Followers

Friday, October 2, 2009

Gempa bumi kuat di Kepulauan Tonga

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berskala 6.4 Richter melanda Wilayah Kepulauan Tonga pada jam 9.08 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), gempa bumi yang berpusat di latitud 15.82 Selatan dan longitud 174.8 Barat itu terletak kira-kira 7,021 kilometer (km) dari barat Davao, Filipina dan 7,717 km dari barat Tawau, Sabah.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

PM utus ucapan takziah kepada Susilo, Arroyo

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengutuskan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, dan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo, berikutan bencana alam yang melanda kedua-dua negara itu sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda awam dan peribadi.

Dalam suratnya kepada Susilo, Najib menyatakan rasa amat sedih dan terharunya dengan kejadian gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera Barat kelmarin.

"Dalam hal ini, saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia serta bagi pihak diri saya sendiri ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terbabit," katanya.

Najib juga memberi jaminan kepada Susilo bahawa Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan sebarang kerjasama dan bantuan sewajarnya kepada Indonesia sekiranya diperlukan.

Beliau juga berdoa kepada Allah SWT agar terus melindungi Indonesia dan rakyatnya selain berharap mereka akan terus tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan itu.

Sehingga kini, kira-kira 770 orang terkorban dan 295 parah akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang.

Sementara itu, dalam surat beliau kepada Arroyo, Najib berkata beliau berasa amat sedih dengan kejadian tragik taufan "Ondoy" yang mengakibatkan banjir besar di Metro Manila dan kawasan sekitarnya yang telah mengakibatkan kemusnahan.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menghulurkan rasa simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina terutama kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam bencana alam tragik ini.

"Pada waktu sukar ini, saya mendoakan kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat Filipina," katanya.

Setakat 30 September, kira-kira 83 orang terbunuh dan lebih 330,000 kehilangan tempat tinggal selepas berlakunya hujan teramat lebat dalam tempoh empat dekad yang menenggelamkan kawasan di ibu negara Filipina. - Bernama

Pesawat ketiga tiba jam 7.30 pagi tadi

SUBANG: Pesawat pengangkut ketiga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Hercules C130, mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 7.30 pagi tadi dengan warga negara Malaysia yang kebanyakannya adalah pelajar.

Terdahulu, pada jam 7.20 pagi tadi, pesawat CN535 membawa pulang 164 warga Malaysia termasuk pelajar.

Ia adalah usaha menyelamat rakyat Malaysia di Padang, Indonesia, susulan gempa bumi kuat di selatan Sumatera, kelmarin.

Pelajar perempuan cedera di bahagian belakang dibawa ke HKL


ANGGOTA TUDM memeriksa keadaan penumpang yang mengalami kecederaan di bahagian belakang. - Foto Ghazali Bujang

SUBANG: Seorang pelajar perempuan yang mengalami kecederaan di bahagian belakang selepas selamat mendarat pagi tadi, dihantar terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Pelajar terbabit tercedera selepas terkena percikan batu ketika kejadian gempa bumi kelmarin.

Ahli keluarga pelajar terbabit dilaporkan turut bergegas ke HKL untuk bertemu dengan mangsa.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki yang cedera akibat jatuh ketika menunggang motosikal, yang pada ketika itu dalam perjalanan untuk melawat pelajar perempuan terbabit dilaporkan dan sudah bersama keluarganya.

Pesawat pertama bersama 120 warga Malaysia selamat mendarat 5.05 pagi


Pegawai TUDM memeriksa tali pinggang keselamatan pada penumpang sebelum berangkat ke Malaysia dari Padang, Indonesia, awal pagi tadi. - Foto Ghazali Bujang.

SUBANG: Pesawat pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Hercules C130 yang membawa 120 warga negara Malaysia yang terkandas di Padang, Indonesia dalam kejadian gempa bumi di selatan Sumatera, kelmarin, selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 5.05 pagi tadi.

Pesawat yang dijadual tiba jam 3 pagi tadi mengalami kelewatan selepas lewat mendapatkan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau (23km daripada pusat bandar Padang).

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau pada jam 3.55 pagi tadi.

Sejurus tiba, kesemua pelajar dan warga negara Malaysia yang lain terus dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Bangunan Pergerakan Udara Pangkalan subang.

Ibu bapa yang berada di sini seawal jam 11 malam semalam, kelihatan menunggu di masjid Al-Muhajirin di TUDM Pangkalan Udara Subang.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohillan Pillay.

PESAWAT pertama TUDM, Hercules C130 yang membawa 120 warga negara Malaysia selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 5.05 pagi tadi.

Keluarga syukur pelajar selamat, hargai usaha kerajaan

SUBANG: Keluarga penuntut Malaysia di Padang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas tindakan pantas kerajaan Malaysia membawa anak mereka pulang ke tanah air berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Sumatera Barat kelmarin.

Ibu bapa dan anggota keluarga yang menunggu sejak 11 malam tadi, tidak dapat menahan sebak dan pilu sebaik menatap wajah anak-anak mereka yang juga kumpulan pertama penuntut yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 5.05 pagi.

Tamil Segeran, 53, berkata beliau berasa panik sebaik dimaklumkan oleh anaknya, T Nishantani, 19, melalui khidmat pesanan ringkas kejadian gempa bumi itu.

Beliau semakin bimbang apabila gagal menghubungi anak perempuannya yang menuntut di Universitas Andalas.

"Saya hanya dapat menghubunginya pada 8.30 malam (pada hari kejadian) dan merasa amat lega dan bersyukur kepada tuhan apabila anak saya memaklumkan yang dia selamat," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Masjid Al-Muhajirin TUDM di sini.

Beliau berkata, tindakan pantas kerajaan Malaysia membawa pulang penuntut di Padang benar-benar menunjukkan semangat 1Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang melakukan persediaan rapi bagi membawa pulang penuntut kita dengan selamat. Saya cukup berbangga menjadi rakyat Malaysia dan ini menggambarkan kerajaan sangat-sangat prihatin," katanya.

Kumpulan pertama 120 pelajar selamat mendarat di Pangkalan TUDM Subang pada 5.05 pagi tadi apabila pesawat yang dijadual tiba jam 3 pagi lewat mendapatkan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar Padang.

Pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang itu pada 3.55 pagi tadi.

Kegembiraan itu turut dikongsi S Balasundram yang gembira melihat anak lelakinya B Satilkumar tiba dengan selamat di tanah air.

Katanya, sebaik menerima laporan kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu, beliau terus menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui keadaan anaknya dan penuntut di Padang.

"Ketika itu, Wisma Putra tidak mendapat maklumat lagi dan selepas dua jam kejadian itu, saya menghubungi Wisma Putra kembali dan mereka memaklumkan semua penuntut di sana selamat," katanya.

Beliau berkata sumbangan kerajaan dengan menyediakan penerbangan pulang para penuntut itu amat dihargai.

Sementara itu, Narimah Zakaria pula berkata kebimbangan mengenai keselamatan anaknya berakhir apabila anaknya itu kini berada di depan mata.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, beliau berkata anaknya, Nadia Diana Hamzah, menghubunginya kira-kira 5.30 petang untuk memaklumkan beliau telah tamat peperiksaan.

Namun setengah jam kemudian, beliau sekali lagi dihubungi anaknya yang dalam keadaan trauma apabila menyatakan berlaku kejadian gempa bumi dahsyat di Padang.

"Suara anak saya ketika itu berada dalam ketakutan dan trauma dan adakalanya menangis dan menjerit membuatkan saya bimbang akan keselamatannya," katanya.

Katanya, beliau merasa amat gembira dan bersyukur anaknya selamat dan turut berterima kasih kepada kerajaan terutama Wisma Putra yang sentiasa memaklumkan maklumat terkini keadaan penuntut selain pembabitan TUDM dalam membawa pulang penuntut Malaysia. - Bernama

Korban gempa Padang cecah 1,100

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Ketua bantuan kemanusiaan PBB, John Holmes, berkata gempa bumi kuat yang menggegar Padang, Sumatera Barat, kelmarin sudah meragut 1,100 nyawa.

Beliau berkata, perangkaan terkini menunjukkan angka korban sudah mencapai 1,100 orang dan ratusan yang lain cedera.

Holmes berkata beliau bimbang ribuan lagi mangsa terperangkap di bawah runtuhan rumah, hotel, hospital dan sekolah yang musnah atau rosak teruk.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter berlaku petang kelmarin. Ia disusuli satu lagi gempa bumi pagi semalam. - AP

H1N1: Jangan leka walau kes berkurangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata keadaan ini turut berlaku di peringkat global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga kini terdapat lebih 300,000 kes yang disahkan positif di 191 negara dengan 3,917 kematian didaftarkan.

Di Malaysia, jumlah kematian masih kekal 77 orang dengan tiada kematian baru.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang digariskan kementerian di samping mengamalkan gaya hidup sihat, rehat dan tidur yang cukup, minum air secukupnya dan amalkan pemakanan yang sihat.

"Individu yang berisiko tinggi mesti mendapatkan rawatan dengan segera apabila mengalami sebarang simptom influenza-like illness (ILI)," katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa wabak itu hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 70 pesakit atau 9.4 peratus yang disahkan positif H1N1, 18 kes atau 26 peratus kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 17 daripadanya golongan berisiko tinggi.

"Seramai 132 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 232 kes telah didiscaj," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes ILI yang dirawat di seluruh negara kini ialah 743 di 94 hospital termasuk sembilan hospital swasta. - Bernama

Gempa Padang: TUDM berjaya bawa keluar 356 warga Malaysia

KUALA LUMPUR: Jumlah warga Malaysia yang dibawa pulang pagi tadi adalah 356 orang, terdiri daripada pelajar, ahli perniagaan dan satu keluarga pelancong Malaysia yang terkandas di Padang akibat gempa bumi kuat di selatan Sumatera, baru-baru ini.

Sumber Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, usaha membawa keluar warga Malaysia turut membabitkan penggunaan pesawat terakhir TUDM iaitu pesawat C-130, yang mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.30 pagi tadi dengan membawa 23 penumpang terkandas.

Detik cemas pelajar Malaysia di Padang

SUBANG: Pelajar Malaysia yang pulang dari Padang hari ini masih trauma selepas mengalami detik cemas semasa gempa bumi menggegarkan Sumatera Barat dua hari lalu.

Milfasari Muzammil dan Shangeeta Krishnan, pelajar tahun pertama Fakulti Kedoktoran Universitas Andalas, yang baru mendaftar pada Ogos lalu, tidak menyangka gegaran yang sering mereka alami setiap hari berakhir dengan tragedi.

Milfasari, 19, berkata beliau sedang berkumpul bersama rakan di fakulti itu apabila gempa bumi melanda kota Padang.

"Selepas kejadian gempa itu, kami kehilangan arah untuk beberapa jam kerana keadaan gelap gelita akibat bekalan elektrik dan komunikasi terputus.

"Selepas itu kami terpaksa berjalan sejauh lima kilometer ke kawasan bukit untuk mendapatkan perlindungan," katanya yang kelihatan pucat dan tidak bertenaga.

Shangeeta, 19, pula berkata beliau sedang menghadiri kuliah semasa kejadian berlaku.

"Saya tak menyangka kurang tiga bulan kami di Padang, kami akan mengalami kejadian buruk seperti ini. Saya bersyukur kerana saya dan rakan-rakan selamat.

"Selepas gempa berlaku, saya lihat semua (rakan) tunduk sambil mencangkung seperti mana yang diajar kepada kami kerana hampir setiap hari berlaku gegaran kecil," kata Shangeeta yang tidak sabar untuk bertemu keluarganya yang menanti kepulangannya.

Katanya, mereka kemudian berlari ke kawasan lapang bagi mendapatkan pertolongan sambil melihat satu persatu bangunan di sekeliling universiti itu runtuh akibat gempa berkenaan.

Pelajar tahun empat di universiti sama, Suresh Rao Sandubaboo, pula berkata gempa itu adalah kejadian paling buruk yang pernah dialaminya.

"Saya tidak menyangka berlakunya gempa kerana ketika itu sedang membuka pintu rumah sewa... berkali-kali saya cuba tetapi kunci seperti rosak. Apabila kunci terjatuh di lantai, baru saya sedar ada gegaran besar kerana kepala saya pening," katanya.

Akibat kejadian itu, katanya, bangunan universitinya rosak hampir 50 peratus dan mungkin mengambil masa lama untuk dibaiki.

"Kami semua diberikan cuti darurat oleh pihak universiti dan hanya akan menyambung semula pengajian setelah keadaan disahkan selamat," kata Suresh.

Bagi Shangeetha Nagarajan, 18, beliau masih trauma berikutan kejadian itu.

Menurutnya, beliau berada dalam kelas mengikuti taklimat penuntut baru apabila dikejutkan dengan bunyi bising sebelum menyaksikan kejadian gempa berlaku di depan mata.

"Ketika kejadian, dinding kampus semua dah jatuh, ada rumah yang ranap, ada rumah terbakar... ia memang pengalaman yang menakutkan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak cedera dan amat bersyukur kerana terselamat.

"Dalam keadaan panik itu, saya tidak terfikir untuk berlari, bagaimanapun saya amat bertuah kerana ketika itu penuntut senior menjaga kami dan membawa kami ke tanah lapang," kata penuntut dari Negeri Sembilan itu.

Penuntut Syariah Institut Agama Islam Agama, Imam Bonjol, Padang, Azrul Aminurasshid Mohd Ali, 23, pula berkata ketika kejadian beliau sedang mengikuti kuliah.

"Kira-kira 5.30 petang (waktu tempatan), keadaan pada mulanya hanya gegar biasa tetapi tiba-tiba gegaran jadi lebih kuat dan kami semua bertempiaran lari sebab kelas di tingkat dua.

"Keadaan ketika itu memang bahaya kerana bangunan universiti sudah retak," katanya," katanya.

Azrul juga berkata, beliau trauma melihat beberapa rakannya cedera dan ramai yang terkorban akibat gempa bumi itu.

"Saya nampak ada orang dihempap bangunan yang runtuh... ada juga penuntut Malaysia yang cedera akibat terkena kepingan zink di mukanya," katanya yang berlari ke tempat lapang sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Beliau mengakui masih terkejut dengan peristiwa itu dan bimbang untuk kembali ke Padang.

Penuntut tahun empat Universitas Andalas, Marwiza Abdul Ghani, 25, berkata kejadian gempa itu paling teruk dialaminya setelah melalui kira-kira 30 insiden gempa di Padang sebelum ini.

Ketika kejadian itu, beliau berada di rumahnya di Kampung Minahasa dan beliau terdengar bunyi bising dan pelik selain ada gegaran.

"Memang bergegar kuat... kalau dahulu (ketika gempa) saya masih boleh berlari keluar, tapi kali ini memang sangat kuat sehinggakan tidak boleh berdiri langsung. Nak keluar dari rumah memang sangat susah sampai saya terjelepuk di kawasan pagar," katanya.

Bagaimanapun, Marwiza bersyukur kerana dapat keluar dari rumahnya dan berlari ke kawasan lapang tanpa sebarang kecederaan. - Bernama

Iran setuju hantar stok uranium ke Rusia: AS

WASHINGTON: Iran bersetuju pada dasarnya untuk menghantar sebahagian besar stok uranium yang dipertingkatkan ke Rusia di mana ia akan dijadikan bahan api untuk reaktor kecil yang menghasilkan isotop perubatan, kata pegawai Amerika Syarikat (AS).

Persetujuan itu dicapai selepas rundingan selama tujuh setengah jam di antara Iran dan kuasa dunia di luar Geneva di mana Tehran turut bersetuju memberi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akses kepada kilang baru pemeringkatan uraniumnya berhampiran Qom

Pertemuan di sebuah vila Switzeland itu membabitkan rundingan terus peringkat tinggi antara AS dan Iran dalam tempoh tiga dekat itu.

Di bawah pelan awal itu, Iran akan menghantar sebahagian besar stok uranium yang dipertingkatkan sedikit (LEU), iaitu pada kadar 3.5 peratus, ke Rusia di mana ia akan dipertingkatkan lagi kepada ketulenan 19.75 peratus, tetapi masih jauh di bawah gred senjata.

Ahli teknik Perancis kemudian akan menggunakan bahan itu untuk menghasilkan rod bahan api yang akan dikembalikan ke Iran untuk kegunaan rektor. - AFP

Lebih 300 pelajar Malaysia dibawa pulang

SUBANG: Usaha membawa pulang pelajar Malaysia yang terkandas di Padang, Indonesia, akibat gempa bumi dua hari lalu selesai pagi tadi apabila 323 mereka terbabit selamat kembali ke tanah air dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kumpulan pertama 182 pelajar tiba di Pangkalan TUDM Subang pada jam 5.05 pagi manakala kumpulan terakhir seramai 23 pelajar tiba pada 8.30 pagi ini.

Mereka dibawa pulang dengan empat pesawat pengangkut TUDM yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau tengah malam tadi.

Turut dibawa pulang ialah beberapa rakyat Malaysia yang terkandas semasa berada di sana untuk urusan perniagaan dan peribadi.

Kepulangan pelajar terbabit, termasuk seorang pelajar wanita yang cedera, disambut oleh keluarga masing-masing serta Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay, dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Radin Umar.

Pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai Fernisha, pelajar perubatan tahun dua Universitas Andalas, yang cedera tulang belakang akibat dihempap runtuhan batu, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua pelajar Malaysia di universiti berkenaan yang hanya dikenali sebagai Martaza, cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan hospital.

Kumpulan pelajar terbabit kelihatan masih trauma bercampur lega kerana menjejakkan kaki di tanah air selepas mengalami detik cemas gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu yang setakat ini mengorbankan 770 orang.

Sejak awal semalam, kerajaan telah mengarahkan TUDM bersiap sedia untuk operasi membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas di sana kerana gempa bumi tersebut telah mengakibatkan bencana buruk terhadap nyawa dan harta benda.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa membabitkan rakyat Malaysia. - Bernama