Followers

Saturday, October 17, 2009

Pindaan tidak bermakna jika ahli Umno tak berubah

TEMERLOH: Pindaan Perlembagaan Umno, khususnya berkaitan menentukan pucuk pimpinan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya ahli Umno itu sendiri tidak mahu berubah dan berusaha memartabatkan parti lebih dari kepentingan diri sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata semua pihak perlu berubah dari peringkat atas hinggalah ke bawah dalam usaha mengembalikan keyakinan penuh rakyat kepada parti yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu.

"Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah jangan memfitnah sesama sendiri, mengadu-domba, sikap terburu-buru mendapatkan jawatan, mudah merajuk apabila tidak dapat hajat dan cita-cita dan sikap dengki serta iri-hati.

"Jika sikap demikian masih berada di hati dan sanubari ahli Umno, maka perubahan perlembagaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung yang berakhir semalam tidak memberi makna.

"Ahli Umno perlu berani dan mengutamakan kepentingan parti jika mahukan Umno terus unggul dan perkasa sepertimana yang ditegaskan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan pelancaran Kopi Jenama Tongkat Ali "Perwira" Persatuan Bekas Tentera Daerah Temerloh di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Temerloh berkata, setiap ahli Umno harus berani berkorban kepentingan diri jika mahukan Umno terus berdaya saing dan menjuarai rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. "Presiden parti berharap perubahan yang dilakukan itu akan dapat menyakinkan rakyat bahawa hanya parti Umno yang mampu membela nasib mereka dan sekaligus apabila ianya tersemat di hati rakyat maka tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan padu kepada Umno," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh mahukan pemimpin di peringkat cawangan bersedia menjalankan kempen menambah ahli dan mendaftar sebagai pemilih mulai sekarang.

"Ini sangat penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya ke-13 dan kita tidak boleh menunggu kerana masa berlalu terlalu pantas," katanya. - Bernama

Taufan: Filipina hargai bantuan Malaysia

MANILA: Kira-kira tiga juta mangsa taufan Ketsana dan Parma di Filipina masih memerlukan bantuan kemanusiaan kerana kebanyakan mereka masih terkandas di rumah masing-masing akibat banjir dan tidak dapat menjalankan kehidupan harian mereka.

Penolong Setiausaha Jabatan Kebajikan Khas Filipina, Vilma Cabrera, berkata penyelesaian terbaik ialah memindahkan mangsa terbabit ke kawasan lain kerana kawasan rumah mereka itu terdedah kepada ancaman bencana alam seperti taufan.

"Kerja pemulihan di kawasan yang terjejas bergantung kepada lokasinya kerana kebanyakan kawasan masih ditenggelami banjir jadi kami tidak dapat membina semula rumah dengan segera. Kami perlu merancang penempatan semula supaya mereka tidak lagi tinggal di kawasan yang berisiko dilanda banjir di masa depan, jadi penempatan semula adalah pilihan terbaik bagi keluarga terbabit," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Cabrera berkata, kerajaan Filipina mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang menghantar 43 tan bantuan kemanusiaan, termasuk selimut, pakaian dan beras, kepada Filipina untuk membantu mangsa taufan.

"Sumbangan daripada kerajaan Malaysia bagi mangsa taufan di Filipina tepat pada masanya. Kami memerlukan bantuan makanan, selimut dan air, bukan sahaja di kawasan metropolitan tetapi juga di wilayah-wilayah di utara," katanya.

Bantuan itu dibawa dengan dua pesawat C-130s Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari pangkalan udara di Subang pada Jumaat lalu dan dua lagi pesawat dijadualkan esok.

Pasukan Bantuan Kemanusiaan Malaysia yang terdiri daripada 13 krew TUDM dan 11 wakil media dan pegawai Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Luar tiba di pangkalan udara Viilamor pada Jumaat.

Ketua delegasi Majlis Keselamatan Negara, Nazrul Fa Zami Mohamad, menyerahkan bantuan seberat 42,305kg dan bernilai RM538,200 kepada Cabrera.

Barangan makanan itu terdiri daripada biskut, beras, susu tepung, sardin, kacang panggang dan mee segera manakala pakaian pula berupa kemeja T, seluar sukan, pakaian kanak-kanak dan selimut.

Program bersama anjuran pelbagai agensi kerajaan Filipina akan diadakan pada Isnin untuk mengagihkan bantuan asing ke kawasan yang paling teruk dilanda taufan itu di utara Filipina.

Taufan Parma melanda Filipina pada awal Oktober, seminggu selepas taufan itu tiba di perairan negara itu pada 23 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kedua Kedutaan Malaysia di Filipina, Intan Zurina Dollah, berkata bantuan kemanusiaan yang ditawarkan Malaysia akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Warga tempatan, Lt-Kol Adel Lebin memberitahu Bernama langkah Malaysia menghulurkan bantuan itu akan dapat membantu warga Filipina yang kebuluran di Manila dan sebahagian besar lagi di utara Luzon.

Kawasan yang terkena badai dua taufan itu termasuk 25 wilayah dan 33 bandar raya dengan 740,791 keluarga dan 3.5 juta penduduk tempatan turut terjejas manakala 3,007 terkandas.

Filipina yang terdiri daripada 7,107 pulau, mengalami kira-kira 20 taufan setahun dan dijangka akan dilanda lima lagi antara Oktober dan Disember.

Lebih 700 orang terkorban akibat taufan Ketsana dan Parma yang membawa hujan lebat dan banjir besar manakala kira-kira enam juta orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing. - Bernama

H1N1: Orang ramai dinasihat terus jaga kebersihan

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri sempena perayaan berganda iaitu Aidilfitri, yang masih disambut, selain Deepavali yang diraikan penganut Hindu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini berikutan penularan penyakit Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif walaupun trend telah menunjukkan penurunan.

"Seramai 136 pesakit baru dengan gejala Penyakit Seakan Influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan hari ini sementara 159 kes telah didiscaj.

"Ini menjadikan jumlah semasa ILI yang masih dirawat di seluruh negara sebanyak 604 kes di 67 buah hospital termasuk lima hospital swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) didaftarkan hari ini dan jumlah kematian kekal 77 orang.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 22 pesakit atau empat peratus adalah kes Influenza A (H1N1) yang telah disahkan manakala sebanyak enam kes atau 27 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Bagaimanapun,terdapat satu kes kemasukan baru ke ICU dan satu kes telah didiscaj hari ini yang rata-rata kes mempunyai faktor risiko termasuk wanita hamil (1), obesiti (1), penyakit kronik (2) dan kanak-kanak bawah lima tahun (2)," katanya. - Bernama