Followers

Wednesday, September 15, 2010

Pembunuhan Sosilawati: Unit forensik temui beberapa objek dari Sungai Panchau

BANTING: Unit Forensik Polis hari ini menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau di sini.
Polis yang memulakan operasi pada jam 3.30 petang ini dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.
Usaha pihak media untuk menghampiri kawasan itu bagi melihat dengan lebih jelas operasi itu gagal berikutan kawalan ketat dan media hanya dibenar berada kira-kira 100 meter dari kawasan itu. Operasi itu berakhir pada jam 5.30 petang.
Selain itu, polis juga memasang kain kanvas di tempat mereka beroperasi dan tindakan itu menyukarkan pihak media untuk melihat dengan jelas apa yang mereka lakukan dan objek yang dibawa naik dari sungai itu.

Turut kelihatan berada di lokasi operasi ialah Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Malek Harun.

Ahad lalu, unit forensik menemui beberapa cebisan tulang dari dalam sungai yang sama.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - Bernama

Hari Malaysia titik permulaan realisasikan impian 1Malaysia: Pairin

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.
Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.
"Ungkapan ''Sabah menyertai Malaysia'', pertanyaan ''bila sampai ke Malaysia'' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekali gus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pairin berkata, pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.
"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata, sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan,” kata beliau. - Bernama

Persembahan warna-warni pada sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak esok

KUCHING: Kira-kira 5,000 orang dijangka hadir pada majlis sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang akan diadakan penuh warna-warni di Stadium Perpaduan di sini petang esok.
Sambutan bertema "1Malaysia: Menjana Transformasi" itu akan dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh 400 peserta yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai kaum.
Acara kemuncak ialah persembahan video selama 10 minit mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan mengenai pembangunan di Sarawak.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijadual hadir pada majlis itu di mana kumpulan penari dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak akan mempersembahkan Tarian Hari Malaysia.

Sambutan akan bermula dengan tarian khas bagi meraikan kedatangan tetamu termasuk anggota Kabinet negeri, pemimpin masyarakat dan ketua jabatan, disusuli dengan acara menaikkan Jalur Gemilang sebagai menandakan perasmian sambutan Hari Malaysia peringkat negeri.

Penyanyi terkenal Faizal Tahir dan Adibah Noor akan menghiburkan orang ramai.

Pekerja bekerja 16 September perlu diberi cuti umum berbayar

KUALA LUMPUR: Pekerja yang bekerja esok 16 September, yang disambut sebagai Hari Malaysia, perlu diberi cuti umum berbayar, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam hari ini.
"Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955," katanya.
Beberapa panggilan daripada syarikat-syarikat swasta yang meminta penjelasan sekiranya cuti umum sempena Hari Malaysia turut membabitkan sektor swasta diterima Bernama.
Kerajaan mengumumkan mulai tahun ini, tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia dan penetapan itu diwartakan pada 9 November 2009 di bawah Akta Hari Kelepasan 1951. - Bernama

Bayi perempuan ditemui di tangga rumah

KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan ditemui ditinggalkan di tangga sebuah rumah di Kampung Salor di sini, hari ini.
Bayi yang dibalut dengan kain lampin dan tuala itu ditemui pada jam 8 pagi. Turut ditinggalkan ialah satu botol susu yang diletakkan di sebelah bayi itu.
Seorang ahli keluarga di rumah itu, Mohssin Sheikh Mohamad, 50, berkata bayi itu ditemui oleh anak saudaranya yang terdengar bunyi rengekan bayi di luar rumah.
"Kami membawa bayi itu masuk ke dalam rumah kerana khuatir akan dihurung serangga sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Nilam Puri sejam selepas itu," katanya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Bayi yang dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu memandangkan tali pusatnya telah tertanggal, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Mohssin yang juga seorang kakitangan Kementerian Kewangan, berkata beliau yakin bayi yang ditemui itu bukan berasal dari kalangan ibu bapa yang tinggal di kampung itu.

"Rumah saya terletak di tepi jalan dan agak tersorok daripada pandangan umum menyebabkan bayi itu mudah diletak di tangga rumah kami," katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi itu. - Bernama

Dua kes orang hilang ada kaitan dengan suspek ke pembunuhan Sosilawati

BANTING: Terdapat dua kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam bergelar Datuk yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lain, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
"Kami sedang menyemak semula kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, dan apabila disiasat dua daripada kes orang hilang itu didapati mempunyai kaitan," katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sebuah restoran di sini, hari ini, beliau berkata, kes itu membabitkan kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.
Peguam berusia 41 tahun yang bergelar Datuk itu adalah antara lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ahad lalu, polis mengesahkan kempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.

Khalid sebelum itu dilihat melawat lokasi kejadian di Ladang Gadong bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop kira-kira jam 10.30 pagi, dan keluar sejam kemudian.
Abu Seman ketika ditemui berkata, kehadiran beliau di situ adalah untuk melawat anggota-anggota polis yang sedang bertugas di lokasi berkenaan pada Hari Raya.

Sementara itu, Khalid mengingatkan pihak media supaya tidak melaporkan kes pembunuhan itu secara melampau, dengan membuat pelbagai andaian sendiri.

Katanya, selain menyulitkan siasatan polis, spekulasi yang ditimbulkan media juga boleh merunsingkan fikiran anggota keluarga mangsa yang masih sedih dengan berita kematian itu.

"Tolonglah, jangan tulis benda-benda yang tak disahkan. Jangan tulis cerita-cerita yang awak (media) dengar-dengar saja," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ditemui di restoran itu berkata, peguam bergelar Datuk itu sering berkunjung ke restoran berkenaan, dan dia memang dikenali di kalangan penduduk kawasan itu. - Bernama

Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan negara

BESUT: Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Emeritus Awang Sariyan.
“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperolehi daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman e-mel hari ini.
Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak boleh membantu dalam memperolehi pengetahuan moden.
Ia, kata Lee, dapat dilihat pada Melayu di Singapura ''yang moden serta berpandangan jauh'' kerana berpendidikan Inggeris.

Awang berkata, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga tidak pernah diabaikan malah turut dikuasai rakyat Malaysia sebagai nilai tambah kepada penguasaan ilmu mereka.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Lee sepatutnya membaca ulasan bekas perdana menteri sesudahnya, Goh Chok Tong, yang pernah melahirkan kekesalannya akan keadaan generasi muda Cina Singapura yang menurutnya “hanya Cina pada biologinya tetapi sudah kehilangan Cina pada bahasa dan budayanya”.

Mengenai dakwaan Lee tentang "hegemoni Melayu rakyat Malaysia", Awang dengan ringkas berkata, “memaku dulang paku yang serpih".
Awang berkata, Lee tidak akan pernah senang dengan Malaysia kerana sejarah hitam hubungan peribadinya dengan pemimpin Malaysia sebelum ini menyebabkan beliau gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi. - Bernama

Sekolah Harapan bagi pelajar hamil dibuka Jumaat ini


KERJA pengubahsuaian bangunan lama SAMB giat dijalankan bagi menyiapkan bangunan sekolah Harapan yang diwujudkan kerajaan negeri khusus bagi menampung remaja hamil di negeri ini di Jasin. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
KERJA pengubahsuaian bangunan lama SAMB giat dijalankan bagi menyiapkan bangunan sekolah Harapan yang diwujudkan kerajaan negeri khusus bagi menampung remaja hamil di negeri ini di Jasin. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
MELAKA: Sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai oleh kerajaan negeri di Jasin akan dibuka bermula Jumaat ini untuk menempatkan mereka yang secara sukarela mahu ke situ.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sekolah itu yang dikenali sebagai ''sekolah harapan'', berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM).
Buat permulaan, katanya, sekolah itu yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal, akan dikendalikan oleh seorang penyelia dan tiga pengajar lain.
"Kita sudah lantik guru JAIM yang berpengalaman bagi mengajar di sekolah itu yang boleh memuatkan maksimum 40 pelajar," katanya di kediamannya, Seri Bendahara, di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, setakat ini, belum ada pelajar hamil yang menghubungi JAIM untuk memasuki sekolah itu dan bagi yang berminat boleh memohon dengan identiti mereka dirahsiakan.

"Kita berniat baik dengan menubuhkan sekolah ini bagi membolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata sukatan mata pelajaran yang diajar bergantung kepada tahap semasa persekolahan pelajar itu. - BERNAMA

Mayat bayi baru lahir ditemui di kawasan perumahan Sibu

SIBU: Mayat seorang bayi lelaki baru lahir yang dibungkus dalam kertas surat khabar ditemui dalam beg plastik hitam di satu lorong di kawasan Perumahan Taman Rajang di sini, malam tadi.

Menurut jurucakap polis beg plastik itu ditemui oleh seorang wanita yang bekerja sebagai penjaja makanan yang baru pulang dari warungnya pada kira-kira pukul 10 malam, yang kemudiannya terus menghubungi polis.
Beliau berkata, polis percaya mereka yang terbabit datang ke kawasan perumahan itu dan membuang bungkusan tersebut dengan tergesa-gesa berdasarkan kepada keadaan beg plastik itu yang koyak rabak, yang mendedahkan kandungannya yang kelihatan berlumuran darah.
Sementara itu dalam perkembangan lain Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, menyuarakan kebimbangannya terhadap kes-kes kecurian kabel yang didapati semakin berleluasa di sini sejak kebelakangan ini.

"Banyak kabel di bangunan-bangunan dan tiang-tiang telekomunikasi dilarikan pencuri di sini. Sebanyak 36 kes berkenaan dilaporkan bulan lepas, manakala bulan ini sehingga semalam jumlahnya menjangkau 12," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan akhir nyanyian lagu-lagu Melayu dan Iban di Fasa dua Dataran Sibu malam tadi sempena Festival kedua Kuih bulan/tanglung Sibu.

"Kami tahu identiti mereka yang terbabit, kami sedang mengawasi mereka, beri kami sedikit masa untuk kami tahan mereka," tambahnya. Shafie berkata kecurian itu didapati semakin serius di seluruh negeri dan polis percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket terancang. - Bernama

PM tentang sekeras-kerasnya pelakukan puak pelampau di Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak-puak pelampau yang terdiri daripada kumpulan atau individu yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain.

"Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi.
"Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini," katanya di dalam entri terbaru bertajuk "Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau" dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini.
Najib berkata, kesedihan yang beliau rasakan itu adalah disebabkan golongan itu menolak cara hidup masyarakat di negara ini yang berbeza-beza serta menolak gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, ketika negara menyambut satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia esok (pembentukan Malaysia pada 16 September 1963), terlalu banyak yang perlu dibanggakan kerana Malaysia kini sebuah negara yang sedang membangun dan cemerlang dalam banyak bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan, hab halal, perubatan dan banyak lagi.

Katanya, Malaysia bertuah kerana berupaya melalui pengalaman dalam pelbagai budaya, beraneka makanan dan kepercayaan agama yang berbeza tanpa perlu pergi lebih jauh ke luar negara.

"Sungguhpun kita telah mencapai sekian banyak kejayaan, namun ianya menggusarkan hati saya apabila melihat kemunculan isu-isu yang berpunca daripada faham pelampau di negara kita.
"Ia bukan terhad kepada fahaman bersifat perkauman sahaja. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka," katanya.

Najib berkata, oleh sebab itu, faham pelampau di negara ini terangkum kepada segala macam faktor, termasuk pertentangan kaum, seni, budaya, cara hidup dan sebagainya.

Beliau berkata, sungguhpun bilangan kumpulan ini agak kecil, namun kehadiran mereka diperbesar-besarkan melalui sentimen dan tindakan melampau mereka, bagaimanapun kerajaan akan terus mengawasi kumpulan-kumpulan seperti ini.

"Kita telah menangani beberapa kejadian ekstrem dengan berkesannya di Malaysia, umpamanya kumpulan militan yang cuba membangkitkan konflik dan ternyata benar-benar merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kami akan terus melindungi rakyat dan negara daripada ancaman dari dalam ataupun luar, melalui darat, laut, udara mahupun ruang siber," katanya.

Najib berkata, beliau juga bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menahan diri daripada bertindak balas terhadap contoh perbuatan pelampau di rantau ini juga di seluruh dunia, malah sebaliknya mempamerkan kematangan sebagai satu bangsa dan sebagai 1Malaysia.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus tenang dan berfikiran rasional dalam menghadapi kenyataan sedemikian. Dengan memberikan respons sepertimana yang mereka lakukan hanya akan menyemarakkan lagi ketegangan antara dua negara dan akan menjadi halangan kepada kemajuan ktia sendiri," katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi telah terjejas oleh tindakan-tindakan ekstrem itu dan selalunya jalan ke arah pemulihan itu sering kali panjang dan menyulitkan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mampu berperanan mengekang faham pelampau di tanah air kita dengan mendidik diri kita sendiri dan menyertai dialog yang sempurna dari segi pemikiran dan rasional.

"Maka kefahaman yang lebih mendalam mampu dicapai antara dua pihak yang berpandangan berbeza. Kita mesti memupuk kebijaksanaan kita untuk lebih terbuka kepada pandangan dan idea yang berbeza," katanya.

Najib berkata, rakyat Malaysia mesti melatih diri untuk mengaplikasikan diplomasi dalam interaksi harian dengan orang lain dan perlu menerima 1Malaysia sebagai falsafah dalam menyelesaikan konflik kerana ia tentu akan memanfaatkan rakyat sebagai satu bangsa. - Bernama

Pengurusan industri perikanan cekap sediakan sumber makanan untuk 20 juta penduduk

VANCOUVER: Kajiselidik yang dijalankan pakar sains dan ahli ekonomi menjangkakan pengurusan yang lebih baik terhadap sektor dunia perikanan mampu menyediakan makanan kepada 20 juta orang seluruh dunia, khususnya kepada negara miskin.
Penyelidik di Pusat Perikanan Vancouver mengeluarkan laporan hari ini unjuran global pertama terhadap nilai industri itu, iaitu AS$240 bilion, tetapi memberi amaran langkah kerajaan mengeluarkan subsidi menggalakkan lebihan tangkapan ikan yang mampu memusnah sumber itu.
"Kerja yang dilakukan adalah analisis gambaran sebenar nilai sektor perikanan untuk penduduk dunia," kata saintis Kumpulan Alam Sekitar Pew, Rebecca Goldburg. - AFP

14 maut hari ke-12 Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Empat belas kematian dicatat pada hari
ke-12 Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 3 September lalu sebanyak 201 orang.
Menurut laman web Polis Diraja Malaysia, mereka yang terkorban melibatkan
sembilan penunggang motosikal, tiga pengguna kereta, seorang penunggang basikal
dan seorang pejalan kaki.

Jumlah kematian yang dicatat pada hari ke-11 kempen itu ialah 14 orang.

Selain itu, sebanyak 1,062 kemalangan dilaporkan semalam dengan 104 di lebuh raya, 268 di jalan persekutuan, 196 jalan negeri, 433 jalan bandaran
dan 61 lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 12,516 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Ops Sikap sempena sambutan Aidil Fitri itu akan berakhir Jumaat ini. -- BERNAMA