Followers

Wednesday, May 19, 2010

USM cipta alat kesan objek dalam air

GEORGETOWN: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta sejenis alat BAGI memudahkan kerja-kerja mengutip data termasuk untuk mengesan objek di dasar air sungai atau tasik.

Alat ciptaan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof Madya Mohd Rizal Arshad itu dikenali sebagai "Drosobot".
Sistem alat itu dicipta dengan mengambil fenomena semula jadi lalat atau Drosophila yang bersifat menghidu dan antara kegunaan alat itu ialah ia dapat mengesan objek, menyukat suhu dan kedalaman sesuatu sungai, kolam atau tasik dengan tepat dan cepat.
"Alat ini berfungsi dalam hal-hal pemetaan, pengukuran persekitaran, struktur geografi dasar laut, keselamatan dermaga, pengesanan telaga minyak dan turut berpotensi digunakan dalam misi menyelamat mangsa lemas," katanya di sini, hari ini.

Katanya, alat itu boleh dikawal secara manual atau diprogramkan melalui titik-titik pergerakan berasaskan maklumat GPS.

"Alat yang menggunakan bateri itu mampu bertahan selama tiga jam dan mampu mengesan sesuatu sehingga 1,000 kaki ke dalam dasar-dasar sungai, tasik dan sebagainya," katanya.

Rizal berkata, ciptaan alat yang hanya mengambil masa selama lapan bulan itu menggunakan geran penyelidikan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan ia akan dijual dengan harga RM18,000 seunit. - Bernama

PM lancar penanda aras sukuk global denominasi dollar AS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan penanda aras Sukuk Global dalam denominasi dollar Amerika Syarikat (AS) di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).
Sukuk berkenaan, distruktur di bawah prinsip Ijarah dalam Syariah, adalah sukuk denominasi dollar AS kedua Malaysia sejak kejayaan penerbitan sukuk global negara pertama dunia pada 2002.
Barclays Capital, CIMB dan HSBC diberi mandat sebagai pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama bagi tawaran sukuk itu.
Menurut sumber industri kewangan, nilai sukuk itu akan lebih tinggi daripada penerbitan sukuk pertama bernilai lebih AS$600 juta

Bercakap pada majlis pelancaran itu, Najib berkata, sukuk global itu akan menetapkan penanda aras harga baru bukan hanya untuk penerbitan sukuk masa depan tetapi juga penerbitan bon konvensional Malaysia.

Sukuk global ini akan dikenali sebagai "Emas" yang menjadi simbol nilai dan jaminan universal, katanya.

Najib berkata, Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk penyertaan kedua dalam pasaran sukuk global.
"Hari ini, saya gembira untuk memulakan penerangan bergerak bagi sukuk global Malaysia dan berharap kejayaan dalam penerbitan dalam denominasi dollar ini," katanya.

Sukuk itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia, Bursa Kewangan Labuan dan Hong Kong, dijangka diberi penarafan A- oleh Standard and Poor’s dan A3 oleh Moody’s.

Ia juga akan menetapkan penanda aras harga baru bagi Malaysia. - Bernama

Malaysia negara ke-10 paling kompetitif di dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai negara ke-10 paling kompetitif di dunia daripada tempat ke-18 sebelum ini, iaitu adalah satu lonjakan yang luar biasa berikutan peningkatan signifikan di segi prestasi ekonomi disebabkan pelbagai faktor seperti kemasukan pelaburan berkualiti, dasar kerajaan yang pragmatik dan risiko kestabilan politik yang rendah.
Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemudikan ekonomi negara.
Turut dipuji ialah keupayaan dasar kerajaan untuk diubah suai mengikut perubahan ekonomi, katanya, yang jelas merujuk kepada pakej rangsangan sebanyak RM67 bilion yang dilancarkan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan bagi merangsang ekonomi dari kemelesetan global berikutan dari krisis kredit subprima AS.
Pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Najib yang mensasarkan untuk melakukan transformasi negara bagi melahirkan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dapat mengekalkan dan menempatkannya pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 turut menjadi ciri-ciri kukuh penyesuaian dasar kerajaan untuk melakukan perubahan pada ekonomi.

IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.

Daripada 10 kedudukan teratas itu, katanya, Australia berada pada kedudukan ke-lima, Taiwan (ke-lapan) dan Malaysia (ke-10) dan mendapat manfaat dari permintaan kukuh di Asia serta di dalam pelaksanaan dasar yang efisien.

Ketiga-tiga negara itu diletakkan pada kedudukan yang baik di segi keefisienan kerajaan," kata IMD.
IMD berkata, Malaysia juga diletakkan pada kedudukan tinggi kerana daya tahan ekonomi terhadap kitaran (menurun), ketelusan yang mencukupi di kalangan institusi kewangan serta birokrasi kerajaan yang tidak menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan pantas di dalam ekonomi sejak beberapa tahun lalu.

Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonominya telah pulih pada suku terakhir tahun lepas sebanyak 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi pada kadar 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Antara kekuatan Malaysia yang berada pada kedudukan di atas ialah kepelbagaian ekonomi dan kadar pertukarannya manakala imbangan akaun semasanya berada pada kedudukan ke-dua dan ketiga bagi eksport barangan.

Selain itu, kos kompetitif modal yang menggalakkan pembangunan perniagaan, masyarakat yang mempunyai ramai orang lanjut umurnya itu tidak menjadi beban bagi pembangunan ekonomi dan undang-undang pengangguran menyediakan satu insentif untuk mencari pekerjaan juga adalah perkara yang kukuh terhadap ekonomi.

Berita baik bagi majikan korporat di Malaysia ialah wujud pengurus kanan yang mahir di negara ini, lembaga pengarah korporat telah menyelia pengurusan syarikat dengan berkesan dan para pengurus mahir di dalam perniagaan.

Malaysia juga terus meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat dan memupuk satu tenaga kerja yang berbakat sambil ia memacu produktiviti dan daya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif.

IMD juga menyatakan bahawa ketelusan dasar kerajaan amat memuaskan selepas bertambah baik dari 3.94 peratus kepada 5.98 peratus manakala dasar perlindungan tidak menjadi satu faktor di dalam ekonomi Malaysia di mana ia tidak merosakkan perniagaan.

Katanya, penempatan pada kedudukan yang tinggi itu juga adalah disebabkan pelaburan berkualiti yang mengukuhkan ekonomi dan tindakan untuk mendidik perusahaan kecil dan sederhana bagi bersaing pada peringkat global.

Penambahbaikan juga dilakukan di dalam bidang lain seperti amalan rasuah, birokrasi, ketelusan, kestabilan politik, pengangguran jangka panjang, hutang korporat dan indeks harga pengguna.

Bagi penetapan kedudukan subsektor, Malaysia berada pada senarai teratas bagi ketelusan institusi kewangan dan faktor institusi kewangan berisiko rendah.

Sektor kewangan negara itu kekal berdaya tahan walau pun berlaku kemelesetan di dalam sektor kewangan AS dan Eropah, selepas berjaya mengukuhkan lagi kehadirannya di dalam landskap kewangan, terutama sekali di dalam pembiayaan Islam dan perbankan.

Malaysia kini adalah peneraju di dalam kewangan Islam, pasaran modal Islam dan industri takaful dan wujud peluang besar yang berpotensi menjadi satu hab bagi perkhidmatan kewangan Islam bersepadu.

Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan usaha mewujudkan satu pusat kewangan islam fizikal dan pengeluaran dua lesen bank Islam mega.

Ringgit, yang mencapai ketinggian 3.1 bagi setiap dollar AS, muncul sebagai mata wang Asia baru muncul paling kukuh di segi prestasi berbanding mata wang dollar AS sehingga kini tahun ini, yang meningkat lebih 7.0 peratus berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh negara itu.
Ia juga meningkat 19 peratus berbanding euro dan 16 peratus berbanding pound.

“Bagi teroka usaha sama awam dan swasta, pembiayaan bagi teknologi, sains di sekolah-sekolah dan eksport teknologi tinggi, negara itu ditempatkan ke kedudukan ke-empat terbaik,” kata IMD.

IMD berkata, sekolah memberi penekanan yang mencukupi terhadap sains.

Di bawah subpenempatan keefisienan kerajaan, Malaysia ditempatkan pada tempat kedua bagi kos modal kerana terdapat sokongan bagi pembangunan perniagaan.

Ia juga ditempatkan pada kedudukan ke-dua kerana penyesuaian dasar kerajaan kepada perubahan di dalam ekonomi.

Bagaimanapun, IMD tidak menonjolkan kelemahan pada penempatan kedudukan bagi Malaysia, yang termasuk subsidi tinggi kerajaan kepada syarikat swasta dan awam di segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar, kos lebih pada, defisit bajet kerajaan dan bilangan prosedur yang banyak untuk memulakan sesuatu perniagaan. - Bernama

Gempa bumi kuat 6.0 magnitud di utara Peru

WASHINGTON: Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda utara Peru awal pagi tadi, kata Agensi Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan. USGS berkata, gempa bumi jam 4.15 pagi (waktu tempatan) itu berpusat kira-kira 131 kilometer utara-barat laut bandar Moyobamba pada kedalaman 125 kilometer.

Susulan kejadian itu, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima. - AFP

Pemuda Umno Sabah tegur tindakan LDP kritik BN

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah hari ini menegur Parti Liberal Demokratik (LDP) kerana membuat kenyataan yang dilihat lebih ghairah mengkritik Barisan Nasional (BN) serta boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

Ketuanya, Azman Haji Ruslan, berkata sebagai anggota BN, LDP sepatutnya memberi contoh yang baik mengenai usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan bukan disebaliknya.
“Pemuda Umno Sabah memandang berat perkara ini kerana kita tidak mahu wujud satu persepsi seolah-olah rakyat Malaysia di Sabah tidak pandai menghargai jasa serta usaha-usaha yang dilakukan kerajaan BN untuk membangunkan negeri itu, " katanya di sini hari ini.
Azman berkata pemuda Umno tidak berniat mahu menghalang LDP daripada mengeluarkan pandangan, tetapi sebagai rakan dan anggota BN, parti itu seharusnya bersikap jujur dan adil.

“Jangan anggap rakyat Malaysia di Sabah tidak bijak menilai sumbangan kerajaan Pusat kepada rakyat dan negeri ini, terutama dari segi pembangunan sosioekonomi,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Shu Pin semalam yang menggesa pemimpin BN pusat agar tidak melayan Sabah dan Sarawak sebagai ‘simpanan tetapnya dan mendakwa BN Sabah sedang menghadapi krisis kepimpinan.

Ungkapan ‘simpanan tetap’ merujuk kepada sokongan padu penduduk Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan BN yang berterusan, khususnya sumbangan signifikan kedua-dua negeri itu dalam mengekalkan penguasaan kerusi BN di Parlimen.

Katanya, kenyataan timbalan presiden LDP itu juga seolah-olah mahu memperkecilkan kewarasan penduduk Sabah untuk menyokong dan mempertahankan kerajaan BN, yang telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Azman, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau, berkata kerajaan BN negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, sangat prihatin dengan masalah dan keperluan rakyat Sabah dan berjaya mengemudi BN Sabah meraih kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum yang lalu, selain meletakkan kedudukan pembangunan di negeri ini di tahap yang lebih tinggi. - Bernama

Pemimpin 'Baju Merah' isytihar serah diri

BANGKOK: Pemimpin kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan "Baju Merah" isytihar menyerah diri kepada polis selepas tindakan keras yang diambil pihak tentera Thailand terhadap pangkalan mereka menyebabkan lima terbunuh.
Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah berlaku.
Ketua penunjuk perasaan, Natawut Saikua berkata "kami sudah melalukan apa yang terdaya".
Seorang lagi pemimpin kanan mereka, Weng Tojirakarn berkata: "Kami mahu membendung lebih ramai yang mati membabitkan rakan "Baju Merah" kita."

"Marilah kita bendung lebih ramai nyawa yang hilang," katanya sambil meminta penyokongnya meninggalkan zon yang dikuasai mereka lebih enam minggu itu. - Agensi

13 kes positif H1N1 dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 13 kes disahkan positif virus Influenza H1N1 sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes sebanyak 14,479.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata, kementerian juga menerima laporan lima kes kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI), masing-masing di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu dan Sarawak.
“Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara sebanyak 591 kes dan 70 kes daripadanya disahkan positif H1N1 sementara bilangan kes ILI di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 14 kes dengan 10 daripadanya berisiko H1N1,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa kematian seorang wanita berusia 51 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan semalam bukanlah disebabkan oleh jangkitan H1N1.

"Keputusan sampel H1N1 masih belum diperolehi dan kes di Pulau Pinang dan Perak diberikan rawatan sebagai pesakit luar sementara kes yang berlaku di tiga lagi negeri diberikan rawatan antiviral," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus Influenza H1N1 seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web di http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/300. - Bernama

Facebook lancar laman baru untuk pengguna telefon selular

WASHINGTON: Facebook hari ini bekerjasama dengan pengendali telefon selular di lebih 50 negara untuk menawarkan versi laman baru yang lebih pantas dan percuma untuk capaian laman sosial popular itu.

“Kami menawarkan semua versi grafik, gambar dan video dengan satu 'klik' saja di telefon bimbit dan akan terbentang laman kami yang lebih pantas dan menarik," kata Henri Moissinac, ketua perniagaan bahagian telefon bimbit Facebook. Laman baru untuk telefon bimbit itu ialah - 0.facebook.com - yang dijana dengan kepantasan yang hebat dan percuma.

Moissinac berkata, laman terbaru itu direka khusus untuk memudahkan pengguna telefon bimbit mencapai laman internet.

"Ia kini boleh didapati membabitkan 56 pengendali telefon selular di 47 negara.
“Kita menjangkakan jumlah pengguna untuk semua pengendali telefon selular ini mencapai 500 juta pengguna," katanya.

Beliau berkata, jumlah pengguna Facebook menerusi telefon selular ketika ini di seluruh dunia ialah 100 juta.

Gempa 5.1 Richter gegar selatan California

EL CENTRO (California): Gempa berukuran 5.1 Richter menggegarkan sempadan California-Mexico, awal pagi ini dengan gegarannya turut dirasai sehingga ke selatan California dan San Diego.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa jam 5.38 petang waktu tempatan itu berpusat di 29 kilometer di barat daya El Centro di selatan negeri itu.
Kawasan itu dilaporkan mengalami beberpa gegaran sejak gempa kuat 7.2 Richeter yang melanda utara Baja California, 4 April lalu.
Ketua Sheriff Daerah Imperial, Veronica Marron, berkata gegaran gempa itu amat kuat tetapi setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan atau mangsa yang cedera. - AFP