Followers

Saturday, October 9, 2010

Nur Suryani-Nur Ayuni beri emas keenam Malaysia

NEW DELHI: Penembak negara, Nur Suryani Mohammed Taibi dan Nur Ayuni Halim merangkul pingat emas acara 10 meter raifal angin berpasangan wanita di Sukan Komanwel, sebentar tadi.
Ia adalah emas keenam Malaysia setakat ini.

UPSR kekal, PMR diganti penilaian sekolah mulai 2016: Muhyiddin

SYDNEY: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan dan diganti dengan penilaian sekolah mulai 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.
"Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.
"Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

"Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga itu yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementeriannya.

Pemuda komponen BN desak isu perkauman tidak lagi dibangkitkan

KUALA LUMPUR: Pemimpin sayap parti komponen Barisan Nasional (BN) mendesak segelintir pihak termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) supaya tidak lagi membangkitkan isu perkauman kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan perpaduan di negara ini.
Ketua Pemuda GERAKAN, Lim Si Pin, berkata ketika negara mengorak langkah ke arah negara maju, semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama perlu bersatu padu dengan memupuk suasana harmoni.
"Kita rakyat Malaysia perlu terus bergerak maju, Jangan kita masih lagi membicarakan atau terus membangkitkan isu perkauman.
"Melayu, Cina atau India, yang pentingnya kita semua rakyat negara ini, kita perlu bersatu menjayakan aspirasi 1Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA ke-46 di Wisma MCA di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda MIC, C Sivaraajh berkata, beliau sedih apabila isu perkauman terus dibangkitkan bagi tujuan tertentu walaupun negara sudah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Katanya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama berkorban untuk kemajuan negara ini.

"Malaysia sentiasa menjadi contoh kepada negara luar...itu satu perkara yang membanggakan.
"Tetapi, masih ada pihak yang secara berterusan membangkitkan isu perkauman. Perkara ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak," katanya

Pemuda MCA gesa guna Twitter, Facebook dekati pengundi

KUALA LUMPUR: Ahli Pemuda MCA perlu celik internet dan bertindak memulakan hubungan serta ikatan dengan pengundi melalui kuasa internet, demikian disarankan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam arus politik kini dan bagi menangani politik semasa, beliau berkata Pemuda MCA perlu inovatif dalam usaha ke arah memenuhi keperluan rakyat, khasnya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan menjelang.
Justeru, katanya, Pemuda MCA perlu melibatkan diri dalam medium seperti Twitter dan Facebook untuk mendekati pengundi memandangkan kempen pilihan raya umum yang akan datang amat bergantung kepada teknologi berkenaan.
“Oleh itu, kita mestilah mengetahui dan mengambil berat tentang isu-isu ini. Saya menggesa kesemua yang berada di sini yang belum menggunakan media sosial sebagai alat bagi mendekati rakyat jelata supaya mula berbuat demikian,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-46 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Liow yang juga Menteri Kesihatan menyarankan supaya Pemuda MCA menggunakan peluang pada perhimpunan ini untuk membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya Pemuda perlu memanfaatkan faktor-faktor positif seperti pertumbuhan ekonomi yang semakin baik dan perbalahan dalaman parti-parti politik pembangkang untuk meraih semula sokongan pengundi.

Katanya isu yang menjadi perhatian rakyat seperti alam sekitar, tenaga diperbaharui dan gaya hidup sihat perlu diberi keutamaan.
Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa MCA tidak berani bersuara, khasnya mengenai isu perkauman, kerana MCA memilih untuk memperjuangkan isu-isu tersebut dalam Kabinet dan dalam semangat keluarga Barisan Nasional.

“Dengan rasa tanggungjawab, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa pemimpin MCA menpunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan timbalannya dan kita mempunyai persefahaman dalam segala langkah dan rancangan yang sedang diambil untuk membawa perubahan ke arah kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Kita bukan tidak nampak gangguan pembangkang, tetapi sedar bahawa pertelingkahan yang berterusan bukan sahaja akan mengganggu rakyat, tetapi juga akan menghalang pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Liow turut mengingatkan Pemuda MCA mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara dan pelan-pelan transformasi yang didokongi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, masa 10 tahun yang akan datang adalah tempoh paling getir bagi Malaysia untuk membuat lonjakan dan merealisasikan agenda pembangunannya.

“Ini satu lonjakan luar biasa yang memerlukan komitmen dan kerjasama dari semua pihak untuk merealisasikan transformasi negara kita dari sebuah negara membangun ke sebuah negara maju,” katanya. - BERNAMA

Wanita MCA mahu pemilihan langsung parti diadakan menjelang 2014

KUALA LUMPUR: Wanita MCA hari ini mahu pemilihan langsung bagi jawatan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda parti itu dilaksanakan menjelang 2014, bagi menggambarkan ketelusan serta demokrasi yang diamalkan dalam pemilihan parti, selain membina sistem parti lebih sihat.
Ketuanya, Datuk Yu Chok Tow, berkata Wanita MCA turut menyarankan agar kepimpinan pusat parti itu memilih semua anggota badan perhubungan negerinya secara demokratik.
"Ketika ini, anggota jawatankuasa pergerakan Wanita dan Pemuda di semua negeri dipilih secara demokratik, dan anggota badan perhubungan MCA negeri seharusnya tidak boleh dikecualikan daripada berbuat perkara sama, bagi menegakkan prinsip kesaksamaan dan demokrasi," katanya ketika pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA 2010 di sini.
Hadir sama Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

MCA dijadual mengadakan pemilihan parti tahun depan.

Kali terakhir ia diadakan ialah 18 Oktober 2008.

Dalam ucapannya, Yu turut memuji tindakan bekas Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, yang meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 8 April, dan menyifatkannya sebagai contoh yang patut diteladani rakan politik lain kerana berpendirian tegas serta mendukung maruah sayap parti itu.
Chew, yang ketika itu seorang senator dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyerahkan surat perletakan jawatan kurang dua minggu selepas pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terpilih sebagai presiden MCA.

Yu juga mahu anggota Wanita MCA membuang pemikiran usang serta norma lama penyertaan politik, selain tidak lagi menganggap diri mereka sebagai golongan bawahan dalam parti, jika mereka mahu mencapai kesamaan gender.

"Saya menyeru pemimpin wanita di peringkat negeri, bahagian dan cawangan supaya lebih berani dan berwibawa memperjuangkan serta meningkatkan lebih ramai perwakilan dari kalangan wanita," katanya.

Beliau berkata Wanita MCA bukan hanya menumpukan kepada mereka yang berpengalaman, sebaliknya mempersiapkan serta menghargai anggota lebih muda sayap parti itu dengan menyediakan platform lebih besar bagi membolehkan mereka merealisasi potensi bakat masing-masing dengan cemerlang.

Setakat ini, Wanita MCA mempunyai 162,177 anggota berusia kurang 45 tahun, 113,256 di bawah 40 dan 67,826 bawah usia 35 tahun. - BERNAMA

AS diberi masa sebulan selamatkan rundingan damai Palestin

SIRTE (Libya): Menteri Liga Arab semalam memberi masa sebulan kepada Amerika Syarikat untuk menyelamatkan rundingan damai Palestin-Israel dengan memberi amaran rundingan itu akan dibuburkan selagi isu penempatan Israel di Tebing Barat gagal diselesaikan.

Jawatankuasa Susulan Liga Arab dalam satu kenyataannya berkata, mereka akan bertemu dalam masa sebulan lagi untuk mengkaji semula kata dua yang dinyatakan Presiden Pelestin Mahmud Abbas untuk menarik diri daripada rundingan semula yang ditaja Amerika Syarikat itu.
Jawatankuasa mengenai proses damai di Asia Barat yang mengandungi 13 Menteri Luar Arab itu juga menggesa Washington agar mendesak Israel menghentikan semua bentuk aktiviti membina penempatan di Tebing Barat.
"Kami menyokong keputusan Abbas supaya menghentikan sebarang bentuk penempatan di Tebing Barat sebagai syarat meneruskan rundingan damai ini," kata kenyataan itu. - AFP

Costa Rica digegar gempa 5.9 magnitud

WASHINGTON: Gempa berukuran 5.9 magnitud menggegarkan ibu negara Costa Rica, awal pagi tadi.
Gegaran berlaku jam 7.54 malam waktu tempatan (0154 GMT: Sabtu), berpusat di 41 kilometer di barat San Jose, lapor Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Bagimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai ancaman tsunami atau kecederaan berikutan gempa itu. - AFP