Followers

Tuesday, November 24, 2009

Gelombang kedua banjir di Terengganu ragut mangsa pertama

BESUT: Seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kampung Taman Tasik, Kuala Besut di sini, hari ini menjadi korban pertama banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sejak Isnin lalu.

Mohd Syahmi Mohd Yusof, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kuala Besut, dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Pengkalan Ubi Keling ketika bersama-sama dua rakannya berenang untuk mengangkat jaring ikan yang dipasang mereka petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Roslan Hasan, berkata dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mohd Syahmi dilihat oleh dua rakannya dalam keadaan terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.

Menyedari kehilangan Mohd Syahmi, dua rakannya segera meminta bantuan penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari dengan menggunakan khidmat penyelam.

Mayat Mohd Syahmi ditemui di dasar sungai sejam kemudian tidak jauh dari tempat kejadian.

Gelombang pertama banjir di Terengganu sebelum ini meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 November lalu. - Bernama

Hujan di Kelantan, Terengganu sehingga SabtuHujan di Kelantan, Terengganu sehingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan turun sekejap-sekejap dan kadangkala lebat peringkat merah di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga Sabtu ini.

Peringkat merah merujuk kepada hujan monsun yang lebat dan meluas yang berlaku dan diramal berlaku.

Menurut kenyataan jabatan itu di sini, hari ini, keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Di Kelantan kawasan yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Putih, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai manakala di Terengganu ialah kawasan Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.

Selain itu, laut bergelora dan ombak tinggi sehingga 3.5 meter di perairan Kelantan dan Terengganu juga diramal berlaku sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, angin kencang mencapai kelajuan 60 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 4.5 meter di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), di perairan Condore di Laut China Selatan dan Bunguran juga berterusan sehingga Sabtu.

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ketinggian ombak di tahap 3.5 meter yang berlaku di perairan Sarawak, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dijangka berterusan sehingga esok. - Bernama

Lima 09: Airbus pamer tiga pesawat baru

ALOR SETAR: Airbus, syarikat pengeluar pesawat terkemuka yang berpangkalan di Perancis akan mempamerkan tiga pesawat baru serba canggih keluarannya pada Pertunjukan Angkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 mulai Selasa depan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, antara yang akan dipamerkan ialah model pesawat A350 XWB yang sedang dibangunkan.

Ia adalah pesawat dengan fiuslaj (rangka utama) paling lebar dalam saiz kategori sederhana dan menawarkan tahap penggunaan minyak 25 peratus lebih rendah, berbanding pesawat bersaiz sama dalam perkhidmatan ketika ini.

"Pesawat itu dipilih oleh AirAsia X bagi memenuhi keperluan penerbangan jarak jauh masa depan dan syarikat itu mengesahkan pesanan sebanyak 10 buah pesawat A350 XWB.

"Bagi pasaran kargo, pula Airbus akan memperagakan model pesawat fret A330-200F yang mampu membawa fret seberat 64 tan bagi jarak penerbangan sehingga 4,000 batu nautika.

"Versi terbaru pesawat itu sedang menjalani ujian penerbangan dan akan mula berkhidmat tahun depan," kata kenyataan itu.

Selain itu, bagi bidang ketenteraan, Airbus akan mempamerkan model baru pesawat A400M yang dimajukan anak syarikatnya, Airbus Military.

"Ia akan menjadi pesawat pengangkutan paling moden dan serbaguna dalam sejarah yang menggabungkan pelbagai keupayaan taktikal, strategik dan logistik.

"Malaysia adalah antara pelanggan bagi pesawat ini," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut orang ramai akan berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat model keratan A380 berskala 1/20 yang memperlihatkan susun atur dalaman umum bagi pesawat penumpang terbesar di dunia itu.

Pesawat komersial itu kini digunakan oleh empat syarikat penerbangan ke 12 destinasi di seluruh dunia dan setakat ini, Airbus mendapat 202 pesanan daripada 17 pelanggan.

Antara syarikat yang menempah pesawat A380 itu, ialah Penerbangan Malaysia (MAS) yang dijangka menerima pesawat pertamanya pada separuh kedua 2011.

Mualaf boleh fail cerai di Mahkamah Civil, cadangan pindaan undang-undang

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama bakal membolehkan mereka yang memeluk agama Islam turut diberikan hak untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Mohamad Naser Disa, berkata cadangan pindaan terhadap akta 164 iaitu Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1967 sebelum ini hanya terpakai kepada mereka yang bukan Islam sahaja memfailkan penceraian bagi perkahwinan sivilnya di bawah subsekyen 51(1).

"Ia bertujuan untuk mengelakkan mereka yang memeluk Islam dizalimi pasangan mereka yang enggan memfailkan petisyen penceraian.

"Melalui pindaan ini, pasangan yang memeluk Islam boleh memohon petisyen penceraian di Mahkamah Sivil atas alasan memeluk Islam," katanya dalam taklimat khas undang-undang berkaitan penukaran agama di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Dalam taklimat itu, beliau turut menegaskan cadangan pindaan tersebut turut melibatkan dua lagi akta iaitu Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Beliau berkata bagi mereka yang memeluk Islam, sekatan tempoh dua tahun bagi petisyen penceraian yang difailkan akan dikecualikan melalui persetujuan bersama.

"Cadangan peruntukan baru terhadap subseksyen 51(1A) juga bertujuan untuk menetapkan tarikh kuatkuasa pembubaran perkahwinan sivil kepada tiga bulan selepas pihak itu masuk Islam," katanya.

Mohamad Naser berkata antara fokus cadangan pindaan ialah pemberian kuasa kepada mahkamah sivil untuk memutuskan perkara-perkara mengikut undang-undang sivil berkaitan pembahagian aset perkahwinan (harta sepencarian), nafkah dan hak penjagaan anak-anak serta larangan ibu atau bapa daripada mendaftarkan penukaran agama anak.

Beliau berkata menerusi cadangan peruntukan baru seksyen 51A (1), (2) dan (3) bertujuan memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk menguruskan pembahagian aset perkahwinan yang dipunyai oleh kedua-dua pihak selain harta lain.

Ia juga bertujuan membolehkan mahkamah menguruskan harta pihak yang memeluk Islam yang meninggal dunia sebelum perkahwinan bukan Islamnya dibubarkan dan pengagihan harta si mati kepada warisnya yang beragama Islam atau Baitulmal, katanya.

Selain itu, cadangan pindaan kepada Akta 505 menerusi pindaan seksyen 89 adalah bertujuan untuk meletakkan tanggungjawab kepada Pendaftar Mualaf untuk membantu seseorang mualaf memaklumkan kepada anggota keluarganya yang terdekat mengenai pemelukan Islamnya.

"Ia bertujuan bagi mengelakkan kes rebut jenazah dan Pendaftar Mualaf boleh mengecualikan keperluan memaklumkan perkara tersebut sekiranya mendapati ia boleh membahayakan keselamatan mualaf tersebut dan satu sijil perakuan sementara masuk Islam akan dikeluarkan.

"Pendaftar Mualaf tidak boleh mendaftarkan nama mualaf itu dalam Daftar Mualaf sehingga beliau berpuas hati dengan segala tanggungjawab mualaf berhubung dengan aset perkahwinan, nafkah pasangan dan anak serta jagaan anak semasa perkahwinan sivilnya telah diselesaikan," katanya.

Beliau berkata cadangan peruntukan baru seksyen 92A di bawah akta tersebut bertujuan untuk menyelaraskan Akta 505 dengan pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 berhubung dengan kuasa Mahkamah Sivil mengenai aset perkahwinan dan harta lain mualaf yang mati sebelum perkahwinan bukan Islamnya dibubarkan.

"Peruntukan ini juga terhad hanya kepada aset perkahwinan dan harta lain yang dipunyai atau yang diperolehnya sebelum dia memeluk Islam dan tidak menjejaskan harta mualaf yang diperoleh selepas memeluk Islam," katanya.

Cadangan pindaan terhadap akta 303 pula ialah pindaan ke atas Seksyen 18 yang bertujuan memberikan kuasa kepada hakim Mahkamah Syariah membenarkan mualaf berkahwin.

Turut dicadangkan ialah pemotongan subseksyen 46(2) bagi mengelak pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dan bertujuan untuk menjadikannya selaras dengan cadangan pindaan kepada seksyen 3 dan 51 Akta 164 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk mendengar petisyen penceraian dan relif sampingan yang difailkan oleh pihak kepada suatu perkahwinan bukan Islam yang telah memeluk agama Islam.

Turut hadir pada majlis taklimat itu ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Pegawai Syariah di Jabatan Peguam Negara, Abd Walid Abu Hassan. - Bernama

Kementerian akan pinda Akta Pemberi Pinjam Wang 1951

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meminda Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi memperkemaskan dan memperkasakan skop akta itu untuk melindungi hak dan kepentingan peminjam.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata syarat untuk pemberi pinjam wang berlesen akan diperketatkan, selain mengenakan hukuman lebih tegas terhadap pelbagai salah laku oleh mereka.

Beliau berkata antara hukuman yang dicadangkan dalam pindaan itu ialah penambahan denda daripada RM100,000 kepada RM250,000 untuk pelbagai kesalahan.

Katanya, daripada 365 pemantauan sepanjang tahun ini, sebanyak 205 kesalahan dilakukan oleh pemberi pinjam wang berlesen termasuk tidak mempamerkan lesen, mengguna pakai borang perjanjian yang salah, tiada rekod akaun lazim, mengenakan faedah yang tinggi dan tidak menghantar laporan transaksi.

"Kita bimbang jika pemberi pinjam wang berlesen tidak mematuhi syarat dan peraturan, ia akan memberi kesan kepada orang ramai yang keliru sama ada perkhidmatan mereka itu berlesen atau tidak seperti Ah Long," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 di sini, hari ini.

Bengkel sehari anjuran kementerian itu dihadiri kira-kira 50 pemberi pinjam wang berlesen dari sekitar Lembang Klang dan Selangor.

Kong berkata kementerian masih membekukan pengeluaran lesen baru pemberi pinjam wang sejak Mei lepas dan mahu mengkaji semula syarat pemilikan lesen untuk memastikan pemberi pinjam wang berlesen sedia ada menjalankan perniagaan mengikut syarat ditetapkan.

"Buat masa ini, kementerian masih belum mempunyai perancangan membuka semula permohonan lesen itu," katanya sambil mengingatkan akan mengambil tindakan tegas ke atas pemberi pinjam wang yang didapati menyalahguna lesen mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Kong berkata berikutan banyak kes jenayah melibatkan industri pinjaman wang, masyarakat menganggap pemberi pinjam wang berlesen juga sebahagian daripada Ah Long sedangkan mereka sebenarnya membantu menggerakkan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau meminta para pemberi pinjam wang supaya berusaha meningkatkan lagi imej industri pemberi pinjam wang sebagai satu industri disegani selain mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

Beliau juga merasmikan Portal Electronic Moneylender & Pawnbroker System (eMAPS) bertujuan memudahkan orang ramai membuat sebarang permohonan berkaitan akta itu secara dalam talian.

Menurutnya portal itu akan mempamerkan senarai pemberi pinjam wang berlesen di seluruh negara, yang secara tidak langsung melindungi orang ramai daripada tertipu dengan pemberi pinjam wang tidak berlesen atau Ah Long. - Bernama

Agong sampai anugerah 243 penerima darjah kebesaran

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 243 penerima di Istana Negara sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 6 Jun.

Mengetuai senarai ialah mendiang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vincent Ng Kim Khoay yang diwakili isterinya, Datin Swee Cheng menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ''Datuk''.

Sementara itu, enam orang menerima pingat Johan Mangku Negara (JMN) iaitu Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Musa Omar, Ahli Dewan Negara Melaka, Senator Lee Cheam Choon, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Sabah, Dr Othman Minudin.

Tiga orang lagi ialah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) Mampu, Jabatan Perdana Menteri, Dr Nor Aliah Mod Zahri dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Hasnah Mohammed Hashim.

Sementara itu, 11 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), 41 orang menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN), 80 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 104 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN). - Bernama

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM

PUTRAJAYA: Keputusan yang tidak konsisten Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dalam beberapa isu termasuk pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah bukti kelemahan kepimpinan Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan seumpama itu bukan saja menyebabkan orang ramai keliru, malah di kalangan ahli Pas sendiri.

"Dia (Nik Aziz) biasa begitu (dengan) sikap memilih-milih untuk membuat keputusan atau menjatuhkan sesuatu keputusan tertentu.

"Kalau ia berhubung kait dengan kepentingan peribadi (dan) keluarga, mula-mula kata begitu lepas itu begini, nampak dia tidak ada satu ketegasan dalam sikap...tak konsisten dalam kebanyakan hal dan kadang-kadang bercanggah kerana ada kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ketujuh di sini hari ini.

Beliau berkata sikap tidak konsisten Nik Aziz itu juga ditunjukkannya dalam isu penajaannya menunaikan ibadat haji ke Makkah, baru-baru ini.

Banjir di Kelantan makin buruk

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pantai Timur terutamanya Kelantan semakin buruk dengan cuaca gelap dan hujan renyai di negeri itu menyebabkan mangsa di pusat pemindahan banjir meningkat kepada 3,787 orang berbanding 3,303 orang semalam.

Daripada 970 keluarga dipindahkan hari ini, Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi seramai 2,008 orang dan jajahan itu termasuk kawasan Rantau Panjang, bandar zon bebas cukai berdekatan sempadan Thailand, yang terjejas teruk dalam banjir gelombang kedua sehingga ditenggelami air sedalam dua meter.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata Kuala Krai pula merekodkan jumlah mangsa seramai 885 orang, Tumpat (438 orang), Tanah Merah (333 orang), Kota Baharu (63 orang) dan Machang (60 orang).

"Hanya Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Tangga Krai dan Jambatan Guillemard mencatatkan atas paras bahaya, manakala Sungai Galas berada di paras berjaga-jaga dan Sungai Lebir berada di paras amaran," katanya kepada hari ini.

Beliau berkata sebanyak 21 jalan ditutup untuk semua kenderaan melibatkan enam jajahan antaranya di Gua Musang di Jalan masuk Aring 8 dan 9 di Kilometer 15; di Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan kilometer empat; Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai; di Machang Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata dan di Pasir Puteh, Jalan Semerak kilometer 11.

urucakap itu berkata di Pasir Mas, lapan jalan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu KM8.8 dan KM8; Jalan Pengkalan Rakit KM3; Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang KM24; Pasir Mas-Meranti KM7; Pasir Mas-Lebuh Raya Rantau Panjang (cabang empat banggol kulim) KM22 dan Pohon Tanjung Meranti KM10.

Bagi Tanah Merah, jalan yang ditutup semua kenderaan adalah Jalan Tanah Merah Kursial-Kampung Ipoh KM6.7 dan KM6.5 dan Jalan Kampung Pepuyu KM8 manakala di Tumpat ialah Jalan Pohon Tanjung Pasir Pekan; Jalan Cabang Empat-Kampung Jambu-Meranti KM6 dan Jalan Keselamatan Pengkalan Kubor-Kampung Jambu.

Menurutnya setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di KUANTAN, mangsa banjir di Pahang masih kekal seramai 30 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata pemindahan itu membabitkan penduduk dari Kampung Sungai Ular seramai 20 orang dan Kampung Chendor seramai 10 orang.

Katanya keadaan banjir di Pahang masih lagi terkawal dan sehingga kini tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan, daerah-daerah lain masih belum berlaku penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di Terengganu semakin reda apabila mangsa banjir menurun kepada 6,899 orang berbanding 7,739 petang semalam.

Bagaimanapun, jika sebelum ini Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Setiu dilanda banjir sejak Isnin lalu, banjir kini turut melanda daerah Kuala Terengganu.

Seramai 496 penduduk dari beberapa kampung dan taman perumahan di Kuala Terengganu iaitu Kampung Pusu Tiga, taman perumahan Seri Embun, Taman Darul Iman, Kampung Banggol Peradong, Kampung Temiang dan Kampung Titian Baru terpaksa dipindahkan sejak 3 petang semalam berikutan hujan lebat sekali-sekala.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata sehingga pagi ini, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Terengganu dengan 92 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (301), Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (50), Sekolah Kebangsaan Atas Tol (30) dan Sekolah Kebagsaan Banggol Peradong (23).

Sementara itu, katanya mangsa banjir di Setiu ialah seramai 91 orang, Kemaman (1,060), Dungun (3,099), Besut (318), Marang (1,529) dan Hulu Terengganu (494).

Beliau berkata jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Jambatan Tepoh ditutup kepada semua kenderaan ringan sejak pagi tadi setelah ditenggelami air 0.5 meter air manakala jalan sama di Pengkalan Kubur telah dibuka semua kepada semua kenderaan.

Beberapa sungai di negeri itu turut mencatat paras bahaya iaitu Sungai Besut di Pengkalan Nangka yang setinggi 4.52 meter (melepasi paras bahaya 4.0 meter), Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri 8.59 meter (8.50 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap 21.79 meter (21.50 meter) dan Sungai Kertih di Kampung Batu Putih 3.39 meter (3.2 meter).

Jurucakap itu berkata setakat ini, tiada kemalangan jiwa akibat banjir dilaporkan di Terengganu. - Bernama

Muhyiddin minta pihak lain tidak buat kenyataan bercanggah isu MCA

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta tidak membuat kenyataan yang bercanggah di khalayak umum dan media sebelum muafakat dicapai dalam penyelesaian kemelut MCA bagi mengelakkan kekeliruan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian mengenai tugasnya untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut kepemimpinan MCA yang kini dianggap di tahap serius.

Semalam, Muhyiddin memberi masa seminggu untuk dirinya menyelesaikan kemelut dalam parti komponen BN itu.

Rang Undang-Undang GST akan dibentang untuk bacaan pertama: PM

NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak berkata rang undang-undang berkaitan cadangan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada akhir persidangan Dewan Rakyat sekarang.

Perdana Menteri berkata langkah itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet lalu.

"Ia akan membolehkan orang ramai memberi ulasan, melibatkan mereka, dan jika kami dapati ia perlu diperhalusi, kami akan lakukannya," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke New York, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, bertemu media selepas menghadiri beberapa mesyuarat dan pertemuan dengan para pelabur Amerika serta pengurus dana selain tokoh korporat terkemuka.

Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan GST di Malaysia, ia akan dilakukan secara "berhati-hati".

"Ia tidak akan diperkenalkan secara tergesa-gesa," katanya yang menambah, jika GST menjadi kenyataan, kadarnya tidak akan membebankan golongan miskin dan kelas pertengahan Malaysia.

"Dan, ia tidak akan menyebabkan inflasi," katanya.

GST dicadangkan bagi menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada.

Perdana Menteri berkata Malaysia adalah antara beberapa negara di rantau Asia Tenggara yang belum melaksanakan GST.

"Pada asasnya, seluruh dunia sudah melaksanakan GST," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2010 pada Oktober, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan langlah tegas bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan memperakui kutipan hasil yang mencukupi sangat penting untuk menyokong perbelanjaan yang semakin tinggi selain mengurangkan hutang negara yang meningkat. - Bernama