Followers

Wednesday, March 31, 2010

Labuan lapor 7 kes Chikungunya tahun ini

LABUAN: Sebanyak tujuh kes penyakit Chikungunya dilaporkan di Kampung Durian Tunjong dan Batu Manikar di sini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin, berkata mangsa yang menghidap penyakit itu adalah warga tempatan yang berusia antara 20 hingga 40-an dari dua kawasan terbabit.



Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa keadaan keseluruhannya adalah terkawal dan tiada tanda berlaku peningkatan kes bawaan nyamuk Aedes itu.


Katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak penyakit itu terus menular termasuk melakukan penyemburan kabus, kempen kesihatan dan pemeriksaan di premis perniagaan serta kawasan sekitar kampung di daerah itu.

Dr Zaini berkata, antara simptom penyakit Chikungunya termasuklah demam panas mengejut, sakit teruk pada sendi, ruam pada badan dan sakit kepala.

Beliau meminta mereka yang mepunyai simptom penyakit itu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai agar meluangkan masa setiap minggu untuk membersihkan kawasan di dalam dan persekitaran rumah dan amalan ini diyakini dapat membantu memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes. - Bernama

Bom lama ditemui di Sandakan

 SANDAKAN: Sebiji bom lama yang dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan sebuah akademi belajar memandu di Jalan Kem Tentera dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali, berkata bom sepanjang kira-kira satu meter itu ditemui oleh seorang pemandu jentolak ketika sedang melakukan kerja mengorek parit.

"Bom itu akan dimusnahkan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Wujud kelemahan dalam tangani mangsa pemerdagangan orang: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini mengakui masih wujud kelemahan daripada segi dasar kerajaan dalam menangani isu mangsa kegiatan pemerdagangan orang.

Justeru, katanya, Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan yang dilancarkan hari ini diharap dapat membantu membaiki kelemahan itu.



"Pemerdagangan orang membabitkan dua komponen iaitu penjenayah dan mangsa. Untuk penjenayah Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi bagi menghukum mereka, namun untuk mangsa kita setakat ini hanya menumpukan kepada perlindungan, iaitu penyelesaian selepas ianya berlaku.


"Justeru, pelan yang kita lancarkan hari ini adalah untuk menangani kekurangan itu khususnya dalam menyediakan langkah-langkah pencegahan bagi melindungi mangsa, serta mendidik masyarakat kita akan seriusnya jenayah ini dan kesan negatif kegiatan itu ke atas mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Hishammuddin sebelum itu melancarkan pelan itu yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang, yang dirangka bagi tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Pelan itu antara usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah berkenaan mengandungi lima garis panduan yang antaranya menekankan kepada tindakan kerajaan menangani masalah itu, penyertaan masyarakat, layanan berasaskan hak asasi kepada mangsa, dan koordinasi antara agensi kerajaan berkaitan serta dengan badan-badan antarabangsa.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mengulas isu sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit bagi aktiviti pemerdagangan orang, Hishammuddin berkata aktiviti itu tidak seteruk seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

"Imej negara banyak bergantung kepada persepsi luar, sebenarnya tindakan yang kita sudah lakukan sebelum ini jauh melebihi daripada tindakan negara-negara lain yang mungkin tidak mendapat persepsi yang sama.

"Kita tidak pandai masuk bakul angkat sendiri atau tidak pandai pukul gendang. Saya akui ada kelemahan tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan masyarakat antarabangsa," katanya.

Menjawab satu soalan, Hishammuddin berkata kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) meskipun terdapat kes penyalahgunaan di kalangan pelancong dari negara yang layak.

"Banyak negara yang kita telah tarik balik kemudahan VOA kerana menyalahgunakan kemudahan yang diberi namun kita tidak bercadang untuk hapuskannya terus kerana ada beberapa negara tidak mendatangkan masalah kepada kita. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar," katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata beliau berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak mengikut zon memandangkan 80 peratus mangsa pemerdagangan manusia adalah wanita dan kanak-kanak.

"Sekarang ini kita ada tiga tempat perlindungan, satu untuk wanita dan dua untuk kanak-kanak. Sehingga kini lebih daripada 400 wanita dan 44 kanak-kanak diselamatkan dan diletakkan di sini dan daripada jumlah itu seramai 159 wanita dikenalpasti sebagai mangsa.

"Banyak mangsa dibawa ke sini untuk tujuan pelacuran, buruh paksa dan lain-lain tujuan tidak elok. Jika dibiarkan angkanya akan meningkat dan membawa masalah sosial," katanya. - Bernama

Malaysia bukan "tempat lambakan" pelajar asing bermasalah

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu Malaysia bukan tempat lambakan atau "dumping ground" bagi pelajar antarabangsa yang tidak berkelayakan atau bermasalah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata kerajaan tidak berkompromi dalam soal kualiti pelajar asing yang diterima belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara.



Beliau berkata oleh itu kerajaan menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta untuk mengambil pelajar-pelajar antarabangsa di bawah tajaan kerajaan atau sesebuah organisasi.


"Ini kerana pelajar-pelajar ini dijamin dari segi komitmen dan kualiti," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) di Parlimen di sini.

Ismail dalam soalannya meminta supaya Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar asing di semua peringkat pengajian yang sedang menuntut dalam negara termasuk di sekolah antarabangsa.

Beliau juga mahu tahu jumlah kes pelanggaran undang-undang negara yang membabitkan pelajar asing sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Hou berkata, sehingga 31 Disember lalu, Malaysia menerima hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara dan daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58,300 di institusi pengajian tinggi swasta.

"Ini bermakna, Kementerian Pengajian Tinggi berjaya mendahului sasaran 80,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2010. Data yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pengambilan pelajar antarabangsa di 51 sekolah antarabangsa di seluruh negara ialah hampir 16,600 orang," katanya.

Beliau berkata secara umum jumlah kes jenayah yang membabitkan pelajar antarabangsa adalah kecil.

Katanya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia 2009, jumlah kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar antarabangsa ialah 17 kes, iaitu enam kes ugutan jenayah, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul, satu kes rogol dan satu kes mendatangkan cedera.

Kepada soalan lain Hou berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah berhubung pelajar asing seperti memperkemas kriteria-kriteria pengambilan melalui garis panduan permohonan persekutuan pelajar antarabangsa ke IPTS dalam negara.

"Selain itu sehingga 30 November lepas pihak Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen pengambilan pelajar antarabangsa yang dimiliki oleh 29 IPTS ekoran pelbagai kesalahan seperti mengambil pelajar antarabangsa untuk kursus yang belum memperolehi akreditasi profesional, tidak lagi beroperasi di premis yang didaftarkan dan tiada unit hal ehwal pelajar antarabangsa," katanya.

Beliau berkata IPTS juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan kementerian mengenai pelajar yang tidak hadir ke kuliah bagi tiga hari berturut-turut atau kehadiran kurang daripada 80 peratus, CGPA kurang daripada 2 atau gagal peperiksaan serta tamat pengajian dan pulang ke negara asal.

Katanya kementerian juga dalam proses untuk mengguna pakai sistem "non objection certificate" atau NOC terhadap pelajar antarabangsa iaitu sijil sokongan daripada kedutaan negara asal mengenai kerakyatan mereka.

"Kementerian juga akan meletakkan syarat baru iaitu pelajar persendirian akan diwajibkan membayar deposit sebagai jaminan bahawa pelajar berkenaan mampu untuk belajar di Malaysia," katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Hou berkata semua pelajar antarabangsa perlu menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia.

Katanya kementerian juga memastikan semua IPTS mengambil mereka dalam nisbah 20:80 bagi menjamin suasana yang betul-betul "Malaysian" untuk memudahkan pelajar asing berkenaan menyesuaikan diri dengan pantas. - Bernama

Gempa bumi kuat di Kepulauan Andaman, India

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Kawasan Kepulauan Andaman, India jam 12.55 tengah malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, gempa bumi itu berpusat di latitud 13.51 utara dan longtitud 92.85 timur, kira-kira 751 kilometer (km) barat laut Ranong, Thailand, dan 1,110km barat laut Langkawi.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan jabatan itu. - Bernama

Kemiskinan tegar berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007

KUALA LUMPUR: Malaysia melakukan kemajuan memberangsangkan dalam usaha pembasmian kemiskinan secara keseluruhannya namun ketidakseimbangan kekal menjadi cabaran sebenar.

Laporan Pertama Model Ekonomi Baru (MEB) bagi Malaysia, yang ditunggu-tunggu rakyat, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menunjukkan kemiskinan tegar telah dikurangkan daripada kira-kira 50 peratus pada 1970 kepada hampir 20 peratus pada 1987.



Ia terus berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007 di sebalik pertumbuhan kukuh ekonomi dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Laporan Pertama MEB yang dikeluarkan di sini hari ini.


Walaupun kemiskinan tegar telah berkurangan, data baru-baru ini menunjukkan jurang semakin melebar di antara yang kaya dan miskin, dengan 40 peratus isi rumah terus mempunyai tahap pendapatan rendah, terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Kajian pendapatan isi rumah pula menunjukkan bahawa pertumbuhan pendapatan hanya kukuh bagi 20 peratus penjana pendapatan utama Malaysia.

Sejumlah 40 peratus isi rumah terkebawah mengalami pertumbuhan pendapatam purata yang lembap, dengan memperoleh RM1,500 sebulan pada 2008, menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut pengagihan kekayaan yang kurang memuaskan menghalang sebahagian besar rakyat Malaysia daripada berkongsi menikmati kejayaan dalam jangka panjang dan ini merencatkan pergerakan sosial.

Menurut laporan itu, lonjakan pendapatan Malaysia terus menunjukkan arah peningkatan secara beransur-ansur, bagaimana masih kekal berada jauh di bawah garis "pendapatan tinggi".

Sejak menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana pada 1992, Malaysia sebahagian besarnya hari ini kekal di tempat sama.

Laporan itu menyebut, tanpa keistimewaan baru dan pelan pembaharuan strategik, banyak negara tidak berupaya memboloskan diri keluar daripada kategori pendapatan sederhana - satu fenomena yang diistilahkan "perangkap pendapatan sederhana". - Bernama