Followers

Sunday, February 14, 2010

Penipuan siber meningkat di Malaysia: Cybersecurity

KUALA LUMPUR: Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kajiselidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri, berkata menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tahun lalu, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata, laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran e-mel dengan menggunakan soalan yang menyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi e-mel," katanya.

Husin berkata, pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknoloji dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya, kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya, dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' di mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat e-mel cyber999@cybersecurity.my. - Bernama

JKM diarah bersedia 24 jam bantu tangani kes buang bayi

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini mengarahkan semua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan dalam usaha menangani kes pembuangan bayi yang berleluasa akhir-akhir ini.

"Saya sudah meminta pegawai JKM bersedia 24 jam walaupun ketika pejabat tidak beroperasi bagi membantu mereka yang bermasalah supaya tidak mengambil jalan singkat membuang bayi kerana takut malu atau menerima hukuman," katanya.

Shahrizat berkata, oleh kerana masyarakat tidak datang kepada JKM (untuk meminta bantuan), pegawai JKM perlu mengambil langkah dengan mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah di daerah masing-masing.

"Saya percaya ibu bapa ini mungkin takut atau malu kerana mempunyai anak luar nikah dan perasaan itu sebenarnya mendorong mereka melakukan jenayah yang lebih besar," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Shahrizat mengulas kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa akhir-akhir ini dengan kes terbaru semalam apabila mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui terbakar di dalam sebuah tong sampah di Kuala Krai, Kelantan.

Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu.

Shahrizat berkata, pihak kementerian menganggap buang bayi sebagai satu simptom atau simbol kepada masalah sosial yang lebih besar yang akan melanda negara ini jika tidak ditangani dengan lebih serius.

Mengulas kewajaran penubuhan rumah khas untuk wanita yang mengandungkan anak luar nikah, Shahrizat berkata, penubuhan rumah sedemikian adalah demi menyelamatkan bayi yang tidak berdosa.

Di samping itu, katanya golongan ibu bapa jangan hanya menyalahkan kaum wanita apabila berlaku kes pembuangan bayi dan pembunuhan bayi seperti ini.

"Di mana ayah kepada bayi ini, itu sebabnya Tuhan bagi ada ibu dan ada bapa, kedua-duanya mesti menangani masalah yang dihadapi bukan sahaja menyalahkan wanita," katanya. - Bernama

Bina 1Malaysia lebih kukuh, dinamik: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina Malaysia dan berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina 1Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik.

"Ini adalah peluang untuk kita semua, sempena tahun harimau untuk menyerlahkan pencapaian, kelemahan dan cabaran peribadi dan keazaman untuk menjadi individu dan rakyat Malaysia yang lebih baik di tahun akan datang.

"Rumah terbuka akan diadakan sebagai menandakan bermulanya Tahun Baru Cina dan selaras dengan semangat 1Malaysia, saya menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk turut serta meraikan sambutan ini, menziarah rakan Cina anda dan turut serta dalam perayaan ini dengan rakan anda.

"Telah menjadi tradisi sejak berabad lamanya masyarakat keturunan Cina Malaysia akan memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dengan mengadakan upacara makan besar, memberi hormat kepada anggota keluarga yang lebih tua dan mengeratkan lagi silaturrahim.

"Kita perlu berani dan lebih berusaha untuk mengenali rakan kita dengan lebih baik dan juga perlu lebih dinamik dan komited di tempat kerja, bagi membolehkan kita memberi sumbangan lebih baik kepada masyarakat dan negara," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina.

Perdana Menteri berkata, menurut zodiak Cina, harimau melambangkan keberanian, optimisme dan kedinamikan, dan mereka yang lahir pada tahun itu adalah pemimpin yang secara semulajadi adalah berani, kuat dan bersemangat tinggi.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina Malaysia turut berharap kaum lain di Malaysia akan bersama-sama meraikan sambutan itu dalam semangat 1Malaysia.

"Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini adalah Tahun Harimau. Harimau adalah simbol kecerdasan berfikir dan bijak bertindak. Ia juga menjadi simbol kasih sayang, keberanian dan murah hati.

"Ini adalah tahun yang sempurna untuk melakukan perubahan. Sama seperti dengan ciri harimau, diharapkan kita sentiasa berdiri atas kaki sendiri," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berharap mereka yang akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan itu, sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, akan sampai ke destinasi dengan selamat.

Beliau juga menasihatkan mereka supaya bersabar, berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata Tahun Harimau akan memberikan "ngauman" permulaan bagi pemulihan ekonomi Malaysia akibat daripada krisis ekonomi tahun lepas.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, beliau berkata harimau akan membawa aktiviti ekonomi, pelaburan dan peluang kerja baru untuk rakyat.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, pula

berharap sempena Tahun Baru Cina ini, semangat perpaduan dan cintakan negara akan terus diperkukuhkan.

Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negara ini juga telah memberi satu sumber kekuatan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, keharmonian negara yang telah terbina perlu terus disuburkan bagi memastikan segala perbezaan agama atau kepercayaan tidak menjadi punca keretakan perpaduan.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata masyarakat berbilang kaum perlu mengukuhkan perpaduan bagi membina kekuatan bersama dalam usaha memajukan negara ke arah pencapaian 1Malaysia.

Beliau berkata, perpaduan antara kaum, semangat muhibbah, sikap tolak ansur dan bermuafakat amat penting untuk meningkatkan kejayaan dan kemajuan negara.

"Kita perlu berusaha untuk menokok tambah usaha kita ini dengan lebih gigih lagi dengan menggunakan segala kesempatan dan kemudahan yang jauh lebih baik daripada apa yang wujud sebelumnya terutama ketika kita mula mencapai kemerdekaan," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina. - Bernama

Jom Pi Masjid mampu perkukuh perpaduan: Md Isa

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, mahu masyarakat memanfaatkan masjid sebagai tempat menyuburkan ikatan kemesraan dan hubungan masyarakat melalui pelbagai kegiatan.

Beliau berkata, masjid bukan sekadar institusi agama tetapi institusi pelbagai peranan yang boleh merapatkan jurang perbezaan pandangan dan fahaman masyarakat.

Berucap merasmikan program "Jom Pi Masjid" anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perlis, Bank Rakyat dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) di Masjid Ibu Sina, Tok Kayaman di sini, beliau yakin program seumpama itu akan membantu memakmurkan masjid.

Ribuan penduduk membanjiri perkarangan masjid itu bagi menyertai pelbagai kegiatan termasuk pertandingan memproses bubur, pertandingan mewarna dan menyaksikan pameran serta demonstrasi pada program itu.

Pada majis itu, pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut mengadakan pameran di perkarangan masjid termasuk Perlisfm, Bank Rakyat, CIMA, Regimen 504 Askar Wataniah dan Jabatan Kesihatan.

Program Jom Pi Masjid itu akan berakhir malam ini dengan program Forum Perdana Ehwal Islam. - Bernama

Obama jemput Najib hadiri sidang nuklear dunia

ROMPIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menghadiri Persidangan Nuklear Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 13 April depan.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata Presiden AS, Barack Obama, telah secara rasminya menjemput Perdana Menteri menghadiri persidangan itu menerusi surat yang disampaikan melalui Kedutaan Malaysia di Washington.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Bahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional di Muadzam Shah dekat sini hari ini, Jamaludin berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Najib mengenai pengesahan kehadiran beliau pada persidangan yang akan dihadiri oleh pemimpin kanan dari lebih 40 buah negara itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, jemputan daripada Obama itu adalah penghormatan besar kepada Malaysia kerana negara ini bukanlah sebuah negara pengeluar nuklear namun suara dan pandangannya turut mahu dikongsi bersama dengan negara lain.

"Saya rasa rakyat Malaysia patut rasa bangga sebab kita bukan negara kuasa nuklear dunia tetapi Presiden Obama beri penghormatan kepada Perdana Menteri kita menghadirinya dan pada masa yang sama menghormati Malaysia sebagai negara Islam dan mahukan suara Islam dalam membincangkan isu ini," katanya.

Jamaludin berkata, lawatan Najib itu juga memberi peluang kepada beliau menemui pelabur berpotensi dari AS untuk datang melabur di Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Kuala Lumpur-Washington.

Katanya, antara cadangan program beliau kepada Najib adalah mengadakan pertemuan bersama pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat besar AS yang bermastautin di Malaysia bagi mendengar sendiri daripada Najib mengenai dasarnya untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pertemuan juga, katanya, akan turut diadakan bersama tokoh kerajaan peringkat menteri untuk melihat bagaimana produk dari Malaysia khususnya pertanian dapat menembusi pasaran AS. - Bernama

Mayat rentung bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

KUALA KRAI: Mayat rentung seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah besar milik Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) di Jalan Tengku Zainal Abidin di sini pagi tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada bayi yang masih bertali pusat dan uri itu telah dibakar hidup-hidup.

Ketika ditemui tiga petugas MDKK yang sedang melakukan tugas memungut sampah di situ kira-kira 11 pagi, bayi yang berkulit cerah tersebut ditemui rentung pada sebahagian badan sementara kakinya juga terputus daripada badannya.

Seorang petugas berkenaan, Mohd Zain Pa'Su, 57, berkata pada mulanya beliau dan rakanya terkejut apabila mendapati tong sampah tersebut telah terbakar.

"Tong sampah ini turut dipenuhi dengan rumput, kayu dan zink yang didapati disusun dengan rapi seolah-olah bagi menyembunyikan sesuatu.

"Amat jarang tong sampah ini terbakar. Disebabkan sukar untuk mengangkat sampah kerana tongnya terbakar, kami terpaksa memunggahnya.

"Tetapi alangkah terkejutnya kami apabila menemui mayat bayi lelaki di dalamnya. Ketika itu separuh badan bayi itu masih putih tetapi masih ada bara api pada keseluruhan badannya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Abdul Rahim Che Ghani, berkata berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai terbakar sejak pagi semalam.

"Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah, tidak ada sesiapa yang menemui bayi itu sehinggalah kakitangan MDKK menjalankan tugas mereka pagi ini," katanya.

Beliau berkata, petugas MDKK berkenaan membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 11.25 pagi tadi.

"Kita turut mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah itu untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi itu.

Katanya, pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang tinggal di sekitar bandar ini kerana beranggapan tidak mungkin orang luar akan berkereta bagitu jauh untuk membuang bayi berkenaan.

Beliau meminta orang ramai agar memberi maklumat mengenai kejadian tersebut dan juga meminta hospital dan klinik memaklumkan kes pesakit yang baru bersalin.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka, manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu. - Bernama

10 maut hari keenam Ops Sikap 21

KUALA LUMPUR: Sepuluh lagi kematian dicatat pada hari keenam Ops Sikap ke-21 semalam menjadikan jumlah mangsa yang terkorban sejak Ops sikap itu dilancarkan pada 7 Februari lalu sehingga semalam adalah 52 orang.

Daripada sepuluh kematian yang dicatatkan semalam tujuh membabitkan pengguna motosikal.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, berkata tiga lagi kematian masing-masing membabitkan pengguna kereta, kenderaan pacuan empat roda dan pejalan kaki.

Tiga kemalangan maut berlaku di Jalan Persekutuan, masing-masing dua di lebuh raya, jalan negeri dan jalan-jalan lain serta satu di jalan bandaran, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 1,127 kemalangan yang dicatat pada hari keenam Ops Sikap itu yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina, 478 kemalangan berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (291), jalan negeri (193), lebuh raya (113) dan jalan-jalan lain (52).

Sebanyak 10,444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. - Bernama

GST: IKS boleh tuntut balik cukai bahan mentah

BACHOK: Pengilang dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dijangka dikenakan cukai empat peratus untuk membeli bahan mentah, boleh menuntut semula wang itu selepas menghasilkan produk, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata kadar cukai GST adalah lebih rendah berbanding antara 5 dan 10 peratus mengikut kaedah percukaian semasa.

"GST menguntungkan dan tidak membebankan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pesta futsal anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok di Kampung Melawi, di sini, hari ini.

Sebanyak 60 pasukan menyertai pesta itu yang turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok, Datuk Zaidi Mohd Said.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, GST juga tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan petani dan nelayan, kerana keperluan asas seperti gula dikecualikan.

Beliau berkata, GST lebih menekankan kepada golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang membeli barangan mewah seperti kereta, peti sejuk, televisyen dan motosikal.

Oleh itu rakyat tidak seharusnya mudah dipengaruhi parti pembangkang yang menakut-nakutkan mereka kononnya GST akan membeban setiap individu kerana terpaksa membayar cukai yang tinggi.

Beliau berkata, lebih 150 negara sudah menggunakan sistem itu yang dikenali sebagai Cukai Tambah Nilai (VAT). - Bernama