Followers

Sunday, July 4, 2010

Kementerian wajar perjelas nilai subsidi kepada rakyat: Ahmad

GERORGETOWN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, mencadangkan semua kementerian memberi penerangan jelas kepada orang ramai berhubung nilai subsidi dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kementerian masing-masing kepada rakyat.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, tindakan itu bagi menyedarkan rakyat bahawa kerajaan BN prihatin dan telah membelanjakan begitu banyak wang untuk kesejahteraan rakyat.
"Jika rakyat tidak sedar tentang subsidi yang kerajaan sediakan akan jadilah seperti di Pulau Pinang di mana apabila kerajaan negeri hanya memberi RM100 setahun kepada warga emas, perkara itu disentiasa disebut-sebut oleh rakyat.
"Tetapi apa yang diberi oleh kerajaan Pusat tidak disedari dan dihargai rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau di sini, hari ini.

Ahmad berkata, jika dihitung, pemberian subsidi dan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada setiap individu bernilai beribu-ribu ringgit setahun.

Bagaimanapun, katanya, terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak berterima kasih dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. - BERNAMA

Tindakan pembangkang tidak jejas keyakinan warga FELDA: GWGF

SUNGKAI: Dakwaan tidak berasas dan usaha pihak tertentu terutama pembangkang yang cuba meraih kelebihan politik dengan memburuk-burukkan imej FELDA tidak menjejaskan keyakinan masyarakat peneroka dan generasinya terhadap keutuhan agensi itu.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata maklum balas dan tinjauan mendapati isu "FELDA bankrap" yang sengaja dicetuskan pembangkang itu tidak menjejaskan sedikit pun operasi agensi itu di peringkat tanah rancangan serta kehidupan warganya.
Malah, katanya, tiada sebarang petanda yang mengesahkan bahawa agensi kerajaan itu bankrap apabila segala urusan di kawasan FELDA berjalan seperti biasa terutama di pejabat pengurusan FELDA, koperasi dan kedainya.
"Di tanah rancangan tidak ada kesan, mereka (peneroka) melihat pejabat FELDA masih dibuka, kedai FELDA masih ada dan begitu juga dengan urusan seharian. Kalau bankrap semua tutup dan tidak ada kenyataan yang dibuat oleh pihak bank yang mengatakan FELDA bankrap. Kita tidak mahu perkara tidak betul ini berulang dan ia perlu dihentikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat mengenai penyusunan semula GWGF di bawah model baru ekonomi, pendidikan dan sosial menjelang tahun 2020 dan penerangan isu semasa mengenai FELDA peringkat wilayah Trolak di FELDA Gunung Besout 1 di sini hari ini.

Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap" dan pada Khamis lalu FELDA mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung laporan akhbar itu.

Rozali berkata, GWGF turut kesal dengan segelintir peneroka yang turut "bersekongkol" dengan pihak pembangkang dalam isu berkenaan yang hanya menggunakan golongan peneroka untuk kepentingan politik masing-masing.
"Kita mahu bendung perkara yang tidak betul ini. Saya kesal kerana selepas 53 tahun negara merdeka dan FELDA berjaya serta para peneroka mendapat banyak hasil daripada kejayaan ini serta sumbangan pemimpin negara yang berfikir, kenapa kita mahu rosakkan benda yang baik. Sepatutnya kita perlu bantu dan majukan lagi FELDA," katanya.

Rozali berkata, GWGF akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tertinggi perundangannya minggu depan untuk membuat pertimbangan berhubung tindakan yang sewajarnya diambil terhadap dakwaan yang melibatkan maruah warga peneroka itu.

Beliau berharap isu itu dapat diperjelaskan kepada warga peneroka dan generasinya supaya mereka tidak gusar kerana GWGF tidak mahu isu ini melemahkan tumpuan generasi baru yang bekerja dan sektor pertanian negara.

Mengenai cadangan pelantikan seorang Senator atau Ahli Dewan Negara pula, beliau berkata GWGF sedang mengumpul maklum balas dan sokongan terhadap cadangan berkenaan.

"Kita membuat cadangan itu kerana lebih baik seseorang duduk di dalam (Dewan Negara) sebagai wakil Felda sekiranya boleh dan masih ada kekosongan. Ini kerana kita melihat banyak isu FELDA yang dibincangkan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Bagaimanapun ia perlu dapat sokongan warga FELDA dan generasi baru sebelum dibawa kepada kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran taklimat hari ini, beliau berkata ia adalah tindakan susulan yang diambil hasil daripada mesyuarat tertinggi GWGF yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Taklimat yang akan diberi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang selepas ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas dan sokongan berhubung cadangan transformasi FELDA dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial di kalangan generasi baru institusi itu di seluruh negara.

"Perak adalah negeri pertama untuk mendapatkan sokongan bagi cadangan bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020 yang yang mana kita perlu memastikan ia seiring dengan transformasi ekonomi negara yang dibuat oleh Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Rozali menerima empat memorandum menyokong cadangan penyusunan semula itu serta membantah laporan isu "FELDA bankrap" yang dimainkan pembangkang daripada Gugusan Felda Trolak, Felda Besout, Gugusan Felda Hulu Perak (Perak) dan Felda Sungai Dusun (Selangor). - BERNAMA

Muhyiddin selar Melayu pertikai dasar kerajaan

MUHYIDDIN SELAR SEGELINTIR MELAYU PERTIKAI DASAR KERAJAAN
BATU PAHAT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
Sambil menyifatkan sikap itu sebagai satu ancaman berkekalan bagi perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, Timbalan Perdana Menteri berkata sikap sebegitu boleh mengundang bencana besar kepada negara.
"Orang Melayu sepatutnya bersatu di bawah satu payung untuk menentukan agenda membangunkan bangsa Melayu tercapai.

"Matlamat ini tidak akan tercapai jika kita terus berpecah belah," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, golongan Melayu tersebut menyokong pembangkang khususnya DAP pimpinan Lim Kit Siang.

"DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman," katanya.
Muhyiddin berkata, dalam situasi yang amat mencabar ini, orang Melayu khasnya UMNO perlu melipatgandakan usaha bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan parti tetapi berusaha melaksanakan tranformasi sejajar yang diputuskan di peringkat pusat supaya UMNO dapat diterima oleh rakyat.

Beliau kesal kerana usaha tranformasi untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di peringkat bahagian berjalan perlahan, tidak sebagaimana diharapkan.

"Usaha menambahbaik parti ini perlu dilakukan segera supaya parti dilihat masih relevan oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi terus diterima rakyat keseluruhannya," katanya.

Muhyiddin menegaskan sebagai pemimpin nombor dua, beliau sentiasa membantu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menggariskan gagasan 1Malaysia dan dasar lain penambaikan pentadbiran negara untuk ditranformasikan di peringkat UMNO di semua peringkat.

Usaha itu, katanya, penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN dan seterusnya memenangi semula kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

JPAM sedia bantu polis tangani jenayah

RANTAU PANJANG: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersedia membenarkan anggotanya untuk dilatih sebagai anggota polis sukarela bagi membantu polis menangani kadar jenayah di negara ini.
Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, berkata mereka mempunyai 120,000 anggota sukarela dari pelbagai lapisan masyarakat yang sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa dalam menjalankan operasi tertentu.
"Sekarang lebih 1,000 orang anggota JPAM telah dikerah bertugas membantu polis di Pulai Pinang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JPAM Unit Rantau Panjang di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, anggota JPAM bersedia berkhidmat pada bila-bila masa sekiranya tenaga mereka diperlukan oleh pasukan polis.

Beliau juga berkata pihaknya akan menambah bilangan anggota bagi menampung keperluan ketika bencana alam terutama pada musim banjir di mana khidmat anggotanya diperlukan sepenuh masa di lokasi yang ditetapkan. - BERNAMA

Wanita UMNO Kelana Jaya mahu bapa bayi dibuang turut dihukum

PETALING JAYA: Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kelana Jaya mencadangkan Kanun Keseksaan dipinda bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap lelaki yang menjadi pasangan wanita yang dihukum atas kesalahan membuang bayi.

Cadangan itu dikemukakan dalam satu daripada dua usul berkaitan sosial dan pendidikan yang dipersetujui sebulat suara pada persidangan perwakilan ketujuh pergerakan itu, di sini hari ini.
Ahli Wanita UMNO Cawangan Kelana Baru, Norshaireen Abd Khalid, yang mencadangkan usul berkenaan berkata kerajaan perlu menyemak semula peruntukan undang-undang mengenai fenomena pembunuhan dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa kini.
"Mengikut Kanun Keseksaaan Seksyen 309A dan 309B, tidak ada peruntukan hukuman dikenakan terhadap lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perbuatannya yang mendorong kepada tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

"Kajian juga patut dilakukan supaya hukuman maksimum dikenakan terhadap ibu bayi tersebut kerana membunuh atau sengaja membuang dengan niat membunuh," katanya pada persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, itu.

Seramai 218 perwakilan bahagian termasuk Ketuanya, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin, hadir pada majlis itu.

Persidangan itu juga turut menyokong usaha Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka supaya dapat meninggalkannya dengan selamat di situ.
Ahli Wanita UMNO Cawangan Penaga Baru, Zawyah Ibrahim, pula mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai sebelum mengambil keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Kerajaan perlu ada kaedah untuk memastikan pada tiga tahap pertama persekolahan (tahun satu hingga tiga), murid-murid dapat menguasai 3M (menulis, membaca dan mengira) dan kaedah kemahiran lain dapat diperkenalkan untuk mengukur tahap kemahiran murid," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mungkin dimansuhkan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk menstruktur semula sistem pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan gagal menyediakan pendidikan holistik. - BERNAMA

Mayat bayi perempuan ditemui di tapak pelupusan sampah

SANDAKAN: Mayat seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui di kawasan tapak pelupusan sampah di Batu 8, Jalan Fook Kim, dekat sini semalam.
Mayat bayi itu yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain ditemui kira-kira jam 6 petang oleh kanak-kanak yang memungut sampah di kawasan tapak pelupusan itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rosli Mohd Isa, berkata siasatan awal polis mendapati mayat bayi itu ditemui oleh kanak-kanak berkenaan dari longgokan sampah yang baru diturunkan dari sebuah lori sampah.
"Lori tersebut sebelum itu memungut sampah di kawasan Batu 4 di sini tetapi pekerjanya tidak menyedari tong sampah yang mengandungi mayat bayi itu," katanya.

Rosli berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar he Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Sidang kemuncak D-8 bermula di Abuja

ABUJA: Sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara-negara Islam Membangun (D-8) kali ketujuh bermula hari ini dengan mesyuarat Suruhanjaya D-8 di ibu negara Nigeria ini.

Sesi ke-28 mesyuarat Suruhanjaya selama dua hari itu yang diadakan di Dewan Bankuasi State House di Asokoro di sini membabitkan pegawai kanan dan teknokrat yang dilantik Kementerian Hal Ehwal Luar setiap negara anggota.
D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki dan terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan and Turki.
Sebagai badan eksekutif di dalam D-8, suruhanjaya itu akan melaksanakan resolusi dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada setiap negara anggota.

Menteri Luar D-8 termasuk Datuk Seri Anifah Aman akan menghadiri sesi ke-13 Majlis Menteri-menteri Luar D-8 di venue sama Selasa ini.

Ketua kerajaan negara anggota dijadual tiba di sini bagi menghadiri sidang kemuncak itu, esok.

Malaysia yang menjadi hos bagi sidang kemuncak pada 2008 itu akan diwakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada kemuncak sidang pada 8 Julai, ketua-ketua kerajaan akan berbincang dan menerima pakai laporan sesi ke-13 Majlis Menteri-menteri Luar D-8.

Mereka juga dijangka mengesahkan Senarai Tawaran Perjanjian Perdagangan Istimewa D-8 dan begitu juga dengan perbincangan dan menerima pakai Deklarasi Abuja pada penutup sidang kemuncak itu.

Deklarasi Abuja itu dijangka bagi menangani isu yang boleh mengurangkan cabaran yang dihadapi negara anggota D-8 termasuk krisis ekonomi global, tenaga, perubahan iklim dan pemanasan global kerana isu itu menjejaskan pertanian dan keselamatan makanan selain pengangkutan dalam perdagangan dunia.

Pada kemuncak sidang itu, Muhyiddin juga dijangka menyerahkan jawatan pengerusi D-8 yang disandang Malaysia sejak 2008 kepada Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan.

Sidang kemuncak bertemakan "Meningkatkan Kerjasama Pelaburan di kalangan Anggota D-8" itu juga membabitkan penyertaan sektor swasta selain daripada ketua kerajaan, menteri luar dan birokrat.

Sidang kemuncak itu juga bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi melalui perkongsian kepakaran dalam bidang-bidang tenaga, pengangkutan, pelancongan, perbankan, institusi kewangan, pembangunan infra struktur, pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi, pekerja migran dan penghantaran wang, usahawan kecil dan sederhana dan juga teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Ia juga bertujuan menggalakkan penyertaan negara anggota dalam proses membuat keputusan di peringkat antarabangsa.

Antara agenda penting sidang kemuncak ialah Hala Tuju bagi Kerjasama Ekonomi D-8 (2008-2018).

Hala tuju yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 2008 itu, bermatlamat menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih maju antara negara anggota dan untuk membantu dalam menggerakkan sumber-sumber daripada sektor kerajaan dan swasta dalam melaksanakan projek D-8. - BERNAMA

Ahli UMNO perlu budayakan semangat demokrasi: Mustapa

LAHAD DATU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamad, mengingatkan ahli parti supaya membudayakan perinsip dan semangat demokrasi bagi memastikan parti terus kukuh dan dapat berkuasa untuk membela rakyat.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, apabila kalah dalam pertandingan merebut jawatan, ahli parti perlu menghormati dan menerima keputusan dengan hati terbuka.
"Dalam pertandingan, akan ada yang kalah dan ada yang menang. Apa yang penting ialah yang menang perlu menghomati yang kalah dan yang kalah perlu menghormati yang menang.
"Selepas pertandingan, kita perlu bertaut dan bersatu semula," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNo bahagian Silam di sini hari ini.

Mustapa berkata, ahli UMNO tidak harus mencontohi sikap pemimpin pembangkang termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sanggup membelakangkan perinsip demokrasi demi mencapai cita-cita peribadi beliau.

Katanya, selepas pilihan raya umum ke-12, Anwar seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan lalu mendakwa bahawa ramai Ahli Parlimen termasuk dari Sabah yang akan melompat parti dan akan membentuk kerajaan.

"Taktik yang digunakan oleh Anwar berkenaan adalah taktik kotor dan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dipilih oleh rakyat," katanya.
Mustapa berkata, sehingga hari ini Anwar masih tidak boleh menerima hakikat berkenaan apabila beliau terus berusaha memburukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan negara semasa di luar negara.

"Walaupun kita tidak ada majoriti dua pertiga, namun Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri kita. Jadi siapa sahaja, sama ada dia adalah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Haji Hadi, atau sesiapa sahaja mesti menghormati (Najib sebagai Perdana Menteri).

"Bukan setakat ahli Barisan Nasional tetapi semua rakyat Malaysia mesti menghormati pemimpin kita. Itulah perinsip dan semangat demokrasi," katanya.

Mustapa kecewa kerana Anwar bukan sahaja tidak menghormati prinsip demokrasi tetapi juga telah membawa banyak kerosakan kepada negara dengan terus memburuk-burukkan kepimpinan negara di luar negara.

Katanya, antara fitnah yang ditimbulkan oleh Anwar termasuk tuduhan bahawa gagasan 1Malaysia yang bawa oleh Najib ditiru daripada APCO yang dikaitkan dengan Yahudi dan Israel sehingga timbul anggapan bahawa 1Malaysia itu adalah 1Israel.

Malah, katanya, apabila Amerika Syarikat yang juga rakan akrab Yahudi dan Israel marah kepada Anwar kerana memburukkan Israel di Malaysia, penasihat PKR itu sanggup keluar negara menemui rakan karibnya di Amerika lalu memohon maaf.

Sehubungan itu, Mustapha berkata Anwar adalah seorang pemimpin talam dua muka dan mesti ditolak oleh rakyat. - BERNAMA

Bukti sikap sebenar Anwar jelas: Muhyiddin

BATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini adalah suatu pengkhianatan kepada bangsa kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata orang Melayu perlu sedar tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana bukti mengenainya adalah amat jelas.
"Buktinya (tindakan Anwar) adalah amat jelas. Rakyat perlu sedar mengenai sikap berdolak-dalik dan pembohongan yang dilakukan beliau yang telah menyebabkan perpecahan dan keretakan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat.
Hadir sama Ketua Bahagiannya, Dr Mohd Puad Zarkashi, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Sebelum ini, Anwar bermuka-muka kononnya menjadi pejuang rakyat negara ini dengan mengutuk APCO Worldwide sebagai penceroboh Zionis tetapi tembelangnya didedahkan Washington Post.

Anwar dilaporkan melawat Amerika Syarikat untuk bertemu dan meminta maaf daripada rakannya di negara itu selepas terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebelum itu dan mengecam Israel.

Muhyiddin berkata, bukti mengenai hubungan baik Anwar dengan pemimpin Zionis dan Yahudi di Amerika Syarikat juga adalah jelas untuk dinilai oleh rakyat dan orang Melayu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan baik Anwar dengan rakan Yahudi dan Zionisnya, telah pun diketahui oleh orang ramai sejak daripada dahulu lagi.

"Dia ada ramai kawan (Zionis dan Yahudi) di sana (Amerika Syarikat) sejak daripada dulu lagi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Raja Petra Kamaruddin di London baru-baru ini, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dengan penulis portal berita "Malaysian Today" yang sedang diburu oleh polis.

"Ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara Raja Petra dan Zaid Ibrahim," katanya sambil menambah pemimpin PKR itu perlu tampil ke depan untuk menjelaskan hubungannya dengan penulis blog itu.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin mengingatkan ahli UMNO bahawa mereka mempunyai tempoh tidak lebih daripada dua tahun untuk melakukan perubahan dan persedian bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Perubahan atau transformasi perlu dilakukan dengan cepat kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi," katanya sambil menambah bahawa ahli UMNO perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut.

Timbalan Presiden UMNO itu juga berkata, ahli parti perlu melakukan perubahan kerana lanskap serta senario politik negara pada ketika ini telah jauh berubah hasil daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perubahan itu perlu dilaksanakan untuk memulihkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang berpecah kepada tiga golongan dan memastikan mereka kembali menyokong Umno serta perjuangannya. - BERNAMA

Torres yakin akhiri kemarau gol Piala Dunia

Fernando Torres
Fernando Torres
JOHANNESBURG: Fernando Torres yang masih gagal menemui gawang berharap mengakhiri kempen Piala Dunia dengan jaringan gol selepas digantikan ketika kemenangan Sepanyol 1-0 ke atas Paraguay semalam.

Penyerang Liverpool itu sekali lagi gagal menemui sentuhan dan digantikan jurulatih Vicente Del Bosque pada minit ke-56 selepas penampilan kali kelima tanpa jaringan sejak pembedahan lutut April lalu.
David Villa menjadi penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan gol kelima ketika juara Eropah itu mengatasi Paraguay untuk berdepan Jerman pada separuh akhir di Durban awal pagi Rabu ini.
“Saya berharap saya akan menjaringkan gol di Piala Dunia ini, saya yakin saya dapat lakukannya," kata Torres.

Walaupun menghadapi kesukaran di Afrika Selatan, Torres masih mendapat kepercayaan Del Bosque.

"Secara fizikalnya beliau baik. Saya perlu menyatakan bahawa saya mengeluarkan beliau kerana pasukan tidak serasi tetapi kami amat gembira dengan usaha Fernando dan berharap beliau akan melakukan lebih baik pada perlawanan seterusnya," kata Del Bosque.

Del Bosque yakin Sepanyol akan meningkatkan permainan ketika menentang Jerman yang semakin cemerlang apabila membelasah Argentina 4-0 dalam perlawanan suku akhir malam tadi. - AFP

Piala Dunia: Paraguay 0, Sepanyol 1

PENYERANG Sepanyol, David Villa (kanan), menjaringkan gol kemenangan menentang Paraguay, perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010, di Stadium Ellis Park, Johannesburg, awal pagi tadi. - Foto AP
PENYERANG Sepanyol, David Villa (kanan), menjaringkan gol kemenangan menentang Paraguay, perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010, di Stadium Ellis Park, Johannesburg, awal pagi tadi. - Foto AP
JOHANNESBURG: Sepanyol menewaskan Paraguay 1-0 pada perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Ellis Park sebentar tadi untuk bertemu Jerman pada perlawanan separuh akhir.

Gol kemenangan Sepanyol dijaringkan David Villa pada minit ke-83.
Paraguay sepatutnya mendahului juara Eropah itu pada minit ke-41 tetapi jaringan Nelson Valdez dibatalkan kerana beliau dikatakan ofsaid.
Perlawanan semakin rancak pada separuh masa kedua dan Paraguay sekali lagi terlepas peluang untuk mendahului Sepanyol apabila sepakan penalti Oscar Cardozo pada minit ke-59 diselamatkan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas.

Seminit kemudian, Sepanyol pula mendapat sepakan penalti dan Xabi Alonso mudah merembat masuk tetapi pengadil mengarahkan sepakan diambil semula kerana pemain Sepanyol terlalu awal memasuki kotak penalti.

Percubaan kedua Alonso ditampan penjaga gol Paraguay, Justo Villa, untuk mengekalkan kedudukan 0-0.

Namun, Villa sekali lagi menjadi wira Sepanyol apabila merembat masuk gol kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit.
Terdahulu, Jerman membelasah Argentina 4-0.

Piala Dunia: Argentina 0, Jerman 4

CAPE TOWN: Jerman membelasah Argentina 4-0 pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 di Stadium Green Point malam tadi.

Jerman mendahului menerusi jaringan Thomas Mueller pada minit ketiga dan kedudukan itu kekal untuk separuh masa pertama.
Miroslav Klose menambah gol Jerman pada minit ke-68, diikuti Arne Friedrich pada minit ke-74.
Klose sekali lagi menemui gawang seminit sebelum tamat permainan untuk memastikan Jerman mara ke peringkat separuh ahir