Followers

Saturday, February 6, 2010

Kerajaan akan laksana pembangunan semula Kampung Baru: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera melaksanakan pembangunan semula Kampung Baru berkonsepkan pembangunan yang sesuai dan boleh diterima penduduk terutama pemilik tanah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan badan khas kerajaan tanpa penyertaan pihak swsta.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Kampung Baru pagi ini.

PM umum konsep baru pembangunan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru di sini yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Perdana Menteri berkata di bawah kaedah pembangunan yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru itu selepas mendapat persetujuan mereka.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan itu yang dijalankan demi kepentingan penduduk Kampung Baru.

"Saya harap bila kita sudah buat cadangan yang mantap, penduduk di sini ada peluang teliti cadangan serta konsep yang akan digunakan...saya harap selepas itu penduduk terutama pemilik tanah di sini boleh menerima dan memberi persetujuan kepada cadangan kerajaan ini," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan melawat beberapa kawasan Kampung Baru di sini.

Najib berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, telah diminta menyediakan kertas Kabinet pembangunan semula itu dan beliau akan berjumpa dan berdailog dengan penduduk selepas Kabinet meluluskan kertas itu.

Najib juga memberi jaminan bahawa penduduk Kampung itu mempunyai hak melalui konsep pembangunan semula itu.

"Dengan erti kata lain, penduduk Kampung Baru ada hak untuk menentukan corak pembangunan dan kaedah pembangunan yang sesuai dengan kehendak mereka," katanya.

Najib berkata, melalui kaedah pembangunan itu, segala sekatan yang menyebabkan nilai tanah tidak tinggi boleh diatasi.

Beliau berkata, nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan itu yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.

Nilai tanah di Kampung Baru sekarang hanya di sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja sedangkan kawasan seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 kaki persegi.

"Maka dengan perubahan status tanah ini, pemilik tanah Kampung Baru akan menikmati lonjakan berganda dari segi nilai tanah yang bakal dimiliki oleh mereka.

"Era baru untuk Kampung Baru bermula sebaik sahaja penduduk menerima cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai badan khas itu, Perdana Menteri berkata ia akan disertai oleh organisasi tertentu yang akan ditentukan kerajaan dengan tujuan badan yang dikhususkan itu akan bekerja sepenuh masa untuk menggerakkan pembangunan semula Kampung Baru ini.

"Kita tidak mahu Kampung Baru menjadi kawasan setinggan atau kawasan sesak.. walhal kawasan sekeliling ini sudah maju dengan banguan serba moden dan sebagainya.

"Saya ingin lihat masyarakat Kampung Baru menjadi masyarakat yang moden dan mendapat nilai yang tinggi kepada hak milik tanah mereka. Ini hasrat kerajaan dan mudah-mudahan dengan penerimaan cadangan kerajaan ini satu era baru akan bermula untuk pemilik, penghuni dan penduduk kawasan ini," katanya.

Penduduk-penduduk Kampung Baru yang mendengar sidang berita itu menerusi pembesar suara juga bertepuk tangan apabila Perdana Menteri mengumumkan beberapa ciri cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru berdasarkan konsep baru itu.

Najib juga berkata, dalam pembangunan semula itu, ciri kebudayaan Melayu dan legasi kawasan ini akan dikekalkan di mana yang sesuai, sebagai gambaran dan imej unik kawasan ini.

Menjawab soalan, Perdana Menteri membayangkan antara aspek pembangunan semula yang bakal dilaksanakan termasuk pembangunan pencakar langit, kondominium, pusat beli belah, kediaman dan peluang perniagaan terutama untuk peniaga Bumiputera.

Kawasan Kampung Baru seluas 90.2 hektar itu, yang berusia kira-kira 110 tahun, kini mempunyai 35,000 penduduk yang meliputi tujuh buah kampung.

Pemilik tanah pula adalah lebih kurang 1,000 orang.

Najib juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membaikpulih dua blok flet 17 tingkat PKNS Kampung Baru selepas meninjau keadaan flet tersebut yang menurutnya dalam keadaan amat menyedihkan. - Bernama

H1N1 masih ada di seluruh dunia: WHO

WASHINGTON: Selesema babi (H1N1) masih beredar di seluruh dunia dan meragut nyawa walaupun kadarnya berkurangan, kata pegawai kesihatan antarabangsa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan, H1N1 adalah virus selesema yang dominan di seluruh dunia tetapi jenis baru mula muncul di China dan Afrika.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai antara negara yang teruk dilanda wabak itu tetapi ramai rakyatnya tidak peduli dan menolak vaksin.

“Ramai yang percaya penularan wabak itu sudah berakhir dan saya fikir adalah terlalu awal untuk kita mengambilmudah perkara ini. Pandemik ini belum berakhir," kata Dr Anne Schuchat daripada Pusat Untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

CDC berkata sembilan lagi kanak-kanak dilaporkan mati akibat H1N1 minggu lalu.

Dianggarkan seramai 80 juta rakyat AS dijangkiti selesema babi dan kira-kira 11,000 mangsa maut. - Reuters