Followers

Monday, August 9, 2010

Mayat bayi ditemui di kawasan pelupusan sampah Tanjung Rambutan

IPOH: Seorang lelaki yang sedang mencari barang-barang lusuh terperanjat besar apabila menemui mayat seorang bayi hampir busuk di kawasan pelupusan sampah di Tanjung Rambutan di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata mayat bayi lelaki yang berbungkus dengan kain batik dan lengkap berpakaian serta hidung disumbat dengan kapas itu ditemui lelaki berkenaan pada jam 1.50 petang, yang kemudiannya terus membuat laporan di balai polis berhampiran.
Beliau berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui bayi yang dipercayai berusia lebih sebulan itu berhampiran dengan timbunan sampah, dan bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Katanya, polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian bayi itu.

"Bayi itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan kesan lebam ditemui di seluruh badannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dengan menelefon 05-2451222 bagi membantu siasatan. - Bernama

Janin bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

GEORGETOWN: Janin bayi lelaki yang dipercayai digugurkan ditemui dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara, Jalan Makloom di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kok Meng, berkata janin itu ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong ketika melalui kawasan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.
"Janin itu dianggar baru berusia lima bulan berdasarkan keadaannya yang hampir cukup sifat dan ketika ditemui ia dihurungi lalat.
"Kami percaya janin itu baru saja dibuang berdasarkan masih terdapat tali pusat dan urinya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal dan kesan kecederaan teruk di kepala janin itu, polis percaya ia dicampak dari tingkat atas sebuah pangsapuri di sini.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tun Mahathir saran umat Islam kuasai ilmu sains, teknologi

NILAI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara punca umat Islam lemah pada masa ini ialah kerana mereka tidak menjalankan ibadah untuk mencari ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau berkata, orang Melayu memang dituntut untuk belajar asas agama Islam tetapi tidak semua dikehendaki belajar sampai mendalam kerana perlu ada golongan yang mendalami ilmu lain.
"Menguasai fizik, sains dan matematik untuk pertahanan bukan bermakna umat Islam melupakan akhirat," katanya ketika berucap pada Syarahan Perdana Sempena 10 tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Kira-kira 5,000 orang termasuk pelajar USIM menghadiri syarahan Tun Mahathir di Stadium Tertutup Nilai di sini.

"Kalau 1.6 bilion umat Islam di dunia ini pandai agama dan kesemuanya bertaraf ulama, perpecahan yang lebih teruk akan terjadi kerana masing-masing akan membuat tafsiran yang berbeza mengenai Islam mana yang lebih baik seperti yang terjadi ke atas golongan Sunni dan Syiah.

"Walaupun tidak semua tetapi kalau ada sekumpulan orang yang dapat kuasai ilmu teknologi dan sains pertahanan, ini sudah memadai untuk menyelamatkan satu masyarakat Islam seperti di Bosnia (Herzegovina) sebelum ini," katanya.

"Satu ketika dulu orang Russia menewaskan umat Islam di Asia Tengah dan agama Islam digugurkan tetapi orang Islam tidak dapat buat apa. Inilah kesan dari kelemahan akibat kurang pengetahuan dalam ilmu-ilmu tentang pertahanan," katanya lagi.
Menurut beliau, umat Islam di Malaysia juga perlu menguasai ilmu sains dan teknologi agar mereka mampu menghasilkan ciptaan sendiri tanpa meniru rekaan orang lain.

"Di mana saja seperti di Afghanistan, Iraq, umat Islam tertindas. Orang Islam dihina, saya sendiri pernah dihina dan disuruh buka kasut kononnya ada letupan dalam kasut saya," katanya.

Tun Mahathir berkata, orang lain pun diperiksa tetapi ia tidak diperlakukan seperti orang Islam kerana mereka hari ini sudah dianggap pengganas.

"Apabila Nabi Muhammad S.A.W dianggap pengganas. Kita marah dan kita berdemonstrasi tetapi ini sedikit pun tidak meninggalkan kesan terhadap musuh Islam kerana umat Islam pada hari ini sangat lemah," katanya. - Bernama

Kerajaan sedia kaji kebenaran mahasiswa berpolitik

GEORGETOWN: Kerajaan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak termasuk pemimpin pelajar bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa membabitkan diri dalam politik kepartian.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai permulaan, beliau akan menghadiri perbincangan meja bulat mengenai perkara itu yang dianjur Majlis Belia Malaysia (MBM).
Beliau berkata, perbincangan meja bulat itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin mahasiswa.
"Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita," katanya di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pada majlis penutup Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar semalam, beliau menerima resolusi dari wakil pemimpin mahasiswa yang mahukan mereka diberi kebebasan untuk terbabit dalam politik kepartian.

Tahun lalu, kerajaan meminda AUKU dan memberi banyak kebebasan tetapi masih tidak membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik kecuali dengan kebenaran khas Naib Canselor.

Saifuddin berkata, selepas perbincangan dengan pelbagai pihak nanti, kerajaan akan membawa usul ke Parlimen untuk pindaan AUKU bagi memperluaskan lagi kebebasan kepada mahasiswa supaya boleh terbabit dalam politik kepartian.
Bagaimanapun, perbincangan mengenai kebebasan mahasiswa untuk berpolitik itu mungkin mengambil masa kerana ia memerlukan kajian terperinci mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh golongan berkenaan, katanya. - Bernama

Kejayaan koperasi sekolah Malaysia dicontohi negara Asia: Muhyiddin

BERA: Kejayaan koperasi sekolah menyemai budaya keusahawanan di kalangan pelajar di negara ini sudah menarik minat negara di rantau Asia untuk mencontohinya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai koperasi di peringkat sekolah manakala kebanyakan negara lain di seluruh dunia hanya mempunyai koperasi di peringkat universiti.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar di negara ini amat bertuah kerana pada usia seawal 12 tahun sudah boleh mendaftar sebagai ahli koperasi dan mengambil bahagian secara aktif dalam mengurus perniagaan melalui kegiatan koperasi.
Katanya, negara seperti Fiji, India dan Jepun yang berhasrat menubuhkan koperasi sekolah sudah membuat kajian dan mempelajari selok-belok pengurusan koperasi sekolah di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) manakala Korea Selatan, Thailand dan Singapura juga telah mengadakan lawatan ke koperasi-koperasi sekolah di negara ini.

“Selain negara berkenaan, Iran juga sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia untuk program di bawah koperasi sekolah iaitu Pelancongan Koperasi Sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2010 peringkat kebangsaan bertemakan "Kreativiti dan Inovasi Memperkasakan Koperasi Sekolah" di Sekolah Menengah Kebangsaan Bera Bandar 32 di sini, hari ini.

"Usaha-usaha negara itu menunjukkan keyakinan mereka terhadap organisasi, penubuhan serta pengurusan koperasi sekolah di negara kita yang amat tersusun di bawah kawal selia Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, koperasi sekolah adalah landasan terbaik untuk menyemai budaya koperasi, perniagaan dan keusahawanan di kalangan pelajar kerana melalui bimbingan konsisten daripada pihak Angkasa dan SKM, mereka mampu menjadi pewaris kepimpinan koperasi dan bakal usahawan negara pada masa depan.
Katanya, pelbagai program dan projek berkaitan pendidikan perniagaan dan keusahawanan serta ekonomi yang dilaksanakan oleh koperasi sekolah terbukti mampu menjana kreativiti dan inovasi pelajar secara aktif.

Pendidikan dan latihan menerusi kegiatan koperasi sekolah banyak membantu pelajar mendalami ilmu dan kemahiran tentang selok-belok perniagaan sejak di bangku sekolah lagi dan seterusnya membentuk sahsiah diri secara positif, katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 2,090 sekolah daripada 2,190 sekolah menengah seluruh negara telah menubuhkan koperasi sekolah dan itu menunjukkan hasrat Kementerian Pelajaran bagi memastikan semua sekolah menengah menubuhkan koperasi hampir tercapai.

Katanya, daripada jumlah 2,090 itu, sebanyak 1,835 telah berdaftar sebagai ahli ANGKASA dan sehubungan itu beliau menyeru kepada koperasi yang belum berdaftar supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka mengikuti program dan latihan yang dianjurkan ANGKASA.

"Jika mahu dibandingkan dengan koperasi dewasa, mungkin aset dan nilai saham koperasi sekolah masih lagi kecil namun dengan perancangan yang tersusun dan konsisten...tidak mustahil koperasi sekolah mampu memberi saingan kepada koperasi dewasa.

"Saya berharap koperasi sekolah akan terus unggul sebagai organisasi pembudayaan keusahawanan dan ilmu perniagaan di kalangan generasi muda seterusnya dapat menyaingi sektor-sektor lain pada masa akan datang," katanya. - Bernama

Sabah bakal jadi tuan rumah Hari Malaysia 16 September

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 September, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman.
"Acara yang julung kalinya diadakan ini sudah tentu akan menjadi kepelbagaian acara dalam kita menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin pada majlis pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar jalur gemilang di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Pada 19 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 September sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia.

Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau berkata, kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur gemilang walaupun arahan secara bertulis sudah dikeluarkan. - Bernama

Mariam seniwati filem Melayu 50-an meninggal dunia

SINGAPURA: Seniwati filem Melayu tahun 50-an, Mariam Baharum, 75 iaitu ibu kepada penyanyi terkenal Singapura Rahimah Rahim meninggal dunia di rumahnya di sini, pagi tadi.
Menurut ahli keluarganya, Mariam, bekas pelakon veteran di Studio Malay Films Production di Jalan Ampas, meninggal dunia kerana sakit tua di kondominiumnya di Yishun kira-kira jam 5.50 pagi.
Allahyarham Mariam adalah kakak kepada primadona Allahyarham Datin Saadiah iaitu isteri kepada pelakon, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, dan ibu kepada pelakon cilik filem "Batu Belah Batu Bertangkup", Allahyarham Bat Latiff.
Mariam atau lebih dikenali dengan panggilan Mariam Tahi Lalat di kalangan peminatnya dilahirkan di Singapura pada tahun 1935, dan pernah berlakon bersama seniman agung, Allahyarham P Ramlee dalam filem “Anjuran Nasib” arahan B S Rajhans pada 1952.

Menerusi filem itu, Mariam memenangi gelaran “Bintang Pujaan Wanita Malaya Kedua” oleh Filem Raya Magazine pada 1953 dan juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-15 pada 2001 dan FFM ke-22 di Kota Kinabalu tahun lalu.

Allahyarham yang pernah menjadi pelayan restoran sebelum menceburi dunia perfileman, Mariam tampil menerusi lakonan filem seperti “Aloha” (1950), “Dewi Murni” (1950), “Kembar” (1950), “Aladdin” (1952), “Kipas Hikmat” (1955), “Abu Hassan Penchuri” (1955) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

Antara pelakon yang seangkatan dengan Mariam ialah Kasma Booty, Osman Gumanti, Datuk Mustapa Maarof, pelawak, S Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang.

Allahyarham meninggalkan enam anak daripada dua perkahwinan. - Bernama

Rundingan EU-Malaysia diharapkan bermula pada luar sidang ASEM: Duta

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) berharap untuk memulakan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia pada luar jadual Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM), awal Oktober ini.
"Kami berharap untuk melancarkan secara rasmi perundingan itu ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Brussels bersempena dengan ASEM yang dihoskan oleh Belgium," kata Duta dan Ketua delegasi EU ke Malaysia, Vincent Piket.
Perdana Menteri dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Kerajaan dan Negara ASEM selama dua hari di Brussels bermula 4 Oktober ini.
"Kami meneroka bersama-sama jika keadaan itu kondusif untuk memulakan perundingan FTA dan memuktamadkannya.

“Pada peringkat ini, petunjuk yang diperolehi adalah menggalakkan," katanya.

Piket berkata, kini bertepatan dengan masanya bagi Malaysia untuk memulakan perundingan FTA bagi melengkapi matlamat negara ini untuk mencapai Model Baru Ekonomi (MBE). - Bernama

Agihan pendapatan ASW2020 6.35 sen seunit

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) adalah 6.35 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2010.
Ia membabitkan jumlah bayaran sebanyak RM777.53 juta.