Followers

Friday, August 6, 2010

Hak keistimewaan Bumiputera perlu dikekalkan: Hadi

MARANG: Hak dan keistimewaan Bumiputera khususnya orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, realiti pada masa ini ialah golongan Bumiputera majoritinya masih miskin dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"(Beri) kepada siapa yang berhak, majoritinya adalah Bumiputera yang miskin, yang bukan Bumiputera tidak seramai Bumiputera," katanya selepas melancarkan buku karyanya bertajuk Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin, sempena Jubli Perak Maahad Darul Al-Quran di Rusila di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua daripada DAP, agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Abdul Hadi berkata bahawa kaum lain yang miskin juga wajib mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Katanya tindakan Pua itu belum dibincangkan di peringkat kepimpinan parti pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau turut menganggap kenyataan Tony lebih bersifat peribadi. - BERNAMA

Guna dana awam untuk benar-benar manfaat rakyat: Najib

KUALA LUMPUR: Dana awam harus dipergunakan dengan cara yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata untuk tujuan itu, kerajaan akan meneliti projek-projek yang menjadi keutamaan kepada rakyat.
"Jadi kerajaan sedar mengenai perkara ini dan harap kami mampu memenuhi harapan rakyat," katanya dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my di bawah tajuk "Respon Kepada Komen - Perbelanjaan Kerajaan Bagi Program Rakyat''.
Najib menulis demikian bagi mengulas komen seorang pengirim yang memberi ulasan bahawa kerajaan harus menilai Pulangan Bagi Pelaburan (ROI) dari segi nilai sosial, modal insan, kesihatan dan sebagainya sebelum memperuntukan bajet untuk sebarang program.

Pengirim itu berkata sekiranya kerajaan mempunyai pewajaran maka tiada sesiapa boleh mempersoalkan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

"Saya sangat setuju dengan anda bahawa kami perlu berbelanja dengan bijak dan berhemah kerana kami menggunakan wang rakyat," katanya.

Misalnya, Najib berkata kerajaan telah melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan enam NKRA yang dikenal pasti adalah mengikut penilaian kerajaan dan bidang keutamaan seperti diilhamkan oleh rakyat.
Katanya rakyat mahu melihat pembasmian kemiskinan, sistem pengangkutan awam yang lebih baik, penurunan kadar jenayah dan rasuah, pendidikan berkualiti dan rakyat juga mahu kerajaan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Jadi, ini adalah bidang yang akan mendapat keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) (2011-2015)," katanya.

Pada masa sama, Najib berkata kerajaan juga perlu merangsangkan ekonomi dan untuk tujuan itu telah memutuskan Dana Pemudahan berjumlah RM20 bilion menerusi RMKe-10.

Beliau berkata diharap kerajaan mampu bertindak sebagai pemungkin (enbaler) bagi membolehkan sektor swasta melabur.

"Dengan menggunakan jumlah kecil dana awam, kami boleh mampu mencetuskan tahap pelaburan swasta yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

AS pertama kali sertai majlis memperingati pengeboman Hiroshima

TSUYUKO Nakao, 92 (kanan), dan Kinuyo Ikegami, 77, meratapi kematian ahli keluarga akibat dari serangan bom atom pada 1945 di Hiroshima Peace Memorial Park, sempena memperingati tragedi pengeboman Hiroshima, genap 65 tahun, hari ini. - Foto AP
TSUYUKO Nakao, 92 (kanan), dan Kinuyo Ikegami, 77, meratapi kematian ahli keluarga akibat dari serangan bom atom pada 1945 di Hiroshima Peace Memorial Park, sempena memperingati tragedi pengeboman Hiroshima, genap 65 tahun, hari ini. - Foto AP
TOKYO: Buat kali pertama Amerika Syarikat menyertai upacara memperingati tragedi pengeboman Hiroshima, genap 65 tahun bandar raya berkenaan musnah akibat ledakan bom nuklear serta kesan radiasinya.

Amerika bersama tentera sekutunya semasa Perang Dunia Kedua - Britain dan Perancis, juga menghantar diplomatnya untuk kali pertama pada upacara berkenaan yang diadakan di barat bandar raya berkenaan sebagai simbol sokongan nuklear kini bukan untuk tujuan peperangan.
Jepun satu-satunya negara yang dijatuhkan bom nuklear, pertama pada 6 Ogos 1945 di Hiroshima, disusuli tiga hari kemudian di Nagasaki.
“Persaingan sesama manusia sepatutnya tidak berulang lagi dengan misteri serta ketakutan akibat penggunaan bom nuklear," kata Perdana Menteri, Naoto Kan dalam ucapannya.

“Jepun sebagai satu-satunya negara yang diserang dengan bom nuklear semasa perang, mempunyai tanggungjawab moral untuk mengetuai langkah merealisasikan dunia yang bebas daripada senjata nuklear," katanya.

Amerika diwakili dutanya, John Roos menghadiri upacara yang diadakan setiap tahun itu yang dilihat sebagai menterjemahkan usaha Presiden Barack Obama untuk membebaskan dunia daripada sesaingan senjata nuklear.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon juga hadir, menjadi ketua PBB pertama mengambil bahagian dalam upacara tahunan yang berlangsung di Memorial Keamanan Hiroshima itu. - AFP

Pelajar perlu ada kemahiran generik: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan pelajar supaya memperlengkapkan diri bukan sahaja dengan kemahiran profesional tetapi kemahiran generik.

Beliau berkata, kemahiran generik ialah seperti kemahiran menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang bermanfaat melalui cetusan daya kreativiti dan inovasi yang amat diperlukan oleh negara bagi memacu ekonomi berpendapatan tinggi.
"Pelajar tidak seharusnya mengehadkan pencarian ilmu dalam kuliah sahaja sebaliknya mengambil pendekatan lebih kreatif dalam meneroka ilmu pengetahuan menerusi pelbagai sumber.
"Ini termasuklah melalui pembabitan dalam aktivisme pelajar yang akan mendedahkan pelajar kepada pelbagai bentuk pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang tidak boleh diperoleh di dalam bilik kuliah.

"Kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi yang cekap misalnya dapat diperoleh dan dimantapkan melalui penglibatan dalam persatuan atau kelab di institusi pengajian tinggi," katanya ketika merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar juga perlu mempunyai kemahiran untuk berhujah dan mengutarakan pandangan atau cadangan yang bernas untuk diterima pihak lain.
Katanya, kemahiran penting itu boleh dibina dan dimantapkan melalui pembabitan dalam program diskusi atau wacana awam di universiti.

"Dengan cara ini, masyarakat pelajar di negara kita bukan sahaja akan dapat mengasah bakat kepimpinan tetapi menajamkan daya fikir secara objektif dan rasional dalam menangani sesuatu isu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan kemahiran itu juga, pelajar dapat mengelak daripada terjerat dalam perangkap persepsi atau emosi yang mengaburi pandangan mereka tentang sesuatu isu.

Beliau percaya dengan keupayaan berfikir secara objektif dan kesediaan mendengar pandangan yang dilontar daripada sudut yang berbeza, pelajar dapat menghormati perbezaan pendapat, menerima pandangan yang terbaik dan mengelak daripada terjerumus dalam polemik yang tidak berfaedah.

"InsyaAllah, dengan menggalakkan perbincangan dan pertukaran pandangan secara sihat, pelajar di negara kita akan bersikap lebih terbuka dalam menangani pelbagai isu semasa.

"Saya yakin sebagai insan terpelajar yang mempunyai akses kepada pelbagai sumber ilmu dan maklumat, pelajar kita akan dapat menganalisis sesuatu isu yang melibatkan kepentingan negara secara adil dan objektif," katanya.

Muhyiddin juga yakin golongan pelajar di institusi pengajian awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang juga aset penting negara, dapat bersama-sama kerajaan berperanan dan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada pembangunan negara pada masa depan.

MPPK adalah wadah utama yang memberi peluang kepada kepimpinan pelajar di IPTA dan IPTS tempatan untuk berbincang mengenai pelbagai isu penting negara dan ia juga adalah sebahagian daripada proses musyawarah antara kerajaan dan rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Melalui MPPK, kepimpinan pelajar bebas untuk berbincang, meminta penjelasan dan melontarkan idea mengenai isu-isu semasa di peringkat nasional sama ada dari aspek ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan sebagainya. - BERNAMA

Cuepacs minta JPA semak kaedah peperiksaan PTK

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.

Presidennya, Omar Osman, berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.
"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.
Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.

"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.

Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.

Pandangan Omar dikongsi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang bersetuju dengan pendapat bahawa mereka yang berkhidmat di sektor awam dibebani dengan peperiksaan.

Beliau berkata sewajarnya kerajaan mempermudahkan kenaikan gaji dan gred penjawatnya terutama yang telah berkhidmat puluhan tahun dan hampir bersara namun masih di takuk lama sekalipun terbukti mereka cemerlang ketika bertugas.

Hashim berkata walaupun PTK digubal untuk tujuan yang baik iaitu mengelakkan unsur pilih kasih dan memastikan hanya yang layak diiktiraf, pelaksanaanya menyebabkan ada yang tertindas.

"Tidak semua antara kita pintar semasa di sekolah tetapi lain pula keadaannya ketika telah bekerja. Justeru konsep peperiksaan dalam PTK ini sudah tidak sesuai digunakan bagi menentukan prestasi seseorang penjawat awam," katanya.

Seperti dalam sektor am, beliau berkata ada anggota yang gagal menginjak pangkat kerana gagal melepasi peperiksaan sekalipun prestasinya sebagai penguatkuasa undang-undang cemerlang. - BERNAMA

Arab Saudi mula gantung perkhidmatan mesej BlackBerry

JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi hari ini mula menggantung perkhidmatan mesej BlackBerry selepas penyedia perkhidmatan itu memberi sebab ia dilakukan atas kepentingan keselamatan.
“Ia sudah ditamatkan," kata seorang pengguna BlackBerry di selatan pelabuhan Jeddah, sambil menambah rakannya juga menghadapi keadaan sama.
Pihak berkuasa telekomunikasi Arab Saudi mengumumkan Selasa lalu bahawa tiga penyedia perkhidmatan telefon bimbit itu sudah diarah menyekat perkhidmatan BlackBerry atau berdepan denda bernilai AS$1.3 juta. - AFP