Followers

Thursday, August 19, 2010

MAPEN akan hantar memorandum kepada PM

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM) akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA, Ahad lalu.

Anggota MAPEM dan juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Selangor (DPMMS), Tan Sri Rozali Ismail, berkata memorandum berkenaan akan dihantar dalam minggu ini bertujuan menyatakan pendirian MAPEM berhubung resolusi dan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Melayu.
"Dalam mesyuarat yang diadakan sebentar tadi kita ingin memberi ingatan kepada MCA untuk tidak membuat sebarang tuntutan di luar daripada komitmen yang telah mereka berikan kepada kerajaan atas sifat mereka berada dalam kerajaan yang melaksanakan polisi semasa, khususnya apabila menyentuh sensitiviti orang Melayu keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas yang diadakan MAPEM di sini hari ini.
MAPEM adalah gabungan lapan anggota Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), 21 anggota Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (GAPUMS) dan 16 anggota Majlis Perniagaan dan Ekonomi Malaysia.

Rozali berkata antara kandungan memorandum itu termasuklah cadangan penghapusan kuota 30 peratus melalui margin keutamaan (MoP) yang dilihat sangat jelas cuba menghakis penguasaan ekonomi orang Melayu yang sehingga kini masih jauh daripada penguasaan efektif 30 peratus ekuiti dalam sektor ekonomi negara.

Beliau berkata jika cadangan itu dilaksanakan ia akan terus melemahkan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera lain dalam ekonomi Malaysia.

"Mesyuarat hari ini mahukan dasar kuota 30 peratus ini diteruskan sehingga mencapai sasaran ekuiti dalam objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana kita mahukan agenda menstruktur semula masyarakat dilaksanakan dengan telus dan berjaya.
Beliau berkata memorandum itu juga meminta kerajaan supaya tidak menerima atau cuba melaksanakan resolusi yang dibuat oleh pihak terbabit khususnya yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan Bumiputera, tanpa terlebih dahulu merujuk, berunding dan melakukan proses konsultasi rakyat dengan pertubuhan dan masyarakat Bumiputera. - BERNAMA

Subjek sejarah disaran diperkenal di sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran digesa memperkasakan semula mata pelajaran sejarah di kalangan pelajar, termasuk memperkenalkannya di peringkat sekolah rendah dan menjadikannya subjek wajib lulus dalam peperiksaan utama.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Selangor (GPMS Selangor) Mohd Faizal Mohd Salleh berkata, langkah itu perlu bagi memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah.
"Ini penting dalam usaha mempertingkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar selain memberikan kefahaman kepada mereka terhadap sejarah tanah air.
"Mereka juga perlu diberi lebih banyak pendedahan khasnya mengenai tokoh-tokoh penting negara sebelum merdeka yang telah meletakkan perpaduan dan bertolak-ansur sebagai formula teras dalam memerdekakan Tanah Melayu seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lok dan V.T Sambantan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sudah sampai masanya perkara itu diberikan pertimbangan sewajarnya memandangkan sejak akhir-akhir ini semakin banyak kes mengenai pembabitan golongan pelajar dalam kegiatan negatif termasuk demonstrasi jalanan.

Malah katanya, kini ada juga ahli-ahli politik Malaysia yang "sudah lupa" atau "buat-buat lupa sejarah".

Bagi lebih memantapkan pengertian dan penghayatan sejarah negara di kalangan rakyat, GPMS Selangor juga mencadangkan agar Kajian Sejarah yang kini hanya melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga diperluaskan kepada pelajar tingkatan empat hingga enam.
Ini katanya bagi memberikan peluang seluas-luas kepada mereka untuk membuat kajian serta penyelidikan mengenai fakta-fakta yang mereka pelajari dalam subjek sejarah.

Mohd Faizal berkata kelulusan subjek itu turut disaran dijadikan syarat untuk permohonan ke institusi pengajian tinggi (IPT) selain menjadikannya mata pelajaran wajib di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dengan cara itu, katanya GPMS yakin ia juga akan dapat menyuntik semangat cintakan negara di kalangan pelajar selain memupuk kesedaran tinggi agar mereka tidak terjebak dengan gejala yang merugikan, dan seterusnya bakal membawa kesan jangka panjang yang sangat positif terhadap golongan ini dan generasi muda negara ini, katanya. - BERNAMA

Bilangan pesakit H1N1 naik 25 peratus minggu ini

KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit yang disahkan menghidap Influenza A (H1N1) meningkat 25 peratus minggu ini kepada 64 kes bagi tempoh 8 hingga 14 Ogos lepas berbanding 51 kes pada minggu sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah sebanyak 15,584 orang dengan jumlah kematian kekal 92 orang.
Bagi tempoh sama, tujuh kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) baru dilaporkan dari lima kepada enam negeri, turun daripada 13 kluster pada minggu sebelumnya.
Selain itu, bilangan pesakit baru dengan simptom ILI yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan dalam tempoh sama mencatat penurunan sebanyak 8.9 peratus kepada 513 orang berbanding 563 pesakit pada minggu sebelumnya, katanya.

Baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara pada hari terakhir adalah sebanyak 360 kes di 60 buah hospital termasuk sembilan hospital swasta.

"Daripada jumlah itu, hanya 34 pesakit atau 9.4 peratus kes Influenza (A) H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal. Terdapat tiga kes H1N1 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan semuanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Mohd Ismail berkata, walaupun dunia kini berada di dalam fasa pasca pandemik H1N1, orang awam diingat supaya mengambil langkah kawalan dan pencegahan kerana penularan jangkitan virus itu dijangka berterusan untuk beberapa tahun akan datang sebagai influenza bermusim. - BERNAMA