Followers

Thursday, January 7, 2010

KDNK Malaysia dijangka berkembang 7 peratus

KOTA KINABALU: Ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2011 berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia yang kian pulih, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Husni berkata, beliau yakin sasaran pertumbuhan lima peratus untuk tahun ini boleh dicapai.

Ahmad Husni berkata, walaupun Bank Dunia mensasarkan pertumbuhan 4.7 peratus untuk Malaysia tahun ini, kerajaan menetapkan unjuran yang tinggi iaitu lima peratus.

"Untuk mencapai sasaran ini (lima peratus), kerajaan sudah menjalankan kajian dan satu daripada inisiatifnya ialah meningkatkan permintaan tempatan bagi merancakkan ekonomi," katanya selepas merasmikan seminar mengenai Perniagaan Jihad di Universiti Malaysia Sabah di Likas, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

"Projek di dalam perancangan akan dibawa ke hadapan untuk pelaksanaan. Kementerian juga akan cuba dan mempercepatkan proses tender bagi projek yang dikenal pasti.

"Kita percaya dengan meningkatnya tahap kecekapan, kita akan mencapai sasaran berkenaan," katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan terus mengutamakan sektor tertentu, terutamanya industri pelancongan yang jelas tidak terjejas oleh kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, pelancongan kesihatan akan memainkan peranan penting bagi mencapai keputusan yang diharapkan itu.

Beliau berkata, ia adalah seiring dengan konsep 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan matlamatnya untuk menukarkan negara dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi pengilangan atau berprestasi tinggi.

"Malah, konsep 1Malaysia bukan saja mengenai menyatukan bangsa negara...ia juga mengenai bagaimana kita mahu menempatkan Malaysia sebagai negara penting di peta dunia termasuk dalam sfera ekonomi," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Husni menggesa Bumiputera Islam menceburi perniagaan untuk meningkatkan standard kehidupan mereka.

Beliau berkata, seminar itu tepat dan sesuai pada masanya kerana ia menggariskan keperluan untuk bergerak ke hadapan dalam perniagaan bagi menikmati kejayaan dalam kehidupan. - Bernama

Gerhana matahari separa 15 Januari ini

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa atau dikenali sebagai 'gerhana matahari anulus' pada 15 Januari ini antara 3 petang hingga 5.45 petang berikutan 'sentuhan pertama' bulan ke cakera matahari.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) berkata orang ramai dapat menyaksikan matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung pada waktu petang.

"Langkawi adalah lokasi strategik dengan litupan maksimum di Malaysia iaitu sebanyak 40 peratus dan bahagian pantainya yang menghala ke arah barat begitu sesuai dengan sentuhan terakhir iaitu sewaktu matahari terbenam," kata agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Gerhana matahari anulus akan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer (km) merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur, apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutupi mataharinya kerana saiz bulan yang lebih kecil, dan matahari akan kelihatan seperti cincin yang terang atau anulus di sekeliling luar cakera bulan, katanya.

Angkasa berkata gerhana ini pernah berlaku pada 26 Januari 2009 dan sempena gerhana kali ini, agensi itu akan menganjurkan program pencerapan gerhana matahari mulai 2.30 petang hingga 6 petang di Planetarium Negara Kuala Lumpur bagi tujuan mendedahkan dan menanamkan minat masyarakat terhadap astronomi.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah tayangan ''Dawn of the Space Age'' dan ''SOS Planet'' di Teater Angkasa, takilmat gerhana matahari dan kuiz di perkarangan planetarium serta melawat galeri pameran.

Pada program pencerapan gerhana itu, kaca mata gerhana eksklusif serta ''Eclipse Mints'' akan diberi kepada pengunjung paling awal, dan Angkasa juga akan menyediakan teleskop untuk mereka melihat gerhana itu.

Orang ramai yang tidak berkesempatan ke Planetarium Negara boleh melayari www.angkasa.com.my untuk menyaksikan siaran langsung Gerhana Matahari Separa mulai 3 petang hingga 5.40 petang pada hari berkenaan.

Sementara itu, Pusat Sains Negara dalam kenyataan di sini hari ini berkata pusat itu akan ditutup kepada orang ramai dari 18 Jan hingga 31 Mac untuk kerja pengubahsuaian. Ia akan dibuka semula pada 1 April depan. - Bernama

Eye On Malaysia di Melaka disita

MELAKA: Roda gergasi atau lebih dikenali Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka yang menjadi antara tarikan utama pelancongan sejak lebih setahun lalu, disita jam 9.30 pagi tadi, sekali gus terpaksa memberhentikan operasinya.

Tindakan menyita kawasan berkenaan dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu, membenarkan permohonan pemilik asal roda gergasi berkenaan dari Belgium, Fitraco NV untuk mengambilnya balik dari Eye On Malaysia Sdn Bhd (Eom), pemilik roda itu di sini.

Arahan bagi memaklumkan mengenai tindakan menyita tempat itu disampaikan oleh seorang peguam yang mewakili Fitraco NV kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eom, Mahadzir Yunus di tapak roda gergasi terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Berikutan itu, syarikat terbabit melantik RSM RKT Group untuk mewakili mereka bagi menjaga seluruh kepentingan di kawasan tapak roda berkenaan.

Fitraco NV memfailkan saman pada Eom dan MST Ad Suria Sdn Bhd (MST Ad Suria) pada 15 September tahun lalu, selepas syarikat terbabit gagal melunaskan hutang pinjamannya sebanyak RM17 juta bagi menyewa dan membawa roda berkenaan ke Malaysia pada 2006.

Pinjaman selama dua tahun itu sepatutnya diselesaikan pembayarannya pada Mei tahun lalu.

Arahan menyita dan mengambil alih roda berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu.

MST Ad Suria adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006, sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007. Difahamkan sebanyak RM30 juta dibelanjakan bagi membawa roda berkenaan.

Roda ini kemudian beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 1 Januari 2007 hingga 31 Ogos 2008.

Sebaik saja ia tamat beroperasi di situ, kerajaan Melaka bersetuju untuk mengambil alih roda berkenaan menerusi Eom, sebuah syarikat usahasama yang ditubuhkan bersama MST Ad Suria. Kerajaan negeri diwakili Kumpulan Melaka Berhad (KMB).

Roda itu kemudian dibawa ke Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan sudah berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM5 juta.

Kalimah Allah: Kerajaan tak dapat halang protes

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak dapat menghalang sekiranya ada mana-mana pihak ingin mengadakan tunjuk perasaan atau demonstasi bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah di sekitar kawasan masjid selepas sembahyang Jumaat, esok.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berharap perkara itu tidak akan berlaku dan sekiranya berlaku ia secara minimum tanpa mengundang perkara negatif sehingga merebak dan tidak terkawal.

“Perkara ini (isu kalimah Allah) biarlah diselesaikan mahkamah, secara baik-baik, tidak boleh menaikkan perhatian sangat, bagaimanapun pihak berkuasa sudah bersedia...dan saya harap kalau ada yang nak protes, ia tidak merebak dan jadi serius, saya harap ia tidak akan berlaku.

“Apa saja langkah pencegahan yang perlu dibuat, kita akan buat, itu terpulang kepada pihak berkuasa hendak buat apa, bukan saya yang kena beritahu apa yang patut dibuat...,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir umat Islam membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bercadang mengadakan bantahan penggunaan kalimah Allah dengan melakukan perhimpunan selepas solat Jumaat esok.

Kabinet tangani isu kalimah Allah walaupun reaksi berbeza: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Reaksi berbeza-beza daripada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan terhadap isu penggunaan kalimah Allah tidak akan menyebabkan perpecahan dalam kabinet, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau tidak nampak isu berkenaan akan menyebabkan ketegangan di kalangan pemimpin kerajaan.

Katanya, sebagai pemimpin yang mewakili pelbagai parti politik dan menganut agama yang beza mereka tentulah mempunyai pandangan mereka sendiri dan kerajaan menghormati pandangan tersebut.

Namun pada yang masa sama kerajaan bersatu dalam menangani isu tersebut, tegasnya selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

"Saya tidak fikir (perpecahan dalam Kabinet). Kita amat faham dengan situasi.

Saya tidak fikir ia begitu kritikal pada peringkat ini. Ianya adalah perkara biasa untuk mempunyai pendapat yang berbeza," katanya.

Muhyiddin turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Umno cuba mempolitikkan isu tersebut kerana sebenarnya pembangkang cuba meraih kepentingan politik daripada isu tersebut, malah kenyataan para pemimpin mereka jauh berbeza.

Katanya, Umno tidak akan mempolitikkan isu tersebut kerana ia berkaitan dengan agama dan akidah umat Islam.

"Pendirian kerajaan juga adalah pendirian parti dan kita tidak pernah gunakannya untuk kepentingan politik. Isu kalimah Allah berhubungkait dengan akidah umat Islam...kita tidak kompromi dalam soal ini.

"Kalau ada pun kenyataan daripada pemimpin Umno mengenai soal ini, adalah untuk menunjukkan bahawa kita prihatin dan bukannya untuk mendapatkan kepentingan politik.

"Kita hendak memastikan tidak timbul buruk sangka yang boleh membangkitkan perasaan dan keadaan tidak baik antara agama dalam negara kita," katanya. - Bernama

Dua harga petrol mulai 1 Mei

PETALING JAYA: Dua harga petrol berbeza untuk warga negara dan bukan warga negara akan diperkenalkan bermula 1 Mei 2010, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, kepada warga negara, pelaksanaan harga petrol pula antara lain akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan, yang bermakna bukan semua warga negara akan menikmati subsidi yang disediakan.

"Bukan semua warganegara akan mendapat subsidi ini. Subsidi ini sepatutnya lebih kepada golongan berpendapatan rendah," katanya selepas merasmikan identiti korporat baharu bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.

Golongan yang mendapat subsidi, katanya, akan membeli petrol pada harga yang ditetapkan sekarang, manakala mereka yang tidak mendapat subsidi, akan membayar harga sebenar petrol.

"Bagi RON 95, kerajaan kini memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10.

"Jadi, mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan juga bukan warga negara, akan membayar RM2.10 atau lebih," katanya.

Ismail berkata, kerajaan juga mungkin akan mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

“Selain mengekalkan subsidi minyak, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi gas, gandum, dan juga gula,” katanya.

Menurut Ismail, walaupun harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen, namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen.

"Tahun lalu kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga gula dunia yang mendadak sejak Ogos tahun lalu, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1.00, sebab itu kita naikkan harga," katanya.

Dengan subsidi 80 sen yang diberikan itu, katanya kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion tahun ini berbanding RM720 juta tahun lalu. - Bernama

Kerajaan akan pertingkatkan pelaksanaan projek untuk rakyat

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperbanyakkan lagi program dan projek berasaskan kepentingan rakyat seperti Klinik 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, hasrat kerajaan ialah memastikan supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan dalam masa singkat dan dengan itu keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan meningkat.

"Kita akan terus membela kepentingan selagi diberi mandat. Kerajaan BN (Barisan Nasional) akan terus menjalankan kewajipan membela rakyat," katanya ketika merasmikan Klinik 1Malaysia di Lembah Subang, dekat sini, hari ini.

Lebih 2,000 orang termasuk penduduk setempat hadir memeriahkan majlis itu.

Sebelum itu, Najib melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi Lembah Pantai, di sini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mencetuskan idea Klinik 1Malaysia kerana melihat masalah rakyat dalam negara secara menyeluruh, bukan saja masalah rakyat di luar bandar, tetapi juga rakyat di bandar dan pinggir bandar.

Najib berkata, hakikatnya bukan semua penduduk di bandar berpendapatan tinggi atau mewah kerana masih ramai juga penduduk dalam kawasan bandar tergolong dalam kategori miskin dan memerlukan pertolongan kerajaan.

Walaupun pendapatan penduduk di bandar lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar, beliau berkata, tetapi kos sara hidup di kawasan bandar adalah lebih tinggi dan kerajaan perlu membantu golongan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya, pekerja-pekerja kilang dan pekerja berpendapatan rendah yang menghadapi kesempitan hidup.

Katanya, satu daripada idea untuk mengurangkan tekanan hidup penduduk bandar yang kurang berkemampuan ialah mewujudkan perkhidmatan kesihatan berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

"Dengan wujudnya rangkaian Klinik 1Malaysia ini mereka yang tinggal dalam kawasan berkenaan mendapat rawatan kesihatan yang berkualiti dengan bayaran hanya RM1 saja.

“Ini lebih baik daripada menerima kemudahan-kemudahan lain kerana tidak banyak yang boleh dimiliki dengan RM1 pada masa kini," katanya.

Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana di sesetengah negara lain, rakyat terpaksa mempunyai insuran kesihatan sebelum mendapat perkhidmatan, dan ada juga di negara lain rakyat terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Tetapi dengan konsep ini ia membawa kemudahan kepada rakyat dan mereka tidak perlu bersusah payah pergi jauh dari tempat tinggal untuk mendapatkan rawatan.

"Turun ke bawah sudah ada klinik mana ada perkhidmatan macam ini, tidak perlu hidupkan kereta atau enjin motosikal, boleh jalan kaki," katanya. - Bernama

Doktor swasta tidak perlu bimbang dengan Klinik 1Malaysia: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata doktor swasta tidak perlu bimbang bahawa pendapatan mereka akan terjejas dengan kewujudan klinik 1Malaysia.

Beliau berkata, ia kerana 50 klinik 1Malaysia yang diwujudkan di seluruh negara hanya akan menumpukan kepada pemeriksaan kesihatan yang biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula.

"Sebenarnya mereka tidak terjejas sebab kes-kes daripada sini akan kita rujuk kepada mereka... umpamanya jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

"Tetapi ini memudahkan rakyat jelata untuk membuat pemeriksaan biasa seperti paras gula dalam darah, periksa tekanan darah kalau mereka hipertensi... untuk pemeriksaan lebih lanjut, mereka akan pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.

"Jadi saya tak anggap ini sebagai win-lose situation (keadaan yang memenangkan satu pihak namun merugikan pihak lain) tetapi sebenarnya ia adalah win-win situation (keadaan yang memberi manfaat kepada semua)... rakyat mudah, dan klinik swasta pun akan dapat pelanggan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai di sini. - Bernama

Kadar penyertaan murid prasekolah akan ditingkatkan: TPM

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak lima peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan, tahun ini.

"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.

"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tiga sub-NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah. - Bernama

PM lancar Klinik 1Malaysia ke-44

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi di seluruh negara sejak 1 januari lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan rancangan kerajaan membangunkan 50 klinik 1Malaysia di seluruh negara sepanjang Januari.

"Sasaran dalam Bajet 2010 dengan peruntukan RM10 juta bagi membangunkan Klinik 1Malaysia tercapai," katanya selepas melancarkan klinik ke-44 di Kerinchi di sini sebentar tadi.

Minyak mentah lonjak harga tertinggi AS$83 setong

NEW YORK: Minyak mentah buat pertama kali dalam masa 14 bulan melonjak harga tertinggi AS$83 setong di New York semalam, sekali gus memberi kekuatan berikutan kelemahan mata wang dollar Amerika Syarikat (AS).

Kontrak hadapan New York bagi minyak 'light sweet crude' bagi pembekalan Februari melonjak AS$1.41 untuk ditutup kepada AS$83.18 setong.

Kali terakhir paras harga minyak tertinggi di Amerika Syarikat pada 9 Oktober 2008 lalu di paras AS$83.52 setong.

Pasaran hadapan London Brent North Sea bagi Februari juga menunjukkan lonjakan semalam, iaitu menokok AS$1.30 untuk ditutup AS$81.89 setong. - AFP