Followers

Wednesday, October 14, 2009

Wanita, Pemuda, Puteri Umno mulakan perhimpunan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini mengadakan perhimpunan agung masing-masing secara berasingan, sekaligus memulakan perbincangan bagi pindaan perlembagaan parti itu, yang akan dibentangkan dalam satu Perhimpunan Agung Khas Umno esok.

Perwakilan dijangka membincangkan cadangan pindaaan perlembagaan itu sewaktu mereka membahaskan usul ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing.

Pindaan perlembagaan itu adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Presiden Umno untuk mentransformasi parti itu secara menyeluruh bagi membolehkannya kekal sebagai pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ketiga-tiga ketua sayap parti itu, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyampaikan ucapan sulung mereka selepas peralihan kepimpinan pergerakan masing-masing pada Perhimpunan Agung Umno 2008, Mac lalu.

Perhimpunan Agung Wanita berlangsung di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail manakala Puteri di Dewan Tun Hussein Onn. Mesyuarat bermula pada jam 8.30 pagi.

Seramai 795 perwakilan masing-masing menghadiri perhimpunan agung Wanita dan Pemuda manakala sejumlah 789 perwakilan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung Puteri. - Bernama

Wanita Umno tumpu tiga isu

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil mahu ahli wanita mengorak langkah keluar daripada pemikiran hanya untuk menjadi pemimpin wanita saja.

"Kita perlu berfikir di luar lingkungan wanita dan mengorak langkah serta bertindak bagi mendapat pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan yang diberikan selama ini," katanya pada perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ia adalah ucapan dasar sulungnya selepas dipilih ke jawatan itu Mac lalu.

Beliau berkata, isu kepimpinan wanita adalah antara tiga isu yang akan diberi fokus segera oleh Wanita Umno, selain isu wanita serta undang-undang dan pengupayaan ekonomi wanita.

Shahrizat berkata, bahawa dalam bidang politik, perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan di semua tahap masih lagi rendah kerana, berdasarkan stastik, wanita Malaysia masih jauh daripada tahap 30 peratus.

Di dalam Umno, katanya, bilangan wanita sebagai ahli termasuk daripada pergerakan Puteri adalah 1.68 juta orang (48.3 peratus), namun bilangan wanita yang menduduki Majlis Tertinggi (MT) hanya enam orang atau 11.8 peratus.

Shahrizat berkata, perjuangan ke arah penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam parti adalah penting kerana kewujudan "siling kaca" menyebabkan wanita yang berpotensi dan berkelayakan tidak dapat memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan.

"Fenomena ini disebabkan oleh tanggapan bahawa hanya lelaki sahaja yang layak memegang jawatan di peringkat tertinggi dan adalah mustahil bagi wanita untuk berada di peringkat tersebut," katanya.

Beliau berkata, isu keseimbangan kerjaya dan keluarga juga menjejaskan peluang wanita untuk berjaya dalam kerjaya memandangkan wanita masih dianggap sebagai penjaga keluarga yang utama.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kurangnya penonjolan wanita di tempat kerja dan pengaruh persekitaran yang membentuk peranan gender juga menyebabkan wanita kurang berkeyakinan untuk memegang jawatan yang penting walaupun berkelayakan.

Katanya, daripada aspek undang-undang, Wanita Umno mendapati kes syariah terutama bilangan kes mal yang melibatkan keluarga, masih merekodkan jumlah prosiding yang tinggi, dan ini menunjukkan wujud masalah dalam pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.

Ia dapat dilihat dengan kes mal yang masih tertunggak di Mahkamah Syariah di mana dari 2005 hingga 2008 sebanyak 41 peratus atau 5,350 kes daripada 12,839 kes tuntutan fasakh masih tertunggak manakala 41.3 peratus atau 16,308 kes daripada 39,474 kes tuntutan penceraian juga tertunggak dan tuntutan pengesahan cerai taklik iaitu sebanyak 54.1 peratus atau 7,734 kes daripada 13,557 kes tertunggak, katanya.

"Bagi menjamin hak wanita dilindungi sepenuhnya, pihak-pihak berwajib terutamanya pihak mahkamah hendaklah lebih serius dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang Syariah," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penyeragaman pentadbiran undang-undang keluarga Islam supaya penyelesaian kes-kes keluarga dapat dipercepatkan dan ditangani dengan lebih berkesaan.

Menyentuh isu pengupayaan ekonomi wanita, Shahrizat berkata, wanita mesti mempunyai keupayaan daripada segi ekonomi kerana dengan keupayaan tersebut, wanita mampu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada orang lain, terutama jika sesuatu musibah terjadi dalam keluarga.

Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini antara 1990 dan 2008 tidak berganjak pada jajaran 44 peratus hingga 47 peratus berbanding negara maju seperti United Kingdom adalah 69.7 peratus, Amerika Syarikat (69.2), Jepun (60.8) dan Korea Selatan (54.5).

Katanya, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati sebab utama 55 peratus wanita berhenti kerja adalah untuk mengurus rumah tangga, menjaga anak atau menjaga anggota keluarga, dan jika keadaan ini tidak dibendung, akan merugikan bukan sahaja wanita tetapi juga negara.

Beliau meminta majikan mempertingkatkan cara pengurusan kerja yang fleksibel dengan meluaskan amalan waktu kerja anjal, bekerja dari rumah dan "teleworking".

Shahrizat juga berharap ahli keluarga mengubah persepsi dan minda di mana tugas menguruskan keluarga bukanlah tanggungjawab wanita semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab bersama semua ahli keluarga.

Katanya, bidang keusahawanan merupakan satu bidang yang berpotensi untuk diceburi oleh wanita bagi menjana pendapatan dan untuk mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang sangat mencabar.

"Walaupun bidang ini mempunyai banyak risiko, kaum wanita mesti berani menghadapi cabaran untuk mendapatkan pulangan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang telah berjaya, mereka hendaklah menjadi mentor kepada mereka yang baru menceburi bidang itu supaya dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan akan menjadikan mereka lebih kompetitif dan turut mencapai kejayaan.

Shahrizat berkata, jika cadangan pindaan perlembagaan diterima dalam Perhimpunan Khas esok, maka peningkatan ketara kepada sekurang-kurangnya 22,500 perwakilan wanita dari peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi akan berpeluang diberi tanggungjawab penting memilih pucuk pimpinan parti dan menentukan hala tuju Umno. "Wanita juga diberi pengiktirafan apabila satu tambahan tempat diberi secara lantikan dalam Majlis Tertinggi. Jika dahulu Presiden boleh melantik anggota MT seramai 12 orang tetapi kini ia bertambah kepada 13 orang iaitu khusus kepada wanita.

"Begitu juga di peringkat bahagian daripada tujuh orang kepada lapan orang dengan syarat diberikan kepada wanita. Di peringkat cawangan pula daripada lima orang kepada enam orang yang turut diberikan kepada wanita," katanya. - Bernama

Puteri bukan sekadar perayu undi: Rosnah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno mahu sayap itu diangkat sebagai pengukuh dan penyokong kepada Umno, bukan sekadar untuk berkempen dan merayu undi ketika pilihan raya.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Puteri Umno juga ada perjuangan bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara, bukan pesaing kepada sayap lain.

Dalam ucapan sulung sebagai Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung pergerakan itu, beliau berkata pergerakan itu juga mahu bergerak seiring dengan dua sayap lain iaitu Pergerakan Wanita dan Pemuda.

"Jika mereka (Wanita dan Pemuda) menjadi sayap, kita juga mesti terbang dengan sayap itu. Jika mereka menjadi tulang belakang, biarlah kita kekal menjadi tulang rusuk yang menjadi rasuk yang mengukuh.

"Rasuk pada tiang seri sebuah rumah yang kukuh berdiri tanpa sebatang pun kaku," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Menggarap 1Perjuangan, Mengukuh Puteri, Menjulang Parti."

Rosnah berkata, ahli pergerakan itu yang dikategorikan sebagai golongan muda, cantik, pandai, bergaya dan berpendidikan tinggi mesti peka kepada tuntutan semasa.

Katanya, ahli Puteri perlu sentiasa memikirkan perihal bangsa dan agama apabila kedudukan Umno yang semakin tidak selesa berikutan ungkitan demi ungkitan membabitkan perkara yang sudah pun dipersetujui perlembagaan.

Rosnah turut menggemukakan cadangan pindaan perlembagaan, mengumumkan kempen keahlian, membangkitkan isu pendidikan, kemiskinan bandar, ekonomi Melayu, bahasa, kerjaya, agama, kesihatan, 1Malaysia dan Portal Puteri Umno Malaysia.

Wanita perlu setaraf kepimpinan arus perdana: Shahrizat

Oleh Wan Hazmir Bakar

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno mahu kepimpinan di peringkat tertinggi Umno mencerminkan keahlian dalam parti dengan pemimpin wanita diberi peranan sebagai pemimpin arus perdana Umno, bukannya sekadar mewakili sayap parti.

Ketuanya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pada masa ini bilangan ahli wanita dalam Umno, termasuk Puteri Umno, adalah seramai 1.68 juta orang atau 48.3 peratus daripada keseluruhan ahli parti tetapi bilangan wanita yang menduduki Majlis Tertinggi (MT) hanya enam orang atau 11.8 peratus.

"Begitu juga di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di mana perwakilan wanita masih kecil iaitu sekadar 'mewakili Wanita Umno', bukannya 'mewakili Umno'.

"Pemimpin wanita seharusnya diberi peranan sebagai pemimpin arus perdana Umno, bukannya mewakili sayap tertentu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Sharizat berkata, bilangan kaum wanita pada tahap sekurang-kurangnya 30 peratus dalam kalangan pembuat keputusan penting kerana kewujudan 'siling kaca' menyebabkan wanita yang berpotensi dan berkelayakan tidak dapat memegang jawatan berkenaan.

Katanya, isu keseimbangan kerjaya dan keluarga menjejaskan peluang wanita untuk berjaya dalam kerjaya kerana wanita masih dianggap penjaga keluarga utama manakala kurangnya penonjolan wanita di tempat kerja walaupun mereka telah berjaya memberi sumbangan kepada organisasi.

"Pengaruh persekitaran yang membentuk peranan gender juga telah menyebabkan wanita kurang berkeyakinan untuk memegang jawatan yang penting walaupun berleayakan untuk berada di peringkat pembuat keputusan," katanya.

Namun, Shahrizat yakin keadaan itu dalam Umno akan berubah jika cadangan pindaan perlembagaan parti diterima dan pemimpin wanita akan diarusperdana dan diinstitusikan di peringkat cawangan, bahagian dan MT.

Katanya, kalau dulu hanya 280 perwakilan wanita diberi peluang untuk memilih pucuk pemimpin, pindaan itu akan memberi sekurang-kurangnya 22,500 perwakilan wanita dari peringkat cawangan, bahagian dan MT kuasa memilih.

"Walaupun tidak semua cadangan yang dikemukakan diterima, namun Wanita Umno tetap positif kerana ia membuka lembaran dan era baru dalam kepimpinan wanita dalam partis siasah utama negara," katanya.

Pemuda Umno ikrar pastikan Anwar tidak bentuk kerajaan

oleh Zainudin Isa, Wan Hazmir Bakar dan Zef Othman

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini berikrar memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'sesumpah politik' yang melalaikan masyarakat Malaysia, tidak akan dapat berkuasa dan menubuhkan kerajaan.

Dalam ucapan sulung sebagai Ketua Pemuda Umno pada perhimpunan agung pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, berkata Umno khususnya Pemuda Umno tidak akan membiarkan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus menipu rakyat dan mendakwa dirinya sebagai pemimpin yang bersih dan pejuang rakyat bawahan.

"Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dialah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin Umno sebagai rasuah, rakus dan rasis.

"Tapi Anwar Ibrahim, jangan kamu lupa sejarah kamu kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

"Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar, seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

"Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya," katanya.

Khairy berkata, menjadi tanggungjawab Pemuda Umno mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang yang diterajui Anwar.

Beliau berkata, pakatan pembangkang bukannya sebuah parti politik yang tulen tetapi satu perhubungan rambang dan kasual tanpa prinsip moral, cinta sejati atau hormat menghormati.

"Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional," katanya sambil menambah pepecahan pembangkang boleh dilihat dalam banyak insiden selepas pilihan raya umum lalu.

Bangkok tolak isu sempadan ke sidang Asean


tentera thailand mengawal kawasan sempadan berhampiran kuil Preah Vihear.

Akhbar salah petik menteri dalam membuat saranan itu

BANGKOK: Thailand semalam menolak cadangan membawa isu pertikaian sempadan dengan Kemboja ke sidang kemuncak Asean akan datang, sebaliknya berkata ia perlu diselesaikan secara rundingan dua hala.

Kemboja kelmarin mencadangkan negara jirannya, Thailand menjadikan isu pertikaian sempadan yang turut menyaksikan pertempuran tentera kedua negara jiran itu, sebagai agenda ketika menjadi tuan rumah sidang kemuncak Asean bulan ini.

Bagaimanapun seorang jurucakap kementerian luar Thailand berkata cadangan Kemboja itu berdasarkan kepada satu laporan tidak tepat dalam media Thailand.

Menteri luar Thailand, Kasit Piromya dilaporkan berkata minggu lalu beliau akan mendapatkan kelulusan di mesyuarat Asean untuk mewujudkan satu badan bebas bagi membantu menyelesaikan pertikaian Thailand-Kemboja itu.

Bagaimanapun ia disalah petik dan terkeluar konteks dari perbincangan yang dilakukan beliau awal bulan ini mengenai isu Thailand-Kemboja itu, kata Thani Thongphakdi dari kementerian terbabit.

“Thailand akan terus mendapatkan penyelesaian secara aman masalah itu melalui rundingan dua hala di bawah rangka kerja suruhanjaya sempadan bersama Thailand-Kemboja,” katanya kepada AFP.

“Kami percaya isu ini tidak perlu dibawa ke peringkat antarabangsa atau dibangkitkan dalam rangka kerja Asean.”

Pertikaian berkenaan fokus terhadap kawasan tanah di sekitar kuil Preah Vihear kurun ke-11 di mana pertempuran membunuh tujuh askar sejak ketegangan membabitkan kedua negara jiran itu tercetus tahun lalu.

Kemboja dan Thailand sejak sekian lama berhadapan dengan masalah pertikaian tanah itu tetapi ketegangan memuncak selepas keganasan Julai tahun lalu berikutan kuil berkenaan dianugerahkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Mahkamah dunia pada 1962 memerintahkan bahawa ia adalah milik Kemboja.

Askar dari Kemboja dan Thailand terus mengawal kawasan terbabit di mana pertempuran senjata terakhir berlaku berhampiran kawasan kuil itu membunuh tiga orang April lalu. - AFP

Ribut Patricia bakal melanda Pasifik, Mexico

MIAMI: Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) hari ini mengeluarkan amaran ribut tropika Patricia diramal melanda Pasifik dan menghala Semananjung Baja, di Mexico.

Ribut yang mengjala ke Semenanjung Selatan Mexico itu dijangka membawa hujan lebat, sekali gus menyebabkan banjir kilar serta kerosakan.

“Ribut petir tropika itu akan memberi kesan ke atas Semenanjung Baja, Semenanjung California dari La Paz ke Santa Fe,” kata NHC dengan menambah ia melanda sehingga esok,

Kedudukan ribut itu pada jam 1800 GMT, menyaksikan ia di 395 kilometeer (245 miles) di selatan tanjung Mexico dengan kelajuan 13 kilometer sejam.

Ribut Patricia diramal mampu mencecah kelajuan antara 75 kilometer sejam hingga 119 kilometer sejam yang termasuk dalam ribut Kategori Satu. - AFP

Pelancaran peluru berpandu Korea Utara menyalahi resolusi PBB

SEOUL: Tindakan Korea Utara melakukan ujian nuklear jarak dekatnya yang terbaru jelas menyalahi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Luar Korea Selatan dalam kenyataannya hari ini mahu tindakan jirannya itu dihentikan serta-merta.

Korea Utara semalam dilaporkan menembak lima peluru berpandu KN-02 dari pantai timurnegara itu, selepas kali terakhir tiga bulan lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Pelancaran misil menggunakan pelancar jarak jauh itu adalah peluru berpandu yang mampu menjangkau jarak sehingga 120 kilometer (km) dan jenis misil yang diubah suai daripada misil SS-21 buatan Soviet.

"Pelancaran misil terbaru Korea Utara ini nyata menyalahi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang dipersetujui pada

1695, 1718 and 1874 dan dikaitkan dengan peluru berpandu antara benua," kata jurucakap Kementerian Luar Korea Selatan, Moon Tae-Young.

Yonhap juga melaporkan terdapat tanda-tanda Korea Utara sedang bersiap sedia melakukan beberapa lagi ujian peluru berpandu jarak dekatnya lewat hari ini, dipercayai dari sebelah pantai barat negara itu. - AFP

Korea Utara setuju berunding dengan Korea Selatan

SEOUL: Korea Utara hari ini setuju untuk mengadakan rundingan dengan Korea Utara dalam minggu ini, sekali gus memberi isyarat baru memulihkan hubungan sehari selepas menembak peluru berpandu jarak dekatnya.

Pyongyang dilaporkan bersetuju dengan permintaan Seoul untuk berunding mengenai isu kemanusiaan, termasuk hubungan dua hala dua negara jiran itu.

Dalam satu kenyataan kementerian Korea Selatan, persetujuan itu diperoleh sehari selepas Korea Utara melancarkan lima peluru berpandu di perairan timur negara itu, selepas kali terakhir tiga bulan lalu.

Bagaimanapun ada isyarat baru menunjukkan Pyongyang bakal melancarkan beberapa lagi peluru berpandu jarak dekatnya di perairan barat, lapor agansi berita Yonhap.

Pegawai Korea Selatan seperti biasa menyifatkan pelancaran peluru berpandu itu adalah sebahagian daripada latihan ketenteraannya, walaupun komuniti antarabangsa menganggapnya bermotif politik. - AFP

Gempa 6.2 Richter landa Alaska

WASHINGTON: Gempa berkekuatan 6.2 skala Richter melanda Kepulauan Aleutian, Alaska, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), hari ini.

Gempa berlaku jam 9.37 malam (0537 GMT) di kedalaman 68 kilometer (km), iaitu 91km di barat daya Unalaska yang didiami kira-kira 4,000 penghuni.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai mangsa yang cedera dan kerosakan yang berlaku. - AFP

H1N1: Ibu bapa mesti pantau kesihatan anak ambil SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta ibu bapa atau penjaga supaya memantau tahap kesihatan anak-anak mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mulai 19 November depan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jika pelajar yang mengambil SPM menunjukkan gejala penyakit serupa influenza (ILI), mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

"Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak masing-masing supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan turut meminta kerjasama petugas yang mengawasi peperiksaan SPM supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat.

"Pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki memakai topeng muka dan hidung bagi mengelak jangkitan kepada pelajar lain," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata, seramai 152 pesakit baru ILI sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 146 pesakit kes itu dibenarkan keluar hospital hari ini.

Beliau berkata, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 666 orang dengan 27 pesakit adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 27 pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lapan kes atau 30 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Menurutnya, jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini masih kekal 77 orang.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak Influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini. - Bernama

Bekas pemandu PM pertama, kedua meninggal dunia

ALOR SETAR: Bekas pemandu kepada Perdana Menteri Pertama dan Kedua, Md Akhir Mohd Noor, 84, meninggal dunia di rumah anak angkatnya, di Jalan Makam Diraja Langgar, dekat sini, pagi tadi.

Md Akhir yang pernah menjadi pemandu kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia selepas koma selama tujuh hari berikutan cedera parah di kepala kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Balai Polis Langgar, dekat sini Rabu lalu.

Beliau pernah berkhidmat Tunku Abdul Rahman pada 1960-an sebelum berkhidmat pula dengan Abdul Razak selama sembilan tahun mulai 1967 hingga 1976.

Selepas berhenti menjadi pemandu Perdana Menteri Kedua, Md Akhir dikatakan merantau ke negeri ini dan tinggal di Pantai Jamai, Langgar, dekat sini dan hidup sebatang kara.

Anak angkat Allahyarham, Rohani Othman, 57, berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir di sisinya pada jam 7.30 pagi di rumahnya di sini selepas doktor mengesahkan dia tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan serius dialaminya.

"Sepanjang menjaganya, air mata arwah kerap mengalir seolah-olah dia tahu ajalnya sudah tiba tapi hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak tercapai walaupun arwah pergi ke kediaman Perdana Menteri seminggu sebelum Aidilfitri.

"Arwah tidak mempunyai anak hasil perkahwinannya sebelum ini tetapi mempunyai dua anak angkat termasuk saya dan dua anak tiri namun dia lebih banyak menghabiskan masa bersama saya sepanjang hayatnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mati, Langgar, selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berkata, beliau mewakili pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyampaikan ucapan takziah dan sumbangan untuk urusan pengebumian kepada keluarga arwah.

Beliau berkata, sumbangan arwah sebagai pemandu kepada dua bekas Perdana Menteri sebelum ini amat dihargai.

Kementerian tumpu pembangunan modal insan Orang Asli dalam RMK-10

KUALA LUMPUR: Pembangunan ekonomi dan pendidikan Orang Asli akan terus menjadi fokus Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam mengurangkan kadar miskin tegar dan miskin di kalangan masyarakat itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek, berkata kementerian dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) merangka bentuk pembangunan yang akan dijalankan menjelang Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) tahun depan.

"Projek Agropolitan Bersepadu akan dimajukan secara luas di penempatan Orang Asli dalam Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) di mana mereka boleh bercucuk tanam dan menjual hasil tanaman mereka dengan mudah kerana mereka hanya menjalankan aktiviti itu dalam kawasan penempatan mereka.

"Selain itu dari segi pendidikan, sekolah turut dibina dalam kawasan penempatan mereka bagi memastikan kanak-kanak di dalam kelompok ini tidak ketinggalan mendapat ilmu seperti kanak-kanak lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Aidilfitri bersama masyarakat Orang Asli di Gombak, di sini hari ini.

Selain itu, katanya kementerian akan turut membangunkan sektor pelancongan di kawasan penempatan Orang Asli menjelang tahun depan.

Hasan berkata projek berskala besar itu akan dijalankan secara bersepadu seperti yang dibuat di Kuala Betis, Kelantan dan Kampung Pantos, Pahang, sebelum ini.

Sementara itu menurut statistik yang dikeluarkan JHEOA, kadar miskin tegar dan miskin mencatat penurunan apabila beberapa program dijalankan bagi mencapai matlamat itu seperti program bimbingan usahawan dan program bantuan rumah.

Awal tahun lalu sebanyak 13,945 keluarga Orang Asli berada dalam kelompok miskin tegar dan miskin.

Jumlah itu mencatatkan penurunan kepada 6,749 keluarga April lalu. - Bernama