Followers

Sunday, September 12, 2010

Penyelam polis marin cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati

BANTING: Pasukan penyelam Polis Marin hari ini menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.

Tinjauan Bernama berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati pasukan polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.
Daripada pemerhatian, terdapat beberapa penandaan (marking) diletakkan pada bahan-bahan itu.
Memandangkan wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi itu, mereka terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Polis hari ini mengesahkan bahawa Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Tiga orang lagi itu ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Operasi polis ini menarik perhatian orang ramai yang cuba memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Sementara itu, orang ramai turut berkumpul di satu kawasan yang terletak kira-kira 600 meter dari Ladang Gadong, tempat di mana mangsa-mangsa dipercayai dibakar.

Kira-kira jam 6 petang, polis mengarahkan mereka bersurai dan hanya membenarkan wartawan berada di situ. - BERNAMA

Sosilawati: Anak pemandu jatuh sakit selepas tahu ayah dibunuh

SEREMBAN: Anak perempuan sulung kepada Kamaruddin
Shamsudin, pemandu jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya, jatuh sakit sebaik mendapat tahu hari ini bahawa ayahnya dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.
Menurut bekas isteri Kamaruddin, Noorfazilah Ab Sani, anak perempuan mereka
itu, Balqis, 12, sangat rapat dengan Kamaruddin dan asyik menangis mengenangkan
nasib ayahnya dan tidak menjamah sedikit makananpun sejak pagi tadi.

Noorfazilah, 33, berkata Kamaruddin sudah berjanji untuk menjemput anaknya
itu menyambut lebaran di kampung Kamaruddin di Kuantan kali ini.
"Balqis dengan bekas suami memang rapat dan manja. Bila saya beritahu
ayahnya sudah tiada, dia terus menangis, tidak mahu makan dan mengalami sakit
kepala sehingga demam," katanya kepada Bernama.

Semasa Kamaruddin dilaporkan hilang, Balqis sering memikirkan nasib ayahnya
malah selalu bertanya apa juadah berbuka puasa ayahnya.

Perkahwinan Noorfazilah dengan Kamaruddin berakhir dengan perceraian pada
2006, setelah mendapat tiga cahaya mata - Balqis Dayana; Izran Akmal, 9; dan
Irfan Aiman, 8.

"Izran masih keliru. Pada hari pertama ketika bekas suami dilapor hilang,
dia menjerit-jerit menyatakan itu bukan ayah dia sehinggalah gambar Kamaruddin
keluar dalam surat khabar, barulah dia terdiam," kata Noorfazilah.

Anak ketiga mereka, Irfan Aiman tinggal bersama kakak Kamaruddin di Kuantan
sejak kecil lagi.

Noorfazilah tinggal di Rembau bersama dua lagi anaknya itu.

Mereka berkahwin semasa Kamaruddin bekerja di King Studio dan Noorfazilah
ketika itu baru saja bertapak untuk menjadi artis rakaman dengan kelahiran
sebuah album dangdut.

Pasangan suami isteri itu sangat rapat dengan penyanyi dan juga bekas suami
Sosilawati iaitu Nash dan Noorfazilah percaya, bekas suaminya menjadi pemandu
Sosilawati selepas diperkenalkan oleh Nash.

Noorfazilah banyak bertanya tentang kejadian sebenar kerana hanya tahu
perkembangan tragedi pembunuhan itu melalui akhbar hari ini.

"Saya sebak mengenangkan anak-anak saya. Balqis Dayana akan mengambil
peperiksaan UPSR pada 22 dan 23 Sept ini, fikiran dia pula sudah pasti
terganggu," katanya.

Noorfazilah berkata beliau sedang berusaha memberi semangat kepada Balqis
untuk belajar dengan rajin: "Kalau betul sayang ayah. Berdoa dan bacalah Yassin
untuk ayah. Belajarlah rajin, jadi anak yang baik supaya ayah suka".

Menurut wanita itu, bekas suaminya itu dikenali sebagai "Kamal King" oleh
kawan-kawan lama dan tidak ramai yang mengecam kehilangan beliau di dada akhbar
kerana mereka tidak mengetahui nama sebenar Kamaruddin. - BERNAMA

Pembunuhan Sosilawati: Peguam bergelar Datuk, adik dan enam pekerja ditahan

BANTING: Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek dipercayai terbabit membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata polis membuat tangkapan pertama pada 10 September membabitkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. - BERNAMA

Polis sahkan Sosilawati, tiga lagi mati dibunuh dan mayat dibakar

BANTING: Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, hari ini.
Tiga lagi individu ialah pemandu, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. - Bernama

Misteri kehilangan Sosilawati, polis sahkan lebih 4 suspek ditahan

KUALA LUMPUR:Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan lebih empat suspek ditahan berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga individu lain sejak dua minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada terdapat mayat sudah ditemui.

Misteri kehilangan Sosilawati: Forensik, jabatan kimia tiba lokasi kejadian

BANTING: Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia Malaysia tiba di lokasi dipercayai mayat Datuk Sosilawati ditinggalkan kira-kira jam 12.15 tengah hari bersama beberapa suspek yang memakai baju lokap berwarna Ungu.
Mangsa dipercayai dibakar di ladang ternakan ayam, Ladang Gadong, di sini.

15 maut pada hari kesembilan Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Lima belas kematian dicatat pada hari kesembilan Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi sempena Hari Raya Aidilfitri itu bermula 3 September meningkat kepada 154 orang.

Menurut laman web Polis Diraja Malaysia, penunggang motosikal paling banyak terkorban berbanding pengguna kenderaan lain iaitu seramai 10 orang, manakala pengguna kereta yang terbunuh pula ialah dua orang, diikuti oleh pejalan kaki iaitu tiga orang.
Selain itu, 1,030 kemalangan dilaporkan berlaku semalam iaitu 78 di lebuh raya, 464 di jalan persekutuan, 213 jalan negeri, 219 jalan bandaran dan 56 lagi di jalan-jalan lain.
Sejumlah 5,878 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Sementara itu, pihak berkuasa juga bersiap sedia menghadapi aliran trafik yang tinggi hari ini dan kemungkinan berlaku kesesakan teruk apabila orang ramai yang berhari raya atau bercuti pulang ke destinasi masing-masing.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di semua lebuh raya berada dalam keadaan lancar setakat ini dan dijangka mengalami kesesakan selepas tengah hari terutama di Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya lorong kanan di Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau dari KM 2.0 ke KM 2.1 serta lorong kanan menghala ke Perai masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Semalam kebakaran kabel bervoltan tinggi itu menyebabkan kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang. - BERNAMA

15 maut pada hari kesembilan Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Lima belas kematian dicatat pada hari kesembilan Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi sempena Hari Raya Aidilfitri itu bermula 3 September meningkat kepada 154 orang.
Menurut laman web Polis Diraja Malaysia, penunggang motosikal paling banyak terkorban berbanding pengguna kenderaan lain iaitu seramai 10 orang, manakala pengguna kereta yang terbunuh pula ialah dua orang, diikuti oleh pejalan kaki iaitu tiga orang.
Selain itu, 1,030 kemalangan dilaporkan berlaku semalam iaitu 78 di lebuh raya, 464 di jalan persekutuan, 213 jalan negeri, 219 jalan bandaran dan 56 lagi di jalan-jalan lain.
Sejumlah 5,878 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Sementara itu, pihak berkuasa juga bersiap sedia menghadapi aliran trafik yang tinggi hari ini dan kemungkinan berlaku kesesakan teruk apabila orang ramai yang berhari raya atau bercuti pulang ke destinasi masing-masing.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di semua lebuh raya berada dalam keadaan lancar setakat ini dan dijangka mengalami kesesakan selepas tengah hari terutama di Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya lorong kanan di Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau dari KM 2.0 ke KM 2.1 serta lorong kanan menghala ke Perai masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Semalam kebakaran kabel bervoltan tinggi itu menyebabkan kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang. - BERNAMA