Followers

Thursday, October 14, 2010

Undang-undang lindungi data pemetaan digubal: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan dasar dan perundangan yang khusus dan menyeluruh bagi menggalakkan serta memantapkan lagi penggunaan data geospatial dalam arus pembangunan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, undang-undang itu akan memberi tumpuan kepada kerahsiaan dan keselamatan data, prinsip pemilikan data, pengkongsian data, penyelarasan, penyebaran data dan piawaian.
Katanya, akta itu perlu bagi mengoptimum potensi teknologi geospatial seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS-Geographic Information System) dalam pembangunan negara, kerana pada masa ini masih terdapat beberapa halangan seperti tiada pangkalan data yang bersepadu kerana data yang dikumpul dan disimpan oleh agensi masing-masing, terdapat kesukaran memperoleh data digital dan kerjasama antara agensi kerajaan untuk berkongsi pangkalan data GIS.
"Tujuannya untuk menguruskan maklumat geospatial sebagai aset kerajaan yang berharga dalam menyokong aktiviti pembangunan negara.

"Ia juga akan membantu pembangunan infrastruktur GIS dan pembangunan modal insan bagi mendokong perkembangan GIS di negara kita," katanya ketika melancarakan sambutan ulang tahun ke-125 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha menggubal dasar dan perundangan itu telah dimulakan oleh Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara.

Beliau juga berkata, peranan dan sumbangan Jupem sebagai pembekal utama maklumat geospatial iaitu data pemetaan dan kadaster amat diperlukan oleh agensi kerajaan lain yang terbabit dalam pelaksanaan projek pembangunan seperti infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam.
"Isu yang berkaitan dengan sumber asli negara terutama tanah perlu ditangani secara bijak dan berkesan untuk menggalakkan pelaburan dan aktiviti-aktiviti ekonomi.

"Penyelesaian isu ini memerlukan maklumat dan data yang tepat dan menyakinkan tentang tanah dan sumber alam yang lain," katanya.

Muhyiddin menyarankan JUPEM agar bekerjasama dengan agensi lain dalam membangun dan mengesan semula data yang hilang dalam usaha menguruskan pemetaan utiliti bawah tanah seluruh negara.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan sistem e-Kadaster JUPEM. - BERNAMA

Elaine Koon raih pingat emas ke-10 negara

NEW DELHI: Atlet gimrama, Elaine Koon, meraih pingat emas ke-10 Malaysia pada Sukan Komanwel di sini apabila memenangi final acara Hoop dengan 25.300 mata.

Chong Wei sumbang pingat emas ke-11

NEW DELHI: Lee Chong Wei meraih pingat emas ke-11 Sukan Komanwel untuk Malaysia selepas menewaskan Rajiv Ouseph dari England pada final badminton perseorangan lelaki sebentar tadi.

Chong Wei menang mudah 21-10, 21-8.

Pelajar dilapor hilang ketika pulang dari sekolah

IPOH: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang ketika pulang ke rumahnya di Taman Banjar Jaya, Teluk Intan, 100 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang, berkata Somaswaran a/l Sooria dilaporkan hilang pada 2 petang semalam oleh bapanya ketika dia dalam perjalanan dari sekolah ke rumah.
Somaswaran, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist di Teluk Intan, sebelum itu telah bertemu ayahnya di tempat kerja kemudian pulang sendirian ke rumah.
Kehilangan pelajar itu disedari oleh bapanya ketika pulang ke rumah pada waktu petang.

Goh meminta sesiapa yang melihat pelajar itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Che Intan Subri di nombor telefon 05-6221222 atau telefon bimbit 013-9329614 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Najib hurai 6 prinsip kukuhkan kerjasama ASEAN

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyenaraikan enam prinsip praktikal yang menjadi asas kerjasama berkesan mengenai pertahanan dan keselamatan serantau dalam kalangan negara ASEAN.
Pertama, kata Perdana Menteri, ialah betapa pentingnnya dalam soal pembabitan pelbagai negara ini, setiap negara anggota sama ada yang kaya atau miskin dan yang kecil atau besar, mengiktiraf peranan satu sama lain.
Seterusnya, katanya, peranan pihak lain yang mempunyai kepentingan besar di rantau ini tidak boleh diketepikan, khususnya dalam persekitaran global pada masa ini.
"Pendek kata, sebarang perjanjian kerjasama perlu bersifat menyeluruh dan semua pihak yang berkepentingan harus diberi ruang dan pengiktirafan dalam menangani apa saja isu.

"Pengalaman menunjukkan bahawa perjanjian yang menyeluruh seperti Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan dan bertindak menghadapi cabaran keselamatan serantau berdasarkan kerjasama dan tidak memburukkan lagi keadaan," katanya pada Forum Putrajaya di sini hari ini.

Forum yang julung kali diadakan itu bertujuan menggalakkan penyelesaian isu pertahanan dan keselamatan serantau menerusi perkongsian pengetahuan, perspektif dan perbincangan.

Ia bertemakan "Penonjolan Rangka Kerja Keselamatan Serantau" berikutan rantau ini menyaksikan kemunculan Asean+8, satu bentuk kerjasama baru mengenai keselamatan serantau.
Kedua, kata Najib, negara Asean perlu mengakui bahawa setiap negara anggota dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean-Campur (ADMM-Plus) berbeza daripada segi sejarah, budaya dan kedudukan ekonomi.

Oleh itu, bentuk kerjasamanya haruslah lebih anjal dan mengambil kira kemampuan dan dasar setiap negara anggota yang berbeza.

Katanya pihak-pihak berkepentingan juga perlu dibenarkan menyumbang selaras dengan kemampuan mereka.

"Perjanjian kerjasama ini harus ada ruang bagi membolehkan negara-negara yang berlainan keupayaan, kepakaran, hubungan budaya dan sumber untuk membentuk kumpulan penggerak yang dapat berdepan dengan cabaran keselamatan yang sama," katanya.

Najib berkata, langkah memupuk keyakinan perlu diambil ke arah menjalin dialog dan persefahaman yang lebih bermakna sesama rakan.

Tanpa persefahaman ini, katanya, sesuatu tindakan yang bertujuan baik oleh sesuatu negara boleh disalah tafsir dan dibantah oleh negara jiran, yang akan menyebabkan jiran enggan bekerjasama, atau lebih buruk lagi, mencetuskan konflik.

"Bagi mengelak salah faham ini, negara harus membabitkan yang lain dalam dialog dan forum mengenai isu keselamatan di pelbagai peringkat. Saya amat yakin kita sedang bergerak dengan betul untuk menjayakan semua keperluan ini," katanya.

Katanya, beliau juga yakin bahawa pelbagai bentuk rangka kerja keselamatan serantau mampu menjalin kerjasama yang berkesan dalam kalangan negara ASEAN.

"Malaysia mempunyai perjanjian kerjasama dengan Thailand dan Indonesia. Juga perjanjian kerjasama kita berhubung keselamatan di Selat Melaka membabitkan negara pesisir dan juga program pemantuan dari udara, eye-in-the-sky," katanya.

Perdana Menteri berkata, hubungan di peringkat institusi juga perlu wujud bukan saja berdasarkan kepada kehadiran pemimpin tentera tetapi juga di peringkat operasi.

"Umpamanya, jika kita mengadakan operasi di sesuatu kawasan, maka kita harus kenal rakan sejawatan kita. Jika ada apa-apa berlaku, kita boleh bertindak balas tanpa menimbulkan apa-apa ketegangan di kawasan operasi itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, negara ASEAN harus akur bahawa masalah akan berlaku di rantau ini atau dengan jiran mereka termasuk perkara yang belum diselesaikan sejak bertahun-tahun lalu.

"Apa yang penting ialah kita sepakat mengenai cara menanganinya, sama menerusi dialog atau rundingan. Jika kita memilih rundingan, maka kita mesti ada sifat tolak ansur bagi mencari penyelesaian," katanya.

Najib berkata, negara ASEAN harus benar-benar faham mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi rantau ini supaya mereka dapat mencari kaedah terbaik menanganinya.

"Tidak dinafikan bahawa kerjasama pertahanan dua hala adalah penting tetapi pertimbangan yang lebih besar bagi semua negara adalah untuk melindungi keselamatan dan integriti serantau," katanya. - BERNAMA

Kien Keat-Chin Eei Hui sumbang emas ke-9

NEW DELHI: Beregu campuran, Kien Keat-Chin Eei Hui meraih pingat emas kesembilan negara apabila menewaskan pasangan England, Nathan Robertson-Jenny Wallwork pada final badminton beregu campuran, 22-20, 21-12, sebentar tadi.

Enam sahabat maut kereta rempuh pokok dan terbakar

KAMPAR: Enam sahabat maut, termasuk lima rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu lima rentung dan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita), Wong Chee Keong, 23, dan Tang Wai Leong, 18.
"Seorang lagi mangsa wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di Hospital Kampar jam 4.50 pagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lima mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami kebakaran 80 peratus di badan.

Semua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lim dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebatang pokok di kanan jalan dan terbakar.
Akibat kemalangan itu, kereta Honda City berkenaan musnah terbakar dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari sini dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan kesemua mangsa. - BERNAMA