Followers

Sunday, April 11, 2010

Malaysia berpendirian nuklear hanya untuk keamanan

WASHINGTON: Datuk Seri Najib Razak akan menekankan pendirian Malaysia bahawa sebarang program nuklear harus digunakan hanya untuk pembangunan dan keamanan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang dihoskan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Perdana Menteri akan terbabit secara langsung dalam perbincangan bagaimana soal anti-proliferasi ditangani pada sidang kemuncak yang berlangsung pada Isnin dan Selasa, kata Pemangku Menteri Luar. Datuk Seri Dr Rais Yatim, kepada wartawan Malaysia di sini.

Najib adalah antara 47 pemimpin dunia yang dijemput Obama untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang diadakan julung kali bagi memupuk kerjasama global untuk menentukan bahan dan senjata nuklear tidak jatuh dalam tangan kumpulan pengganas.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Yukiya Amano, dan Presiden Majlis Eropah, Herman Van Rompuy, juga turut akan hadir pada sidang itu.

"Malaysia secara khusus akan terbabit secara langsung bagaimana soal anti-proliferasi akan ditangani dan kedua, soal bagaimana nuklear harus digunakan untuk tujuan keamanan dan tidak bagi tujuan yang lain daripada keamanan," katanya.

Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, berkata satu perkara lain yang perlu diteliti juga ialah ketidaksamaan dalam soal kapasiti nuklear yang dimiliki Iran dan Korea Utara.

"Soal ini sentiasa menjadi soal bertembung atau pun konflik. Oleh demikian, Malaysia akan mengemukakan pendirikan klasiknya bahawa nuklear itu tidak boleh dipermainkan selain untuk tujuan yang khusus untuk keamanan dunia," katanya.
Beliau turut ditanya sama ada isu anti-proliferasi nuklear dapat ditangani di Timur Tengah.

Rais yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar sebelum ini, berkata isu anti-proliferasi mesti dihubungkan dengan keamanan di Timur Tengah. - Bernama

Pertemuan Najib-Obama buka vista baru hubungan dua hala: Rais

WASHINGTON: Perhubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat bakal menempuh vista baru dengan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Barack Obama, di sini Isnin ini.

"Pertemuan itu akan menentukan bagaimana kedua-dua negara itu mengubah hala tuju perhubungan mereka,' kata Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, berkata Najib dan Obama dijangka membincangkan beberapa perkara penting termasuk perhubungan dua hala dan peranan Malaysia dalam dunia Islam.

Perkara yang dijangka turut ditimbulkan ialah Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 yang diluluskan oleh Malaysia pada peringkat Dewan Rakyat minggu lalu dan isu berkaitan keselamatan di rantau Asia.

"Seperti yang dilihat, ini adalah pertama kali Perdana Menteri kita dapat berbincang dengan secara ikhlas dengan presiden Amerika dalam perbincangan secara dua hala dan isu ini akan menentukan warna dan juga masa depan hubungan antara kedua-dua negara," kata Rais kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat pra-majlis bersama Najib yang tiba di sini Sabtu untuk lawatan kerja selama seminggu.

Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 itu yang mengambil masa hampir lima tahun untuk digubal adalah untuk membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras percambahan senjata pemusnah besar.

Perdana Menteri adalah antara hanya dua pemimpin dari Asia yang akan bertemu dengan Obama sebelum mereka menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear dua hari bersama-sama 48 pemimpin lain dunia di sini untuk membincangkan inisiatif Obama untuk membanteras keganasan nuklear.
Obama juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Hu Jintao dari China.

Rais yang pernah memegang jawatan Menteri Luar sebelum ini, yakin hubungan Malaysia-Amerika Syarikat berada pada persada baru di bawah kepimpinan Najib yang juga perdana menteri negara yang keenam.

"Memang takat ini, boleh saya nyatakan apa yang berlaku sekarang lantaran peluang yang diperolehi oleh Perdana Menteri kita, ini adalah satu vista yang baru, perkembangan yang sebelum ini tidak wujud dalam sejarah hubungan dua hala Malaysia dan Amerika.

"Saya yakin masa depan hubungan kedua-dua negara ini akan menempuh vista baru atau pun jendela baru bukan sahaja berkaitan dengan soal politik antarabangsa, soal perniagaan dan juga persoalan Guantanamo di mana dua orang warga Malaysia yang masih berada dalam tahanan," katanya.

Rais berkata, Amerika juga mungkin melihat kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah muncul dengan perolehan status dalam dunia Islam dan ini mungkin dibincangkan oleh Najib dan Obama.

Najib sendiri telah membangkitkan isu penahanan dua warga Malaysia di Guantanamo ketika Obama menelefon Perdana Menteri pada Jun tahun lalu untuk membincangkan isu semasa.

Malaysia mahu Mohd Farik dan Mohammad Nazir yang juga antara 250 warga asing yang ditahan di Guantanamo dihantar pulang untuk diadili menurut proses perundangan Malaysia.

Kedua-dua ditahan kerana didakwa terbabit dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda sejak 2003. - Bernam

Lebih banyak kawasan larangan merokok akan diwartakan

MELAKA: Lebih banyak kawasan larangan merokok akan diwartakan berikutan peningkatan serius tabiat merokok di kalangan golongan muda terutama wanita, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, peningkatan yang membimbangkan itu diperolehi daripada kajian tabiat merokok di kalangan golongan muda yang dilakukan Universiti Putra Malaysia dengan keputusan terperinci akan diumumkan sebelum akhir bulan ini.

"Peningkatan memang serius kerana ada yang beranggapan menghisap rokok boleh kuruskan badan terutama wanita, itu anggapan yang silap, itu helah untuk tarik orang muda merokok," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Liow menghadiri majlis perasmian Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, di Bandar Hilir di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tanpa menyebut jumlah kawasan larangan merokok sedia ada, Liow berkata mereka yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan tersebut boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, tabiat merokok di kalangan wanita mendedahkan mereka kepada risiko tinggi menghidap penyakit kronik.
Mengenai perkembangan Influenza A (H1N1), Liow mengesa orang ramai yang berisiko tinggi dijangkiti virus berkenaan segera mendapatkan suntikan pelalian vaksin H1N1 secara percuma di 104 buah klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata, golongan yang berisiko tinggi itu termasuk wanita mengandung dan penghidap penyakit kronik seperti jantung, masalah paru-paru dan diabetis.

"Kerajaan sudah beli 400,000 dos vaksin H1N1, pada mulanya kita beri kepada barisan hadapan seperti doktor, polis, kastam dan imigresen dan selebihnya kita beri kepada rakyat secara percuma," katanya.

Liow berkata, hasil pemantauan rapi di seluruh negara, tidak berlaku gelombang kedua wabak H1N1 di negara ini.

Beliau berkata, setakat hari ini, seramai 651 orang dirawat di hospital kerana disyaki menghidap penyakit seperti influenza (ILI) manakala 58 orang positif H1N1 dan enam orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). - Bernama

Sistem pengumpulan air hujan digalakkan bagi bangunan baru

MARANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan pemaju atau pemilik bangunan menggunakan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) di setiap bangunan baru dalam usaha menjimatkan kos air pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata air hujan yang dikumpul melalui sistem ini boleh digunakan untuk kegunaan tandas, menyiram pokok, membasuh kereta dan pembersihan sekitar rumah yang tidak memerlukan air dirawat.

"Bagaimanapun setakat ini, kita belum mewajibkan penggunaannya, pada peringkat permulaan ini, kita buat galakan dulu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2010 peringkat kebangsaan baru-baru ini menyarankan masyarakat menyimpan air hujan untuk kegunaan pada musim kemarau dalam usaha mengurangkan pembaziran bekalan air yang dirawat.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu bukan sahaja boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan, malah mampu menjimatkan kos air kepada pengguna.

Muhyiddin berkata, projek perintis sistem yang dibuat di Kompleks Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor menunjukkan penjimatan hampir 30 peratus bekalan airnya dengan alternatif penggunaan air hujan yang ditadah, dan berharap konsep itu diperluas ke kawasan perumahan yang bersesuaian.

Dalam perkembangan lain, Kong berkata Jabatan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM1.892 bilion untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan projek kecil di kawasan masing-masing.
Projek terbabit, katanya, termasuklah projek Pembangunan Penempatan Tradisional dan Tersusun Dalam Kawasan PBT dan Projek Kemajuan Perkampungan Kampung Baru.

"Peruntukan yang disediakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu digunakan untuk membiayai projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, antaranya projek membina dan menaiktaraf jalan, parit dan longkang, membina dewan-dewan orang ramai, tandas awam dan kemudahan rekreasi.

"Peruntukan itu juga dibina untuk projek sosio-ekonomi seperti membina dan menaiktaraf pasar awam, gerai dan tapak pasar," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Pasar Bandar Marang dan Menyerahkan Geran Tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar (SMK), iaitu sumbangan mengikut bangunan dan kemudahan kerajaan pusat yang berada di dalam PBT, kepada PBT negeri Terengganu di sini, hari ini. - Bernama

Mayat bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

RAWANG: Mayat seorang bayi lelaki yang sempurna sifat ditemui mati dibuang dalam sebuah tong sampah di Kampung Tanjung, Sungai Choh, dekat sini pada jam 8 pagi tadi.

Mayat bayi malang yang dipercayai baru 24 jam dilahirkan itu hanya berbalut akhbar dan beg plastik.

Ia ditemui pekerja syarikat kutipan sampah, Mohd Kamil Enoh, 44, ketika memulakan tugasnya pagi tadi.
Beliau berkata, beliau menemui bungkusan berat ketika memilih sampah yang terdapat dalam dua tong yang disediakan kepada penduduk di kampung itu.

"Mulanya saya nampak kaki bayi pada bahagian hujung bungkusan sampah itu. Setelah dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali.

"Saya sebak dan mengigil bersendirian. Bayi itu masih bertali pusat dan dibuang bersama urinya yang masih berdarah," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi balai polis berhampiran dengan segera.

"Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat. Sehingga kini, tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu," katanya

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 7.3 peratus

HSBC Bank menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 7.3 peratus tahun ini, lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara Malaysia antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu oleh peningkatan permintaan eksport dan kenaikan harga komoditi.

Ahli Ekonomi Kanan HSBC bagi Asia, Robert Prior-Wanderforde, berkata pemulihan semula sektor perdagangan antarabangsa di Asia akan memberikan manfaat kepada ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan utama di rantau ini.

“Sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada sektor perdagangan, Malaysia akan mendapat manfaat daripada pemulihan eksport dan perdagangan antarabangsa di Asia,” katanya pada seminar pelaburan HSBC mengenai peluang pelaburan di India di Kuala Lumpur, semalam.

Prior-Wandesforde berkata, selain faktor luaran, ekonomi Malaysia juga mendapat rangsangan daripada permintaan domestik hasil daripada peningkatan perbelanjaan pengguna yang kini lebih yakin dengan prospek ekonomi secara keseluruhannya.

“Sentimen keyakinan pengguna membentuk lapan peratus daripada pertumbuhan perbelanjaan pengguna di Malaysia. Justeru, kita akan dapat melihat pemulihan yang besar tahun ini berdasarkan faktor ini,” katanya.

Prior-Wandesforde bagaimanapun berkata, Malaysia mungkin tidak berupaya mengekalkan pertumbuhan sekitar tujuh peratus setiap tahun berdasarkan kepada momentum pertumbuhan semasanya.

“Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah Malaysia dan Asia keseluruhannya mempunyai momentum pertumbuhan mereka yang tersendiri bergantung kepada dasar yang dilaksanakan negara terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia meningkatkan keupayaan pertumbuhannya mengikut perspektif jangka panjang.

“Malaysia mungkin berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dalam tahun-tahun berikutnya pada asas pertumbuhan yang kukuh dan berpotensi untuk meningkat menerusi langkah pembaharuan ekonomi yang diambil kerajaan,” katanya.

Mengenai ringgit, Prior-Wandesforde berkata, mata wang tempatan itu dijangka terus mengukuh untuk tempoh 12 bulan akan datang dan dijangka berada pada RM3.18 berbanding AS$1 pada akhir tahun ini kerana sudah ada momentum pengukuhannya ketika ini.

“Terdapat banyak minat terhadap Asia secara keseluruhannya dari segi kemasukan pelaburan portfolio dan Malaysia tidak terkecuali yang boleh membawa kepada pengukuhan ringgit,” katanya.

Mengenai kadar faedah, Prior-Wandesforde menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya kepada tiga peratus menjelang akhir tahun ini.

“Kadar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus adalah paras terbaik bagi OPR yang mula bergerak kepada parasnya yang normal,” katanya.