Followers

Friday, February 26, 2010

RM2.4 juta biayai pembelian tong ikan berinsulasi

PELABUHAN KLANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM2.4 juta bagi membiayai pembelian tong ikan berinsulasi (TIB) yang akan dikuatkuasakan penggunaannya menjelang Mei ini, kata Menterinya, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan keluhan pemborong dan pengimport ikan yang mendakwa harga TIB yang ditawarkan oleh empat pembekal yang dilantik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah tinggi iaitu RM205 bagi tong saiz 100kg dan RM120 bagi 50kg.

"Kalau hari ini ada empat kilang dilantik...lepas ini mereka bebas beli tong TIB dari mana-mana kilang yang boleh jual murah dengan syarat (TIB) ini memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noh berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan permintaan peniaga ikan dan menegaskan kerajaan bagaimanapun tidak akan berkompromi lagi mengenai penguatkuasaan penggunaan TIB pada Mei ini yang telah tertangguh sejak 2006.

Katanya, TIB dikenal pasti selamat untuk menyimpan bahan makanan serta dapat menjamin kesegaran, kebersihan, bebas pencemaran bahan kimia selain dapat mengenal pasti pemilik TIB melalui cip yang dipasang pada TIB serta dapat mengelakkan penyeludupan.

Beliau berkata, sejak pengumuman mengenai penguatkuasaan penggunaan TIB dibuat pada September 2009, kementerian telah memberi insentif seperti ikan import yang didaratkan di jeti LKIM yang dimuatkan dalam TIB hanya perlu membayar caj pendaratan sebanyak tiga sen sekilogram berbanding lima sen sekilogram.

Mengenai ura-ura ada peniaga ikan mahu menaikkan harga ikan berikutan perlu menampung harga TIB yang mahal, Noh berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah mereka dan mereka tidak sepatutnya mengugut kerajaan.

"Yang peliknya apabila kerajaan perkenalkan peraturan baru, mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan mengugut kerajaan dan tidak menghormati peraturan tetapi apabila mereka pergi ke negara lain, mereka faham dan menghormati undang-undang negara lain," katanya.

Difahamkan mereka yang liat untuk menggunakan TIB ini ialah lebih 20 pengimport Malaysia yang membawa masuk ikan dari Indonesia.

Mengenai kenyataan Exco Pertanian Selangor Yaakob Sapari semalam mempertikaikan tindakan Kerajaan Persekutuan memberhentikan peruntukan program jaminan makanan bagi meningkatkan hasil pertanian, Noh berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui pembangkang perlu memberhentikan mainan politik yang kebudak-budakan seperti itu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memberi bantuan kepada pesawah di Selangor daripada segi penyediaan tanah, kapor, baja dan biji benih. - Bernama

Umat Islam perlu perkukuh perpaduan, jadi umat terbilang

PUTRAJAYA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.

Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam kehidupan agar benar-benar menjadi mukmin yang hebat.

Baginda bertitah tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

"Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," titah baginda.

Baginda bertitah al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya. - Bernama

Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia ditubuh: PM

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang akan memainkan peranan penting bagi menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia, umum Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai 12 kementerian yang berkaitan, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dan kehendak semasa, tetapi juga bagi menentukan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara di masa depan.

"Selain itu, jawatankuasa ini juga akan mempelopori pelbagai usaha bagi membentuk generasi muda hari ini sebagai generasi pewaris negara yang memainkan peranan penting meneruskan kesinambungan dan agenda pembinaan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan makmur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Najib berkata jawatankuasa itu akan dapat menyumbang pelbagai pembaharuan kepada usaha membangunkan dan memberi manfaat kepada generasi muda iaitu mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun yang sekarang berjumlah 11.4 juta orang.

"Antara pembaharuan yang akan diberi tumpuan ialah mekanisme Pengurusan Pembangunan Belia, Pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688)," katanya.

Selain pelaksanaan menyeluruh terhadap semua dasar pembangunan belia, beliau berkata usaha juga akan dilakukan bagi meningkatkan penyelarasan dan kerjasama antara agensi berkaitan belia.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan terus membantu golongan belia untuk menikmati kemajuan negara, memperkukuhkan semangat patriotisme, membudayakan pemikiran gagasan 1Malaysia dan 1Belia.

Juga membangunkan semangat keusahawanan, melahirkan belia bebas jenayah dan sama-sama meningkatkan peranan belia dalam isu keamanan dan ketahanan nasional serta memperjuangkan nilai sejagat, katanya.

Beliau berkata menerusi jawatankuasa ini, fungsi dan peranan antara agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan belia akan dapat diselaraskan semula, sekaligus akan memastikan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam bidang pembangunan belia dapat dicapai oleh kerajaan sebelum 2012.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi cadangan kepada penubuhan jawatankuasa ini terutama daripada kepimpinan belia pelbagai peringkat, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN)," katanya.

Beliau berkata selain itu, sumbangan idea dan pemikiran bernas ahli-ahli jawatankuasa Kabinet itu akan mewujudkan era baru pengurusan negara dalam pembangunan belia dengan perubahan besar yang melibatkan aspek tanggungjawab, sistem dan perluasan peranan bidang pembangunan berkenaan.

"Kerajaan yakin golongan belia akan menikmati manfaat dan pembangunan yang lebih meluas," katanya. - Bernama

Dr Mahmood Zuhdi dipilih penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

PUTRAJAYA: Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamdunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dipilih penerima Anugerah Perdana pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010 di Masjid Putra, di sini, pagi ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Sultan Badlishah.

Turut menerima anugerah, Presiden Malaysian Relief Agency, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz; Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Tamm Swee Lian dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof Dr Yaakob Che Man.