Followers

Saturday, October 10, 2009

Korban di Filipina lepasi angka 540


PARA penduduk berpaut pada tali semasa menyeberangi sebatang jalan raya yang ditenggelami banjir akibat taufan Parma di Rosales Pangasinan di utara Manila, semalam. – Reuters


MANILA 9 Okt. – Jumlah korban akibat taufan yang melanda Filipina utara dalam tempoh dua minggu lalu meningkat melebihi 540 orang hari ini, selepas kejadian tanah runtuh mengorbankan berpuluh-puluh penduduk dan banjir menenggelamkan banyak pekan.

Sekurang-kurangnya 181 orang terbunuh dalam beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi di utara Filipina, malam tadi .

Hujan masih turun berterusan di pulau utama Luzon. Kawasan pergunungan kini berhadapan lebih banyak kejadian tanah runtuh manakala banjir yang boleh mencecah sehingga 8 meter di kawasan dataran.

“Skala hujan kali ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata pegawai eksekutif Majlis Koordinasi Bencana Kebangsaan, Glen Rabonza kepada AFP.

Sementara itu, beribu-ribu orang terperangkap ekoran banjir yang semakin buruk di utara Filipina hari ini selepas hujan lebat memaksa pihak berkuasa melepaskan air dari empangan.

Pegawai tempatan membuat permohonan kecemasan untuk mendapatkan helikopter dan bot getah bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di wilayah Pangasinan. – AFP

Kerajaan sedia kerjasama dengan parti yang sokong dasar: PM

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam dan luar Barisan Nasional (BN), badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan sesuai dengan semangat 1Malaysia bagi menangani masalah masyarakat India.

Perdana Menteri berkata, apa yang penting mereka percaya pada dasar dan prinsip kerajaan itu.

"Masalah itu telah bersama-sama kita untuk sekian lama dan ia memerlukan usaha besar-besaran untuk menyelesaikan masalah berkenaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Parti Makkal Sakti dan mesyuarat agung kali pertama parti itu di MAEPS di sini.

Kematian pertama akibat H1N1 di Cuba

HAVANA: Cuba semalam mengumumkan tiga wanita mengandung mati selepas dijangkiti virus Influenza A (H1N1), iaitu laporan pertama mangsa maut akibat virus terbabit.

"Kami tidak bernasib baik dan mengesahkan kes kematian beberapa individu akibat selesema babi," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Jose Angel Portal Miranda, menerusi program berita sebuah televisyen.

Beliau tidak mendedahkan tempoh wanita itu mati, tetapi berkata, ketika ini Cuba mencatatkan 621 kes selesema babi. - AFP

Korban gempa bumi Padang kini 803 orang

JAKARTA: Jumlah mangsa yang mati dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 7.9 skala Richter pada 30 September lalu meningkat menjadi 803 orang sehingga tengah hari tadi ketika kaum keluarga masih berharap menemui jasad 241 orang lagi yang dilapor masih hilang.

Data Badan Penanganan Bencana Sumatera Barat setakat malam tadi menunjukkan 891 orang cedera parah dan 1,365 orang cedera ringan.

Lebih 133,000 rumah mengalami kerosakan teruk, runtuh atau hancur sepenuhnya dan lebih 110,000 yang lain mengalami pelbagai kerosakan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) pula hari ini dilapor membuat pembetulan tahap gempa bumi daripada yang disebutkan pada mulanya berkekuatan 7.6 kepada 7.9 pada skala Richter.

Hari ini, bekalan elektrik di Kota Padang dan Pariaman dilapor hampir pulih sepenuhnya manakala penjualan minyak juga kembali seperti biasa.

Hanya bekalan bekalan air bersih yang masih diperbaiki. - Bernama

Masyarakat India tidak terpinggir daripada pembangunan: PM

SERDANG: Masyarakat India di negara ini tidak akan terpinggir daripada sebarang pembangunan dan kemajuan yang diberikan oleh kerajaan kerana mereka adalah rakyat Malaysia yang akan sentiasa didahulukan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berucap pada majlis pelancaran parti Makkal Sakti Malaysia di sini hari ini, beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana dianugerahkan dengan pelbagai kekayaan dan masyarakat India seperti juga masyarakat lain di negara ini, turut menyumbang ke arah kekayaan itu.

Katanya, kedatangan awal masyarakat India ke Tanah Melayu sebagai pekerja di ladang getah dan terlibat secara langsung dalam pembinaan landasan kereta api telah banyak membantu ke arah pembangunan negara ini.

"Oleh itu maka adalah adil bagi kita untuk memberi apa yang patut kita berikan kepada masyarakat India. Kita akan berikan apa yang patut kaum Melayu miliki kepada kaum Melayu, kita akan berikan apa yang patut kaum Cina miliki kepada kaum Cina dan kita akan berikan apa yang patut kaum India miliki kepada kaum India. Inilah hasrat kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pentadbiran beliau akan sentiasa berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia dalam menggubal program yang akan memberikan keadilan kepada semua lapisan masyarakat.- Bernama

Cina Islam boleh jadi MB retorik Pas: Awang Adek

BACHOK: Kesediaan PAS untuk mentauliahkan kaum Cina yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai Menteri Besar Kelantan hanyalah retorik parti itu semata-mata sebagai memancing kaum Cina dan India menyokong mereka terutama pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata perkara itu sukar untuk berlaku di Kelantan kerana halangan tertentu dalam Pas seperti mana isu mahu membuka keahlian kepada bukan Islam menyertai parti itu.

"Jika serius kita nak lihatlah perkara ini berlaku di Kelantan dulu dan jika lihat keadaan hari ini ia tidak akan berlaku dan ini hanya semata-mata untuk menarik kaum Cina dan India pada pilihan raya kecil ini.

"Isu ini bukan perkara baru seperti di Pulau Pinang pun ketua menterinya adalah orang Cina dan juga di Sabah sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Bachok di sini, hari ini.

Semalam Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika berkempen di Bagan Pinang bersedia mentauliahkan Cina Islam untuk menjadi Menteri Besar Kelantan asalkan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan layak menjadi pemimpin.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata, jika ada calon yang layak, beliau sendiri yang akan mencadangkannya untuk jawatan itu.

Mengulas perkara itu Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, kaum Cina dan India di Bagan Pinang tidak akan terpengaruh dengan janji-janji Pas yang sebenarnya tidak mampu untuk memajukan kaum tersebut.

"Port Dickson umpamanya sudah terkenal di mata dunia dengan kemajuan pelancongannya dan sebab itu ia perlu diwakili wakil rakyat Barisan Nasional bagi memastikan kemajuannya tidak terhenti.

"Di Kelantan saya malu apabila Pantai Irama di Bachok yang kononnya adalah pantai peranginan Islam sedangkan ia ibarat langit dengan bumi nak dibanding dengan Port Dickson dan ini sebenarnya telah mencemarkan imej Islam itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, pada pertemuannya dengan lebih 400 nelayan di Bagan Pinang semalam yang mahukan wakil rakyat baru nanti menambak pantai yang kini mula terhakis dan semestinya hasrat nelayan itu hanya boleh dilakukan oleh calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Lebih 2,000 warga pendidik Bachok dan keluarga mereka hadir pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman. - Bernama