Followers

Friday, September 3, 2010

Akta Perlindungan Kanak-kanak mungkin dipinda

KUALA LUMPUR: Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mungkin dipinda bagi memastikan tiada ibu bapa, penjaga dan pelindung akan bersikap sambil lewa serta mengambil mudah mengenai keselamatan anak-anak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sepatutnya menjadi amanah dan tanggungjawab ibu bapa, penjaga dan pelindung untuk memastikan anak-anak berada dalam keadaan terlindung dan selamat.
"Kita nak memantapkan akta ini sebab itu ia dipinda, tapi kalau nak ikut seboleh-bolehnya kita harap akta ini tidak perlu digunakan sebab ibu bapa, penjaga dan pelindung mesti tahu anak-anak mereka bergantung pada mereka untuk mendidik dan membimbing serta melindung terutama tentang keselamatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaian perutusan Hari Raya di Taska Kemas Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini. - BERNAMA

Wanita ditemui mati dengan tangan dan kaki terikat

TAIPING: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan serta kakinya terikat, di rumahnya di Kampung Padang Gajah, Pantai Remis, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah, berkata mayat Esah Rejab, 64, ditemui di dalam bilik oleh jiran warga emas itu pada kira-kira 4.30 petang.
Beliau berkata, polis percaya wanita itu disamun sebelum dibunuh pada malam sebelumnya, dan jiran wanita itu mula mencarinya selepas dia tidak keluar rumah pada sebelah paginya.
Katanya, mayat Esah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Esah tinggal bersendirian di rumah itu selepas suaminya seorang bekas anggota tentera meninggal dunia tahun lalu dan anak-anaknya duduk diluar daerah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dengan menelefon 05-8291222 bagi membantu sisatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

Ustazah, anak lelaki ditemui mati dibunuh

PORT DICKSON: Mayat seorang ustazah dan anak lelakinya ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kepala ditutup kain serta tangan dan kaki terikat di dalam bilik air di rumahnya di Flet Seri Bandar, Taman Bandar, Jalan Sutera Lama di sini hari ini.
Mangsa, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd Yusof, 10, yang dipercayai dibunuh petang semalam ditemui oleh rakannya kira-kira 10 pagi tadi setelah beliau tidak hadir bertugas di Sekolah Rendah Kebangsaan Port
Dickson pagi ini. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baljeet Singh, berkata mangsa yang
tinggal berdua bersama anaknya itu dipercayai dibunuh antara jam 4 hingga 5
petang semalam.

Beliau berkata, pada jam 8 pagi tadi, seorang rakannya datang ke rumah
mangsa tetapi mendapati rumah itu berkunci dan kemudian rakannya itu balik ke
sekolah dan cuba menghubungi talian mangsa tetapi gagal.
"Pada jam 10 pagi, rakannya itu datang semula bersama pihak pemaju flet
untuk membuka kunci rumah mangsa dan menemui anak-beranak itu meninggal dunia di
dalam bilik air," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau tidak menolak kemungkinan wanita itu disamun walaupun tidak ada
tanda-tanda rumah yang terletak di tingkat satu itu dipecah masuk.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohd Najmi Awang Besar yang juga
seorang guru di sebuah sekolah lain turut berada di tempat kejadian sebaik
dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Saya berjumpa dengan kakak ipar (mangsa) saya kira-kira dua minggu lalu
dan beliau dijangka balik ke Kelantan esok untuk menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, suami mangsa menetap di Kaherah, Mesir selama beberapa tahun
menjalankan urusan perniagaan dan apabila cuti sekolah, mereka anak-beranak akan
bersama. - BERNAMA

Jangan tinggal anak terlalu lama dengan pembantu rumah: Khalid

SHAH ALAM: Ibu bapa diingatkan supaya tidak meninggalkan anak mereka terlalu lama di bawah penjagaan pembantu rumah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau bayi perlu memberikan lebih perhatian, bukan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak mereka kepada pembantu rumah.
"Jangan serahkan sepenuhnya anak kepada pengawasan pembantu rumah. Kadang-kadang ada yang tinggalkan anak berhari-hari lamanya dan tidak ambil tahu langsung sedangkan ia mungkin mendatangkan bahaya kepada anak," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian seorang bayi lelaki berusia 15 bulan, Tan Jin Yong, yang dipercayai akibat dicekik pembantu rumah kira-kira jam 4 petang pada 27 Ogos lalu di Pusat Bandar Puchong.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati bayi itu turut mengalami pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman pada paru-paru selain mengalami
pendarahan dalaman.
Semalam polis menahan pembantu rumah warga Indonesia, berusia 25 tahun di sebuah rumah di Taman Melawati Ampang bagi membantu siasatan.

Khalid berkata, pembantu rumah itu direman mulai hari ini. - BERNAMA

Elak jalan raya jadi sungai maut: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan lebuh raya dan jalan raya daripada menjadi "sungai maut".

Dalam mesej bersempena Hari Raya Aidilfitri itu juga, Perdana Menteri meminta semua rakyat Malaysia sentiasa mementingkan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Ingatan Perdana Menteri itu disuarakan menerusi rakaman video khas "Mesej Perdana Menteri Bersempena Musim Perayaan Aidilfiri 2010" yang dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, di Serdang hari ini.
Najib turut berharap semoga semua pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan dapat mengutamakan keselamatan sewaktu musim perayaan baik semasa pergi mahu pun pulang ke destinasi masing-masing.

"Displinkan diri kita dengan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan, sesungguhnya sikap berhati-hati dapat megurangkan risiko kemalangan.

"Pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan rasa syukur dan gembira agar kita semua dapat merayakan Aidilfitri dengan gembira tanpa ada kemalangan yang mengorbankan nyawa berlaku dalam keluarga," katanya.

Najib turut mengingatkan generasi muda, supaya mengutamakan keselamatan dengan memberi perhatian sepenuhnya ketika di jalan raya kerana mereka adalah aset penting negara.
Kepada rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, Najib meminta mereka bersama-sama merayakan hari raya dengan suasana penuh muhibbah, harmoni dan bersatu padu ke arah kemantapan 1Malaysia.

Akhir sekali, Perdana Menteri bersama anggota keluarga serta mewakili jemaah menteri mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada suluruh umat Islam semoga dapat merayakannya dengan penuh kegembiraan.

Dalam mesej itu Najib turut menyampaikan serangkap pantun:

Satu Malaysia Bersatu-padu,
Bersatu-padu penuh semangat,
Pesanan buat para pemandu,
Pandu cermat jiwa selamat.

- BERNAMA

Tafsiran rakyat mengenai 1 Malaysia berbeza: Dr Mahathir

ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau menyokong gagasan 1Malaysia tetapi mendapati rakyat di negara ini mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai konsep itu.

Beliau berkata, keadaan akan menjadi sukar jika setiap bangsa di negara ini mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai konsep 1Malaysia.
"Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu pendapat mereka berbeza-beza, tafsiran berbeza, payahlah kalau tafsiran berbeza-beza. Sebab itu kena jelas," katanya kepada pemberita padas majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Pering, Kodiang dekat sini, malam tadi.
Dr Mahathir berkata, ketika kerajaan memperkenalkan perubahan, ia perlu menjaga kepentingan Bumiputera yang masih memerlukan bantuan.

"Kalau biarkan saja habislah jadi macam di Singapura. Kalau meritokrasi dilakukan banyak kesan, sebab itu saya cakap ia ia boleh jadi rasis kerana ia mengambil hak orang Melayu dan Bumiputera lain.

"Kalau meritokrasi, sesetengah daripada penuntut universiti itu tak dapat masuklah. Peniaga baru di bandar pun tak ada adalah...habislah," katanya.

Mengulas mengenai demontrasi anti-Malaysia di Indonesia, Dr Mahathir berkata ada kumpulan tertentu yang sengaja cuba memburuk-burukkan hubungan kedua-dua negara.
"Puak ini bukan mewakili Indonesia. Penduduk Indonesia ada 230 juta, kumpulan ini sikit saja," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata tugas guru agama kini bukan lagi terhad kepada mengajar ibadat tetapi tumpuan perlu lebih kepada membentuk peribadi mulia.

Katanya, kes-kes seperti buang bayi oleh golongan muda Islam menyebabkan tugas dan peranan itu sudah berubah kerana kefahaman mengenai Islam dalam kalangan golongan muda sekarang kurang.

"Sekarang ini guru-guru kena semai sifat mulia supaya mereka menolak kegiatan yang bercorak jenayah, menolak dadah dan mengawal nafsu mereka, supaya tidak terjadi lagi perkara sebegitu," katanya. - BERNAMA

Malaysia, Thailand disaran bantu tingkat pelancongan

PHUKET: Pengusaha pelancongan di Malaysia dan Thailand digesa meningkatkan kerjasama serta mencari jalan untuk menghasilkan pakej produk yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya membabitkan Pulau Pinang, Langkawi dan Phuket.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata jika itu dilaksana, aliran pelancong ke tiga destinasi terbabit akan meningkat.
"Kita berharap untuk melihat lebih ramai pelancong yang melawat Langkawi dan Pulau Pinang akan mengunjungi Phuket dan begitu juga sebaliknya," katanya kepada wartawan Malaysia pada majlis pengiktirafan komitmen dan sokongan pengusaha pelancongan Thailand, di sini malam tadi.
Ng yang berada di sini untuk memulakan lawatan kerja enam hari berkata sekalipun mempunyai ikatan daripada segi sejarah dan georgrafi, kedua-dua negara masih boleh bekerjasama erat kerana kedua-duanya memiliki produk pelancongan tersendiri.

Beliau memberi contoh sektor ekopelancongan Malaysia yang terkenal dengan hutan dara berusia 130 juta tahun dan kekayaan biodiversiti selain pengalaman membeli-belah sebagai antara produk yang berupaya menarik pelawat.

Ng juga mencadangkan ikatan sejarah membabitkan budaya Peranakan antara Pulau Pinang dan Phuket dipromosikan.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pameran fotografi "Malaysia Through Eyes of the Thais" yang memaparkan 15 foto mercu tanda dan landskap Malaysia yang dirakam lapan jurugambar Thai.
Terdahulu Menteri Pelancongan itu melawat komuniti Peranakan di Phuket yang mendiami kawasan lama bandar di pulau peranginan itu. - BERNAMA