Followers

Monday, August 31, 2009

Peruntukan RM158j tingkat kemudahan, alat di hospital

IMR, pakar kaji sama ada genetik virus H1N1 sudah bermutasi

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan peruntukan tambahan kecemasan sebanyak RM158 juta bagi meningkatkan kemudahan dan alat perlindungan kesihatan di hospital kerajaan seluruh negara untuk menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah meningkatkan kemudahan di semua hospital kerajaan itu, termasuk menambah bilangan katil dan wad unit rawatan rapi (ICU), di samping tumpuan kepada keperluan alat perlindungan kesihatan untuk doktor dan juga jururawat.

"Ketika ini, ada kira-kira 350 katil dalam ICU di semua hospital kerajaan dan bilangan itu akan ditambah 350 katil lagi. Semua usaha ini akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Liow sebagai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya lebih banyak katil ditempatkan dalam ICU kerana di sesetengah hospital kerajaan wad ICU terlalu sesak.

Akhbar semalam juga melaporkan WHO menerima laporan kemunculan virus H1N1 jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat dan perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan, jatuh sakit tenat.

Mengulas lanjut, Liow berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kumpulan pakar utama melakukan kajian serta pemantauan rapi bagi menentukan sama ada genetik virus H1N1 di negara ini sudah bermutasi atau berubah.

"Setakat ini, masih virus H1N1 yang sama dan Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya virus jenis teruk itu tidak menular ke negara kita," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David Quek Kwang Leng, berkata hospital swasta juga sedang berusaha meningkatkan bilangan katil dalam ICU masing-masing.

"Penyediaan kemudahan di ICU sebenarnya membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ketika ini, rata-rata hospital besar hanya mempunyai antara 10 hingga 20 katil dalam ICU masing-masing," katanya.

Doktor mangsa terbaru selesema babi

KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita yang dimasukkan ke wad Hospital Pakar Seremban (SSH) sejak 21 hari lalu, meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai akibat dijangkiti wabak Influenza A (H1N1).

Dr Noorfiza Isa, 43, yang bertugas di hospital itu sejak lima tahun lalu, sebelum itu dikatakan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam dan dikatakan doktor pertama di negara ini yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut sumber, Allahyarham bertugas di Unit Kecemasan dan mengalami tanda penyakit berbahaya itu pada 6 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad tetapi dibenarkan keluar sehari selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, semakin buruk dan dimasukkan semula ke wad hospital berkenaan pada malam 9 Ogos dan koma sehingga meninggal dunia awal pagi semalam.

"Mangsa adalah antara tiga doktor di hospital itu yang dijangkiti H1N1 tetapi keadaan mangsa yang paling teruk dan dirawat selama 21 hari sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setakat ini hanya 15 kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dijangkiti wabak berbahaya itu tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Bagi kematian membabitkan doktor wanita itu, setakat ini tidak dapat disahkan punca kematiannya sehingga keputusan ujian mengenainya mungkin dikeluarkan esok (hari ini)," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, menyebut seorang lagi berusia 49 tahun dengan masalah kesihatan hepar (hati) menjadi mangsa korban terbaru jangkitan wabak itu.

75 bayi merdeka di Selangor, KL dan Terengganu

KUALA LUMPUR: Seramai 67 bayi merdeka, 37 daripadanya lelaki dan 30 lagi perempuan dilahirkan di 11 hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dari 12.01 tengah malam tadi sehingga 12 tengah hari tadi.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 13 bayi diikuti Hospital Selayang (12), Hospital Kuala Lumpur (11), Hospital Sungai Buloh (8), Hospital Ampang (6), Hospital Serdang (6), Hospital Banting (4), Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam (3) Hospital Kajang (3) dan seorang di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Daripada jumlah itu empat kelahiran dicatatkan melalui pembedahan cesarean masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah.

Hospital Ampang juga turut mencatat kelahiran seorang bayi lelaki membabitkan warga Myanmar.

Bayi pertama Selangor dilahirkan dengan berat 3.1 kg pada pukul 12.10 minit pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur pula menyambut kelahiran bayi pertama mereka Muhammad Adam Iskandar Abdul Aziz seberat 2.46 kg pada 12.17 pagi.

Tiada kes kematian sama ada ibu mahupun bayi dilaporkan sehingga ini di semua 11 hospital kerajaan berkenaan.

Di Kuala Terengganu, lapan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bermula dari jam 12.41 hingga 6 pagi ini.

Bayi pertama dilahirkan lelaki pukul 12.41 seberat 2.29 kilogram oleh seorang guru yang mengajar di Sabah, Nafisah Ismail, 32, secara normal.

"Kami gembira dengan kelahiran bayi kami yang pertama ini dengan nama Fawwaz Hasbullah," kata suami wanita berkenaan Hasbullah Abu Bakar, 34, ketika ditemui di wad bersalin hospital itu.

Beliau yang tinggal di Kampung Tebakang, Manir dekat sini, berharap apabila besar nanti anaknya menjadi seorang hafiz Al-Quran dan yang mentaati ajaran agama.

Sementara itu, jurucakap wad bersalin hospital itu berkata, selain lapan bayi yang dilahirkan itu sehingga jam 6 pagi, lebih ramai bayi merdeka dijangka akan dilahirkan hari ini. - Bernama

Petrol RON95 RM1.80 seliter, RON97 RM2.05 seliter esok

KUALA LUMPUR: Mulai esok, petrol baru RON 95 yang diperkenalkan bagi menggantikan petrol RON92 akan dijual pada harga RM1.80 seliter manakala petrol RON97 pula pada RM2.05 seliter.

Perkara ini diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media sebentar tadi.

Sabah&Sarawak: Pembinaan jalan elak penduduk berperahu semula

Usaha memajukan kawasan terpencil sebagai tarikan pelancong asing

PENSIANGAN: "Kami tidak sanggup lagi berperahu ke Salong sebab minyak mahal. Kami berterima kasih kepada pemaju yang bermurah hati membuka semula laluan balak untuk dijadikan jalan dari pekan Sepulot ke kampung kami.

"Paling akhir kami gunakan laluan balak ialah 1994. Selepas itu tak boleh digunakan lagi kerana syarikat pembalakan sudah habis mengeluarkan balak di sini, jadi tiada siapa mahu menyelenggara laluan itu dan terpaksalah kami berperahu."

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pensiangan, Bluroh Angayang, 45, tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ketika ditemui Berita Harian di kampung itu baru-baru ini, mengenai pembinaan jalan tidak berturap sepanjang 34 kilometer (km) dari Sepulot ke kampung berkenaan.

Beliau berkata, sejak 1994, kira-kira 100 penduduk kampung itu dan ratusan lagi penduduk Kampung Sinakuluan, Sosoko, Kuyoh, Sikait, Sabinait, Sumolombong, Kapiasau, Binanding, Pegalungan, Silungai, Buntong, Sigatal, Sikalabut dan Sebuayoh tidak mampu menggunakan laluan balak ke Sepulot.

Selain ditutupi pokok, laluan itu tidak mampu digunakan kerana kebanyakan tebingnya runtuh akibat hakisan manakala ketiadaan penyelenggaraan memburukkan keadaan.

Bluroh berkata, penduduk seolah-olah sudah jemu meminta kerajaan menyediakan jalan berkenaan bagi kemudahan mereka dan beberapa kampung berhampiran.

"Rayuan kami tidak diberi perhatian. Kami faham, tiada apa yang ada di kampung kami. Tiada sumber ekonomi yang menguntungkan. Bagaimana kami hendak memajukan kebun getah dan tanaman lain kalau tiada jalan untuk mengangkut hasil pertanian kami keluar?

"Dengan adanya jalan ini, kami berjanji akan berusaha lebih gigih memajukan kebun getah dan tanaman lain," katanya.

Berita Harian sebelum ini melaporkan usaha syarikat pemaju hartanah yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Helang Biru Bumi Sdn Bhd (Helang Biru) membina semula jalan dari Sepulot ke Kampung Pensiangan.

Ini kerana syarikat itu bakal memajukan industri pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi dan projek penternakan kambing serta lembu di kawasan kira-kira 200 hektar di Kampung Siatoh, dekat sini.

Pengarah Urusannya, Rugayah Ali, dilaporkan berkata, pembinaan jalan menelan kos tinggi itu bertujuan memajukan kawasan terpencil berkenaan sebagai tarikan pelancong domestik dan antarabangsa yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Penduduk Kampung Pensiangan, Siguntang Ngilo, 46, berkata penduduk kampung terhutang budi kepada syarikat itu kerana dapat menumpang jalan yang dibina untuk tujuan komersial Helang Biru.

"Bayangkan, setiap kali kami pergi balik pekan kecil Salong dengan menaiki perahu, kami terpaksa habiskan RM80 untuk membeli petrol. Dengan nilai wang sama kalau kami menggunakan kenderaan darat, kami sudah boleh sampai ke Keningau.

"Susah untuk kami membawa hasil pertanian menggunakan perahu. Kalau arus terlalu deras, kami tidak dapat keluar. Kalau musim kemarau, sungai menjadi terlalu cetek dan tidak boleh dilalui perahu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan jalan berkenaan secara tidak langsung memberi galakan kepada penduduk untuk memajukan kebun masing-masing, selain memudahkan penduduk membawa pesakit ke klinik di pekan Nabawan atau hospital di Keningau berbanding terpaksa menggunakan perahu.

Sabah&Sarawak: Agensi kerajaan sukar kesan golongan miskin

Kekurangan staf punca ramai rakyat belum dapat bantuan

PENAMPANG: Masih ramai rakyat Sabah yang tergolong dalam kategori miskin dan kurang berkemampuan belum mendapat pembelaan daripada kerajaan berikutan ketidakmampuan agensi bertanggungjawab mengesan golongan itu secara menyeluruh.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata keadaan itu bagaimanapun bukan bermakna kerajaan tidak mengambil berat nasib golongan berkenaan atau meminggirkan mereka daripada senarai penerima bantuan.

Sebaliknya, beliau berkata masalah kekurangan kakitangan menyebabkan agensi terbabit sukar mengesan golongan miskin dan kurang berkemampuan, sekali gus menyebabkan ramai rakyat yang tergolong dalam kategori itu belum mendapat bantuan.

"Saya yakin masih ramai rakyat miskin dan kurang berkemampuan di negeri ini belum dikesan dan diberi bantuan sewajarnya disebabkan ketidakmampuan jabatan mengesan mereka di semua tempat.

"Sehubungan itu, pihaknya sudah melaksanakan pendekatan baru mengesan mereka dengan memperkenalkan Projek Cari di semua kawasan Parlimen menerusi bantuan wakil rakyat dengan harapan dapat menyenaraikan setiap rakyat miskin di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian pada program Hari Bertemu Pelanggan atau Projek Cari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Cawangan Penampang di Kampung Putaton, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan negeri, Donald Peter Mojuntin; Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri, Mohd Noor Wahab; Pegawai Kebajikan Penampang, Norhayati Abdul Rahman dan Ketua Kampung Putaton, Michael Kubot.

Dompok berkata, menerusi Projek Cari, kerajaan berharap dapat mengesan setiap rakyat miskin dan kurang berkemampuan serta menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan Jabatan Kebajikan.

"Kakitangan Jabatan Kebajikan akan turun padang di lokasi yang ditetapkan untuk menemuduga penduduk kampung dan menentukan sama ada mereka layak diberi bantuan atau sebaliknya.

"Dengan pendekatan ini, rakyat miskin dan kurang berkemampuan yang sebelum ini tercicir dapat disenaraikan dan diberikan bantuan," katanya.

Bagi Parlimen Penampang, beliau menyasarkan lebih 1,000 golongan miskin dan kurang berkemampuan dapat disenaraikan menerusi Projek Cari sepanjang tahun ini.

Jika sasaran itu tercapai, katanya, ia mencerminkan masih ramai rakyat miskin belum mendapat pembelaan.

"Penampang adalah kawasan pinggir bandar dan ramai penduduknya berpendapatan di bawah garis kemiskinan. Kita akan kaji kedudukan mereka bagi menentukan layak diberikan bantuan atau tidak," katanya.

Mengenai sama ada penduduk dari daerah lain yang menetap di Penampang boleh disenaraikan dalam Projek Cari, Dompok berkata, ia boleh dilakukan asalkan mereka warga negara Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kebajikan akan menyemak kelayakan penerima bantuan menerusi projek itu setiap tahun bagi memastikan mereka menepati syarat ditetapkan atau sebaliknya.

"Mungkin tahun ini mereka didapati layak tetapi tahun depan tidak lagi layak jika didapati taraf ekonomi mereka sudah meningkat. Langkah ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan," katanya.

Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor, Masridzi Sat, berkata semua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial. - Bernama

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 penuh semangat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional hari ini tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikannya.

Bertemakan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali di dalam sejarah sambutannya diadakan di Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi negara.

Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pembesar luar, hari ini diwarnai dengan persembahan peserta berpakaian warna warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak dengan seragam masing-masing.

Perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, tepat jam 8 pagi.

Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, tiba di perkarangan Parlimen.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.38 kilometer, bermula dari Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) hingga ke perkarangan Dataran Parlimen.

Kontinjen pelambai itu terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)seramai 210 orang, kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badan-badan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh tujuh warga pendidik diketuai Norazmi Baba yang mewakili kaum utama di Malaysia.

Bacaan ikrar turut diiringi 52 peserta yang juga warga pendidik, berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-52.

Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan dari pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.

Laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali, diikuti laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kemudian bergema di seluruh kawasan dan disambut orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilang-gemilang itu di kawasan luar Parlimen.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik "Malaysia Tanah Airku".

Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan lagi Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat yang menampilkan pelbagai gerak tari budaya.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan pembabitan kontinjen kanak-kanak sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati Ramadan. - Bernama

H1N1: Tiada kematian tetapi 99 kes baru ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kemataian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi dan angka korban kekal kepada 72 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 99 pesakit baru dengan gejala sakit seakan selesema (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 240 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,374 pesakit ILI sedang dirawat di 98 hospital termasuk empat hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 286 pesakit (21%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 286 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes adalah kemasukan baru, sementara empat lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 46 kes yang sedang dirawat di ICU, 32 (70%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post-natal/hamil (3), penyakit jantung (2), asthma (1) dan immuniti rendah (2).

Kekejaman Bintang Tiga




Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan

DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.

Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan.

“Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.

Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.



Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.

“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.

“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya. Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.

Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.


Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.

“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.

Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.

Sehubungan itu, katanya, Chin Peng tidak patut diberi peluang kembali ke negara ini biarpun perancang utama dan tulang belakang PKM itu sudah lanjut usianya.

“Bagaimana kita boleh memaaf dan melupakan kekejaman Chin Peng ketika itu. Dia bukan saja pencetus huru-hara bahkan menyebabkan ramai pejuang negara kehilangan anggota. Betapa menyedihkan keadaan tanah air ketika itu hingga tanah berbau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan dan mereput sendiri. Jelas kelihatan hutang darah dibayar darah, jika masih ada usaha membawa pulang pengkhianat itu, kami anggota keselamatan tidak akan berdiam diri,” katanya penuh semangat.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.

“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.

Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan cina.

“Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina. Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.

“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

Info

Kes keganasan komunis


  • Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

    Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah.

    Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

  • Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

    Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak.

    Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

  • Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

    Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

  • Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

    Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

  • Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

    Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

  • Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

    Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

  • Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

    Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

  • Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

    150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

  • Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

    Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

  • Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

    Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

  • Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

    Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

    Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

  • Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

    Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.
  • Sunday, August 30, 2009

    H1N1: Lelaki 49 tahun mangsa terbaru, 202 pesakit baru dirawat

    KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkat kepada 72 apabila seorang lagi mangsa lelaki berusia 49 tahun didaftarkan mati hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa mendapat rawatan di Hospital Melaka pada 13 Ogos lalu selepas mempunyai simptom demam dan batuk selama dua hari serta muntah.

    Beliau berkata, pesakit berkenaan sebelum ini dimasukkan ke wad dan mendapat rawatan antiviral influenza dan antibiotik serta merta tenat kerana masalah paru-paru.

    Katanya, beliau yang kemudian dipindahkan ke ICU meninggal dunia pada 19 Ogos lalu disebabkan pneumonia teruk dan H1N1.

    Laporan biopsi bedah siasat yang diterima mendapati sampel paru-paru mangsa positif Influenza A (H1N1) pada 24 Ogos lalu, tambahnya lagi.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang disiarkan di laman web http://h1n1.moh.gov.my di sini, hari ini.

    Sementara itu, sehingga jam 9 pagi tadi, 202 pesakit baru dengan tanda-tanda influenza-like illness (ILI) sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

    Bagaimanapun, 285 kes sudah didiscaj keluar, menjadikan baki 1,515 pesakit ILI sedangan dirawat di 97 hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara.

    Daripada jumlah itu, hanya 280 pesakit (19 peratus) yang disahkan positif H1N1, di mana 44 kes berada di ICU iaitu lima kes adalah kemasukan, tujuh lagi kes keluar dari ICU.

    Bagi 44 kes yang masih dirawat di ICU, 36 (82 peratus) mempunyai faktor risiko.

    Pecahan mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (3), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (4), asthma (3) dan imuniti rendah (2).

    Sabah & Sarawak: 400 tan gula tiba Rabu

    Bekalan untuk Sabah cukup hingga Aidilfitri

    KOTA KINABALU: Sebanyak 400 tan gula dijangka tiba di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini Rabu ini bagi memastikan bekalan bahan berkenaan mencukupi sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri hujung September ini.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Jaafar Walad, berkata bekalan itu tambahan kepada 220 tan gula yang masih dalam simpanan syarikat pemborong dan akan diagihkan ke seluruh Sabah mulai esok.

    “Bekalan itu mencukupi untuk pengguna seluruh Sabah. Yang penting, pengguna tidak terlalu tertekan dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya berlaku kekurangan gula. Kami memberi jaminan bekalan akan sentiasa dipantau dan jika ada kekurangan, langkah segera akan diambil.

    “Sejak timbul aduan bekalan gula berkurangan, kami sudah mengambil pelbagai langkah mengatasinya dan pemerhatian kami mendapati masalah itu kebanyakannya berlaku di pantai barat Sabah, manakala di pantai Timur sentiasa mencukupi,” katanya di sini semalam.

    Jaafar berkata, KPDNKK dengan kerjasama pemborong turut menyediakan stok mini gula di lokasi tertentu yang sering mengalami kekurangan bekalan yang akan diagihkan jika permintaan melebihi penawaran dan bekalan baru dari Semenanjung lewat tiba di negeri ini.

    “Pengguna tidak perlu terlalu bimbang dengan kekurangan bekalan gula. Asasnya bekalan memang cukup, cuma apabila ada pihak mendakwa bekalan kurang, pengguna mula panik,” katanya sambil menambah belum ada pemborong atau peruncit di Sabah dikenakan tindakan kerana menyorok gula setakat ini.

    Pengguna di Sabah yang ingin memberi maklum balas atau membuat aduan berkaitan bekalan gula diminta menghubungi Bilik Gerakan KPDNKK di talian 088-484500.

    Sabah & Sarawak: Dua mati diserang sakit jantung dalam tandas

    KOTA KINABALU: Seorang jururawat lelaki dan seorang pekerja restoran, masing-masing ditemui mati dipercayai akibat serangan penyakit jantung di dua tandas berbeza, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian pertama, jururawat terbabit, Nazarlus Michael Awang, 56, ditemui mati dalam tandas asrama Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Bukit Padang, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.

    Jurucakap polis berkata, sebelum ditemui mati, Nazarlus menghadiri kelas pada jam 8 pagi dan dipercayai pulang ke asrama untuk mengambil beg sebelum pulang ke rumahnya di sebuah taman di pinggir bandar raya ini.

    Bagaimanapun, isterinya yang menunggu di luar asrama itu bimbang apabila panggilan telefonnya tidak dijawab, lalu mengajak seorang rakannya melihat apa yang berlaku ke atas suaminya.

    Selepas puas mencari lelaki itu, si isteri dan rakannya mengesyaki Nazarlus berada dalam bilik air yang berkunci dari dalam.

    “Mereka terpaksa memecahkan pintu bilik air selepas panggilan tidak dijawab dan terkejut mendapati Nazarlus terbaring, lalu menghubungi ambulans serta polis. Siasatan awal mendapati lelaki itu mati dipercayai akibat serangan penyakit jantung. Polis klasifikasi sebagai mati mengejut.

    Sementara itu, dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Lintas di sini, pekerja restoran, Taya Gulam, 47, ditemui mati dalam tandas restoran berkenaan kira-kira jam 1 petang.

    Mayat Taya ditemui anaknya, Marda Abdullah, 20, yang turut berkerja di restoran berkenaan selepas pintu tandas dikopak apabila mendapati panggilannya tidak dijawab.

    Siasatan turut mendapati Taya mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu. Mayatnya dibawa ke QEH.

    Jadikan prinsip Kennedy inspirasi bina masa depan negara: Najib

    KUALA LUMPUR: Malaysia harus melihat apa yang ditinggalkan oleh negarawan ulung Amerika Syarikat, Senator Edward Ted Kennedy yang meninggal dunia, baru-baru ini supaya menjadi inspirasi kepada negara untuk membina masa depan lebih cemerlang, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, Kennedy menjadi ahli politik Amerika paling penting dan berpengaruh, mempunyai kesabaran untuk mendengar pelbagai pandangan, membina kesepakatan merentasi banyak kepentingan politik yang berbeza dan menggubal undang-undang yang masuk akal kepada rakyat Amerika.

    "Sebahagian daripada isu ini, bukan mudah bagi sesebuah negara untuk mencari jalan penyelesaian, namun seperti yang diperlihatkan dalam kehidupan Senator Kennedy, kadangkala kita perlu menerima cabaran kerja yang mustahil untuk dilaksanakan," katanya dalam laman web www.1Malaysia.com.my.

    Beliau mengakui, mengingati Kennedy dan prinsip yang dipegang tokoh politik itu memperbaharui pemikirannya mengenai idealisme bahawa dengan bersatu, Malaysia boleh menjadi negara lebih baik untuk generasi seterusnya.

    Najib berkata, menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia, negara harus terus mara dengan satu hala tuju baru demi kebaikan bersama.

    "Kita hendaklah menerima takdir kita dan bertanggungjawab bahawa kita ada kepentingan terhadap masa depan negara. Kita mesti menerima rasa tanggungjawab peribadi dan komitmen untuk mencorakkan Malaysia lebih cemerlang," katanya.

    Tindakan tegas jika sentuh isu sensitif

    KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan tindakan menyentuh sensitiviti sesuatu kaum dan agama.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan diambil tanpa mengira agama dan kaum bagi memelihara keselamatan rakyat serta keamanan negara.

    "Keutamaan saya ialah keselamatan rakyat dan negara yang berbilang kaum. Saya sudah mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menjejaskan prinsip berkenaan tanpa mengira kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

    Beliau mengulas tindakan 50 penunjuk perasaan berkumpul di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah kelmarin, sebagai membantah pemindahan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor.

    Mereka berada di pintu masuk 15 minit sebelum diarah bersurai oleh polis.

    Kumpulan itu yang mendakwa penduduk Seksyen 23 membantah pemindahan kuil yang kini terletak di Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka.

    Hishammuddin berkata, bantahan dengan membawa atau menggunakan sebarang lambang berkaitan agama adalah perbuatan yang tidak wajar.

    Beliau juga menegaskan tanah yang diberi kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil Hindu ke lokasi baru sebagai tidak sesuai kerana kediaman itu dihuni majoriti Melayu.

    Kesedaran cegah H1N1 rendah


    MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Ong Ka Ting yang juga Presiden MCA (dua dari kanan) meneliti poster dan kit-hygine sambil diperhatikan Liow (dua dari kiri) pada majlis Bersama Hentikan H1N1 di Wisma MCA, semalam.

    Kajian WHO mendapati negara ini perlu perhebat kempen

    KUALA LUMPUR: Kesedaran rakyat negara ini mengenai Influenza A (H1N1) dan langkah pencegahannya masih rendah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.

    Katanya, menerusi kajian seminggu yang dilakukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di beberapa tempat di seluruh negara mendapati, ramai responden masih tidak mengetahui siapa yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi terhadap H1N1.

    "Fakta ini mendedahkan, kita perlu memperhebatkan lagi kempen mencegah H1N1 melalui forum, kempen dan menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai H1N1 dan cara mencegahnya," katanya pada pelancaran Kempen Menghentikan H1N1 anjuran MCA, di sini, semalam.

    Kata Liow, setakat ini kempen yang paling berkesan adalah pemakaian topeng muka di tempat awam.

    Bagaimanapun, kajian seminggu itu mendapati Malaysia memiliki sistem dan pelan yang baik untuk menangani dan mengesan H1N1 pada peringkat awal.

    Walaupun berlaku kematian, Liow berkata, ia masih dalam jumlah yang dijangka WHO, namun WHO menyarankan lebih banyak katil di tempatkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana di sesetengah hospital kerajaan wad ICU terlalu sesak.

    Sementara itu Liow berkata, sehingga semalam, kes kematian berkaitan H1N1 kekal kepada 71 orang. Bagaimanapun, 442 pesakit baru dimasukkan ke wad kerana gejala Influenza Like Illness (ILL) di 107 hospital kerajaan termasuk empat hospital swasta.

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak 1,598 pesakit ILI dirawat setakat ini.

    Daripada jumlah itu hanya 365 saja disahkan positif H1N1.

    Liow berkata, daripada 365 yang disahkan positif H1N1, 48 orang dirawat di ICU dengan 37 daripada mereka adalah golongan berisiko tinggi.

    WHO dedah kemunculan Influenza A lebih teruk

    Virus serang paru-paru mangsa tak kira usia, terus tenat

    WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata pihaknya menerima laporan kemunculan virus selesema babi (H1N1) jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat serta perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

    Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan jatuh tenat.

    WHO ketika melaporkan perkembangan terkini wabak selesema babi menyatakan, sehingga 15 peratus pesakit dimasukkan ke hospital dengan virus H1N1 baru itu memerlukan penjagaan rapi, sekali gus meningkatkan lagi bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara.

    "Pada musim dingin di Hemisfera Selatan, beberapa negara mengakui keperluan menambah unit penjagaan rapi menjadi beban terbesar dalam perkhidmatan kesihatan.

    "Langkah persediaan mesti berupaya memenuhi tuntutan yang semakin meningkat terhadap unit penjagaan rapi selain memastikan ia mencukupi jika jumlah penghidap bertambah secara mendadak," kata WHO dalam laporannya.

    WHO sebelum ini melaporkan bahawa H1N1 sudah berada pada peringkat wabak di Jepun, sekali gus memberi isyarat kemungkinan berlakunya musim influenza yang panjang tahun ini dan memburukkan lagi keadaan di wilayah tropika.

    "Perkara paling jelas, kalangan doktor dari seluruh dunia sudah mula melaporkan jenis selesema babi paling teruk, menyerang golongan muda dan orang sihat, yang jarang dilihat ketika musim influenza.

    "Virus menyerang terus ke paru-paru pesakit dan menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Usaha menyelamatkan mereka memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi untuk tempoh lama dan menelan belanja besar," kata laporan itu lagi. - Reuters

    Saturday, August 29, 2009

    PBB bimbang H1N1 merebak ke burung

    ROM 28 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran wabak selesema babi yang dikesan menjangkiti ayam belanda di Chile baru-baru ini boleh menular kepada ternakan jenis unggas yang lain.

    Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB memberi amaran itu semalam dengan menggesa pemantauan lebih rapi dijalankan di seluruh dunia bagi mencegah virus influenza A (H1N1) bergabung dengan virus selesema burung, H5N1 yang lebih berbahaya.

    Menurut FAO, negara-negara membangun khususnya memerlukan kaedah tindak balas yang lebih baik sekiranya muncul gabungan kedua-dua jenis virus.

    Pakar berpendapat kemungkinannya adalah tipis bagi virus selesema babi bertukar-tukar gen dengan virus selesema burung tetapi mereka tidak menolak kemungkinan itu sama sekali kerana tindak balas virus selesema tidak dapat diramalkan.

    PBB berkata, pihaknya sangat bimbang jika selesema babi bergabung dengan selesema burung yang tidak mudah berjangkit seperti selesema babi tetapi jauh lebih berbahaya.

    Chile minggu lepas melaporkan, selesema babi telah merebak kepada ayam belanda, menimbulkan semula kebimbangan mengenai keupayaan virus H1N1 untuk menjangkiti spesies lain. - AP

    2,185 maut akibat H1N1

    29/08/2009 3:05am

    GENEVA 28 Ogos - Sekurang-kurangnya 2,185 orang terkorban akibat pandemik selesema babi sejak virus baru itu dikesan pada bulan April, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hari ini.

    Jumlah kematian terkini yang diletakkan di dalam laman web WHO menunjukkan peningkatan daripada 1,799 kematian sepanjang minggu lalu.

    Kebanyakan kematian direkodkan di benua Amerika yang mana 1,876 orang telah terkorban akibat jangkitan influenza A(H1N1).

    Di Asia Pasifik, 203 kematian telah direkodkan, diikuti Eropah dengan sekurang-kurangnya 85 kematian dicatatkan.

    Timur Tengah mencatatkan 10 kematian, manakala Afrika 11 kematian.

    Sementara itu, Cameroon, Madagascar dan Mozambique turut mencatatkan kematian pertama kes H1N1 sejak pengemaskinian terakhir.

    Keseluruhan 209,438 makmal mengesahkan jangkitan selesema babi dilaporkan kepada pihak penguat kuasa kesihatan global.

    Bagaimanapun, WHO berkata, anggaran terbaru itu mencatatkan jumlah penuh jangkitan-jangkitan setelah kes-kes individu tidak lagi diuji atau dilaporkan di setiap negara - AFP

    Rakyat Malaysia masih kurang faham mengenai H1N1

    29/08/2009 4:14pm

    KUALA LUMPUR 29 Ogos — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa kefahaman dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai wabak influenza A(H1N1) dan cara penularannya masih rendah.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan WHO yang diperoleh pada Khamis lepas menunjukkan orang awam masih tidak mengambil serius tentang bahaya penyakit ini, yang sekaligus menyebabkan peningkatan terhadap kes-kes H1N1.

    Beliau berkata daripada empat kempen yang dijalankan iaitu kempen pemakaian penutup mulut dan hidung, kebersihan diri, penggunaan pencuci tangan dan mencuci tangan, hanya kempen pemakaian penutup hidung dan mulut sahaja yang berjaya memberi kesedaran terbaik kepada orang ramai.

    “Sepanjang bulan Mei hingga Ogos, walaupun banyak kempen kesedaran mengenai langkah-langkah membendung Influenza A(H1N1) dilakukan, pengetahuan orang ramai masih rendah, termasuk golongan yang berisiko tinggi.

    “Kelihatannya maklum balas dan kesedaran orang ramai masih lagi rendah, Kita tidak mampu lagi untuk bersikap sambil lewa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Bersama Hentikan HINI” anjuran MCA di sini hari ini.

    Liow berkata Kementerian Kesihatan baru-baru ini meminta bantuan daripada WHO yang menghantar tiga pakarnya untuk membuat pemantauan mengenai pandemik di negara ini selain meninjau kempen publisiti yang dijalankan dan maklum balas orang ramai terhadap kempen.

    Katanya kementerian akan terus meningkatkan kempen kesedaran mengenai penyakit itu melalui forum, ceramah dan pameran dengan penyertaan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik dengan sokongan media massa.

    Liow berkata WHO berpuas hati dengan langkah proaktif pencegahan yang diambil oleh kerajaan dalam membendung wabak ini.

    “Mereka tahu kita mempunyai sistem yang peka dan berupaya menjejaki dan mengesan pesakit H1N1 dengan pantas. Kita boleh mengesan dan merawat mereka dengan cepat,” katanya.

    Katanya walaupun kadar kematian di Malaysia agak tinggi, ia masih di dalam lingkungan dan jangkauan WHO. Setakat ini angka kematian di Malaysia masih kekal pada 71 kes.

    Liow berkata WHO turut mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan supaya membina lebih banyak katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital seluruh negara bagi menampung kemasukan pesakit-pesakit golongan berisiko tinggi.

    “Cadangan daripada WHO ini akan dilaksanakan pihak kementerian kerana sesetengah hospital di negara ini mengalami kesesakan ekoran peningkatan mereka yang dirawat di dalam wad akibat H1N1,” katanya.

    Sementara itu, Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat ketika melancarkan kempen itu menggalakkan orang ramai, terutamanya masyarakat Cina menggunakan sudu hidangan ketika makan, sebagai satu langkah mengawal penularan virus H1N1.

    “Adab di meja makan terutamanya masyarakat Cina harus diubah daripada penggunaan kayu penyepit untuk makan dan mengambil makanan kepada menggunakan sudu hidangan,” katanya.

    Pada majlis itu, Ong turut menyampaikan pek kebersihan yang mengandungi sabun, pencuci tangan dan poster kepada Pengerusi-pengerusi Perhubungan MCA negeri-negeri.

    — BERNAMA

    Korban wabak selesema babi kekal 71 orang

    KUALA LUMPUR: Tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes korban wabak itu di negara ini kekal 71 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

    Katanya, 218 pesakit daripada 1,509 yang dirawat di hospital seluruh negara, disahkan dijangkiti virus itu.

    Daripada 218 kes itu, katanya 48 berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 40 atau 83 peratus mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik seramai tujuh kes, obesiti (13), kanak-kanak/bayi (tujuh), selepas bersalin/hamil (tiga), penyakit jantung (empat), kegagalan ginjal (dua) dan asma (empat).

    Beliau berkata, sehingga jam 9 pagi semalam, sejumlah 391 pesakit baru dengan gejala seperti penyakit influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 293 kes sudah dibenarkan keluar.

    Gempa bumi sederhana di Sumatera

    KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter dikesan berlaku di barat daya Sumatera, Indonesia pada 12.13 tengah hari ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Metereologi, gempa bumi itu berlaku di 145 km barat Siberut, Indonesia dan 630 km barat daya Klang, Selangor.

    Gempa bumi itu berpusat di latitud 1.2 darjah selatan dan longitud 97.7 darjah timur. - Bernama

    Sediakan sanitizer, penutup mulut dan hidung kepada penumpang: Liow

    KUALA LUMPUR: Menjelang perayaan Aidilfitri bulan depan, Kementerian Kesihatan meminta pengusaha pengangkutan awam termasuk bas ekspres supaya menyediakan ‘sanitizer’ pada kenderaan masing-masing selain mengedarkan penutup hidung dan mulut kepada penumpang sebagai langkah mencegah penularan wabak Influenza A (H1N1).

    Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setiap kali menjelangnya musim perayaan, kawasan perhentian bas dan kereta api menjadi tumpuan mereka yang hendak pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan pengangkutan awam.

    Oleh itu, langkah menyediakan sanitizer dan penutup hidung dan mulut dapat meyakinkan pengguna mengenai langkah berjaga-jaga yang diambil pengusaha pengangkutan awam berkenaan.

    "Kita minta mereka (pengusaha) menyediakan sanitizer dan langkah ini menunjukkan kepada penumpang mereka bahawa mereka (pengusaha) mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai pencegahan penyakit ini," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran kempen Bersama Hentikan H1N1 anjuran MCA di sini, hari ini.

    Mengulas kebimbangan orang ramai mengenai “gelombang kedua” penularan wabak Influenza A (H1N1) akhir tahun ini yang dikatakan akan meragut lebih banyak nyawa, Liow memberi jaminan bekalan ubat antiviral untuk rawatan penyakit itu adalah mencukupi bagi menampung keperluan pesakit di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta.

    "Kita sudah adakan perbincangan dengan pengeluar ubat antiviral dan kita pastikan bekalan ubat itu mencukupi," katanya.

    Terdapat tiga syarikat yang membekalkan antiviral Tamilflu bagi menampung keperluan pasaran tempatan iaitu Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), Royce Pharma Manufacturing Sdn Bhd dan Ranbaxy (M) Sdn Bhd. - Bernama

    H1N1: 365 positif, tiada kematian baru didaftarkan

    KUALA LUMPUR: Seramai 365 pesakit disahkan dijangkiti pandemik Influenza A(H1N1) dan tiada kematian baru didaftarkan hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 71 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

    Beliau berkata, daripada jumlah yang disahkan positif H1N1 itu, sebanyak 48 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lapan kes adalah kemasukan baru sementara lapan lagi sudah dikeluarkan dari ICU.

    Katanya, daripada 48 kes yang berada di ICU, sebanyak 37 atau 77 peratus pesakit terdiri daripada mereka yang mempunyai faktor risiko termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik (7), obesiti (13), kanak-kanak dan bayi (6), selepas bersalin dan hamil (3), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (1) dan asma (4).

    Dr Mohd Ismail berkata, sehingga 9 pagi ini, sejumlah 442 pesakit baru dengan gejala "influenza-like-illness" (ILI) sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 353 dibenarkan keluar hospital.

    "Baki seramai 1,598 pesakit ILI sedang dirawat di 107 hospital termasuk empat hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan berhubung situasi semasa wabak H1N1 di negara ini, hari ini.

    Dr Mohd Ismail berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 masih lagi aktif dan setakat hari ini, sebanyak 246,173 kes direkodkan dengan angka kematian mencecah 2,890 orang membabitkan 182 negara.

    "Bagaimanapun, angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan semua negara melaporkan bilangan kes," katanya.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti mengunjungi tempat tumpuan ramai bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada jangkitan dan saling mengingatkan individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam.

    Katanya, jika perlu untuk mengunjungi tempat itu, mereka dinasihatkan supaya mengurangkan tempoh masa berada di kawasan berkenaan dan memakai penutup hidung dan mulut.

    Dr Mohd Ismail juga meminta orang ramai supaya memberikan kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak itu. - Bernama

    Rakyat Malaysia tidak ambil serius bahaya H1N1: Liow

    KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa kefahaman dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai wabak influenza A(H1N1) dan cara penularannya masih rendah.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laporan WHO yang diperoleh pada Khamis lalu menunjukkan orang awam masih tidak mengambil serius tentang bahaya penyakit ini, yang sekaligus menyebabkan peningkatan kes H1N1.

    Beliau berkata, daripada empat kempen yang dijalankan iaitu kempen pemakaian penutup mulut dan hidung, kebersihan diri, penggunaan pencuci tangan dan mencuci tangan, hanya kempen pemakaian penutup hidung dan mulut saja yang berjaya memberi kesedaran terbaik kepada orang ramai.

    "Sepanjang bulan Mei hingga Ogos, walaupun banyak kempen kesedaran mengenai langkah membendung Influenza A(H1N1) dilakukan, pengetahuan orang ramai masih rendah, termasuk golongan yang berisiko tinggi.

    "Kelihatannya maklum balas dan kesedaran orang ramai masih lagi rendah, Kita tidak mampu lagi untuk bersikap sambil lewa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen "Bersama Hentikan H1N1" anjuran MCA di sini, hari ini.

    Liow berkata, Kementerian Kesihatan baru-baru ini meminta bantuan daripada WHO yang menghantar tiga pakarnya untuk membuat pemantauan mengenai pandemik di negara ini selain meninjau kempen publisiti yang dijalankan dan maklum balas orang ramai terhadap kempen.

    Katanya, kementerian akan terus meningkatkan kempen kesedaran mengenai penyakit itu melalui forum, ceramah dan pameran dengan penyertaan badan bukan kerajaan dan parti politik dengan sokongan media massa.

    Liow berkata, WHO berpuas hati dengan langkah proaktif pencegahan yang diambil oleh kerajaan dalam membendung wabak ini.

    "Mereka tahu kita mempunyai sistem yang peka dan berupaya menjejaki dan mengesan pesakit H1N1 dengan pantas. Kita boleh mengesan dan merawat mereka dengan cepat," katanya.

    Katanya, walaupun kadar kematian di Malaysia agak tinggi, ia masih di dalam lingkungan dan jangkauan WHO. Setakat ini angka kematian di Malaysia masih kekal pada 71 kes.

    Liow berkata, WHO turut mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan supaya membina lebih banyak katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital seluruh negara bagi menampung kemasukan pesakit golongan berisiko tinggi.

    "Cadangan daripada WHO ini akan dilaksanakan pihak kementerian kerana sesetengah hospital di negara ini mengalami kesesakan berikutan peningkatan mereka yang dirawat di dalam wad akibat H1N1,” katanya.

    Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat ketika melancarkan kempen itu menggalakkan orang ramai, terutamanya masyarakat Cina menggunakan sudu hidangan ketika makan, sebagai satu langkah mengawal penularan virus H1N1.

    "Adab di meja makan terutamanya masyarakat Cina harus diubah daripada penggunaan kayu penyepit untuk makan dan mengambil makanan kepada menggunakan sudu hidangan," katanya.

    Pada majlis itu, Ong turut menyampaikan pek kebersihan yang mengandungi sabun, pencuci tangan dan poster kepada Pengerusi-pengerusi Perhubungan MCA negeri-negeri. - Bernama

    Friday, August 28, 2009

    Sabah & Sarawak: Perhentian bas jadi 'kandang' lembu

    Pemilik ternakan susahkan penduduk

    KOTA BELUD: Sikap segelintir penduduk di daerah ini membiarkan ternakan mereka, terutama lembu berkeliaran menimbulkan masalah apabila perhentian bas yang baru siap dibina menjadi ‘kandang’ baru haiwan berkenaan.

    Terbaru, perhentian bas di Jalan Lintas Kudat yang menghubungkan Kota Belud-Kudat berhampiran Kampung Jawi-Jawi yang mula beroperasi tiga bulan lalu, dikesan menjadi tempat ternakan itu berteduh daripada panas dan hujan.

    Keadaan itu dengan sendirinya membuatkan kemudahan awam disediakan kerajaan sia-sia kerana ia sepatutnya dimanfaatkan rakyat dan bukan ternakan, sekali gus mencerminkan pembaziran wang rakyat.

    Sikap penduduk setempat yang dipercayai membiarkan ternakan berkeliaran di jalan raya untuk mencari makanan turut menyumbang kepada perhentian bas menjadi kandang ternakan.

    Seorang penduduk Kampung Jawi-Jawi, di sini, Saya Dogong, 55, mendakwa terpaksa menunggu bas di tengah panas terik matahari kerana perhentian bas berkenaan dipenuhi lembu ‘berehat’.

    “Ada lembu berkenaan bertindak ganas menanduk atau mengejar individu yang cuba mengusir haiwan berkenaan, menyebabkan penduduk tiada pilihan kecuali menunggu kenderaan awam di tengah panas dan hujan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

    Tinjauan mendapati sekurang-kurangnya tiga perhentian bas di laluan Jalan Lintas Kudat menjadi sasaran tempat lembu berteduh iaitu di Kampung Jawi-jawi, Labuan, Wakap dan Sembirai.

    Malah, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan berpunca daripada pemandu cuba mengelak lembu yang berkeliaran di jalan raya itu, selain ada kenderaan merempuh ternakan berkenaan.

    Seorang penduduk Kampung Wakap, Amzani Basirin, 33, berkata tabiat buruk yang memandang mudah tanggungjawab ke atas ternakan itu wajar dihentikan demi kepentingan awam, terutama pengguna jalan raya.

    “Lembu berteduh di perhentian bas bukan saja mencacatkan pemandangan, mengakibatkan kemalangan jalan raya dan pengguna sukar mencari tempat menunggu bas, malah ia turut menjejaskan sektor penternakan kerana haiwan berkenaan tidak produktif,” katanya.

    Tan Sri Azizan Ariffin dilantik PAT

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Azizan Ariffin, akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) menggantikan penyandang Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang akan bersara 1 September ini.

    Pelantikan itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebentar tadi.

    Gempa bumi dasar laut gegar timur Indonesia

    JAKARTA: Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa bumi dasar laut berukuran 6.8 pada skala Richter menggegar timur Indonesia pagi ini.

    Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata tiada tsunami terhasil akibat gempa itu.

    USGS menyatakan gempa itu berlaku di Laut Banda pagi ini pada kedalaman 600 kilometer di luar pantai Pulau Sulawesi.

    Tidak diketahui sama ada gegaran gempa itu dirasai di daratan atau berlaku kerosakan atau kecederaan.

    Pusat gempa ialah 200 kilometer dari bandar Bauba dan 275 kilometer dari kawasan yang didiami di Pulau Flores. - AP

    Tiada kes kematian baru H1N1


    AMIL Masjid Bandar Jalan Tun Perak, Abdul Halim Yatim (kanan) menerima zakat fitrah yang dibayar Md Yasin Md Som, di Masjid Jamek Kuala Lumpur, semalam.

    Jumlah maut Influenza A kekal 71 orang

    KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat jangkitan Influenza A (H1N1) kekal 71 orang sehingga semalam selepas tiada kes kematian baru dicatatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

    Beliau berkata, seramai 259 kes disahkan H1N1 semalam dengan 53 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Daripada 53 kes, 41 mempunyai faktor risiko dengan 17 daripadanya mempunyai penyakit kronik, obesiti (14), kanak-kanak/bayi (tujuh), selepas bersalin/hamil (dua) dan Sindrom Down (satu).

    Beliau berkata, 260 pesakit baru dengan gejala sama seperti influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 312 sudah dibenarkan keluar, menjadikan seramai 1,394 pesakit ILI dirawat di 94 hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara.

    Katanya, langkah membendung penularan H1N1 tidak akan berkesan jika masih ada gejala ILI ringan, tetapi enggan mematuhi saranan tidak mengunjungi tempat yang sesak.

    "Langkah paling bijak adalah berehat di rumah dan jika terpaksa mengunjungi tempat awam mereka hendaklah memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa," katanya.

    Prof Ismail Salleh meninggal akibat serangan jantung


    SYAKIR Hanis (dua dari kanan) bersama kakak dan abang menyiram air mawar di pusara bapa di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, semalam.

    Pakar ekonomi dalam penerbangan pulang selepas mesyuarat di China

    KAJANG: Pakar ekonomi, Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan dari China ke Singapura, awal pagi semalam.

    Isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya mendapati Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlentuk kepalanya ke atas bahunya.

    "Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Ba'alwie di Jalan Lewis di sini sementara menunggu jenazah Ismail diuruskan.

    Hasnah berkata, suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira 2.30 pagi iaitu kira-kira sejam suku sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

    Beliau berkata, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

    Dr Ismail Md Salleh

    Mereka bertolak 25 Ogos dan pulang malam 26 Ogos serta dijadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi.

    Sebaik tiba di Singapura, jenazah Ismail dibawa ke Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

    Jenazah kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat ke Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

    Hasnah berkata, jenazah suaminya akan dibawa ke rumah mereka di Kajang.

    Beliau terkilan kerana arwah suaminya tidak sempat melihat majlis perkahwinan pertama anak mereka pada hujung tahun ini.

    Abangnya, Zakaria Md Salleh, 64, berkata adiknya memang mempunyai penyakit buah pinggang dan beliau mengetahui mengenai kematian Allahyarham jam 3 pagi selepas dihubungi seorang anaknya.

    Di KAJANG: Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kantan, di sini, pada jam 10.30 malam tadi.

    Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan sekali lagi selepas solat tarawih sebaik tiba di rumahnya kira-kira jam 9 malam dari Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.

    Thursday, August 27, 2009

    Sabah & Sarawak: 'Rumah kolam kumbahan'


    WARGA emas penempatan atas air Kampung Sembulan merenung lautan sampah yang menjadi pemandangan harian penduduk kampung berkenaan.

    KOTA KINABALU: Sayup azan berkumandang dari masjid berhampiran menandakan masuk waktu berbuka. Suasana langit bertukar jingga dapat dilihat dari celah dinding kayu kediaman sambil sesekali alunan air laut pasang memukul tiang rumah.

    Senarionya sempurna untuk menikmati juadah bersama keluarga selepas seharian berpuasa, namun jika dialih pandangan ke luar jendela, ada kemungkinan selera makan terhenti tiba-tiba dan lapar serta dahaga tidak lagi diutamakan.

    Lautan sampah-sarap mengelilingi kehidupan penduduk di penempatan atas air Kampung Sembulan. Carilah apa saja - plastik, botol, sisa makanan, kayu binaan, pakaian, tayar dan tin buruk - semuanya ada dengan jarak kurang satu meter.

    Malah, tidak keterlaluan jika kawasan berkenaan diibaratkan ‘kolam kumbahan terbuka’ yang dipenuhi najis dan sisa domestik dari tandas serta dapur setiap rumah berikutan ketiadaan sistem kumbahan untuk mengalirkan bahan buangan secara sempurna.

    Selamat datang ke `kampung sampah'. Masih berselera menikmati hidangan?

    Ketika seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aboy ditanya sama ada persekitaran itu mengganggunya, beliau memandang lautan sampah-sarap mengelilinginya dan menyoal kembali: "Apa yang tidak kena? Macam biasa saja saya tengok."

    Biasa baginya sebagai penghuni di situ, tetapi janggal bagi masyarakat luar yang tidak sanggup hidup dikelilingi sampah.

    Ketika penulis berjalan di pelantar yang menghubungkan rumah ke rumah, seorang penduduk dilihat mencampak sebaldi sampah menerusi tingkap dapur ke luar tanpa riak bersalah atau prihatin terhadap kemungkinan penularan pelbagai penyakit terutama denggi dan Influenza A (H1N1) yang rakus menyerang ketika ini.

    Persekitaran itu bertentangan dengan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencapai misi menjadikan bandar raya kawasan bebas sampah, ditambah dengan lokasi Kampung Sembulan hanya satu kilometer (km) dari pusat bandar dan dikelilingi projek pembangunan komersial seperti Harbour Square dan South China Sea Place.

    Tinjauan Berita Harian mendapati, beberapa pusat pengumpulan sampah tersedia di sepanjang jambatan, selain pusat pengumpulan khas DBKK di daratan sebagai kemudahan penduduk membuang sampah.

    DBKK turut menyediakan pusat pembelian semula sampah kitar semula sebagai galakan kepada penduduknya membersihkan kawasan tetapi tetap tiada perubahan.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan DBKK, Robet Lipon, berkata pihaknya turut menyediakan tong sampah di setiap hujung lorong masuk ke penempatan itu bagi kemudahan penduduk.

    "Sudah banyak program kesedaran dianjurkan di kampung itu dan yang terbaru bulan lalu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Malangnya, hanya kanak-kanak menyertai program.

    "Pernah jawatankuasa dibentuk bagi mengutip sampah dari pusat pengumpulan di setiap simpang jambatan tetapi gagal kerana penduduk enggan membayar bil perkhidmatan bulanan.

    "Mereka lebih suka membuang sampah dari tingkap terus ke air dan hidup dikelilingi sampah.

    "Lokasinya di kawasan bandar menyebabkan ia mudah dilihat. DBKK sentiasa melaksanakan tugasnya, kini terpulang kepada penduduk sama ada mahu berubah atau hidup diselubungi sampah sepanjang masa," katanya.

    Sabah & Sarawak: Masalah bekalan air diatasi 2010


    ABDUL Rahman disambut penduduk sempena Pesta Perahu Naga dan Perahu Berhias di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, kelmarin.

    KOTA BELUD: Masalah ketiadaan bekalan air paip di daerah ini akan ditangani sepenuhnya menjelang 2010 dan permohonan mendapatkan peruntukan RM30 juta yang diperlukan bagi membiayai kos membaiki serta menggantikan saluran paip dari Loji Kampung Bayayat sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

    Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata janji itu akan ditunaikan sebaik peruntukannya diluluskan kerajaan.

    "Pemeriksaan mendapati paip sedia ada tidak mampu menampung tekanan air dari loji Kampung Bayayat.

    "Justeru, saya sudah menyerahkan kertas kerja permohonan peruntukan RM30 juta bagi tujuan itu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pesta Perahu Naga dan Perahu Berhias di Kampung Kuala Abai di sini, kelmarin.

    Kegiatan berkenaan dianjur oleh Komuniti Bistari Kampung Kuala Abai dan Jabatan Penerangan Kota Belud.

    Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud, Mohd Najib Muntok; Penolong Pengarah Cawangan Komuniti Bistari Sabah, Harun Madasa; Pegawai Penerangan Kota Belud, Durahim Zaman; dan Pengerusi Komuniti Bistari Kuala Abai, Sharifah Gundah.

    Abdul Rahman berkata, loji air baru di Kampung Bayayat bernilai RM55 juta itu sudah beroperasi, namun tidak dapat membekalkan sepenuhnya bekalan air kepada penduduk berikutan faktor keadaan fizikal kemudahan yang ada.

    Malah, katanya, paip berkenaan kerap pecah setiap kali Jabatan Bekalan Air Kota Belud mengepam air dari loji ke kampung di seluruh daerah itu.

    Sabah & Sarawak: 15 sukarelawan Raleigh International sertai projek pasang paip graviti


    SUKARELAWAN Raleigh mengangkut peralatan membina sistem paip graviti ke dalam hutan.

    RANAU: Seramai 15 sukarelawan Raleigh International merangkumi belia pelbagai negara menyertai projek pemasangan paip graviti di Kampung Ratau dan Kamburongoh, di sini, yang ditaja syarikat pengeluar minuman Coca-Cola Malaysia.

    Projek berkenaan bagaimanapun berbeza dengan pemasangan paip graviti biasa dilaksanakan sukarelawan Raleigh di Sabah terdahulu.

    Projek kali ini bertumpu kepada usaha membina sistem paip graviti baru bagi menggantikan sistem sedia ada yang tercemar.

    Kedua-dua kampung berkenaan sudah memiliki sistem paip graviti tetapi punca air yang digunakan didapati tercemar dengan sisa buangan yang dialir dalam sistem perparitan dari sebuah ladang berhampiran.

    Pencemaran itu menyebabkan air yang memasuki sistem paip graviti penduduk kedua-dua kampung tidak selamat digunakan dan terpaksa dihentikan demi kesihatan penduduk kampung.

    Bagi mengatasinya, sukarelawan Raleigh mencari punca air baru yang bersih dan membina takungan serta memasang sistem paip graviti baru untuk kemudahan penduduk di kedua-dua kampung yang disiapkan dalam masa lima minggu.

    Penyiapan projek itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, baru-baru ini.

    Pengurus Projek Raleigh, Alice Ruddenklau, dari New Zealand berkata, selain membantu penduduk di kedua-dua kampung menikmati bekalan air bersih, sukarelawan Raleigh juga berpeluang mendalami budaya dan kemesraan penduduk Sabah khususnya masyarakat di Ranau.

    Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam Coca-Cola Malaysia, Kadri Talib, berkata syarikat itu menyumbang RM250,000 untuk melaksanakan pelbagi projek sosial di negeri ini yang dianggarkan memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk.

    "Peruntukan ini membolehkan kita melaksanakan lebih banyak projek pembekalan air kepada penduduk luar bandar di pedalaman negeri ini. Syarikat memberikannya dalam bentuk peralatan seperi tangki, paip dan alat lain yang diperlukan untuk membina sistem air," katanya.

    Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri menghargai sumbangan sukarelawan Raleigh dan Coca-Cola bukan saja dalam kerja kemasyarakatan yang dilakukan di kampung, malah terhadap aktiviti pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan di kawasan dilindungi di negeri itu.

    Selepas ini, sukarelawan berkenaan akan menyertai ekspedisi merentas hutan, cabaran hidup dan aktiviti air selama lima minggu di Kiulu, Tuaran.

    Sabah & Sarawak: 100 peserta PPMS diami Projek Bantuan Rumah

    PULAU BANGGI (Kudat): Jaminan kualiti hidup yang diberi kepada peserta projek Agropolitan kini tercapai apabila kemudahan rumah menerusi Projek Bantuan Rumah (PBR) untuk 100 peserta fasa pertama Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) di Pulau Banggi, Kudat, sudah didiami.

    Malah, pelbagai rintangan dihadapi Felcra Berhad untuk memastikan projek ini berjaya termasuk penyediaan bekalan air bersih dan elektrik dapat diharungi selepas kira-kira dua tahun projek itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos 2007.

    Bagi 100 peserta PPMS di sini, pencapaian Felcra itu adalah pemberian tidak ternilai kerana ia membolehkan mereka turut mengecap pembangunan dan kemajuan seperti rakyat lain, sejajar 52 tahun negara merdeka.

    Selepas puluhan tahun tidak pernah menikmati bekalan elektrik dan air paip melainkan sumber dari telaga, kira-kira 100 peserta yang terbabit dalam PPMS di pulau itu menarik nafas lega kerana dapat hidup dalam suasana lebih selesa.

    Ketua Peserta PPMS, Abdullah Sulaiman, 45, berkata rumah dilengkapi bekalan air dan elektrik itu adalah sumbangan kerajaan yang tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat.

    "Sekarang kami tidak perlu risau jika hujan atau panas. Air yang keluar dari paip pun sudah tentu bersih dan kami tidak akan lupakan sumbangan kerajaan ini.

    "Ini adalah lembaran baru dalam hidup kami. Kami tidak pernah terbayang akan memiliki semua ini, malah sebelum ini kami takut mengenangkan masa depan anak-anak.

    "Oleh itu, kehadiran projek mega di pulau ini sangat dialu-alukan kerana kami memerlukan perhatian daripada kerajaan. Kami mahu lebih banyak kemudahan dan pembangunan dibawa ke pulau ini," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

    Abdullah yang mempunyai 10 anak berusia dua hingga 17 tahun berkata, beliau sekeluarga hidup serba daif sebelum ini kerana pendapatan sebagai nelayan banyak bergantung kepada cuaca.

    Pembinaan 100 rumah bagi fasa satu PPMS dibina di kawasan seluas 11.5 hektar dengan kos kira-kira RM3 juta manakala penerima turut bekerja di ladang getah di pulau itu yang dikendalikan Felcra.

    Talhaja Junaidal, 49, yang juga ibu tunggal, berkata beliau gembira dapat mendiami rumah mempunyai bilik, bekalan elektrik dan air.

    "Rumah ini sesuai untuk saya dan tiga anak termasuk seorang yang tergolong dalam orang kurang upaya (OKU). Rumah lama dulu di Kampung Kobung, Karakit hanya ada telaga.

    "Syukurlah sekarang saya boleh dapat RM500 atau lebih sebulan selepas bekerja di ladang getah projek Agropolitan sejak hujung tahun lalu," katanya.

    Selain program PPMS, pelbagai pembangunan diperolehi penduduk di pulau itu selepas projek Agropolitan dilaksanakan yang dikendalikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Ogos 2007.

    Setakat ini, seramai 29 penduduk tempatan dilantik sebagai kakitangan pentadbiran Felcra Berhad di Pulau Banggi membabitkan jawatan seperti penjaga ladang hingga perkeranian yang menerima pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sebulan.

    Pada masa sama, seramai 302 penduduk diambil sebagai pekerja ladang dengan purata pendapatan RM500 hingga RM1,000 sebulan.

    Kebanyakan mereka sebelum ini adalah nelayan dengan perolehan kurang RM300 sebulan, malah ada di kalangan mereka langsung tidak bekerja.

    Timur: Lancar program penerangan H1N1

    KUANTAN: Penularan wabak Influenza A (H1N1) kini dilaporkan pada tahap membimbangkan tetapi masih ramai warga bandar ini masih enggan mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan kerajaan.

    Menyedari hakikat itu maka beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini bergabung melancarkan Program Penerangan Kesedaran H1N1 di pusat beli belah Kuantan Parade, di sini, kelmarin.

    Antara NGO itu ialah Kelab Program Sihat Tanpa Aids (Prostar), Kelab Nismo, Kelab Tripple K, Kelab Tomoi Bukit Kuantan, Persatuan Bulan Sabit daerah ini.

    Seramai 160 ahli sukarelawan NGO berkenaan mengedarkan 1,500 topeng muka serta 2,000 risalah dan 250 kemeja-t mengenai wabak H1N1 kepada pengunjung pusat beli belah itu.

    Seorang ahli sukarelawan itu, Mohd Rosmi Mohamad, 33 berkata, langkah menganjurkan program itu dilaksanakan selepas pihak NGO negeri ini menyedari kurangnya tahap kesedaran di kalangan orang ramai terhadap bahaya H1N1.

    "Masih ramai warga bandar ini tidak menggunakan topeng penutup muka ketika berada di tempat awam yang sesak termasuk di bazar Ramadan dan pusat beli belah," katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Kerja Kelab Prostar itu berkata, program berkenaan dilakukan bagi memberi lebih pendedahan kepada orang ramai mengenai langkah pencegahan H1N1 serta kaedah untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

    Sementara itu, seorang pengunjung pusat beli belah itu, Shalmisyam Shahudin, 31, yang turut menyertai program itu bersama anaknya Shahira Amran, 3, berkata, program itu sememangnya memberi manfaat kepada orang ramai.

    "Mungkin masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui sepenuhnya kaedah dan cara pencegahan diri daripada dijangkiti wabak itu dengan adanya program ini ia juga memberi kesan dalam usaha untuk mencegah penularan wabak itu,

    "Namun, saya akan memastikan anak dan ahli keluarga sentiasa selamat daripada dijangkiti wabak termasuk mengenakan topeng muka setiap masa untuk keluar dari rumah dan mencuci tangan apabila pulang ke rumah," katanya yang juga seorang suri rumah.

    Zulkifli Senek, 29, pula berkata kaedah pencegahan dan bahaya jangkitan wabak H1N1 yang diterangkan dalam program bergerak itu mudah difahami serta dilihat memberi kesan kepada orang ramai

    "Kaedah yang digunakan mereka sama seperti seorang jurujual yang sedang mempromosikan sesuatu produk jualan langsung di pusat beli belah kaedah itu bagi saya memberi kesan positif serta mampu menarik perhatian orang ramai.

    "Tindakan yang dilaksanakan itu tepat pada masanya kerana ketika ini orang ramai sememangnya sibuk dengan urusan harian termasuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri di pusat beli belah dan mudah terdedah dengan risiko dijangkiti penyakit berkenaan," katanya.

    Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, dan dalam ucapannya, beliau menegaskan supaya orang ramai lebih serius bekerjasama untuk membanteras penularan wabak H1N1.

    "Kesedaran masyarakat di negeri ini perlu dipertingkatkan dan program penerangan seperti ini perlu dilakukan secara berterusan," katanya dalam ucapan ketika majlis perasmian itu.

    Senator Dr Ismail Salleh meninggal dunia


    Senator Prof Datuk Dr Ismail Salleh

    KUALA LUMPUR: Tokoh akademik dan ekonomi negara, Senator Prof Datuk Dr Ismail Salleh, meninggal dunia ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura pada jam 3.50 pagi tadi.

    Jenazah beliau kini berada di Hospital Changi Singapura dan dijangka dibawa pulang ke Kajang untuk disemadikan.

    H1N1: Tiada kematian baru dilaporkan

    KUALA LUMPUR: Tiada kematian berkaitan Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi dan bilangan korban kekal pada 71 mangsa.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 260 pesakit baru dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 312 kes telah dibenar keluar.

    "Ini menjadikan baki seramai 1,394 pesakit ILI sedang dirawat di 94 buah hospital termasuk 5 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 259 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

    Dr Mohd Ismail berkata, daripada 259 kes yang disahkan H1N1, 53 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana 8 kes adalah kemasukan baru manakala empat lagi kes dipindah keluar dari ICU. Katanya, daripada 53 kes yang sedang dirawat di ICU, 41 (77%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (17), obesiti (14), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2) dan Sindrom Down (1).

    Wednesday, August 26, 2009

    Tiada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, KLCC

    KUALA LUMPUR: Tiada sebarang sambutan ambang merdeka akan diadakan di dua lokasi utama sambutan itu seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu di Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi menghormati Ramadan selain berjaga-jaga terhadap penularan Influenza A(H1N1) yang semakin meningkat.

    Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang sambutan di sekitar ibu kota.

    "Tiada sambutan ambang merdeka seperti konsert, percikan bunga api dan countdown (kiraan detik masa) akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di lokasi utama di Dataran Merdeka seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Sementara itu, jurucakap Petronas berkata sambutan ambang merdeka bagi mengira detik 12 tengah malam tidak akan dilakukan di Taman KLCC kerana pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

    "Pihak kami ada mengibarkan bendera Malaysia yang boleh dilihat di dalam dan luar bangunan KLCC bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 ini, selain sebuah papan iklan dengan 'tagline' 1Warisan 1Matlamat di hadapan bangunan menara berkembar," katanya.

    Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, baru-baru ini mengumumkan lokasi bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang sebelum ini dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, ditukar ke Dataran Parlimen atas sebab yang sama. - Bernama

    H1N1: Dialog menteri, doktor swasta esok

    KUALA LUMPUR: Dialog antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan pengamal perubatan swasta mengenai pengendalian kes influenza A(H1N1) akan diadakan esok di kementerian berkenaan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata semua pengamal perubatan swasta amat digalakkan untuk hadir ke taklimat bagi memperjelas mengenai pengendalian kes penyakit serupa influenza (ILI) yang disyaki influenza A(H1N1).

    "Dialog berkenaan dijadual diadakan pada jam 3 petang di Bilik Gerakan Kementerian Kesihatan, Aras 4, Blok E7, Parcel E, Putrajaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sabah&Sarawak: Kadar zakat fitrah di Sabah ditetap RM6.60

    KOTA KINABALU: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Sabah tahun ini ditetapkan pada kadar RM6.60 seorang, berkurangan 14.28 peratus atau RM1.10 berbanding RM7.70 tahun lalu.

    Penurunan itu adalah yang pertama sejak tiga tahun lalu selepas kenaikan di antara empat hingga 48 peratus, iaitu daripada RM5 pada 2006 kepada RM5.20 pada 2007 dan RM7.70 tahun lalu.

    Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata kadar itu diputuskan Majlis Tertinggi Muis berasaskan harga semasa satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras di Sabah.

    Berikutan penurunan itu, katanya, Muis mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.6 juta dengan sejuta pembayar tahun ini, berbanding RM7.4 juta yang dikutip tahun lalu daripada 958,325 umat Islam di seluruh negeri.

    "Jumlah itu meningkat RM2.37 juta berbanding RM5.03 juta daripada 976,621 umat Islam pada 2007.

    "Sasaran tahun ini berkurangan kerana kadar fitrah diturunkan tetapi kita menjangkakan bilangan pembayar zakat bertambah selepas berlaku kemerosotan 1.88 peratus atau 18,296 pembayar tahun lalu," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi Sabah tahun ini dan majlis penerimaan zakat perniagaan daripada Public Islamic Bank Berhad serta syarikat Wisma Harta Sdn Bhd di Wisma Muis, di sini, semalam.

    Bagi memudahkan kutipan, Syed Abas berkata, Muis melantik 35 amil dan 2,000 wakil amil tahun ini untuk melaksanakan tugas mengutip fitrah di seluruh negeri.

    "Mereka merangkumi Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan individu yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

    "Muis akan membekalkan mereka dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang tidak bertanggungjawab dan tidak bertauliah," katanya.

    Sementara itu, Syed Abas berkata, jumlah kutipan zakat di Sabah tahun lalu ialah RM23.8 juta, termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM16.4 juta.

    Kutipan itu, katanya, menunjukkan peningkatan 36 peratus atau RM6.3 juta berbanding RM17.52 juta dikutip pada 2007.

    "Tahun sebelumnya peningkatan yang dicapai hanya 5.3 peratus. Jadi, kenaikan tahun lalu adalah yang tertinggi pernah direkodkan Muis sejak ditubuhkan pada 1972," katanya.

    Bagi kutipan zakat harta tahun lalu, katanya, jumlah tertinggi diperoleh daripada zakat perniagaan sebanyak RM10.25 juta yang dibayar oleh 287 individu dan syarikat.

    Penyumbang kedua tertinggi, katanya, ialah zakat penggajian RM4.15 juta daripada 9,190 orang pembayar di seluruh negeri, diikuti zakat simpanan sebanyak RM1.2 juta daripada 716 pembayar.

    "Zakat lain termasuk zakat pendapatan RM699,776, saham (RM74,438), emas dan perak (RM41,822), pertanian (RM6,558) dan ternakan (RM7,950),” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM19.4 juta wang zakat diagihkan kepada enam asnaf sepanjang tahun lalu berbanding RM18.82 juta pada 2007.

    Katanya, golongan fakir menerima jumlah tertinggi sebanyak RM6.6 juta, diikuti miskin (RM4.6 juta), fisabilillah (RM4.2 juta), amil (RM2.5 juta), mualaf (RM1.5 juta), ibnu sabil (RM20,077) dan gharimin (RM410).

    Sepanjang Ramadan tahun ini, Muis memperuntukkan RM5.5 juta untuk diagih kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal.

    Malaysia, Australia bincang isu penyeludupan manusia

    KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia hari ini memulakan mesyuarat dua hari tertutup di sini untuk membincangkan masalah penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

    Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, dan turut disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan wakil-wakil daripada agensi penguatkuasa maritim, Pejabat Peguam Negara, Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara.

    Delegasi Australia pula diketuai Duncan Lewis, penasihat keselamatan negara kepada perdana menteri Australia.

    Antara agenda perbincangan ialah laporan kedudukan penyeludupan manusia, kerjasama pengawasan dan pengurusan populasi pelarian.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dijadualkan akan mengadakan sidang media bersama Lewis berhubung mesyuarat tersebut jam 4 petang hari ini. - Bernama