Followers

Wednesday, August 4, 2010

Kabinet arah isu kalimah Allah tidak dibincangkan secara terbuka: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini mengarahkan supaya semua pihak, termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, supaya tidak membincangkan secara terbuka isu berkaitan kalimah Allah yang masih dibicarakan di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika isu berkenaan dibincangkan secara terbuka, ia boleh mencetuskan situasi yang boleh menghangatkan semula keadaan yang sudah baik sebelum ini.
"Kabinet hari ini sudah putuskan (perkara) ini tidak baik untuk kita debat kerana soal ini ada hubung kait dengan mahkamah. Semua orang tahu, perkara yang masih dalam mahkamah, jangan kita bicara.
"Berdebat (isu ini) tiada hasil dan kebaikan yang boleh kita peroleh kerana ia boleh mencetuskan semula situasi yang tidak baik," katanya selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

Gempa bumi bermagnitud 6.4 gegar dasar laut Papua New Guinea

SYDNEY: Gempa bumi kuat di dasar laut pada ukuran 6.4 magnitud menggegarkan pesisir pantai Papua New Guinea hari ini, kata ahli seismologi.

Tiada amaran tsunami dari laut dikeluarkan atau sebarang kerosakan.
Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa pada jam 5.15 petang (waktu tempatan) berlaku di 110 kilometer tenggara Madang, iaitu wilayah pesisir utara tanah besar Papua New Guinea.
Tiada kerosakan fizikal atau kecederaan dilaporkan susulan gegaran terbabit dan pakar berkata, ia belum cukup besar sehingga menyebabkan tsunami. - AFP

RON 97 Malaysia jadi pilihan warga Thailand

RANTAU PANJANG: Jualan petrol jenis RON 97 di beberapa kawasan sempadan dengan Thailand didapati meningkat sejak petrol jenis RON 95 dilarang dijual kepada kenderaan asing hujung bulan lalu.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Fauzi Harun berkata, peningkatan kuantiti jualan minyak petrol RON 97 di beberapa stesen minyak di tiga pintu masuk utama ke negeri ini jelas menunjukkan Malaysia tetap menjadi pilihan rakyat dari negara jiran untuk membeli bahan api berkenaan berbanding membelinya di negara mereka sendiri.
"Mengikut pemerhatian kita di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, berlakunya peningkatan mendadak penjualan minyak petrol RON 97 terutama dalam tempoh dua hari selepas larangan itu dikuatkuasakan.
"Pada 30 dan 31 Julai lalu, jumlah yang terjual ialah 23,205 liter dan dua hari selepas berkuatkuasanya larangan itu pada 1 dan 2 Ogos lalu, jualan minyak meningkat kepada 63,265 liter," katanya selepas turun padang memantau penjualan minyak di kawasan sempadan Rantau Panjang di sini, hari ini.

Fauzi berkata, peningkatan sebanyak 40,060 itu menunjukkan Malaysia tetap menjadi destinasi pilihan kepada rakyat asing untuk mendapatkan bekalan minyak petrol biarpun hanya minyak petrol RON 97 yang dibenarkan dibeli.

Difahamkan, harga minyak petrol RON 97 di negara ini jauh lebih murah, iaitu RM2.10 berbanding di negara jiran iaitu RM3.60.

Fauzi berkata, jualan petrol RON 95 pula menunjukkan penurunan sebanyak 94,277 liter iaitu daripada 304,390 liter yang dicatatkan pada 30 dan 31 Julai kepada 210,113 liter selepas dua hari larangan itu berkuatkuasa.
Seorang rakyat negara Thailand, Mohd Yan Abdul Hanan, 50, berkata beliau masih mampu membeli bahan api RON 97 biarpun ianya agak mahal berbanding RON 95 yang dijual di negara ini.

"Bagi rakyat Malaysia mungkin rasa mahal minyak petrol RON 97 itu, tetapi bagi saya tiada masalah kerana ia masih jauh lebih murah dari minyak petrol yang dijual di negara kami. Jadi kami tetap akan beli minyak di sini, ianya lebih berbaloi," katanya. - Bernama

Obama beku bonus lantikan politik

WASHINGTON: Presiden Barrack Obama hari ini membekukan bonus kakitangan kerajaan yang dilantik secara politik, iaitu sebagai tanda simbolik sepanjang tempoh masalah kekurangan pekerjaan yang tinggi.

Obama yang sudah membeku gaji pegawai kanan Rumah Putih sejak memasuki pejabat Januari 2009, membuat pengumuman itu menerusi memo kepada agensi persekutuan itu.
Pegawai Pentadbiran Kanan Rumah Putih, berkata pejabat Kakitangan Pengurusan menjangkakan minimum 2,900 lantikan politik terbabit susulan pengumuman itu.
Lantikan politik, adalah kategori berasingan daripada kakitangan sepenuh masa, di mana mereka dilantik berdasarkan budi bicara Presiden Amerika Syarikat (AS), ketika itu.

Ia sentiasa berubah apabila pentadbiran baru mengambil alih.

Presiden AS menyifatkan ia sebagai langkah mengurang jurang defisit persekutuan negara itu yang besar. AFP