Followers

Sunday, September 5, 2010

Hubungan kukuh KL-Jakarta akan kekal: Nahdatul Ulama

JAKARTA: Organisasi Islam terbesar di Indonesia Nahdlatul Ulama (NU) menegaskan bahawa hubungan persaudaraan antara Indonesia dan Malaysia adalah terlalu kuat untuk dirosakkan oleh kepentingan ego individu.

"Kalau berlaku konflik, yang akan rugi kita sendiri. Orang lain atau pihak-pihak yang tidak suka dengan dengan persaudaraan kita, akan mengambil manfaat dari itu," kata Ketua Dewan Syura NU Pusat, Kyai Haji Masdar Farid Mas’udi.
"Walaupun pihak-pihak berkenaan itu pada awalnya tak mempunyai niat sedemikian, namun jika Indonesia dan Malaysia menjadi lemah, mereka akan ambil manfaatnya," katanya.
Beliau mengulas ketegangan yang berlaku antara Indonesia dan Malaysia berikutan insiden yang berlaku di kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Pulau Bintan di kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.

Dalam insiden itu, tujuh nelayan Malaysia ditahan oleh bahagian penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia manakala Polis Marin Malaysia pula dikatakan menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian tersebut atas kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing- masing.

Pihak berkuasa kedua-dua negara telah membebaskan mereka yang ditahan pada 17 Ogos lalu, namun beberapa kumpulan aktivis masyarakat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi menuntut supaya Malaysia meminta maaf di atas tindakannya itu dan mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas terhadap Malaysia dalam soal menjaga kedaulatan wilayah Indonesia.

Masdar berkata Malaysia dan Indonesia mempunyai begitu banyak persamaan seperti dari segi etnik, bahasa dan agama.
"Hubungan kedua-dua negara ini sudah seperti abang-adik, sehingga sering terlibat berkelahi perang mulut, namun ia hanya akan berlangsung sebentar saja.
”Mungkin justru terlalu dekat jadi semacam ada keberanian untuk saling mengganggu. Kalau orang jauh yang tidak punya kedekatan, tidak akan seperti itu.

”Namun meskipun sering bertengkar, kita tidak akan terjerumus pada konflik yang serius,” katanya.

Dari kacamata seorang rakyat Indonesia, Masdar menyifatkan sikap Malaysia yang sering disebut sebagai merendahkan Indonesia, perlu dijadikan sebagai satu motivasi agar Indonesia makin memajukan diri dari segala aspek.

"Kerana pada kenyataannya, Indonesia kaya dengan pelbagai sumber daya alam, dan negara yang lebih besar namun ia masih tertinggal.

”Setiap muncul masalah, kami tidak terlalu khauatir. Boleh dikatakan ada sedikit ketegangan tetapi kami tidak ambil pusing. Saya kira ini untuk memotivasi pemimpin Indonesia untuk lebih menata diri, memperkuat daya saing bukan untuk menggagahi orang lain," katanya.

Beliau turut menyoroti semangat perpaduan yang wujud dalam Asean yang boleh dicontohi dalam melayari hubungan baik antara kedua-dua pihak. - BERNAMA

11 pelajar Malaysia di Universiti Lincoln, Christchurch selamat

JOHOR BAHRU: Semua 11 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Lincoln dekat Christchurch, New Zealand terselamat dalam gempa bumi kuat melanda negara kepulauan itu, semalam.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian menerusi Jabatan Penuntut Malaysia di New Zealand mengenal pasti lapan pelajar wanita dan tiga lelaki Malaysia menuntut di universiti terbabit dan mereka disahkan selamat.

Senarai projek RMK-10 diumum Oktober ini

KEPALA BATAS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata senarai bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) akan diumum selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bajet 2011 Oktober ini.
Beliau berkata senarai projek yang akan diumum itu hanya untuk tempoh dua tahun iaitu bagi 2011 hingga 2012.
"Kita akan buat pengumuman senarai itu untuk dua tahun sekali, ini adalah kali pertama kita buat begini kerana sebelum ini kita umumkan untuk lima tahun terus," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mengatakan senarai projek RMK-10 lewat diumum kerana ia sepatutnya diumum bulan lalu.

"Sebenarnya kita tidak lewat membuat pengumuman, kita awal beberapa bulan dari pelaksanaan rancangan, sebelum ini pengumuman dibuat pada tahun pertama rancangan itu contohnya untuk RMK-9 (dari 2006 hingga 2010) kita umumkan pada 2006," katanya.

Terdahulu, Nor Mohamed menyampaikan sumbangan hari raya untuk penduduk di kawasan Parlimen Tasek Gelugor. Sumbangan berjumlah RM25,500 itu dibuat dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara. - BERNAMA

Isu dua hala agenda utara lawatan Menteri Luar Indonesia ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Indonesia, Dr R.M Marty M. Natalegawa akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula esok dengan agenda utama untuk membincangkan isu dua hala termasuk perkara berbangkit ekoran insiden penahanan tujuh nelayan Malaysia dan tiga pegawai Perikanan Indonesia pada 13 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Natalegawa dan delegasinya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pagi esok sebelum dijadual mengadakan mesyuarat empat mata dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan isu berkenaan serta isu-isu dua hala lainnya.
Ini diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Republik Indonesia sebelum kedua-dua Menteri Luar itu mengadakan sidang akhbar bersama pada kira-kira 3 petang esok.
Pada sebelah malamnya, Natalegawa dan anggota delegasinya akan diraikan di dalam satu majlis berbuka puasa dan makan malam yang dihoskan oleh Anifah.

Menurut kenyataan itu lagi, lawatan tersebut juga akan mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

Natalegawa dan delegasi dijadual berlepas pulang dari Kota Kinabalu ke Indonesia hari berikutnya. - BERNAMA