak pemimpin turun ke bawah dan jelapang, bermesra dengan rakyat sekerap mungkin, selesaikan masalah mereka sebaik mungkin, setidak-tidaknya masih ada upaya di kalangan pimpinan tempatan kerana BN masih menguasai peringkat Pusat.

"Dengan sokongan pimpinan Pusat, kita akan membantu memperkukuhkan parti kita di peringkat negeri walaupun tidak menguasai kerajaan di peringkat negeri.

"Saya yakin komitmen pimpinan parti di peringkat negeri adalah jelas dan sasaran kita tidak lain tidak bukan untuk pastikan kita dapat menebus semula negeri kita, kembalikan kuasa politik kepada BN supaya kita dapat terus membela nasib rakyat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap hari ada langkah baru yang hendak dipelopori pemimpin negara untuk membela nasib segenap lapisan masyarakat.

Justeru, katanya, adalah penting bagi barisan kepemimpinan BN dari peringkat atas hingga akar umbi bersama terbabit mempercepatkan proses perubahan.

Kes cerai tahun lalu meningkat 1.2 peratus

KUANTAN: Kes perceraian dalam negara pada tahun lalu meningkat 1.2 peratus atau 1,238 kes berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Dr Anjli Doshi Ghandi, berkata sebanyak 22,289 kes perceraian dicatatkan di seluruh negara tahun lalu berbanding 21,051 kes pada tahun sebelumnya.

Katanya, Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 3,558 kes diikuti Kedah sebanyak 2,407 kes.

"Bagi mengatasi masalah perceraian, LPPKN menyediakan kaunseling keluarga yang mempunyai masalah dalam rumahtangga," katanya ketika berucap pada Seminar Kaunseling Keluarga peringkat negeri Pahang di sini hari ini.

Beliau juga berkata, seramai 7,557 orang telah mengikuti 5,829 sesi keunseling yang dikendalikan oleh pegawai psikologi LPPKN di seluruh negara sepanjang tahun lalu. - Bernama

Hu Jianto adakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

PUTRAJAYA: Presiden China, Hu Jianto, akan membuat lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 10 dan 11 November ini, sekali gus menjadi lawatan pertama pemimpin tertinggi republik itu ke negara ini sejak memegang jawatan pada 2002.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kali terakhir Hu melawat Malaysia ialah pada April 2002 ketika beliau (Hu) menjadi Naib Presiden China.

Beliau berkata, lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin.

"Hu akan akan diiringi isterinya, Liu Yongqing dan 140 ahli rombongan serta 80 wakil media massa republik berkenan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turki, Prof Dr Ahmet Davutoglu di Wisma Putra, di sini, hari ini.

Anifah berkata, lawatan Presiden China itu adalah sebagai membalas lawatan bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Jamalullail ke China pada 2005 dan Tuanku Mizan yang menghadiri majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik di Beijing pada Ogos 2008.

Beliau berkata, Hu akan menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara dan kemudiannya menghadiri santapan negara pada hari pertama lawatannya.

Katanya, Hu akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Seri Najib Razak dan menghadiri jamuan makan tengahari yang dihoskan Perdana Menteri dan dijangka membincangkan

beberapa isu bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala.

bayaran khas RM500 untuk semua penerima pencen

KUALA LUMPUR: Bayaran khas RM500, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu, akan diberikan kepada semua penerima pencen.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan, bayaran khas ini termasuk pesara pilihan dan pesara atas sebab lain serta balu, duda dan anak.

Dalam kenyataan JPA untuk menjelaskan perkara itu menyatakan hari ini bahawa pemberian bayaran khas itu juga meliputi penerima pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penerima pencen yang layak menerima bayaran khas ini ialah mereka yang menerima pencen bulanan pada bulan Disember 2009," menurut JPA.

Sebelum ini, bayaran khas itu diumumkan akan diberikan kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib.

September lalu, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan RM500 kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember yang membabitkan jumlah kewangan RM430 juta.

JPA berkata bayaran melalui bank akan dilakukan pada 14 Disember depan, iaitu sehari sebelum tarikh pembayaran pencen bagi bulan itu yang ditetapkan pada 15 haribulan.

"Bagi mereka yang dibayar secara waran, waran berasingan akan dikirimkan pada awal Disember bagi membolehkan penunaian pada 14 Disember 2009," kata JPA. - Bernama

Malaysia lakar kejayaan dalam kewangan Islam: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia melakar kejayaan penting dalam bidang kewangan Islam yang pada akhir suku kedua tahun ini, menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah aset perbankan.

Perdana Menteri berkata, sehingga akhir Ogos lalu, pasaran modal Islam turut mencecah RM803 bilion, mewakili 54 peratus daripada pemodalan pasaran Bursa Malaysia.

"Jumlah pembiayaan kini sebanyak RM115 bilion yang juga 15.5 peratus daripada portfolio kewangan dalam industri perbankan. Pembiayaan bersih tidak berbayar kekal rendah pada 2.4 peratus," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berusaha meningkatkan hubungannya dengan sektor kewangan Islam yang lain menerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

"Untuk tujuan itu, Malaysia sudah menjalin perjanjian menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak untuk usaha sama dan pembabitan yang lebih baik dalam kewangan Islam untuk manfaat bersama," katanya.

Najib berkata Malaysia akan terus memimpin cara untuk meningkatkan capaian dalam kewangan Islam dan lebih banyak MoU akan dimeterai dengan pihak lain di seluruh dunia pada masa depan.

Katanya, kewangan Islam adalah elemen penting dan strategik dalam pemulihan ekonomi dunia daripada krisis kewangan yang telah menjejaskan kepercayaan terhadap institusi perbankan dan kewangan.

"Meskipun kewangan Islam terlepas daripada krisis yang berpunca daripada amalan pembiayaan dan inovasi kewangan yang tidak berhemat, kita tidak mampu duduk selesa," katanya.

Najib turut menggariskan bebrrapa pemacu utama bagi memastikan daya pulih kewangan Islam dalam menahan impak krisis semasa dan akan datang.

"Pertama, pastikan inovasi dalam kewangan Islam terus berasaskan pada Maqasid al Shariah (objektif Syariah) yang berperanan sebagai bahagian penting dalam paradigma perniagaan kewangan Islam dalam merealisasikan manfaat untuk rekyat.

"Selain itu, pastikan inovasi disokong oleh tadbir urus yang kukuh yang mendukung kebenaran institusi kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, sistem pengurusan risiko juga perlu bersesuaian untuk melindungi inovasi dalam kewangan Islam.

Katanya, infrastruktur sokongan dan menyeluruh seperti undang-undnag, kawal aturan dan kerangka kerja pemantauan perlu ada bagi menangani elemen unik pembangunan industri kewangan Islam.

"Ia perlu disokong oleh aturan institusi bagi menyelesaikan segera, berkesan dan berkos efektif bagi institusi kewangan yang bermasalah dan kerangka kewangan bersih dan selamat serta sistem insurans deposit," katanya. - Bernama

Gempa sederhana landa Kepulauan Andaman

PELABUHAN BLAIR: Gempa sederhana 5.4 Richter melanda utara Kepulauan Andaman, India, awal pagi tadi, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 3.35 pagi waktu tempatan (2135 GMT) di kedalaman 32 kilometer (km).

Gegaran berpusat di 266km utara Pelabuhan Blair, di Kepulauan Andaman dan Kepulauan Nicobar, dalam wilayah India di Teluk Bengal.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau mangsa yang cedera. - AFP