Followers

Tuesday, October 13, 2009

Mahathir, Abdullah akan hadir perasmian Perhimpunan Agung Umno 2009

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah pun mengesahkan kehadiran mereka ke perasmian Perhimpunan Agung Umno 2009 pada Khamis ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata mereka dijemput sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian perhimpunan itu.

Kedua-dua mereka akan diiringi isteri masing-masing, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Tun Jeanne Abdullah, katanya, hari ini.

Tengku Adnan berkata, Abdullah juga adalah perwakilan ke perhimpunan itu kerana beliau masih menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas.

Ini adalah kali pertama Abdullah menghadiri perhimpunan agung Umno sebagai tetamu selepas meletakkan jawatan sebagai Presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2008 pada 28 Mac lalu, dan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Bagi Dr Mahathir, ini kali pertama beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno sebagai ahli selepas menyertai semula parti itu pada 4 April lalu. - Bernama

Projek Sayang Wanita Umno tampilkan imej baru: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Projek Sayang, projek terbaru Wanita Umno yang membabitkan program kebajikan, kesukarelawan dan kemasyarakatan dapat menampilkan imej baru untuk pergerakan itu dan kepada Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan.

"Harap semua bahagian dan parti-parti komponen BN akan melaksanakan aktiviti Skuad Sayang ini dengan penuh semangat sebagai satu lagi program baru yang boleh tingkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN," katanya selepas menghadiri pelancaran projek itu serta majlis rumah terbuka Aidilfitri pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata, dengan Projek Sayang melalui penubuhan ''Skuad Sayang'' dan ''Stor Sayang'' ia bukan sahaja mampu mengatasi masalah orang ramai malah ia dapat mendekatkan dan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan pemimpin.

"Projek itu juga akan dapat menambat hati rakyat supaya terus kekal menyokong parti Umno," katanya.

Rosmah berkata, usaha itu juga tidak seharusnya menumpukan kepada sesuatu kaum atau kumpulan saja kerana ia perlu digembleng dengan mendekati setiap golongan masyarakat tanpa mengira bangsa.

"Diharapkan projek ini dilaksanakan dengan penuh perasaan kasih dan sayang supaya impaknya dapat dirasai dengan lebih mendalam oleh semua rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata projek itu diharapkan dapat mendekatkan ahli pergerakan itu terus kepada masyarakat tanpa perlu membabitkan peruntukan besar.

"Program itu merupakan satu program yang lebih tersusun dan mudah bagi lebih kurang 1.3 juta ahli untuk berbakti kepada masyarakat," katanya.

"Tidak ada peruntukan khusus untuk projek ini tetapi apa yang perlu ialah "to give heart" kepada mereka yang memerlukan seperti turun melawat ke hospital terutama sekali kepada pesakit yang ditempatkan di wad kelas ketiga," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membelanjakan RM457 juta bagi menjaga kebajikan masyarakat di negara ini, "tetapi menerusi projek sayang ini kita bergerak secara kecil-kecilan."

"Kita bekerja di hospital-hospital, surau, kerja-kerja kahwin dan kerja kemasyarakatan lain yang ringkas bagi mengembalikan semangat kebajikan di kalangan ahli Wanita," katanya.

Shahrizat berkata, perkara utama yang ditekankan bukanlah kepada wang ringgit tetapi lebih kepada masa yang diluangkan bersama masyarakat.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, seramai 800 ahli sudah mendaftar di bawah Skuad Sayang yang berada di seluruh negara, dan Stor Sayang juga akan diadakan di setiap negeri bagi menempatkan bekalan keperluan yang akan digunakan semasa bencana.

Projek ini akan dijalankan oleh Pergerakan Wanita Umno terlebih dahulu sebelum diperkenalkan kepada Wanita Barisan Nasional (BN), katanya.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. - Bernama

Pindaan perlembagaan Umno dapat hapuskan politik wang: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pindaan yang dicadangkan terhadap perlembagaan Umno boleh menghapuskan politik wang dalam parti itu selain dapat mengawal tingkah laku para anggota supaya menjadi lebih baik.

Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana bilangan ahli yang akan diberikan hak memilih kepimpinan Umno adalah terlalu besar untuk cuba dipengaruhi pihak-pihak tertentu.

"Kalau ada cubaan pun (mengamalkan politik wang), sudah tentulah dapat dikesan kerana jumlah (mereka yang akan menentukan kepimpinan Umno) terlalu besar.

"Kalau 2,500 orang, boleh dibuat dalam gelap," katanya, yang juga Presiden Umno pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada ahli perwakilan sempena Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, dengan pindaan itu nanti kewibawaan seseorang pemimpin akan menjadi kriteria yang dititikberatkan kerana prestasi mereka akan dinilai oleh ahli parti.

"Terpulang kepada ahli, kalau kepimpinan itu baik serta berkesan dan diterima oleh rakyat, tentu dapat dipertahankan.

"Dengan pindaan perlembagaan ini, kalau kita tidak tunjuk prestasi kepimpinan yang baik, maka ia akan terdedah kepada pencabar dan ini termasuk kepimpinan atasan dalam Majlis Tertinggi (MT)," katanya.

Mengulas amanatnya kepada perwakilan hari ini, Najib berkata, beliau menerangkan tentang senario pada masa sekarang terutama daripada segi lanskap politik tanah air serta cabaran yang dihadapi oleh Umno.

Beliau juga menekankan bahawa Umno mesti sanggup melakukan perubahan kepada yang lebih baik sama ada daripada segi perpaduan, budaya, sikap, pemikiran dan tingkah laku.

"Contohnya, kalau sekarang kita utamakan permuafakatan dan perpaduan, kita boleh mencapai kejayaan yang besar seperti di (pilihan raya kecil) Bagan Pinang. Ia adalah pilihan raya contoh di mana gerak kerja di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin berkesan.

"Ini sepatutnya dijadikan sebagai titik kebangkitan kepada jiwa dan semangat ahli parti di seluruh negara dan mereka juga mesti sanggup bekerja kuat dan mengadakan pelbagai program penerangan termasuk kebajikan dan sebagainya," katanya.

Najib juga mengingatkan kepada perwakilan bahawa mereka perlu insaf kerana Umno kini berada dalam keadaan genting dan kritikal selepas pilihan raya umum lalu.

"Tetapi kita sudah dapat menunjukkan bahawa kalau kita bersatu padu dan rancang dengan baik dan ada kesungguhan, Umno masih merupakan jenama yang diterima oleh rakyat. Ini terbukti di Bagan Pinang," katanya.

Perdana Menteri menjangkakan bahawa pewakilan Umno tidak akan membantah terhadap pindaan perlembagaan itu, yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas, Khamis ini.

"Mudah-mudahan suasana baik daripada segi sambutan (hari ini). Tengok sehari dua lagi," katanya. - Bernama

Bajet 2010 mungkin lebih kecil: Husni

KUALA LUMPUR: Bajet 2010, yang dijadualkan dibentangkan pada 23 Oktober di Parlimen, berkemungkinan lebih kecil, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, hari ini.

"Ia lebih kecil, tetapi kita tunggu sahaja pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika pembentangan bajet. Nanti kita akan tahu jumlahnya," kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji dengan serius untuk mengurangkan perbelanjaan kendalian bagi tahun depan.

Menyentuh tentang perbelanjaan pembangunan, beliau berkata: "Bajet ini merupakan tahun terakhir RMK-9 (Rancangan Malaysia Kesembilan). Perbelanjaan pembangunan adalah baki daripada RMK-9."

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita tentang saiz Bajet 2010 selepas melancarkan Persidangan Akauntan Kebangsaan 2009 di sini.

Bajet 2009 berjumlah RM207.9 bilion, tidak termasuk dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion yang diumumkan kemudiannya.

Husni berkata, kementerian itu kini di peringkat akhir persediaan bajet tahun hadapan dan sedang meneliti untuk memperkemas semua input yang dikumpul daripada pelbagai kumpulan.

Sementara itu, model ekonomi baru akan dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan diumumkan pada Jun tahun depan, katanya. - Bernama

Bajet 2010 alami defisit lebih besar

KUALA LUMPUR: Bajet 2010 dijangka mengalami defisit yang lebih besar daripada 7.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang diunjurkan oleh kerajaan, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah eksekutifnya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohammed Ariff Abdul Kareem, berkata defisit itu berkemungkinan melebihi unjuran kerana "Saya percaya pungutan cukai tahun ini tidak akan mencapai sasaran kerajaan."

"Jika pungutan cukai lebih rendah daripada yang dijangkakan, perbelanjaan akan meningkat.

"Jadi kemungkinannya ialah kita akan mengalami defisit yang lebih besar daripada 7.6 peratus yang diharapkan oleh kerajaan," katanya dalam satu wawancara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membentangkan bajet di Parlimen pada 23 Oktober ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Ahmad Hanadzlah, dipetik sebagai berkata hari ini bahawa bajet berkemungkinan lebih kecil kerana kerajaan sedang mengkaji dengan serius untuk mengurangkan perbelanjaan kendalian bagi tahun depan.

Mohamed Ariff berkata sejak Merdeka 52 tahun lalu, Malaysia mengalami defisit selama 46 tahun.

"Kita hanya mengalami lebihan dalam enam tahun. Kita kurang disiplin fiskal kerana kita tidak benar-benar serius mencuba untuk mengimbangi akaun kita walaupun pada tahun-tahun yang menyaksikan ekonomi stabil.

"Kekurangan disiplin ini sebenarnya menyempitkan ruang kita bagi inisiatif rangsangan fiskal yang serius.

"Di sinilah kita perlu berhati-hati," katanya.

Bagaimanapun, katanya, meskipun kerajaan mengalami defisit belanjawan dalam 46 tahun, namun ia menguruskannya dengan baik, kecuali pada awal 1980-an.

"Pada awal 1980-an, defisit belanjawan meningkat kepada kira-kira 16 peratus KDNK, yang benar-benar besar dan secara keseluruhannya dibiayai melalui pinjaman luar negara.

"Ini saya rasa menyebabkan krisis pada 1985 dan 1986. Kerajaan telah mendapat pengajaran yang penting daripada krisis itu," katanya. - Bernama

Amanat presiden suntik semangat baru ke arah transformasi

KUALA LUMPUR: Pemimpin pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini menyifatkan taklimat presiden parti, Datuk Seri Najib Razak kepada perwakilan perhimpunan agung parti kali ini, sebagai penyuntik semangat dalam menuju era transformasi.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata Najib meminta supaya ahli parti melakukan perubahan daripada segi sikap dan budaya kerja, selain menyokong pindaan perlembagaan parti itu yang akan diadakan Khamis ini.

"Yang lebih penting lagi, kita bawa perubahan tersebut kepada diri kita sendiri, ahli dan pemimpin Umno, supaya pindaan perlembagaan itu dilengkapi dengan satu perubahan sikap dan budaya kalau kita hendak lihat kepada transformasi total dalam Umno," katanya selepas menghadiri majlis taklimat presiden parti sempena Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini, hari ini.

Khairy berkata, Perdana Menteri juga turut menggesa parti mengekalkan momentumnya selepas kejayaan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Ahad lalu.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, pergerakan amat gembira apabila Najib memberi pengiktirafan terhadap sumbangan Wanita dalam parti.

"Sudah tiba masanya untuk Wanita kini diarusperdanakan dalam Umno induk, selama ini memang prestasi kita baik dalam sayap, tetapi masanya telah tiba untuk lebih ramai Wanita yang berkelayakan diberi tempat di Umno induk sebab saya hendak tengok satu hari nanti akan ada pemimpin tertinggi di kalangan Wanita," katanya.

Selain itu, Shahrizat berkata, Najib juga meminta supaya semua ahli perwakilan memberi sokongan terhadap pindaan yang akan dibuat khususnya yang berkaitan dengan pelantikan Wanita di dalam parti.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyifatkan amanat yang disampaikan oleh presiden parti itu melambangkan kematangan beliau serta pegangan Najib untuk menentukan hala tuju parti dengan lebih jelas daripada segi minda dan gerak kerja.

"Melalui transformasi ini menentukan survival parti pada pilihan raya akan datang dan menekankan sokongan rakyat kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Rosnah berkata, apa yang menjadi perhatian pergerakan Puteri adalah mengenai transformasi parti di mana ianya akan memberi ruang kepada lebih ramai golongan muda untuk turut memilih kepimpinan.

"Kita juga akan mewarisi dan menjadi sebahagian daripada kepimpinan Wanita, seperti yang digambarkan oleh Presiden. Jadi, kita berharap pindaan ini akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada perwakilan yang ada nanti," katanya. - Bernama