Followers

Tuesday, September 1, 2009

Punca tiga kes kematian terbaru disyaki H1N1

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Semakan Kematian Influenza A (H1N1) akan mengkaji tiga kematian terbaru yang dilaporkan hari ini sama ada ia disebabkan jangkitan wabak itu atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Kementerian Kesihatan menerima laporan tiga kematian itu pada 30 Ogos lalu di Negeri Sembilan, di mana membabitkan pesakit berumur antara 24 hingga 42 tahun.

Sementara itu, katanya, sehingga jam 9 pagi tadi, 278 pesakit baru dengan tanda-tanda Influenza-Like Illness (ILI) sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Beliau berkata, 279 kes sebelumnya sudah didiscaj keluar, menjadikan baki pesakit ILI yang sedang dirawat 1,373.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 193 pesakit atau 14 peratus yang disahkan positif H1N1.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman web kementerian kesihatan di sini, hari ini.

Bagi 193 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di ICU di mana enam kes adalah kemasukan baru, enam kes lagi sudah keluar dari ICU.

Daripada 46 kes yang dirawat di ICU, 36 pesakit (78 peratus) mempunyai faktor risiko.

Pecahan mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (8), obesiti (11), kanak-kanak/bayi (8), post-natal/hamil (4), penyakit jantung (2), asthma (1) dan imuniti rendah (2).

Sehingga kini, kematian yang disebabkan jangkitan H1N1 mencecah 72, di mana kes terakhir membabitkan seorang doktor wanita meninggal dunia pagi Ahad lalu.

H1N1: Menteri Pertahanan Colombia pula dijangkiti

BOGOTA: Selepas Presiden Colombia, Alvaro Uribe semakin menunjukkan tanda pulih daripada selesema babi atau Influenza A (H1N1), menteri pertahanan negara itu, Gabriel Silva pula mempunyai simptom sama, hari ini.

Uribe, 57, yang disahkan positif H1N1 sekembalinya dari satu sidang kemuncak pemimpin Amerika Selatan, di Bariloche, Argentina, Jumaat lalu, mengarahkan rombongannya supaya membuat pemeriksaan kesihatan.

Sehari selepas Uribe diserang penyakit itu, Pejabat Presiden mengeluarkan kenyataan bahawa Silva turut mempunyai simptom sama iaitu demam dan batuk.

Walaupun Silva belum disahkan secara klinikal menghidap virus itu, beliau sudah dikuarantin untuk menerima rawatan.

Uribe bagaimanapun tidak dikuarantin dan bertugas seperti biasa dari kediaman presidennnya. - AFP

Pemergian Tun Hamid satu kehilangan kepada negara: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kepulangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar, 80, ke rahmatullah pagi tadi sebagai satu kehilangan kepada negara.

Perdana Menteri yang melawat jenazah Allahyarham di kediamannya di Langgak Tunku, jam 2.40 petang tadi berkata, beliau bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Abdul Hamid meninggal dunia jam 10 pagi tadi di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang, di sini kerana kegagalan ginjal dan jangkitan kuman selepas diserang demam dan selesema sejak beberapa hari lalu.

Turut bersama Najib ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menghargai sumbangan Allahyarham yang banyak berjasa kepada pentadbiran, keadilan dan sistem kehakiman negara.

Allahyarham meninggalkan balu, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali, 72 dan empat iaitu dua lelaki serta dua perempuan.