Followers

Monday, March 15, 2010

Coca Cola lancar kilang pembotolan RM1 bilion di Nilai

NILAI: The Coca Cola Company dari Amerika Syarikat hari ini secara rasminya melancarkan kilang pembotolan terbarunya yang bernilai RM1 bilion di Nilai, Negeri Sembilan.
Majlis pecah tanah kilang baru itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kempen Beli Barangan Malaysia akan dihidupkan semula: Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kempen "Beli Barangan Malaysia" yang menekankan aspek patriotisme akan dihidupkan semula pada bulan depan atau Mei, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bertemakan "Pengguna Patriotik", kempen itu bertujuan menggalakkan pengguna tempatan mencintai, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan telefon mudah alih bercirikan Islam keluaran syarikat tempatan Ad-Deen Technology Sdn Bhd, menerusi model Q292 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap kempen itu mampu mengubah sikap pengguna tempatan yang kelihatan cenderung membeli barangan luar negara. Katanya, pengguna Malaysia seharusnya mencontohi pengguna Korea Selatan yang begitu berbangga membeli dan menggunakan barangan buatan negara mereka berbanding barangan import.

"Banyak faedah sekiranya pengguna membeli barangan Malaysia, antaranya ia akan menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, negara dapat mengurangkan kos mengimport barangan dari luar negara dan membantu pihak industri barangan buatan tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Eksekutif Ad-Deen Technology Sdn Bhd, Megat Radzman Megat Khairuddin, berkata syarikat itu mensasarkan untuk menjual 40,000 unit telefon mudah alih model Q292 untuk pasaran tempatan, tahun ini.

Kini, katanya, pihaknya sudah menerima tempahan yang memberangsangkan dari luar negara bagi model itu iaitu sebanyak 200,000 unit dari Indonesia dan 200,000 unit lagi dari Dubai.
Model terbabit yang ditawarkan pada harga RM399 seunit, mempunyai fungsi penunjuk arah kiblat, waktu sembahyang, bacaan-bacaan Al-Quran dan Hadis dan bacaan doa. - Bernama

Kabinet teliti Rang Undang-Undang ISA Jumaat ini: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan diteliti oleh Kabinet pada Jumaat ini sebelum boleh dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata walaupun draf rang undang-undang itu telah siap ia mesti terlebih dahulu diserah kepada Kabinet untuk diluluskan.


"Saya berharap pindaan ISA dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, namun jika tidak dapat dilakukan kita akan kembali kepada masyarakat untuk dapatkan lebih banyak pandangan mengenainya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

"Tidak ada gunanya jika rang undang-undang itu dibentangkan pada sesi kali ini kalau orang ramai tidak gembira dengan cadangan pindaan yang hendak dilakukan," katanya.

Cadangan pindaan itu meliputi lima isu iaitu kuasa Menteri Dalam Negeri, tempoh penahanan, hak dan layanan ke atas tahanan, tanggapan orang ramai bahawa ISA disalahguna untuk tujuan politik, dan penahanan tanpa perbicaraan.

- Bernama

Subsidi akan distruktur semula, dikurang secara berperingkat: Tuanku Mizan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bertitah pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat bagi memastikan hanya yang layak saja menikmatinya.

Baginda bertitah, pemberian subsidi bukan saja dinikmati oleh golongan sasar malah turut dikecapi mereka yang tidak layak seperti golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.
"Walau bagaimanapun, kumpulan sasar seperti kumpulan mudah miskin akan terus dibantu agar mereka tidak terbeban. "Justeru, beta menyeru agar rakyat berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan ini," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga Persidangan Parlimen ke-12, di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, turut berangkat ke istiadat itu.

Tuanku Mizan bertitah, kerajaan sudah membelanjakan peruntukan yang besar untuk pelbagai subsidi bagi meringankan beban rakyat.

"Pada tahun 2009 saja sebanyak RM24.5 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut," titah baginda.
Menyentuh perkara lain, Seri Paduka turut melahirkan rasa syukur kerana ekonomi negara kini semakin pulih daripada kesan kemelesetan ekonomi global yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun 2009 mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.5 peratus, iaitu lebih baik daripada unjuran 3 peratus.

Baginda bertitah, perkembangan yang menggalakkan ini antara lain adalah hasil daripada pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion serta disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh.

Tuanku Mizan bertitah, kemelesetan ekonomi mempunyai hikmah tersendiri kerana ianya mendorong semua pihak berusaha menggunakan sepenuhnya sumber dan peluang yang ada untuk membawa negara keluar daripada situasi yang sukar itu.

"Beta sukacita dengan usaha kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri yang telah menjadikannya satu peluang untuk mentransformasikan negara ke arah masa hadapan yang lebih baik," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan projek-projek pembangunan disiapkan mengikut jadual, berkualiti dan memberi pulangan setimpal dengan peruntukan yang dibelanjakan.

Sehubungan itu, baginda bertitah, aspek pemantauan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan ianya mencergaskan aktiviti ekonomi negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Titah baginda lagi, semua agensi kerajaan akan terus memberi penekanan kepada impak dan keberkesanan program serta projek berbanding mementingkan "output" semata-mata.

Selain itu, Tuanku Mizan bertitah, dalam era persaingan global negara memerlukan modal insan yang berpengetahuan, kreatif, berintegriti, memiliki daya usaha yang kuat dan semangat keusahawanan yang tinggi bagi memastikan kejayaan negara pada masa depan.

Sehubungan itu, baginda menyambut baik usaha memperluaskan akses kepada pendidikan prasekolah, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi murid serta membangunkan sekolah berprestasi tinggi.

"Beta juga mengalu-alukan langkah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan menjadikan sekolah-sekolah tertentu sebagai anak angkat bagi mempertingkatkan pencapaian sekolah-sekolah tersebut," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh mengenai Program Permata Negara yang diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda bertitah, berikutan kejayaannya kerajaan akan memperkasakan lagi program tersebut dengan memperkenalkan beberapa program baru seperti Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Permata Remaja.

"Program ini akan melahirkan generasi baru yang akan memacu negara ke masa hadapan yang lebih cemerlang," titah baginda.

Tuanku Mizan juga bertitah, bahawa dasar baru pendidikan yang antara lain memartabatkan Bahasa Malaysia, memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris serta meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, akan memantapkan lagi sistem pendidikan negara.

Baginda juga berharap bakat dan potensi golongan belia akan digembleng dan mahu mereka mengubah cara berfikir serta bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar. - Bernam