Followers

Sunday, November 1, 2009

Kajian tenaga hampir siap

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kertas kerja kajian semula dasar bahan api negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api asli hampir siap.

Perdana Menteri berkata, kajian semula itu penting supaya negara tidak terlalu bergantung kepada gas asli dan arang batu, dan melihat kepada sumber lain seperti hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, bahan api daripada sumber asli kini tidak begitu sesuai kerana jumlahnya terhad, selain harganya lebih tinggi yang tidak seharusnya digunakan untuk penjanaan elektrik.

“Kita dalam proses mengkaji semula ‘fuel mix’ untuk negara kita. Ia tidak akan berubah dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa sederhana dan panjang. Langkah awal perlu kita lakukan sekarang," katanya pada sidang media selepas melancarkan perayaan ulang tahun ke-60 Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kompleks Sukan TNB sini, semalam.

Najib berkata, gas asli adalah satu bahan api tenaga yang tinggi nilainya, manakala arang batu tidak begitu mesra alam.

“Tidak seharusnya digunakan untuk penjanaan elektrik semasa. Kita juga perlu mencari bahan api yang mesra alam," katanya.

Ditanya sama ada tenaga nuklear juga diambil kira dalam kajian berkenaan, katanya ia sedang dikaji, namun peralihan kepada penggunaan tenaga nuklear perlu mengambil perancangan yang rapi dan teliti kerana ia memakan masa yang agak panjang sebelum boleh dibangunkan.

"Jangka waktu pelaksanaan ini mengambil masa yang lama. Dari proses membuat keputusan sehingga tenaga pertama dihasilkan ia mengambil masa 12 hingga 15 tahun," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi TNB ialah dapat membekalkan elektrik berkualiti tanpa sebarang masalah terputus atau berlaku gangguan bekalan di mana-mana kawasan di negara ini.

Katanya, kualiti elektrik yang dibekalkan juga perlu berada dalam tahap tinggi untuk pengguna di negara ini serta menarik pelabur dalam pelbagai bidang bagi membolehkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Jangan ada lagi persoalan mengenai kualiti elektrik yang dibekalkan sama sekali. Jangan ada keraguan terhadap kualiti elektrik di mana-mana saja. Jangan ada sedikit pun perkataan ‘black out’... di telinga kita dan jangan ada perkataan itu di bibir pengguna dan pelabur.

“Saya mahu pasti TNB terus memberikan sistem jana kuasa dan pembekalan elektrik yang berkualiti tinggi. Ini boleh saya katakan KPI untuk TNB,” katanya.

Pada sidang media itu, Najib berkata, pengurusan TNB akan memperincikan lagi KPI untuk kakitangannya supaya selaras dengan KPI yang beliau nyatakan dalam ucapannya.

Katanya, kerajaan pada umumnya sentiasa melihat keperluan pengguna dan kualiti bekalan elektrik untuk industri berteknologi tinggi.

Mantapkan gagasan PM

KODIANG: Semua pihak termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti berbincang secara mendalam mengenai cadangan melaksanakan sistem persekolahan satu aliran ke arah memantapkan gagasan 1Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan tidak menyokongnya.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, berpendapat ia satu kaedah yang boleh membantu memantapkan gagasan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan perlu difikirkan secara rasional oleh ahli politik dan semua pihak berkaitan.

"Terpulang kepada orang ramai untuk menolak atau menerima cadangan ini, tetapi bagi saya apa saja yang terbaik untuk memantapkan gagasan 1Malaysia, harus disokong," katanya selepas menyertai sukaneka program komuniti Parlimen Jerlun bersama media, di sini semalam.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan secara peribadi bersetuju perbincangan menyeluruh, termasuk membabitkan NGO diadakan berhubung cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran supaya mendapat gambaran lebih jelas kerana ia membabitkan isu besar.

"Gagasan 1Malaysia akhirnya menuju kepada satu matlamat, membina nusa bangsa yang bersatu padu. Mengikut Laporan Razak, itulah antara matlamatnya. Seboleh mungkin kita ada satu sistem, tetapi dengan sebab sejarah dan keadaan, ada sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan,” katanya.

Gerakan garis lapan strategi untuk kekal relevan

KUALA LUMPUR: Gerakan hari ini menggariskan lapan strategi sebagai hala tuju parti bagi memberi fokus dan tenaga baru kepada semua ahlinya supaya parti itu terus kekal relevan.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata lapan strategi itu terkandung dalam edisi baru booklet Strategi 11388 yang turut memasukkan nilai-nilai 1Malaysia.

"11388 bermaksud satu wawasan, satu misi, tiga teras, lapan strategi dan lapan bidang utama," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Menara PGRM, di sini.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Booklet Strategi 11388 sudah dilancarkan dua tahun lalu, bersempena Kemerdekaan ke-50 tahun negara dan edisi baru yang dilancarkan Najib hari ini, memasukkan elemen 1Malaysia bagi menyuntik komitmen kepada ahli dan parti.

Koh berkata, antara strategi itu ialah dengan meneruskan perspektif Gerakan dan pendekatan bukan perkauman bagi mengungkap pendirian dasar dan mengemukakan jalan penyelesaian yang sebaik mungkin terhadap beberapa isu nasional yang berkaitan.

Ia juga akan meneruskan peranan sebagai suara-suara dengan bersebab dalam BN, mendokong segala pembaharuannya di samping memainkan peranan sebagai pembangkang yang bersifat membina di negeri di bawah pentadbiran Pas-DAP-PKR, kata beliau.

Strategi lain, termasuk mengukuhkan semula ikatan dengan rakyat dengan memberi perkhidmatan dan melaksanakan aktiviti di beberapa kawasan di bawah pimpinan Gerakan selain menjalin perkongsian bestari dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan rangka kerja dalam bidang spesifik seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan pendidikan, katanya.

Beliau berkata, parti akan terus bergerak maju ke hadapan dengan berpegang teguh kepada pegangan asas dan prinsip dalam dokumen nasional utama seperti Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Gerakan mula mengaktifkan semula dan memotivasikan organisasi parti di peringkat akar umbi dengan mengambil ahli baru, terutama sekali di Sabah.

"Selain itu, kita akan memulakan siri latihan politik dalam usaha untuk mengukuhkan komitmen kita, meningkatkan ilmu dan kemampuan memimpin, membentuk dan mengaktifkan semula beberapa biro pusat dan mula melaksanakan strategi komunikasi yang lebih berkesan dalam penyampaian hasrat dan matlamat kita," katanya.

Beliau berkata, selepas pilihan raya umum lalu, terdapat skeptik yang menyuntik kecurigaan tentang kemampuan Gerakan sebagai sebuah parti politik dan kedudukan parti itu yang masih relevan dan berdaya saing.

"Kepada pengkritik-pengkritik ini, kita hanya mempunyai satu jawapan, anda salah! Tetapi, kepada mereka yang meyakini keikhlasan dan kemampuan kita untuk terus menyumbang ke arah destinasi negara, saya ingin menggesa tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menyertai dan menyokong kami," tegas beliau.

Beliau mahu semua ahli Gerakan tampil menyumbang ke arah pembinaan semula parti bagi meraih kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

"Dengan menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan kita, ia akan pasti memenangkan hati rakyat. Sekiranya kita mempunyai komitmen yang sama, saya pasti kita akan menerajui Gerakan kembali ke jalan pemulihan dan kejayaan," tambahnya. - Bernama

Taufan keempat di Filipina ragut 7 nyawa

MANILA: Taufan yang melanda ibu kota Filipina dan kawasan sekelilingnya menyebabkan penduduk di sebuah pekan di sini, memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa banjir yang semakin teruk dengan air kelihatan naik.

Ia menyebaban tujuh terbunuh dan sekurang-kurangnya lima yang lain hilang.

Taufan Mirinae adalah ribut keempat melanda utara Filipina sejak September lalu, menyebabkan kebanyakan penduduk kawasan itu masih tinggal di kawasan penempatan sementara, di mana hampir 95,000 orang melarikan diri ketika dua kejadian ribut sebelum ini.

Ribut yang kelihatan menuju ke laut di sebelah petang dipercayai menuju ke arah Vietnam. - AP

Gempa magnitud 5.9 gegar kepulauan Santa Cruz

SYDNEY: Gempa bumi pada magnitud 5.9 mengegarkan kepulauan Santa Cruz, selatan Pasifik,hari ini, menurut ahli seismologi Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa terbabit jam 6.09 pagi waktu Sydney itu tercetus pada jarak 466 kilometer utara Luganville, kepulauan Santo, iaitu sebahagian daripada kepulauan Vanuatu. - AFP

Wanita Gerakan syor 7E realisasi 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Wanita Gerakan menggariskan tujuh hala tuju atau 7E bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia.

7E merujuk kepada memastikan Perlembagaan Persekutuan terletak di kedudukan yang tinggi, memastikan kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, mementingkan hak asasi manusia dan memupuk serta mewujudkan masyarakat demokrasi.

Ia juga merujuk kepada usaha membasmi semua bentuk diskriminasi dan undang-undang diskriminasi, mendidik dan menggalakkan ekonomi adil bagi semua dan kuasa bagi mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.

Ikrar itu dilafazkan perwakilan Wanita Gerakan pada persidangan kebangsaan pergerakan itu yang berlangsung di Menara PGRM di sini hari ini.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah merupakan gagasan murni bagi memastikan perpaduan yang utuh dicapai di negara ini, dengan menitikberatkan kebajikan dan pembelaan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Wanita Gerakan akan sentiasa berganding bahu dengan Pemuda dan parti induk untuk mendekati rakyat daripada pelbagai peringkat umur, untuk digembleng bersama kerajaan dalam menangani kemelut ekonomi di samping memastikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dapat direalisasikan.

"Segala polisi dan dasar kerajaan mesti dilaksanakan dengan adil dan telus untuk rakyat Malaysia, tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang, agar rakyat daripada semua kaum digembleng bersama untuk mara ke hadapan," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada persidangan itu.

Dalam ucapannya, Tan turut menyentuh kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu dengan menyatakan antara faktor yang menjadi punca kepada kekalahan itu ialah kelemahan calon.

Beliau berkata, rakyat kini mahukan calon yang berintergriti, berkualiti, mesra rakyat dan boleh berkhidmat untuk mereka.

Tan juga berkata, untuk menyakinkan rakyat bahawa Gerakan adalah parti yang masih relevan, segala kepincangan dalam kepimpinan parti perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

"Rakyat dahagakan sumbangan daripada pemimpin politik dan bukannya percakaran sesama pemimpin untuk berebut kuasa demi kepentingan politik sendiri.

"Kita harap semua ahli parti dan parti komponen sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing, kerana tindak-tanduk semua akan secara langsung memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

H1N1: Tiada kes babitkan jemaah Malaysia

SUNGAI PETANI: Malaysia setakat ini belum menerima laporan mengenai kes jangkitan selesema babi atau Influenza A(H1N1) yang membabitkan jemaah haji negara ini di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata semua jemaah yang berada di Jeddah, Madinah dan Makkah dilaporkan dalam keadaan sihat untuk meneruskan ibadah haji.

"Kita yakin kerajaan Arab Saudi mampu mengawal penyebaran selesema babi, jadi semua waris jemaah dinasihatkan supaya tidak melayan khabar khabar angin mengenai wabak itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada orang kurang upaya (OKU), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi menambah kuota jemaah haji yang dibenarkan menunaikan haji setiap tahun.

"Seperti yang diputuskan dalam persidangan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) sabelum ini, kuota sebanyak 26,000 jemaah diperuntukkan untuk Malaysia.

"Kerajaan Arab Saudi sendiri sedang berusaha menambah bangunan agar dapat menampung jemaah setiap tahun, yang kini mencapai hampir tiga juta orang," katanya. - Bernama

Pemuda Gerakan cadang parti tunggal ganti BN

KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan hari ini mencadangkan penubuhan parti tunggal yang mewakili semua kaum bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang kini dianggotai parti komponen yang mewakili kaum tertentu.

Ketuanya, Lim Si Pin, berkata penubuhan parti tunggal itu diyakini akan dapat menarik minat semua kaum untuk menyertainya dan dapat mengelakkan timbulnya sebarang masalah perkauman.

"Kalau kita (parti komponen) masih menggunakan cara perkauman untuk mengatasi masalah, kita hanya akan menjadi semakin mundur dan tidak dapat menuju ke hadapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini.

Sehubungan itu, Lim mencadangkan satu jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN) ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana struktur parti tunggal sedemikian dapat direalisasikan.

"Saya berharap, Pemuda BN yang kini di bawah pucuk pimpinan saudara Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini tetapi sebaliknya mengambil cadangan untuk menerokai kemungkinan diwujudkan satu parti sedemikian," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kesepakatan dan kerjasama perlu dicapai antara semua parti komponen BN dengan menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu sebagai iktibar dan mendapatkan semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum dan kecil yang akan datang.

Katanya, keputusan pilihan raya umum ke-12 jelas menunjukkan bahawa aspirasi dan hasrat pengundi dan rakyat jelata telah menjangkaui batasan kaum.

"Banyak kerja pemulihan perlu dilaksanakan, misalnya semua rancangan sedia ada harus dikemaskinikan dan dikaji semula untuk meningkatkan semula imej parti Barisan Nasional," katanya.

Mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berharap kerajaan dapat membuat pindaan yang menyeluruh ke atas akta itu dan bila tiba masa yang sesuai dimansuhkan dan digantikan dengan satu akta yang lebih berperikemanusiaan. - Bernama