Followers

Monday, February 15, 2010

Valentine day

Ubat herba boleh bawa risiko: Pakar patalogi

MELBOURNE: Seorang pakar patalogi forensik University of Adelaide memberikan amaran mengenai potensi risiko maut ubat-ubatan herba jika diambil dalam kuantiti yang banyak, disuntik atau dicampur dengan ubat preskripsi.

Kertas kerja Profesor Roger Byard yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Forensik yang berpejabat di Amerika Syarikat menyatakan peratusan besar pengguna di seluruh dunia percaya kandungan toksik semula jadi yang tinggi dalam banyak ubat-ubatan herba adalah selamat.

"Persepsi bahawa ubat-ubatan herba adalah lebih selamat daripada ubat-ubat yang dikilangkan adalah salah, sedangkan hakikatnya kebanyakannya mengandungi arsenik, raksa dan plumbum yang berbahaya," kata Profesor Byard dalam kenyataan yang dikeluarkan universiti itu.

"Bahan-bahan ini boleh menyebabkan penyakit serius, memburukkan lagi masalah kesihatan yang sedang dihidapi atau mengakibatkan kematian, khususnya jika diambil secara berlebihan atau disuntik."

Profesor Byard berkata, juga amat berbahaya jika ubat herba dicampur dengan ubat preskripsi.

"Akses kepada produk itu sebahagian besarnya tidak dihadkan dan banyak orang tidak memberitahu doktor mereka yang mereka mengambil ubat herba kerana bimbang diperlekehkan, sumbangan ubatan itu kepada kematian mungkin tidak dapat dikesan sepenuhnya oleh autopsi biasa," katanya.

Analisis yang dijalankan ke atas 251 produk herba Asia di kedai-kedai di Amerika Syarikat mendapati bahan arsenik dalam 36 produk, raksa dalam 35 produk dan plumbum dalam 24 produk.

Kesan sampingan lain ubat herba boleh menyebabkan penyakit hati, buah pinggang, strok, masalah pergerakan, lemah saraf dan serangan jantung.

"Ubat herba sering dicampur dengan ubat biasa, yang dianggap akan menjadikannya lebih efektif. Ini juga akan menimbulkan akibat yang amat berbahaya," katanya lagi. - Bernama

Ops Sikap ke-21: 28 terkorban hari ke-8

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 kematian dicatat pada hari kelapan Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 7 Februari lalu kepada 105 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli, berkata dalam satu kenyataan hari ini, mereka yang terkorban membabitkan 13 pengguna motosikal, tujuh pengguna kereta, dua pengguna van, tiga pengguna jip, seorang pengguna basikal dan dua pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 328 kes diikuti jalan persekutuan (325 kes), jalan negeri (162 kes), lebuh raya (62 kes) dan jalan-jalan lain (61 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 938 kes.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 9,408 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik. - Bernama

Kerajaan Kelantan tidak sekat hiburan: Nik Aziz

KOTA BHARU: Kerajaan pimpinan Pas di Kelantan tidak pernah menyekat pertunjukan hiburan, cuma mengawal dari segi peraturannya supaya tidak bercanggah dengan kehendak dan ajaran Islam, kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, ia kerana Islam tidak menegah seseorang daripada menghayati hiburan, asalkan tidak melalaikan kerana ia sudah menjadi fitrah yang dianugerahkan Allah kepada setiap manusia.

"Malah, Nabi Muhammad (S.A.W) sendiri pun mempunyai sifat untuk berhibur, tapi mengikut caranya tersendiri. Sejak kita (Pas) mentadbir negeri ini 20 tahun lalu, kita tidak menyekat pertunjukan hiburan di negeri ini, cuma mengawal dari segi syarat-syarat dan peraturan supaya tidak bercanggah dengan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meraikan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Pengarah Filem 'Ketika Cinta Bertasbih', Habibul Rahman di sini, hari ini.

Oleh itu, kata Nik Abdul Aziz, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk membolehkan rakyatnya menikmati hiburan mengikut peraturan.

Ditanya syarat pertunjukan hiburan di negeri ini yang agak ketat menyebabkan artis dan penganjur tidak berminat mengadakan pertunjukan di Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, ia terletak kepada mereka.

"Jika artis wanita yang datang ke sini boleh pakai tudung kepala dengan baik, tidak ada sebab mereka tidak boleh mengadakan pertunjukan hiburan di negeri ini jika mereka boleh ikut peraturan yang ditetapkan mengikut enakmen hiburan seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa agama negeri ini," katanya.

Sementara itu, Wardina berkata, beliau amat bertuah kerana dapat berjumpa dengan Nik Abdul Aziz, yang menghargai kehadirannya ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam.

"Saya rasa bertuah dapat berjumpa dengan Datuk Nik Abdul Aziz," katanya. - Bernama

Ops Sikap ke-21: 25 kematian dicatatkan, 10,443 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR: 25 kematian dicatat pada hari ketujuh Ops Sikap ke-21, semalam, dengan lebih dari separuh yang maut itu membabitkan pengguna motosikal iaitu sebanyak 15 kematian.

Tujuh pengguna kereta, dua pejalan kaki dan satu pengguna basikal turut maut, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 77 orang sejak operasi mencegah kemalangan itu dilancarkan pada 7 Feb lepas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli dalam satu kenyataan hari ini, berkata 10 daripada kemalangan maut itu berlaku di jalan persekutuan, lima di jalan negeri, masing-masing tiga di lebuh raya dan jalan bandaran manakala satu di jalan-jalan lain.


Beliau berkata, daripada 1,032 kemalangan yang dicatat semalam, 340 kemalangan berlaku di jalan persekutuan, jalan bandaran (315), jalan negeri (192), lebuh raya (136) dan jalan-jalan lain (49).

Sebanyak 10,443 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya, katanya. - Bernama