Followers

Friday, December 3, 2010

MPEN: Kerajaan disyor hadkan pemilikan dalam syarikat strategik kepada 30 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menimbangkan untuk mengehadkan pemilikannya dalam syarikat strategik kepada 30 peratus daripada saham terbitan, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).
Kerajaan juga perlu mengambil kaedah kawalan strategik kurang invasif seperti saham emas, dasar industri dan sekatan pemilikan asing, kata MPEN dalam laporan bertajuk "Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia-Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik".
Laporan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Saham emas memberi kuasa kepada pemegang untuk mempengaruhi keputusan utama dalam sebuah syarikat, manakala dasar industri adalah cara menjaga kawalan strategik melalui dasar industri tersebut dan sekatan-sekatan pemilikan bagi mengawal pelaburan pelabur asing.

MPEN juga mencadangkan kerajaan menjual syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak strategik dan memberi peluang kepada sektor swasta yang mempunyai peluang lebih besar untuk menambah nilai.

MPEN berkata, carian data mendapati terdapat 445 syarikat GLC di negara ini.

Menurutnya hasil daripada penjualan pelaburan tidak seharus dikira sebagai pendapatan kendalian (aliran) tetap diiktirafkan sebagai penukaran modal (saham) manakala perolehan patut ditempatkan ke dalam dana kekayaan negara (SWF), yang melabur dalam pelbagai kelas aset, termasuk sekuriti, tukaran asing dan derivatif.
SWF akan melaksana rangka kerja tadbir urus seperti pengurusan rizab tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) dan ditadbiruruskan sejajar dengan prinsip Santiago yang antara lain memerlukan pendedahan dasar pelaburan SWF, penyata kewangan dan pendekatan pengurusan risiko, MPEN.

Menurut laporan itu, keuntungan daripada SWF boleh digunakan untuk memangkin inisiatif baharu sektor swasta.

Menurut MPEN, terdapat GLC yang dinyah labur boleh menjadi sebahagian daripada program khas untuk menyokong konsortium usahawan Bumiputera menerusi proses tender terbuka yang telus.

MPEN juga mencadangkan satu pihak berkuasa kawal selia GLC (GOA) ditubuhkan bagi mengumpul data kewangan kesemua GLC, memantau prestai mereka, dan GLC bertanggungjawab ke atas perbelanjaan belanjawannya.

"Sebaik-baiknya, GOA perlu melapor kepada Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan prinsip keterusan ke arah membina keyakinan sektor swasta," menurutnya.

MPEN juga meminta kerajaan meminda rangka kerja perundangan dan kawal selia yang sudah wujud untuk menyediakan asas yang sama rata antara GLC dan perniagaan swasta selain mengurangkan ketidakpastian para pelaburan swasta.

“GLC juga perlu tertakluk kepada peruntukan Akta Persaingan 2010 bagi memastikan amalan perdagangan mereka tidak bersifat antipersaingan, selain kerajaan seboleh-bolehnya tidak menyediakan jaminan automatik ke atas liabiliti GLC," menurutnya.

Menurut laporan itu, halangan rasmi mahupun tidak rasmi dalam proses perolehan kerajaan, yang memberi keutamaan akses kepada GLC, harus dihapuskan.

"Bagi memastikan kebebasan daripada gangguan politik dan kementerian dalam pengurusan harian GLC, sekatan tegas perlu dikenakan terhadap pesalah," menurutnya. - BERNAMA

MBE: Tindakan afirmatif mesra pasaran mampu rapat jurang ketaksamaan ekonomi

KUALA LUMPUR: Tindakan afirmatif yang mesra pasaran akan diperkenal bagi mengelak rasa tidak puas hati atas nikmat kemajuan ekonomi bagi merapatkan jurang ketaksamaan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar di semua wilayah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Menurut Laporan Model Baru Ekonomi (MBE) Bahagian Akhir oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang dikeluarkan hari ini, tindakan itu menekankan pendekatan pro-miskin, pertumbuhan menyeluruh yang dapat menangani ketaksamaan pendapatan dan ketidaksamaan sosial sambil mengeluarkan penduduk yang kurang berkemampuan dari kemiskinan.
Bagaimanapun, tindakan afirmatif tersebut tidak melanggar perlindungan dan syarat-syarat yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di mana MBE tidak menganjurkan penghapusan kedudukan istimewa orang Melayu, penduduk asal Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah masyarakat yang lain.
Menurut laporan itu, tindakan afirmatif yang berasaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dilaksanakan sejak pertengahan 1940-an ternyata berjaya mengurangkan kategori kemiskinan dan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Namun, ia turut membabitkan beberapa kesan negatif yang penting antaranya, tindakan itu telah menggalakkan dan menanam budaya pengagihan dan rasa berhak serta tabiat merentir.

Selain itu, pemberian sumber modal kepada firma Bumiputera yang kurang berkelayakan telah menggalakkan penubuhan barisan hadapan yang palsu serta penggunaan kuota berdasarkan kaum yang berlebihan telah mengakibatkan pengagihan kepada penerima yang kurang berkelayakan yang melahirkan ketidakcekapan.

Menerusi tindakan afirmatif yang mesra pasaran, ketidaksamaan yang berterusan selama ini akan diubah dan diberi pembaharuan dengan menghapuskan elemen yang negatif serta kelemahan daripada amalan terdahulu.
Tindakan afirmatif yang mesra pasaran di dalam MBE akan mendukung penggunaan prosedur dan kriteria yang telus untuk menggalakkan pembinaan keupayaan dan kemampuan dan penghapusan pendekatan-pendekatan yang menyumbang kepada amalan merentir.

"MBE juga ingin menggalakkan pemberian ganjaran berdasarkan prestasi dan menggalakkan lebih banyak persaingan dengan menghapuskan perlindungan yang berlebihan dan menggalakkan liberalisasi mengikut sektor kerana peningkatan persaingan dan produktiviti amat bergantung kepada ganjaran yang diberi berasaskan merit dan usaha, bukan kepada kriteria lain yang tidak wajar," menurut laporan itu.

Selain itu, objektif keterangkuman MBE juga tertumpu kepada pengurangan ketaksamaan dan pengangkatan 40 peratus isi rumah terendah dengan pelaksanaan program yang tidak mengambil kira latar belakang etnik penerima dan tanpa apa-apa elemen herotan seperti kuota atau keutamaan atau kelayakan kepada sumber kewangan, pekerjaan, kontrak dan lesen.

Semua program itu akan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan merit pemohon dan akan tertumpu kepada pembinaan keupayaan dan kemampuan.

Antara langkah dasar bagi Mengurangkan Jurang Ketaksamaan Pendapatan dan Perbezaan Wilayah ialah;

* Mewujudkan satu dasar induk bagi program-program bantuan dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat hendaklah dijadikan sebagai agensi penyelaras bagi membangun dan memantau dasar ini.

* Semua kementerian dan agensi terbabit perlu menggunakan pangkalan data seragam yang menyeluruh yang pada mulanya akan berasaskan e-Kasih.

* Mewujudkan program bantuan sosial tambahan berkenaan pengangkutan dan perumahan yang merupakan sebahagian besar daripada perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah seperti;

* Meningkatkan pergerakan di kalangan kumpulan 40 peratus terendah bagi peluang pekerjaan yang lebih baik dengan memperuntukkan subsidi pengangkutan awam melalui penjimatan daripada pengurangan subsidi kerajaan yang lain.

* Menubuhkan Lembaga Perumahan peringkat negeri untuk merancang, membangun dan mengurus skim perumahan bagi kumpulan 40 peratus terendah.

* Memindahkan tumpuan sekarang skim tersebut daripada pemilikan kepada pajakan dengan peluang untuk membeli semasa tamatnya tempoh pajakan tersebut.

* Menawarkan pinjaman melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk keperluan perumahan bagi kategori kumpulan 40 peratus pertengahan yang boleh dibayar balik melalui potongan daripada caruman bulanan oleh pekerja, iaitu bersifat berkecuali ke atas aliran tunai.

* Membolehkan kumpulan 40 peratus terendah untuk keluar dari kemelut kemiskinan melalui pendidikan.

* Menawarkan insentif kepada guru-guru untuk meningkatkan prestasi dan kesediaan untuk mengajar di kawasan luar bandar termasuk juga di beberapa kawasan pendalaman dan memperuntukkan jaringan keselamatan bagi ibu bapa memastikan anak-anak mereka menamatkan persekolahan sepenuhnya.

Selain itu, laporan berkenaan juga menggariskan beberapa pendekatan untuk Program-program Sasaran bagi Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti mewujudkan program-program khusus dengan strategi keluar; bagi pengusaha kecil sederhana (PKS) bumiputera sahaja dan tumpuan terhadap program-program pembinaan kemampuan.

"MPEN mendukung langkah-langkah utama tersebut dan percaya bahawa program-program khas yang disasarkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu di luar lingkungan 40 peratus isi rumah terendah terutamanya PKS di dalam MPPB patut diteruskan tetapi hendaklah dikurangkan secara berperingkat kepada satu tahap yang bersesuaian.

"Keutamaan yang diberi di bawah program itu perlu dijadikan mesra pasaran, telus dan berasaskan keperluan dan merit," menurut laporan itu. - BERNAMA

PDRM serah suspek militan Indonesia kepada POLRI

KUALA LUMPUR: Proses membawa pulang seorang suspek militan Indonesia, yang ditahan di negara ini ketika cuba menyeludup senjata api ke republik itu pada Oktober lalu, sedang diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata Fadzli Sadama, 27, yang ditahan di Johor ketika cuba menyeludup sejumlah senjata api yang dipercayai untuk kegunaan pengganas, kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Kita setuju untuk membawa tangkapan dari Malaysia ke negaranya untuk tindakan selanjutnya. Ini hanya masalah teknikal sahaja, jangan jadikan ia sebagai satu isu," katanya kepada pemberita selepas menandatangi Prosedur Tetap (PROTAP) Malindo No.15 antara PDRM dan Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir, Kepala Kepolisan Negara Republik Indonesia yang baru dilantik, Drs Timur Pradopo.

Ismail berkata, suspek itu juga dipercayai terbabit kes rompakan bersenjata sebuah bank antarabangsa di Medan, Sumatera membabitkan RM139 juta.

Fadzli yang ditahan berseorangan di negara ini, juga dikatakan mempunyai rancangan untuk menyerang sebuah penjara di republik itu bagi membebaskan rakan baiknya, Toni Togar, perancang utama pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, tujuh tahun lalu.

Ismail berkata, polis percaya pihak yang membantu daripada segi pembiayaan dan perlindungan kepada anggota militan tidak sedar atau mengetahui aktiviti mereka.
Beliau berkata, PDRM juga sepakat menjalin kerjasama rapat dengan POLRI bagi menahan saki baki kumpulan militan itu jika masih ada yang bersembunyi di negara ini.

Katanya, kejayaan penahanan Fadzli adalah usaha yang patut dibanggakan PDRM kerana dapat membongkar aktiviti keganasan warga asing.

"Dengan tertangkapnya tahanan ini, ia menunjukkan kita berjaya mengesan dan dapat tahu pergerakan dia pergi mana, di mana dia tinggal. Ini menunjukkan keupayaan kita untuk membantu antara satu sama lain," katanya.

Mengenai perjanjian itu, Ismail berkata ia bertujuan membolehkan PDRM dan POLRI menjalin kerjasama daripada segi penugasan di sempadan Sabah, Kalimantan, sempadan darat, dan perairan antara Malaysia dan Indonesia.

"Perjanjian yang termaktub ini akan membolehkan pegawai dan anggota polis negara ini menjalankan tugas secara koordinasi yang terbaik, dari segi komunikasi dan interaksi, demi mencapai objektif bersama iatu memastikan keamanan dan keselamatan dua negara ini," katanya.

PROTAP dibentuk sejak penubuhan Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia (GBC) Malindo pada 1972 sesuai dengan keadaan ancaman ketika itu, iaitu ancaman komunisme dan jenayah tradisional.

Pada 18 Januari 2007, PDRM dan POLRI bersetuju untuk meminda PROTAP No.15 supaya lebih relevan. - BERNAMA

2,000 pelatih PLKN mula latihan 2 Januari

KUALA LUMPUR: Sejumlah 42,000 daripada 140,000 bakal pelatih yang terpilih akan memulakan Latihan Khidmat Negara di 79 kem seluruh negara bermula 2 Januari hingga 13 Mac ini, kata Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Beliau berkata, notis panggilan kepada semua pelatih yang terpilih akan diposkan kepada mereka hari ini.
"Sementara menunggu notis sampai ke rumah, mereka boleh membuat semakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman web bermula hari ini untuk mengetahui apakah yang perlu dibawa oleh mereka (pelatih) ketika latihan," katanya kepada pemberita semasa sesi taklimat PLKN, di sini hari ini.
Bakal pelatih boleh membuat semakan menerusi SMS dengan menaip PLKN jarak SEMAK jarak Nombor Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Pelatih juga boleh membuat semakan untuk penempatan kem dengan menaip PLKN jarak KEM jarak Nombor Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Hadi berkata, baki daripada kumpulan pertama akan menjalani latihan khidmat negara masing-masing pada 1 Mei-16 Julai dan 10 September-2 Disember.

"Setakat ini, 1,500 permohonan sukarela telah diterima jabatan dan angka ini terbesar dan kita akan melihat kesesuaian seperti tempat kosong. Pertimbangan hanya akan dibuat selepas dua minggu pelatih wajib memasuki kem," katanya.
Seramai 2,344 jurulatih yang telah menjalani 33 siri latihan sepanjang tahun ini akan terbabit pada latihan khidmat negara.

Hadi berkata, bagi program Komuniti Bestari yang diletakkan di bawah modul khidmat komuniti, sejumlah 500 hingga anggota masyarakat serta bekas pelatih akan menyertai program berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan.

Selain itu, katanya, 10 pakar kaunseling akan ditempatkan di 10 kem seluruh negara yang diketuai oleh pengarah zon untuk melihat masalah yang mungkin dihadapi oleh pelatih melibatkan kerjasama daripada Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA).

Katanya, bagi bakal pelatih yang berhasrat memohon penangguhan boleh berbuat demikian dengan memuat turun borang yang boleh didapati di laman web Khidmat Negara, www.khidmatnegara.gov.my.

"Melalui laman web juga, pelatih boleh mendapatkan borang semakan kesihatan. Saya berharap pelatih berlaku jujur ketika mengisi borang tersebut," katanya.

Beliau turut mengingatkan pelatih yang perlu berkumpul di Stadium Bukit Jalil sebelum ini agar berkumpul di Bangunan ZETRO, Wangsa Maju, bermula pengambilan Januari ini.

Katanya, bakal pelatih yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat JLKN di talian 03-40274269,03-40274266,03-40274179 atau 03-40274259.

Katanya, kaunter JLKN turut akan dibuka pada Sabtu dan Ahad mulai 11 Disember ini bermula 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Sementara itu, Hadi menjelaskan cadangan untuk memasukkan modul pendidikan seks dalam latihan Khidmat Negara akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara(MLKN) yang dijangka sebelum akhir bulan ini.

"Kita akan lihat hasil daripada mesyuarat itu nanti," katanya.

Beliau turut menjelaskan kem Titian Bitangor, Rembau yang ditutup selama dua kali pengambilan sebelum ini dibuka semula bermula Januari ini. - BERNAMA

PAS bersedia hadapi pilihan raya umum: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata parti itu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada bila-bila masa saja.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS tiada masalah untuk menghadapi pilihan raya umum lebih awal kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa daripada sekarang jika ia diadakan lebih awal seperti digembar-gemburkan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada penghujung tahun depan berikutan pengumuman Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan.

Nik Azi berkata, PAS juga sudah mempunyai calon yang berkebolehan untuk diketengahkan pada pilihan raya umum biarpun parti itu pernah tewas buat pertama kali dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November lalu.

Dalam pilihan raya kecil DUN itu, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff, mengalahkan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad, dengan majoriti besar 1,190 berbanding pilihan raya umum 2008.

Calon Pas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima yang meninggal dunia pada 27 September lalu memperoleh majoriti hanya 646 undi.
BN memperoleh kemenangan besar pertama dalam pilihan raya kecil itu setelah tewas kepada Pas dengan majoriti tipis dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 2009.

Kemenangan BN di Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dikatakan menjadi sandaran untuk BN mengadakan pilihan raya umum tahun depan kerana keyakinan rakyat semakin beralih kepada BN berbanding pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan pakatan pembangkang memperoleh lima negeri dan BN hanya mendapat majoriti mudah berbanding dua pertiga majoriti dalam Parlimen pada 2004.

Nik Aziz turut menafikan dakwaan kononnya kekalahan PAS pada pilihan raya kecil DUN Galas disebabkan faktor calon yang ditolak pengundi kerana pernah kalah dalam pilihan raya sebelum itu.

Namun beliau mengakui kemungkinan kesilapan strategi berkempen punca calon BN memperoleh majoriti lebih besar berbanding majoriti yang diperolehi calon PAS pada pilihan raya umum 2008. - BERNAMA

Pengawal keselamatan mengaku salah rogol anak kandung

KANGAR: Seorang pengawal keselamatan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun sebulan dalam satu kejadian di kawasan kebun jati, Felcra Lubok Sireh dekat sini pada 22 November lalu.
Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menetapkan 11 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman.
Lelaki berusia 38 tahun itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan kira-kira 4.30 petang di kebun berkenaan, dan dia yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.
Dia yang tinggal di Felcra Lubok Sireh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu keputusan hukuman.

Menurut fakta kes, pada hari berkenaan tertuduh mengajak anak perempuannya itu mencari rebung di kebun tersebut dan apabila sampai di tempat kejadian telah mengarahkan mangsa membuka seluar sebelum merogolnya.

Tertuduh juga telah mengugut mangsa agar tidak memberitahu sesiapa. - BERNAMA

Pemilihan Qatar oleh FIFA 'keputusan salah': Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata FIFA melakukan "keputusan salah" apabila memilih Qatar daripada memilih Amerika yang turut membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 yang boleh menjejaskan sukan bola sepak di benua itu.
"Saya fikir ia satu keputusan silap," katanya di Rumah Putih yang bersama ribuan rakyat Amerika yang kecewa apabila menonton pengumuman hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 dari Zurich, malam tadi.
“Sememangnya kami amat kecewa. Ia sukar diterima buat masa ini," kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Amerika, Sunil Gulati yang menyifatkan kekalahan AS itu sebagai satu peristiwa malang untuk kemajuan bola sepak negara itu. - AFP

FIFA teroka 'horizon baru' bagi Piala Dunia: Sepanyol

ZURICH: Kerajaan Sepanyol dan pegawai sukannya menyatakan sedikit kekecewaannya selepas tewas dalam biadaan penganjuran Piala Dunia 2018 bersama Portugal tetapi menyifatkan keputusan FIFA sebagai satu "horizon baru" untuk sukan bola sepak.
"Kami juga kecewa tapi kami perlu menerima kekalahan ini," kata Setiausaha Negara bagi Sukan Sepanyol, Jaime Lissavetzky, sebaik Russia diumumkan sebagai pemenang penganjuran, malam tadi.
"Kami mesti mengucapkan tahniah kepada pemenang," katanya.
Sepanyol pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 1982 dan mereka berkeyakinan untuk menjadi tuan rumah pada 2018 selepas menjuarai Piala Dunia di Afrika Selatan, Julai lalu.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, pula mengucapkan tahniah kepada Russsia dan juga Qatar yang menjadi tuan rumah pada 2022 dan berkata:
“Kami memenuhi semua syarat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia daripada kemudahan sukan yang moden dan hajat besar kami dalam bola sepak.

"Kami juga mempunyai liga yang baik dan pemain yang hebat, termasuk skuad kami yang menjadi juara dunia.
"Tapi, saya fikir mereka (jawatankuasa eksekutif FIFA) mempunyai kriteria yang berlainan daripada kita" katanya.

Beliau berkata, kriteria FIFA itu mungkin untuk "meluaskan sukan bola sepak ke benua lain" dan Russia dan Qatar adalah negara yang mempunyai ekonomi yang berkembang.

Ketua Delegasi Biadaan Sepanyol-Portugal, Miguel Angel Lopez, juga berkata keputusan itu menunjukkan keinginan FIFA untuk membawa Piala Dunia ke negara yang belum pernah menganjurkan lagi setakat ini.

"Bola sepak kini memasuki dimensi atau horizon yang baru. Ia satu perkembangan sihat dan satu penghormatan. Tidak perlulah negara sama saja menganjurkannya," katanya. - AFP

Pendedahan rasuah dalam FIFA 'hancurkan' peluang England

ZURICH: Datuk Bandar London, Boris Johnson berkata salah satu kemungkinan yang perlu diterima adalah pendedahan media British mengenai skandal rasuah yang melanda dalam FIFA menyebabkan England terlepas peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.
“Ia jelas. Perkara itu merosakkan peluang kita untuk membida Piala Dunia 2018," katanya.
“Saya fikir kita mampu untuk menganjurkan Piala Dunia dengan hebat," kata bekas penyerang England, Gary Lineker.
Beliau bagaimanapun yakin sukan bola sepak di England akan terus berkembang meskipun negara itu kecewa selepas kalah dalam bidaan itu.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah mengucapkan syabas buat Russia dan berharap mereka menjadi hos Piala Dunia yang terbaik yang saya harap England memperolehnya," katanya.

Sementara itu, ikon bola sepak England, David Beckham menyatakan kekecewaannya selepas England kalah dalam bidaan itu terutama tersingkir seawal pusingan pertama.

FIFA mengumumkan England terkeluar awal dalam pusingan pertama pengundian dengan hanya memperoleh dua daripada 22 undi.
“Saya fikir pasukan biadaan kita sudah melakukan apa saja tapi kita tidak dapat bidaan yang terbaik," kata Beckham kepada siaran radio BBC.

Bekas kapten England, Alan Shearer yang turut berada Zurich berkata, kekalahan itu amat sukar ditelan.

"Dengan apa yang dipersembahkan ketika sesi taklimat, mereka bercakap cukup hebat. Jika kita cuba sebaik mungkin tapi akhirnya tewas, sekurang-kurangnya kita mampu melelapkan mata apabila malam," katanya.

“Saya berharap saya mampu melihat Piala Dunia di negara saya ketika saya masih hidup. Malangnya ia menyedihkan, ia menyakitkan tapi kita perlu mengucapkan tahniah kepada negara pemenang," katanya. - AFP

Piala Dunia 2018: Daripada hon kereta ke Twitter di Moscow

MOSCOW: Presiden Russia menulis "Hurray!" dalam blognya hari ini manakala Perdana Menterinya, Vladimir Putin mengucapkan terima kasih kepada seluruh negara dan FIFA apabila negara itu diberi penghormatan menganjurkan Piala Dunia 2018.
“Hurray! Kemenangan!” tulis Medvedev dalam akaun Twitter sebaik FIFA mengumumkan keputusan undi tuan rumah Piala 2018 FIFA dari Zurich yang disiarkan secara langsung di kebanyakan stesen televisyen Russia.
Medvedev dengan pantas berkata, apa yang perlu dibuat sekarang ialah meningkatkan prestasi negara itu bagi menganjurkan sukan yang amat diminati di dunia itu.
“Sekarang kita perlu membuat persiapan lebih hebat untuk menganjurkan Piala Dunia," katanya.

Bagaimanapun cara meraikan kejayaan itu sedikit terjejas apabila salji tebal melanda Eropah dan Russia menyebabkan ia diadakan di tempat tertutup.

Hanya beberapa kerat saja yang keluar dari rumah memberanikan diri mengharungi cuaca sejuk sehingga paras beku -25 darjah selsius untuk meraikan kejayaan negara itu di dataran Sparrow Hills di Moscow.

Pengumuman itu menyebabkan ramai warga Moscow terperangkap dalam kesesakan trafik dan mereka berhenti dengan membunyikan hon kenderaan apabila berita kejayaan itu mula tersebar jam 6.30 petang waktu tempatan.
Pemilihan Russia itu juga disifatkan sebagai satu kejayaan besar kepada Putin —yang mengetengahkan reputasinya untuk membida Piala Dunia daripada saingan terdekat, England.

Putin pantas mengucapkan terima kasih kepada FIFA dan terbang ke Zurich untuk memberi penghargaan terus kepada badan bola sepak dunia itu kerana memilih buat pertama kalinya Eropah Timur menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota jawatankuasa eksekutif FIFA kerana keyakinan tinggi mereka kepada Russia untuk menganjurkan Piala Dunia," kata Putih dalam siaran televisyen. - AFP

WikiLeaks dedah AS cerca Putin, pemimpin dunia: Chavez

CARACAS: Presiden Hugo Chavez berkata pendedahan WikiLeaks menunjukkan "perang kotor" yang dilancarkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di seluruh dunia dan bagaimana AS mencerca "rakan baik" Venezuela, Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin.”
“Sudahkah anda melihat pendedahan WikiLeaks?” soal Chavez kepada sekumpulan mangsa banjir di bandaraya Caracas.
“Ia memaparkan laporan dan perang kotor yang dilancarkan kedutaan Yankee di seluruh dunia. Lihat bagaimana mereka mencerca pemimpin negara berkuasa; bagaimana mereka mencerca rakan baik kita, Vladimir Putin. Mereka tidak menghormati beliau!"
Chavez berkata, laporan komunikasi diplomatik AS itu juga mencerca pemimpin dunia lain.

“Mereka juga tidak menghormati Presiden Russia, Dmitri Medvedev dan China... Bayangkan kedudukan kita. Tiada apa yang mereka tidak akan kata mengenai kita, bahawa kita lebih hina dari tanah," kata Chavez.

Beberapa komunikasi diplomat AS merujuk Russia sebagai "negara mafia" dan memanggil Putin sebagai “anjing alpha” dan berkata Medvedev hanya “Robin” kepada “Batman” (Putin). - AFP

Suspek pengganas Indonesia dikenakan tahanan ISA: KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menangkap seorang suspek pengganas Indonedia di Malaysia dan kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata penahanan Fadli Sadama, salah seorang daripada beberapa orang yang ditahan baru-baru ini menunjukkan kejayaan kerjasama pihak keselamatan Malaysia-Indonesia dalam memerangi jenayah keganasan di rantau ini.
Ismail berkata dekikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo.
Media tempatan di sini sebelum ini melaporkan Fadli ditahan pada 13 Oktober lalu.

Pada 13 Oktober lalu, Fadzli, 27, ditahan dalam bas ketika cuba menyeludup keluar sejumlah senjata api ke republik itu melalui Johor, dipercayai untuk kegunaan kumpulan pengganas.

Dia juga dipercayai terbabit kes rompakan bersenjata sebuah bank antarabangsa di Medan, Sumatera membabitkan kerugian RM139 juta, selain merancang menyerang sebuah penjara di negara itu bagi membebaskan rakan baiknya, Toni Togar, perancang utama pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, tujuh tahun lalu. - AP