Followers

Friday, May 28, 2010

Dua lagi kluster ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah menerima sejumlah dua laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) daripada dua negeri, Negeri Sembilan dan Johor, sehingga awal pagi ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata terdapat sebanyak 72 kejadian kluster yang masih aktif di seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, katanya, sejumlah 23 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,772.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 595 kes di mana 53 kes disahkan positif Influenza A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat lapan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh mempunyai risiko H1N1.

"Jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini ialah 87 orang," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - Bernama

Pelajar, kakak ditahan reman kes sembunyi kelahiran

SHAH ALAM: Seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini bersama seorang kakaknya berusia 24 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Norkamilah Aziz bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Laporan berita semalam berkata polis menahan pelajar itu pada Khamis lalu kerana dipercayai ibu kepada bayi lelaki yang ditemui mati ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin, berkata remaja itu ditahan di sekolahnya di sini 9 pagi semalam manakala pasangannya serta dua lagi individu yang dipercayai bersubahat dalam kejadian berkenaan, sedang dikesan.

"Ketika ditahan, pelajar terbabit berada dalam keadaan lemah kerana masih dalam tempoh berpantang," katanya.

Noor Azam berkata, laporan kesihatan mendapati remaja berkenaan tidak menghadapi sebarang komplikasi dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini untuk siasatan lanjut. - Bernama

Pelatih PLKN dilindungi insurans sebelum hingga selepas latihan

KUALA LUMPUR: Perlindungan insurans untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan bermula tiga hari sebelum pendaftaran dan berakhir selepas tujuh hari tamat latihan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata ibu bapa boleh membuat tuntutan sekiranya anak mereka terbabit dalam kemalangan dan sebagainya dalam tempoh itu.

"Sekiranya pelatih terbabit dalam kemalangan atau kematian tiga hari sebelum mendaftar atau tujuh hari selepas menjalani latihan, ibu bapa pelatih boleh membuat tuntutan insurans daripada jabatan," katanya.
Beliau berkata, dalam kes membabitkan kematian pelatih, ibu bapa atau keluarganya juga diberi wang khairat kematian.

Mengulas PLKN Kumpulan 3 Siri 7/2010 yang akan bermula 10 Jun ini, Abdul Hadi berkata seramai 53,530 pelatih akan mengikutinya.

"Daripada jumlah itu seramai 12,945 adalah pelatih yang telah diberi penangguhan daripada mengikuti latihan bagi tempoh 2004 hingga 2006," katanya.

Katanya, menyemak nama mereka menerusi notis yang disiarkan dalam akhbar bermula hujung minggu ini, pelatih juga boleh berbuat demikian melalui laman web JLKN.
Beliau berkata, pelatih boleh membuat semakan penempatan kem dan tarikh melapor diri melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SEMAK KEM nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888 bermula hari ini.

"Bagi pelatih penangguhan yang ingin melanjutkan penangguhan, mereka perlu memaklumkannya kepada JLKN.

"Syarat-syarat penangguhan terdapat di laman web JLKN. Bagi pelatih penangguhan yang sedang belajar atau menduduki peperiksaan, penangguhan boleh disambung. Mereka perlu maklumkan kepada jabatan," katanya. - Bernama

Berhati-hati dapatkan khidmat dukun: Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan daripada dukun atau pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar kerana ini boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk atau mungkin mengakibatkan maut.
“Jika mereka memerlukan rawatan alternatif, mereka boleh ke hospital tertentu kerajaan yang menyediakan perubatan tradisional,” kata Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&C) Kementerian, Dr Ramli Abdul Ghani.

Beliau berkata, pada masa ini enam hospital – di Kepala Batas, Putrajaya, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching - menyediakan rawatan sedemikian.
Dua lagi hospital, di Port Dickson dan Alor Star, akan mula menyediakan perkhidmatan seumpama itu lewat tahun ini. Antara khidmat disediakan ialah akupunktur, urut tradisional Melayu dan ubatan herba.

Dr Ramli mengulas laporan mengenai seorang wanita ditipu oleh seorang dukun yang mendakwa telah mengubati kanser hatinya.

Bagaimanapun, imbasan CT kemudian menunjukkan bahawa kanser itu telah mencapai tahap empat dan penyakit itu telah merebak ke bahagian lain badannya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan komplementari terkenal, Dr VM Palaniappan, berkata Malaysia antara antara beberapa negara di dunia yang menyokong kuat amalan perubatan komplementari.
Beliau berkata, orang ramai tidak harus bimbang jika "sekali sekala" pengamal perubatan palsu dibongkar. Keadaan seperti ini biasanya wujud dalam semua profesion.

Dr Palaniappan, bekas profesor madya University Malaya, mencadangkan kementerian berkenaan menyusun direktori semua pengamal perubatan tradisional bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan dan menyekat pengamal perubatan palsu. - Bernama