Followers

Sunday, October 3, 2010

Dr Mahathir semakin sihat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Hospital Epworth Melbourne, Australia, setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada semalam.
"Doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan antibiotik serta fisioterafi," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas perdana menteri itu di sini hari ini.
Pagi tadi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan pagi bersama-sama bapa dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut kenyataan itu, doktor menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

"Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh," kata kenyataan itu.

Dr Mahathir yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini Khamis lalu dan dijadualkan berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne semalam.

Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang singgah di Melbourne setelah menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. - BERNAMA

Kira-kira 10,000 kunjungi rumah terbuka TPM

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 orang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di kediaman rasminya Sri Satria di sini.

Kunjungan orang ramai disambut oleh Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, sejak 11 pagi.
Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie; Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; dan bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, turut kelihatan.

Selain menikmati juadah, tetamu dan orang ramai dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada artis tempatan pada majlis itu. - BERNAMA

PM akan lancar rundingan FTA EU-Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual melancarkan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Eropah-Malaysia di luar acara Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) minggu depan di Brussels.

"Kami berharap dapat melancarkan dengan rasminya perundingan itu semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Brussels bersempena dengan ASEM yang dihoskan oleh Belgium," kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Vincent Piket.
Najib dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan (ASEM) yang berlangsung selama dua hari di Brussels, bermula 4 Oktober.
"Sekiranya perjanjian FTA dengan Malaysia berjaya, Malaysia akan mendapat akses keutamaan ke EU yang pada masa ini adalah pasaran terbesar dunia," katanya.

Dengan sejumlah setengah bilion pengguna di negara anggota EU, Piket berkata ia akan menjadi destinasi menarik untuk eksport Malaysia.

Beliau berkata, FTA itu akan membuka laluan untuk hubungan kestabilan jangka panjang Malaysia-EU.

Menurut seorang penganalisis, andaikata FTA ini berjaya, ahli perniagaan Malaysia akan mendapat lebih manfaat dalam jangka panjang terutamanya di celah-celah kelembapan ekonomi.
Penganalisis itu berkata, pemangkin itu mungkin datang daripada potensi bagi FTA membina semula kekayaan yang telah hilang semasa kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Seiring dengan usaha Malaysia mencapai ke arah status negara maju, Piket juga berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia memulakan perundingan FTA bagi melengkapkan negara mencapai matlamat-matlamat Model Baru Ekonomi (NEM).

Beliau berkata, FTA adalah sebahagian daripada NEM dan penekanannya ialah ke atas ekonomi mesra perniagaan dan meningkatkan kepentingan sektor swasta dalam keluaran dalam negara kasar.

"Semua ini ialah untuk menarik perdagangan, pelaburan berkualiti, modal, kepakaran dan pengetahuan dan FTA dengan EU sudah pasti akan menyumbang kepada objektif ini," katanya sambil menambah perdagangan dan pelaburan amat penting untuk pemulihan global dan pertumbuhan ekonomi.

Piket berkata, dengan perundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Pusingan Doha menemui jalan buntu pada masa ini, Malaysia dan 27 anggota EU seharusnya mengembangkan lagi perdagangan dua hala.

Malaysia ialah rakan perdagangan kedua terbesar EU di ASEAN selepas Singapura, mendahului negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Sementara EU pula ialah rakan dagang keempat terbesar dunia dan sumber kedua terbesar pelaburan asing langsung.

Menegaskan Malaysia ialah rakan dagang penting kepada EU, Piket berkata kira-kira 2,000 syarikat Eropah pada masa ini telah beroperasi di Malaysia. - BERNAMA

Tidak berlaku kemelesetan ekonomi berganda tahun depan: Ahmad Husni

CHEMOR: Malaysia percaya tidak akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia secara berganda (double dip) tahun depan, sebaliknya pertumbuhan dijangka perlahan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kelembapan ekonomi itu berikutan pertumbuhan perlahan di Eropah dan Amerika Syarikat tahun ini.
Katanya, pertumbuhan perlahan itu sudah memberi kesan kepada negara ini yang menunjukkan kegiatan ekonomi kurang menggalakkan pada suku ketiga dan dijangka keadaan yang sama pada suku keempat.
"Pertumbuhan perlahan separuh kedua tahun ini dijangka berlarutan hingga ke tahun depan.

"Kita akan mengumumkan beberapa inisiatif dalam Bajet 2011 yang menggabungkan perbelanjaan sektor awam, swasta dan pembaharuan ekonomi untuk menangani pertumbuhan perlahan tahun depan," katanya kepada pemberita di sini, pagi tadi.

Kemelesetan ekonomi berganda (double dip), iaitu berbentuk W bermaksud ekonomi yang meleset pulih dengan pertumbuhan dalam tempoh jangka pendek tetapi merudum semula.

Ahmad Husni berkata, pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dijangka antara 6 hingga 7 peratus manakala tahun depan ialah 6 peratus.