Followers

Monday, October 11, 2010

Kaedah inovatif basmi denggi akan diperkenal: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus mengenal pasti kaedah yang inovatif dan kreatif bagi membasmi demam denggi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, usaha itu adalah perlu kerana kerjasama orang ramai bagi membasmi demam denggi daripada merebak dianggap rendah.
"Denggi adalah masalah serius, jadi kita perlu tanganinya. Kita perlu mencari cara yang inovatif dan kreatif (bagi membasmi demam denggi).
"Ini kerana jika anda tanya orang ramai supaya lebih bertanggungjawab bagi kawasan tertentu mereka sendiri agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, ia nampaknya tidak menjadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi ke-61 Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - BERNAMA

PM akan umum calon BN selepas Perhimpunan Agung UMNO: Ku Li

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual minggu depan, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Bagaimanapun, beliau berkata persoalan mengenai soal calon itu tidak dibincangkan semasa pertemuannya dengan Najib di Parlimen, hari ini.
Mengenai kemungkinan beliau dicalonkan, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, perkara itu serta senarai calon tidak dibincangkan.
Semasa pertemuan itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyerahkan surat pelantikan kepada Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda Pekerjaan diluluskan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kanak-kanak dan Orang Muda Pekerjaan (Pindaan) 2010 untuk memastikan mereka ini tidak dieksploitasi sehingga mengganggu pendidikan, kesihatan dan keselamatan mereka.

Pada masa ini, akta itu berfungsi mengawal dan menetapkan syarat penggajian kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan orang muda di bawah umur 16 tahun, dan selepas dipinda, akta menetapkan syarat penggajian kanak-kanak ialah mereka yang berumur 15 tahun dan orang muda berumur 18 tahun.
"Bagi kanak-kanak, mereka dibenarkan melakukan pekerjaan yang ringan bersesuaian dengan kapasiti mereka dalam perniagaan keluarga," kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, semasa menggulung perbahasan.
Beliau berkata, pada masa ini seramai 47,000 orang kanak-kanak dan orang muda bekerja dengan keluarga masing-masing.

Subramaniam juga berkata kementerian menghadapi masalah untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang melakukan kesalahan disebabkan kekurangan aduan.

"Kalau ada majikan yang salah guna akta, tolong adukan supaya boleh diambil tindakan," katanya.

Persidangan ditangguhkan sehingga esok. - BERNAMA

Bas cuba potong kenderaan tetapi gagal: Penumpang

SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama, berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.
"Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.
Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.

"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.

Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di Rembau.

Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.

"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.

Katanya, doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.

Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.

"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya.

Beliau berkata, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.

"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu.

Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.

Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.

Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad "High Dispency" (HDW) dan semua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.

Seramai 12 orang terbunuh manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam pada 6.40 petang semalam.

Nahas itu berlaku apabila bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal dikawal dan terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. - BERNAMA

Melaka hulur bantuan kewangan kepada keluarga mangsa nahas

MELAKA: Kerajaan Melaka mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dekat sini, petang semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM1,000 bagi menguruskan pengkebumian setiap jenazah manakala mangsa yang cedera parah juga diberi RM1,000 dan cedera ringan sebanyak RM500.
"Kepada semua keluarga yang terbabit saya harap mereka bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mangsa kemalangan itu di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.
Turut menziarahi mangsa, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Dalam kemalangan ngeri jam 6.40 petang semalam, seramai 12 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan 11 yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Mohd Ali akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kelajuan bas ekspres dihadkan tidak melebihi 90 kilometer sejam, sebagai langkah membendung kemalangan seumpama itu.
Suasana sedih dan tangisan anggota keluarga menyelubungi bilik mayat hospital Melaka sebaik jenazah 12 mangsa kemalangan itu tiba jam 12 tengah malam tadi.

Mohd Ali berada di bilik mayat itu sehingga 4.30 pagi tadi bagi mententeramkan anggota keluarga yang begitu sedih selepas dipanggil untuk membuat pengecaman jenazah terbabit.

Sebuah balai polis bergerak diwujudkan berhampiran bilik mayat itu bagi memudahkan anggota keluarga terbabit berurusan.

Setakat ini, kawasan bilik mayat itu dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa yang menunggu untuk membawa pulang jenazah bagi dikebumikan di kampung masing-masing hari ini.

Bedah siasat dan pengecaman mangsa yang terbunuh dijangka selesai pagi ini. - BERNAMA

Dewan Rakyat belum terima notis kematian wakil Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, belum dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana Dewan Rakyat masih belum menerima notis dan surat kematian secara rasmi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar, berkata beliau yakin akan menerima notis tersebut daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) atau keluarganya dalam masa sehari dua lagi.
"Kebiasaannya apabila berlaku kematian Ahli Parlimen, pihak yang berwajib iaitu parti atau keluarga akan beri notis kepada Parlimen secara bertulis bersama sijil kematian.
"Tetapi saya cukup yakin Dewan (Rakyat) akan menerima notis tersebut selewat-lewatnya lusa, dan kemudian baru kita dapat hantar ke SPR supaya dapat ditentukan tarikh penamaan calon, pilihan raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada kejadian di Kota Kinabalu Sabtu lalu, Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong yang diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing, dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi. - BERNAMA

BNBBC akan minta KDN siasat punca nahas wakil Batu Sapi

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan siasatan teliti terhadap punca kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edward Chong Et Wah, Sabtu lalu.
Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ini bagi membolehkan punca sebenar kemalangan diketahui.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai kunjungan 11 Ahli BNBBC memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew di sini, sebentar tadi.

Umur persaraan wajib tak dinaikkan ke 60 tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji termasuklah kesan terhadap peluang kerja untuk golongan lepasan sekolah, kolej dan universiti serta keperluan sumber manusia dalam sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.
"Ketiga (ialah) kesan ke atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar. Kalaupun tidak kecilkan perkhidmatan awam, (kita perlu) mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa jejas perkhidmatan untuk rakyat.
"Keempat (ialah) tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutama menjelang umur persaraan 58, adakah mereka mampu terus bekerja atau tidak," katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan sama ada langkah meningkatkan umur persaraan dapat mengelak tenaga muda yang kini bekerja di sektor awam daripada berhijrah ke sektor swasta, Mohamed Nazri berkata perkara itu dapat diatasi melalui semakan gaji oleh kerajaan dari semasa ke semasa serta pelbagai kelebihan lain bagi memastikan gaji sektor awam terus kompetitif.