Followers

Monday, May 10, 2010

Dasar baru untuk guru diumum Ahad ini: Muhyiddin

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru dijangka diumumkan di Kuantan pada Ahad ini sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata dasar itu mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

"Kementerian sedang menimbang untuk menambah baik dasar bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi," katanya pada majlis dialog dengan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata kerajaan mungkin menimbang mengambil penduduk tempatan di kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia. - Bernama

Chelsea gondol juara Liga Perdana Inggeris

LONDON: Chelsea meraih juara Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melengkapkan perlawanan terakhir musim ini dengan kemenangan bergaya mengalahkan Wigan Athletic 8-0 di Stamford Bridge, malam tadi.

Didier Drogba menjaringkan hatrik, sekail gus menjadi penjaring terbanyak liga dengan 29 gol.

Nyata skuad bimbingan Carlo Ancelotti menepati ramalan awal mampu merebut tahta liga daripada juara bertahan Manchester United, yang menewaskan Stoke City 4-0 juga pada perlawaan terakhir mereka, malam tadi.
Kemenangan United itu tidak bermakna kerana mereka mengkehendaki Chelsea tewas atau sekurang-kurangnya seri dengan Wigan.

Nicolas Anelka pula memperoleh dua gol manakala Frank Lampard, Salomon Kalou dan Ashley Cole masing-masing menyumbat satu gol perlawanan berat sebelah apabila Wigan terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Chelsea berjaya menyekat United untuk mencatat rekod kemenangan kejuaraan liga untuk kali ke-19.

Chelsea juga bakal mengondol satu lagi trofi apabila beraksi pada perlawanan final Piala FA bertemu Portsmouth, minggu depan.
"Ia sesuatu yang amat berat untuk melihat United menang kejuaraan liga setiap musim," kata kapten Chelsea, John Terry.

"Kini tiba giliran kami pula untuk mereka melihat kejayaan kami," katanya. - Reuters

Pengusaha van pelancongan Thai sedia patuhi peraturan


SEBAHAGIAN pengusaha van pelancong Thailand menyerbu Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia yang terletak di Bukit Kayu Hitam untuk memohon permit bagi membawa pelancong ke Malaysia, hari ini.  - Foto Shahrizal Md Noor
SEBAHAGIAN pengusaha van pelancong Thailand menyerbu Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia yang terletak di Bukit Kayu Hitam untuk memohon permit bagi membawa pelancong ke Malaysia, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor
DANOK (THAILAND): Pengusaha van pelancongan Thailand bersedia mematuhi sebarang peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan mereka meneruskan operasi membawa pelancong negara ini ke Malaysia seperti biasa.

Perkara itu diputuskan hasil perbincangan antara pengusaha van terbabit dengan Penasihat Khas Kerajaan Thailand di Songkhla, Datuk S Shannon yang juga seorang ahli perniagaan Malaysia di sini.

Shannon berkata, pengusaha van pelancongan Thailand terbabit meminta pihak berkuasa Malaysia mengemukakan arahan rasmi mengenai peraturan yang ditetapkan bagi membolehkan mereka mematuhi setiap prosedur, termasuk mendapatkan permit supaya dapat beroperasi seperti biasa.
Katanya, beliau difahamkan bahawa beberapa perkara yang sering mendatangkan masalah kepada pengusaha van pelancong Thailand ketika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi penguatkuasaan adalah penggunaan cermin gelap, nombor pendaftaran terlalu kecil dan masalah permit.

"Mereka memberitahu perkara itu tidak pernah dijelaskan dengan terperinci kepada pengusaha van Thailand menyebabkan mereka sering melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Selain itu mereka mendakwa operasi JPJ yang tidak konsisten juga menyebabkan mereka keliru mengenai peraturan dikuatkuasakan.

"Ini menunjukkan ada masalah komunikasi antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengusaha van pelancongan Thailand hingga menyebabkan perkara ini berlaku," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengambil inisiatif mengaturkan perbincangan itu bagi membolehkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara terus terpelihara dan tidak mahu masalah van pelancongan itu mengeruhkan hubungan Malaysia-Thailand.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sadao, Pramut Lert Baworn.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar yang turut serta dalam perbincangan itu berkata, beliau difahamkan pengusaha van pelancong Thailand bersetuju untuk mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan permit bas pelancongan daripada Tourism Malaysia.

"Kita sudah mendapatkan maklum balas JPJ mengenai hal ini dan mereka mengatakan soal permit pelancongan bukan di dalam bidang kuasa mereka dan ia perlu dikemukakan kepada pihak berkaitan.

"Selepas diteliti kita dapati ada peruntukan khas mengenai permit membawa pelancong oleh pengusaha bas dan van Thailand di Tourism Malaysia.

"Mereka bersetuju mengemukakan permohonan baru ke Tourism Malaysia sebagai langkah sementara dan berharap ia dapat meredakan masalah yang berlaku," katanya.

Selain itu, Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, Mohd Aini Atan berkata, kerajaan negara ini tidak pernah mengeluarkan arahan melarang kemasukan bas atau van pelancongan Malaysia ke Thailand.

Katanya, tindakan itu dilakukan atas kapasiti persendirian dan ia tidak berkaitan dengan arahan rasmi kerajaan negara ini.

Berita Minggu Ahad lalu melaporkan lebih 30 bas dan van membawa 1,000 pelancong Malaysia terkandas di Kompleks Kastam dan Imigresen Thailand di Danok, berikutan sekatan jalan oleh pengusaha van pelancongan tempatan.

Perdana Menteri di Kemboja untuk lawatan rasmi pertama

PHNOM PENH: Datuk Seri Najib Razak tiba di sini lewat petang tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu sejak menjadi Perdana Menteri April tahun lalu.

Najib, yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di sini pada jam 6.50 petang (7.50 malam waktu Malaysia) dan disambut Menteri Penerangan Kemboja, Khieu Kanharith.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin juga turut hadir bagi menyambut mereka.
Lawatan Najib itu bertujuan meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan.

Perdana Menteri dijangka memulakan lawatan hari kedua dengan menghadiri majlis meletakkan kalungan bunga di Tugu Kemerdekaan sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya, Hun Sen, di sini esok.

Kemudian, beliau akan mengadakan dialog dengan pelabur dan ahli perniagaan Malaysia di sebuah hotel di sini sebelum Hun Sen menyertainya pada Forum Perniagaan Malaysia-Kemboja dan majlis jamuan tengah hari di hotel sama.

Kedua-dua pemimpin itu akan menyaksikan majlis menandatangani enam perjanjian perniagaan bernilai AS$1 bilion (RM3.3 bilion).
Lima perjanjian itu adalah antara sektor swasta dari kedua-dua negara itu manakala, satu antara sebuah syarikat Malaysia dengan agensi kerajaan Kemboja.

Najib juga dijadual melawat Pusat Operasi Hello Axiata, syarikat usaha sama Malaysia-Kemboja dalam industri telekomunikasi dan melawat tapak pembinaan kompleks baru Kedutaan Malaysia.

Sementara itu, Rosmah akan mengadakan aturcara berasingan esok dengan melawat Hospital Kuntha Bopha IV dan Sekolah Tinggi Bun Rany Hun Sen.

Perdana Menteri dan isteri akan mengakhiri lawatan hari kedua dengan menghadiri jamuan malam rasmi yang dihoskan Hun Sen dan isteri, Bun Rany di sebuah hotel di sini.

Pada hari terakhir, Najib dijadual menghadap Raja Norodom Sihamoni di Royal Palace di sini.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan Heng Samrin di dewan dan Presiden Senat, Chea Sim di Dewan Senat di sini.

Najib dan isteri dijadual berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada jam 12.30 tengah hari, waktu Malaysia, Selasa ini. - Bernama