Followers

Wednesday, December 23, 2009

Semua pelajar Malaysia selamat dalam gempa di Padang

JAKARTA: Semua 75 pelajar perubatan Malaysia selamat dalam kejadian gempa bumi terbaru berkekuatan 6.1 pada skala Richter (SR) di Padang, Sumatera Barat, pagi ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata beliau sudah menghubungi pemimpin pelajar Malaysia di Universitas Andalas di sana dan mendapat pengesahan bahawa semua pelajar yang masih berada di Padang berada dalam selamat.

"Kita ada 75 pelajar di sana sekarang manakala bakinya kira-kira 70 orang lagi sedang bercuti di Malaysia. Mereka masih berada di rumah ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri ke luar rumah setelah merasakan goyangan gempa yang agak kuat," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, semua pelajar itu meneruskan kuliah dan latihan praktikal mereka seperti biasa hari ini kerana tidak ada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu terjadi jam 8.11 pagi dengan pusatnya di kedalaman 10 km pada lokasi kira-kira 56km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Gempa susulan yang berkekuatan 5.3 SR pula berlaku jam 8.47 pagi di kedalaman 25km pada lokasi 46km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Bagaimanapun kedua-dua gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami, menurut BMKG.

Gempa bumi itu terjadi kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi besar berkekuatan 7.9 SR menggegarkan Kota Padang, yang mengakibatkan Malaysia terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membawa pulang lebih 300 pelajar perubatan dari sana.

Sementara itu, media massa tempatan melaporkan gempa pagi ini sempat mengakibatkan rasa panik di kalangan penduduk terutama di Kota Padang yang bertempiaran keluar meninggalkan rumah dan bangunan kerana takut terjadi runtuhan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan harta benda. - Bernama

Orang ramai dinasihati dapatkan rawatan jika ada ILI

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, khususnya negara-negara yang beriklim sederhana, dinasihati supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera sekiranya mengalami gejala serupa Influenza (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini kerana penularan jangkitan influenza A(H1N1) dilaporkan masih aktif dan terus meningkat di negara-negara di Eropah Tengah dan Asia Selatan dengan 99 peratus kes dikesan berlaku di negara-negara Hemisfera Utara.

Katanya, mana-mana rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk melancong, lawatan sosial atau urusan kerja di negara-negara yang berkenaan dinasihatkan juga supaya terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mengelak daripada berada di kawasan sesak serta perlu sentiasa membawa kit influenza termasuk bahan pencuci tangan.

"Pengambilan vaksin selesema bermusim juga adalah digalakkan bagi mengurangkan risiko jangkitan selesema yang turut menular di musim sejuk ini di negara-negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, merujuk kepada situasi semasa wabak Influenza A(H1N1) dalam negara, Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini tiada kematian terbaru dilaporkan sepanjang minggu lalu dan jumlah kematian akibat wabak itu kekal 77 orang.

Katanya, dalam tempoh itu 411 pesakit baru dengan ILI dirujuk ke hospital untuk rawatan dengan 279 kes sedang dirawat di 49 hospital termasuk empat hospital swasta manakala 516 kes sudah didiscaj.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya lima pesakit disahkan mengidap jangkitan tersebut melalui ujian makmal, seorang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan seorang didiscaj dari ICU, manakala tiga lagi masih dirawat di unit berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail mengulangi nasihatnya supaya orang ramai tidak memandang ringan atau mengambil mudah langkah-langkah pencegahan yang diumumkan sebelum ini dan mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan wabak itu dengan melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. - Bernama

Gempa bumi sederhana dikesan di selatan Sumatera

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.8 Ritcher dikesan melanda kawasan sekitar selatan Sumatera, Indonesia pada jam 9.11 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu, kenyataan hari ini, berkata pusat gempa bumi itu terletak di lokasi 67 kilometer dari tenggara Siberut, Indonesia dan 547 km dari barat daya Melaka.

Gegaran dirasai di sesetengah kawasan di barat Semenanjung dan pihak jabatan sedang memantau perkembangan selanjutnya, menurut kenyataan itu. - Bernama

Harga komoditi dijangka meningkat tahun depan

KUALA LUMPUR: Harga di pasaran komoditi dijangka menunjukkan arah aliran yang meningkat pada tahun depan apabila penganalisis dan peserta industri menjangka harga komoditi utama seperti minyak sawit, keluli dan emas melonjak berikutan permintaan kukuh dan sentimen pasaran yang lebih baik.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Kumpulan Interband, Jim Teh, berkata wujud kemungkinan pasaran minyak sawit mengalami kenaikan harga pada separuh kedua tahun depan.

"Lebih ramai peserta asing dijangka memasuki pasaran itu pada tahun depan," katanya baru-baru ini, sambil menyatakan ia adalah berikutan kerjasama antara Bursa Malaysia dan CME Group Inc, yang juga adalah pasaran derivatif paling pelbagai dan paling besar di dunia.

Perkongsian itu yang membabitkan pelesenan harga penyelesaian hadapan minyak sawit mentah mentah (MSM) Bursa Malaysia Derivatives Bhd akan meningkatkan lagi pengiktirafan MSM Malaysia sebagai penanda aras minyak makan antarabangsa.

Pada 2009, MSM mencecah paras tertinggi RM2,894 setan metrik pada 13 Mei, 2009.

Sehingga Disember, kontrak hadapan MSM diniagakan antara RM2,400 hingga RM2,600 satu tan metrik dan penganalisis mengunjurkan bahawa iklim yang lebih panas berikutan corak iklim El-Nino dan permintaan yang lebih kukuh, terutama sekali dari China dan India, akan melonjakkan harganya kepada RM3,000 pada tahun depan.

"Bagaimana pun, wujud kebimbangan bahawa stoknya yang kekal tinggi akan memberi tekanan kepada harga," katanya.

Sementara itu, kebimbangan mengenai langkah pemulihan ekonomi global juga akan mempunyai sedikit kesan kepada pasaran komoditi, dengan bank-bank menghadkan kredit yang dihulurkan kepada perniagaan bagi menunjukkan langkah berhemah.

Sungguh pun begitu, pengeluar masih boleh tersenyum untuk menuju ke bank berikutan catatan keuntungan yang agak berpatutan kerana kos pengeluaran masih rendah antara RM1,200 hingga RM1,500 satu tan metrik.

Laporan Penyelidikan Ekuiti Malaysia MIDF menyatakan bahawa MSM telah menunjukkan prestasi lebih baik dari pencabar terdekatnya, iaitu minyak kacang soya, sehingga 25 November 2009 kerana pembeli minyak makan beralih kepada MSM sebagai gantian yang lebih murah.

Katanya, diskaun MSM yang besar sebanyak 34 peratus bagi minyak kacang soya sehingga akhir 2008, adalah sebab utama harga MSM meningkat pada tahun ini.

Bagi pasaran getah, penganalisis berkata, bekalan yang kecil telah mendorong kenaikan harga getah yang lebih tinggi pada tahun ini.

Keluaran getah global pada tahun ini sebanyak 9.36 juta tan metrik adalah 640,000 tan metrik lebih rendah daripada yang didaftarkan pada 2008, demikian menurut Persatuan Getah Vietnam (VRA).

Kenaikan harga minyak mentah serta bekalan yang rendah di negara pengeluar Thailand, Indonesia dan Malaysia berikutan kombinasi iklim kemarau dan hujan, telah menyebabkan harga getah meningkat lebih 20 peratus pada tahun ini.

Di pasaran tempatan, pada 22 Disember, harga SMR20 sudah mencatatkan paras tertingginya sebanyak 954 sen sekilogram (s/kg) manakala harga lateks pukal melonjak kepada paras tertingginya sebanyak 601 sen s/kg pada 7 Disember.

Menurut VRA, harga getah yang dieksport melonjak ke paras tertinggi sekitar AS$2,300 setan metrik pada Disember.

Harga yang tinggi itu menyebabkan pengguna utama seperti China untuk tidak memasuki pasaran tetapi peniaga menjangka harga akan turun pada awal tahun depan, sebelum mengukuh semula apabila momentum pemulihan ekonomi global kian cepat.

Harga getah akan dipengaruhi peningkatan pengeluaran tayar dan permintaan.

Di dalam pasaran logam, penganalisis menjangka harga bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan bertambah baiknya ekonomi global.

Harga tembaga dan aluminium telah mencecah paras tertinggi pada Disember apabila momentum pembelian kian meningkat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin menurun mengenai masalah hutang Dubai.

Bagi timah, Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) telah dniagakan pada paras tertinggi untuk tempoh 14 bulan pada 21 Disember, apabila harga logam itu mencecah AS$15,740 setan metrik sejajar dengan peningkatan harga logam antarabangsa.

Menurut penganalisis, permintaan bagi mendapatkan timah perindustrian sebahagiannya dipacu oleh kekurangan bekalan dan keinginan pelabur yang kian meningkat untuk menyimpan aset berasaskan logam.

Penganalisis Penyelidikan OSK, Ng Sem Guan, berkata harga keluli juga dijangka bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan usaha sama antara dua pelombong utama, iaitu BHP Billiton Ltd dan Rio Tinto Group.

BHP Billiton, syarikat perlombongan terbesar di dunia dan Rio Tinto, pengeksport bijih besi kedua terbesar, telah menyatukan operasi bijih besi Australia Barat masing-masing yang bakal memberi kesan kepada harga keluli. Bijih besi, yang kebanyakannya digunakan di dalam pengeluaran keluli.

Pada Disember, harga keluli dicatatkan sekitar AS$500 satu tan metrik.

Sementara itu, emas menjadi tarikan sebagai komoditi selamat dengan harga sentiasa berada pada paras tinggi berikutan kekurangan bekalan serta ketidakstabilan pasaran kewangan.

Emas kini diniagakan sekitar AS$1,080 hingga AS$1,100 seauns.

Bank pusat di seluruh dunia kini dikatakan menyandarkan semula lebih banyak rizab kepada emas berbanding dengan kelas aset yang lain yang kebanyakannya di dominasi oleh dolar Amerika Syarikat. - Bernama

Tiada amaran tsunami selepas gempa di Sumatera

JAKARTA: Gempa bumi menggegarkan kepulauan Mentawai dekat Sumatera hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan segera mengenai kerosakan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa berukuran 5.9 pada skala Richter itu belaku di kedalaman 19 kilometer (km) dan berpusat 113 km ke barat daya Padang, ibu negeri Sumatera Barat.

"Tiada potensi untuk tsunami, saya di Padang dan di tingkat enam dan merasai gempa itu," kata Fauzi, ketua pusat seismilogi agensi itu.

Lebih 1,000 maut apabila gempa bumi kuat mengegagrkan Padang pada September lalu. - Reuters