Followers

Monday, August 2, 2010

Cadangan pinda undang-undang tukar agama tunggu persetujuan negeri

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih lagi menunggu persetujuan daripada Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bagi membolehkan undang-undang itu dilaksanakan, perkenan daripada Majlis Raja-raja dan Yang diPertua Negeri juga diperlukan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas status terkini cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama yang turut membabitkan Akta Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Majlis Raja-Raja pada 29 Jun tahun lalu, memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pada satu mesyuarat khas itu, Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu. - Bernama

Dr Mahathir harap hukuman pesalah rogol dikaji semula

GEORGETOWN: Kerajaan wajar pertimbangkan penggubalan undang-undang baru untuk pelaku jenayah rogol kerana undang-undang sedia ada sudah begitu lama dan keadaan sekarang pula jauh berbeza dari dahulu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sekarang banyak pornografi dan gambar-gambar lucah mudah didapati oleh semua orang, jadi apabila mereka lihat gambar ini mereka boleh hilang akal, sehingga tidak tahu yang baik dan yang buruk," katanya ketika mengulas cadangan umum yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah rogol.
Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan ucap utama pada Multaqa Yang Dipertua PERKIM bersama Guru-guru Pendidikan Islam dan warga PERKIM peringkat Zon utara di Kompleks Tabung Haji di sini. Beliau adalah Yang Dipertua Perkim.
Pendapat umum itu adalah maklumat balas yang diperoleh daripada cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh, yang meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati.

Mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga boleh mengambil tindakan dengan membuat sekatan terhadap kemasukan gambar lucah di laman siber dan meminta masyarakat antarabangsa supaya tidak memuat naik bahan berkenaan.

"Dahulu kita larang, walaupun kita tiada kuasa undang-undang di Internet tetapi daripada segi teknologi, kita boleh padam semua bahan seperti itu. Sekarang ini apa yang menjadi pengaruh luar telah jadi pengaruh dalaman," katanya. - BERNAMA

Penjelasan slogan 1Malaysia perlu terperinci, menyeluruh: Tun Mahathir

GEORGETOWN: Penjelasan terperinci dan menyeluruh berhubung slogan 1Malaysia wajar diberi bagi mengelak pandangan dan pendapat berbeza dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu, masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat," katanya di sini, hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Multaqa Yang Dipertua Perkim bersama Guru-guru Pendidikan Islam dan warga Perkim peringkat zon utara di sini, hari ini.
"Mereka (rakyat) tidak tahu yang mana satu, yang mana untuk orang Cina dan yang mana untuk orang Melayu. Kalau suruh saya buat penjelasan, mana saya tahu bukan saya yang buat slogan itu," katanya.

Mengulas kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh di mahkamah berhubung kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Dr Mahathir berkata, tidak ada sesiapa boleh terlepas daripada proses undang-undang sama ada golongan kenamaan ataupun bukan.

"Itu baru dakwaan, sama ada benar atau tidak, terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab menjelaskan. Jika dia tidak salah, harap peguamnya dalam membuktikannya," katanya.

Ling, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Jumaat lalu terhadap tuduhan menipu kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah di Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek “Mega Distribution Hub” yang kini dikenali Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.
Beliau didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan bagi tanah terbabit. - Bernama