Followers

Saturday, August 7, 2010

Pintu gerbang Kebun Bunga diroboh minggu depan

GEORGETOWN: Kerja meroboh pintu gerbang Kebun Bunga Pulau Pinang yang baru sahaja dibina akan dilakukan minggu depan, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Beliau berkata, kerja meroboh pintu gerbang yang bernilai RM150,000 itu dibuat atas permintaan orang ramai dan bantahan badan bukan kerajaan yang mendakwa gerbang berkenaan tidak mesra alam.
"Kementerian akan membiayai dahulu kos meroboh kira-kira RM70,000 sebelum membuat tuntutan kepada pihak kontraktor yang membina gerbang tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pintu gerbang berkenaan adalah sebahagian daripada projek bernilai RM7 juta untuk mencantikkan kebun bunga itu.

Ng berkata, berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia pada Jun lalu, 71 peratus daripada 1,225 responden mahu pintu gerbang tersebut dirobohkan.

Beliau berkata, tempat pintu gerbang itu akan ditanam dengan bunga-bungaan. - BERNAMA

Hati-hati beli barangan promosi 'jualan murah': Ismail Sabri

BERA: Orang ramai diingatkan berhati hati semasa membeli barangan pada promosi “Jualan Murah” bersempena Aidifitri bagi mengelak daripada ditipu peniaga yang menjual barangan berkenaan pada harga lama dan bukannya pada harga diskaun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menasihatkan orang ramai yang merasakan mereka ditipu boleh membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa kementerian berhampiran ataupun menghubungi hot line kementerian 1300–888-255.
"Kementerian baru-baru ini telah mengeluarkan arahan bahawa peniaga atau pekedai yang hendak mengadakan jualan murah perlu mengemukakan semua senarai barang termasuk harga asal dan yang baru bagi membolehkan kelulusan diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Bera di pekan Kerayong di sini, hari ini.
Beliau berkata, peniaga atau pekedai yang melakukan penipuan di bawah Skim Jualan Murah boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi peniaga persendirian, denda RM250,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk syarikat.

Mengenai bekalan barang barang keperluan sempena musim perayaan, Ismail Sabri memberi jaminan barangan adalah mencukupi.

"Pemborong, pengilang, pembekal dan peniaga telah memberi jaminan akan menyediakan bekalan yang secukupnya bagi menyambut puasa dan hari raya puasa tahun ini," katanya.

Ismail Sabri, selain memberi jaminan bekalan mencukupi mereka juga memberi jaminan tidak akan menaikkan harga dan menjualnya mengikut harga yang telah ditetapkan kerajaan. - BERNAMA

NGO perlu berhati-hati keluar kenyataan berkaitan isu kaum

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, hari ini mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) supaya berhati-hati dalam pengunaan bahasa apabila membicarakan isu kaum.
Katanya, mereka perlu memastikan penggunaan bahasa tidak menyinggung mana-mana pihak.
"Setiap pihak berhak mengeluarkan apa-apa kenyataan namun ia tidak perlu dimulakan dengan ayat yang menyinggung pihak lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan ke-55 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai terdapatnya NGO yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berulang kali.

Mohammed Hanif berkata, ini tidak bermaksud kenyataan mereka tidak boleh diterima, "cuma setiap tuntutan, ucapan dan bahasa yang digunakan haruslah tidak menyinggung perasaan orang lain."

Beliau berkata, berkata untuk mengajukan pendapat, ada caranya.

Menyentuh cadangan beberapa pihak supaya pusat hiburan ditutup sempena bulan Ramadan, Mohammed Hanif, yang juga Timbalan Pengerusi Genting Berhad, berkata cadangan itu tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan tindakan berkenaan tidak adil kepada masyarakat bukan Islam.
"Bagaimanapun, adalah munasabah bagi pusat hiburan menghalang umat Islam daripada berkunjung ke pusat hiburan sempena bulan Ramadan sewaktu umat Islam diwajibkan berpuasa," katanya. - BERNAMA

Pertandingan cari nama Sibu dalam bahasa Cina

SIBU: Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu kini dalam misi mencari nama dalam bahasa Cina bagi bandar Sibu dan akan menganjurkan pertandingan bagi tujuan itu.
Presiden persatuan itu, Datuk Lau Nai Hoh, berkata hadiah menarik ditawarkan kepada individu yang dapat memberikan nama yang sesuai dalam bahasa Cina.
"Sibu kini dikenali dengan nama “Shi Wu” dalam bahasa Cina. Bagaimanapun, perkataan “Wu” bermakna "ahli sihir" dalam bahasa Cina. Ini tidak sesuai," katanya pada majlis makan malam sempena meraikan kejayaan penganjuran Festival Kebudayaan Borneo (BCF) ke-9 baru-baru ini.
Katanya, persatuan bersetuju menganjurkan pertandingan itu selepas membincangkan perkara itu dengan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri, Datuk Sri Wong Soon Koh, dan beberapa pemimpin lain.

"Kami mahu orang ramai turut serta dalam memberikan nama yang sesuai dan mempunyai makna yang baik," katanya.

Sementara itu, Lau berkata BCF akan dipromosikan di China melalui pemandu pelancong dari negara itu yang telah menyaksikan festival itu di sini bulan lalu. - BERNAMA

Dr Rohana Yusof dilantik TNC UM

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Prof Dr Rohana Yusof, telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya (UM) yang baru berkuat kuasa esok.
UM, dalam satu kenyataan di sini, berkata pelantikan Dr Rohana adalah bagi tempoh tiga tahun menggantikan Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris yang penggalnya berakhir hari ini.
Sebelum pelantikannya, Dr Rohana yang juga pakar virus denggi adalah Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Penyelidikan dan Inovasi di AKEPT, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang Biokimia dari Leeds University, United Kingdom, ijazah Sarjana dalam bidang Sains dari UM, dan ijazah Sarjana Muda Sains (Biokimia) dari Lancaster University, United Kingdom. - BERNAMA