Followers

Tuesday, November 30, 2010

ASEAN teruskan perjanjian perdagangan melepasi WTO: Najib

KUALA LUMPUR: ASEAN telah menyuarakan hasratnya untuk melihat lebih banyak rundingan perdagangan digerakkan semula dan Malaysia sendiri akan meneruskan perjanjian perdagangan melepasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembukaan pasaran secara adil dan seimbang akan membetulkan ketidakseimbangan dalam jangka panjang dan pada masa yang sama meningkatkan peluang untuk mewujudkan pekerjaan dalam jangka pendek dan sederhana.
Pada pasca krisis kewangan global, saya yakin adalah menerusi langkah pembukaan perdagangan yang membolehkan kita mengembalikan kemakmuran dalam ekonomi negara membangun dan baru muncul, dan seterusnya ekonomi dunia secara keseluruhannya," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptama apda Seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan ASEAN Ketujuh di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan asing di ASEAN sudah melepasi peruntukan modal yang mudah, dengan membawa masuk teknologi, kemahiran dan rangkaian kepada pasaran dunia.

Sebagai pulangan, pelaburan asing dalam ASEAN sudah berjaya menarik pulangan lumayan dengan keuntungan bersih dan dividen untuk bukan penduduk, antara AS$500 juta hingga AS$14 bilion, merentas pelbagai negara pada 2009. - BERNAMA

Rafidah nafi hubungan dengan Dr Mahathir terjejas

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz, menegaskan bahawa hubungan erat antara beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pernah terjejas di sebalik percanggahan pendapat mereka berhubung isu Permit Import (AP) lima tahun lalu.
Rafidah, sebaliknya menafikan laporan media yang mengatakan beliau dan Dr Mahathir sudah tidak sehaluan lagi dan beliau masih menghormati tokoh negara itu serta masih menghubunginya seperti biasa untuk membincangkan isu yang berkaitan.
"Seperti anda boleh lihat, memang (kemesraan) tak pernah luntur atau terjejas. Cuma kita bukan dalam Kabinet dah...tak adalah mesyuarat hari hari.
"Saya dengan Tun masih seperti biasa, saya masih menghubungi beliau, masih ke pejabat beliau dan masih berjumpa dengan beliau dalam majlis sebegini," katanya selepas mengendalikan Forum Malaysia-Eropah (MEF) Kuala Lumpur ketiga di sini hari ini.

Dalam forum berkenaan, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama dan turut meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada perwakilan berhubung suasana politik, isu semasa dan sejarah kecemerlangan beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

Ketika mengendalikan sesi soal-jawab bersama Dr Mahathir, Rafidah kelihatan mesra dan sering melemparkan senyuman kepada negarawan itu serta turut sama mengulas setiap soalan dan jawapan yang diberikan.

Dua tokoh itu juga duduk bersebelahan ketika jamuan makan tengah hari dan kelihatan rancak berbual, sekali gus menafikan desas desus yang mengatakan mereka masih menghadapi krisis.
Pada 2005, Rafidah, yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menjadi sasaran kecaman selepas Dr Mahathir membangkitkan isu berkaitan Permit Import kereta yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Rafidah dan Dr Mahathir saling membalas kenyataan berhubung isu kontroversi tersebut hingga mendorong banyak pihak menyarankan agar Rafidah memohon maaf kepada Dr Mahathir berikutan kenyataan beliau yang mereka anggap mengguris hati bekas perdana menteri itu.

Ketika diminta mengulas mengenai forum bertemakan "Menoleh ke Belakang Untuk Mara Ke Hadapan" itu, Rafidah yang juga penaung dan penasihat MEF berkata, program itu diadakan bagi memastikan pihak Malaysia dan Eropah saling memahami dasar yang dibawa masing-masing terutamanya dalam soal pelaburan.

Selain Dr Mahathir yang menyampaikan ucaptama, forum berkenaan turut menyaksikan penyampaian kertas kerja oleh Timbalan Ketua Setiausaha MITI Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, wakil dari Kedutaan Norway Ashild Kjok, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Datuk Iskandar Mizal Mahmood, dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia Kesatuan Eropah David Jones.

"Tujuan forum ini adalah untuk mempereratkan lagi kaitan ekonomi antara kedua-dua pihak, dan juga untuk menjelaskan kedudukan negara kepada Eropah, kerana kadang-kadang salah tafsir mereka terhadap dasar kita mengakibatkan ketidakcenderungan pelancong untuk melawat, melabur dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Program sebegini diharap dapat membantu kerajaan memperjelaskan kedudukan Malaysia sebagai negara dinamik di rantau Asia dan Asean di samping menerangkan kepada Eropah tentang dasar-dasar mereka yang menjadi kebimbangan kepada kita," katanya.

Forum itu turut dihadiri 250 pewakilan terdiri daripada ahli perniagaan, pegawai kerajaan, ahli akademik, dan pertubuhan pelajar dari dalam dan luar negara. - BERNAMA

Malaysia, China akan meterai MoU di Beijing tahun depan

PUTRAJAYA: Malaysia dan China akan menandatangani memorandum (MoU) untuk membina kerjasama dalam beberapa isu yang membabitkan dua negara, termasuk usaha memerangi kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, dan jenayah antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata MoU itu diharapkan dapat ditandatangani di Beijing tahun depan.
"Mulai hari ini perincian berhubung perkara itu sedang diusahakan, untuk melihat kepada terma-terma bagi membina kerjasama rapat dua negara," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Duta Besar China ke Malaysia, Chai Xi, di sini.
Beliau berkata, perbincangan itu amat penting dalam persekitaran yang cukup mencabar bagi kedua-dua negara.

"Kami sedang melihat kepada hubungan jangka panjang dan pengurusan yang berkaitan bukan sahaja antara kerajaan dua negara, tapi juga dari aspek hubungan antara jabatan kerajaan dua negara dengan fokus bersama yang merujuk kepada hubungan masa depan," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada isu berkaitan kemasukan wanita warga China untuk bekerja secara haram di Malaysia, Hishammuddin berkata isu itu ada dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua negara.

"Adalah penting bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama rapat di peringkat pihak berkuasa dan perisikan dalam perkara ini, dan kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan hubungan kerja ini, dan percaya bahawa ia adalah demi manfaat kedua-dua negara," katanya.
Sementara itu, Chai yang berada di sini sejak lima bulan lalu berkata kedua-dua pihak bersetuju dengan bentuk hubungan dan kerjasama, terutama dalam bidang keselamatan.

"Jika anda lihat kepada keadaan di rantau sini, negara-negara di sini menikmati keamanan dan kestabilan, namun pada masa yang sama berhadapan dengan beberapa isu. Jadi negara-negara di rantau ini, terutama Malaysia dan China perlu berganding bahu menangani segara masalah yang dihadapi secara bersama," katanya. - BERNAMA

Keuntungan pracukai suku kedua Petronas naik kepada RM18.2 bilion

KUALA LUMPUR: Petronas mencatatkan keuntungan pracukai RM18.2 bilion untuk suku kedua berakhir 30 September 2010, naik 9.6 peratus daripada RM16.6 bilion dalam suku yang sama tahun lalu.
Pendapatan pula mengukuh 10.3 peratus kepada RM57.0 bilion daripada RM51.7 bilion.
Untuk enam bulan berakhir 30 September 2010, keuntungan pracukai syarikat minyak negara ini melonjak 26.9 peratus kepada RM39.6 bilion daripada RM31.2 bilion.
Pendapatan syarikat menambah 17.6 peratus kepada RM115.5 bilion berbanding RM98.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bercakap pada persidangan akhbar untuk mengumumkan keputusan kewangan suku keduanya, presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata prestasi yang lebih baik pada suku kedua dirangsang oleh permintaan dan harga yang tinggi. - BERNAMA

Dr Mahathir yakin BN boleh menang dengan majoriti lebih baik

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti lebih baik pada pilihan raya umum akan datang berbanding dengan pilihan raya umum 2008.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan kini masih kuat dan mungkin marjin kemenangan adalah sesuatu yang baik.
"Saya benci untuk meramal perkara ini kerana ia mungkin tidak diterima dengan sangat baik, tetapi saya fikir menang kuat adalah sangat penting...dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan masih menang dan majoriti mungkin lebih baik daripada 2008," katanya ketika ditanya mengenai ramalan beliau bagi pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Lanskap Politik Malaysia - Pengalaman, Perspektif dan Pemikiran" pada Dialog Forum Malaysia-Eropah (MEF) Kuala Lumpur ketiga 2010 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pilihan raya umum 2008 menyaksikan pencapaian BN terlalu teruk kerana tewas di lima negeri dan Kuala Lumpur, serta gagal memperoleh majoriti dua pertiga bagi memerlukan untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

"Pilihan raya 2008 jelas menunjukkan bahawa BN telah kehilangan sokongan bukan hanya daripada mereka yang bersimpati tetapi juga anggota parti komponen. Malah kubu kuat BN juga tewas," kata Dr Mahathir yang memegang tampuk kepimpinan kerajaan selama 22 tahun.

Beliau berkata, hanya beberapa orang sahaja yang berani mengkritik pemimpin atau kerajaan perdana menteri kelima (penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi), tetapi selepas pilihan raya umum 2008, mereka merasakan kepimpinanlah yang paling dikutuk kerana kekalahan itu dan mereka meminta untuk satu perubahan dalam kepimpinan negara.
"Pengkritik dihalang daripada berucap pada perjumpaan anjuran parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu kerana menyedari bahawa kerajaan bimbang dengan kritikan dengan pembangkang sentiasa menyerang," katanya.

Bercakap mengenai demokrasi, Dr Mahathir berkata Malaysia bukan satu demokrasi yang liberal kerana ada hadnya mengenai apa yang dipanggil kebebasan demokrasi, tetapi Malaysia telah menunjukkan demokrasinya adalah bebas sepenuhnya bagi mereka yang membangkang kerajaan untuk memenangi pilihan raya dan malah untuk menewaskan parti kerajaan dan mengambil alih pentadbiran negeri.

"Demokrasi mungkin sistem politik yang paling baik yang pernah dicipta oleh manusia, seperti benda lain yang dicipta oleh manusia, ia bukan sempurna. Pastinya demokrasi liberal tidak boleh dilakukan dengan mereka yang hanya tahu mengenai pemerintahan kuku besi atau rasuah.

"Malaysia bukan model demokrasi yang sempurna tetapi pengundi boleh, jika mereka ingin berbuat demikian, tukar kerajaan hanya dengan pengundian dalam pilihan raya bebas, itulah intipati demokrasi," katanya. - BERNAMA

PDRM perlu kaedah khusus tangani isu berprofil tinggi

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyediakan satu mekanisme khusus untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai sesuatu isu terutama yang membabitkan kes berprofil tinggi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata mekanisme itu perlu dilaksanakan supaya PDRM sentiasa dilihat telus, terbuka dan adil ketika menyiasat kes yang menjadi perhatian umum serta mendatangkan persoalan kepada orang ramai.
Bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta China ke Malaysia Chai Xi hari ini, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada PDRM untuk mencari mekanisme bersesuaian.
"Kementerian akan bimbing dengan fahaman negara-negara jiran kerana ia turut berlaku di China atau negara jiran lain, bagaimana mereka menyampaikan maklumat terkini, tetapi tidak menjejaskan siasatan atau tidak menganiaya orang tidak berdosa.

"Tapi pada masa sama, kalau salah dalam menjalankan tugas, mereka yang salah itu tetap diadili," katanya.

Beliau mengulas beberapa insiden berhubung tindakan polis menembak mati penjenayah di negara ini, termasuk kes Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11, Shah Alam, April lalu.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata jumlah kes seperti itu tidak banyak di negara ini, namun sering disensasikan oleh pihak tertentu.
"Tapi dalam keadaan hari ini, kita kena faham di mana maklumat secara meluas dapat sampai kepada khalayak ramai, dan maklumat tadi disalah tafsir kalau tidak dijawab dengan cepat.

"Mungkin itu satu situasi yang harus kita tangani. Sebab itu, pusat media diwujudkan di Bukit Aman mengenai cara bagaimana kita menerangkan sesuatu siasatan," katanya.

Mengenai garis panduan yang memberi definisi terperinci berhubung kesalahan hasutan dalam kontek dunia siber, Hishammuddin berkata beliau difahamkan draf mengenainya sudah siap.

"Tapi saya tidak tahu sama ada Nazri (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) atau Rais (Datuk Seri Dr Rais Yatim) nak bawa ke kabinet Jumaat ini, atau umumkan terus kepada khalayak ramai," katanya. - BERNAMA

Kerajaan tanggung kerugian jika projek Langat 2 tidak selesai

KUALA LUMPUR: Kerajaan serta beberapa pihak lain bakal menanggung kerugian sekiranya pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) untuk bekalan air di Lembah Klang tidak dapat diselesaikan sehingga hujung tahun ini.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata keengganan kerajaan negeri Selangor untuk memberi persetujuan terhadap pengambilan tanah, permit memasuki kawasan rizab hutan dan pengeluaran Arahan Pembangunan telah menambah kos tanggungan kerana pembinaan loji itu sepatutnya bermula Ogos lalu.
"Projek ini sudah tender dan pihak kontraktor sedang membuat kerja-kerja mengikut jadual dan kalau terowong siap pada 2014 ikut jadual tetapi loji tidak siap maka kontraktor tak dapat komisen... projek-projek itu akan tergendala," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Chin berkata, kerajaan Pahang yang telah memberi kerjasama untuk menyalurkan air kepada rakyat negeri Selangor turut terpaksa menanggung kerugian berikutan kelewatan itu.

"Disebabkan projek tak dapat dilaksanakan, royalti tak dapat dibayar kepada Pahang dan mereka terpaksa menanggung kerugian kerana tak dapat menerima royalti seperti yang dijadualkan akibat projek tergendala itu," katanya.

Katanya, projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor dijadualkan siap sepenuhnya pada pertengahan 2014 dengan keupayaan membekalkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari.

Beliau berkata, projek Langat 2 dan Sistem Agihan sedia dilaksanakan setelah kajian reka bentuk awal projek itu siap dijalankan pada 31 Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Selangor lebih prihatin kepada kebajikan rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengelakkan kawasan Lembah Klang kepada risiko defisit air menjelang 2014.

Chin berkata, pemindahan air dari Pahang ke Selangor dilaksanakan melalui Skim Penyaluran Air Mentah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2005.

Beliau berkata, setakat ini semua komponen projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor telah ditender iaitu dua daripadanya iaitu pakej terowong dan stesen pam kini dalam pelaksanaan manakala dua lagi dijangka dimulakan pada hujung tahun ini. - BERNAMA

BM Kertas 2 tak perlu diduduki semula: KP

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menafikan khabar angin bahawa calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 berkemungkinan perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Dua yang dijalankan pada 23 November lalu.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, peperiksaan subjek itu sah dan calon-calon yang menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula kertas tersebut.
"Saya ingin menegaskan di sini supaya ibu bapa dan terutamanya calon-calon peperiksaan supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta ibu bapa dan calon-calon peperiksaan supaya tidak risau atau bimbang kerana Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti atau standard peperiksaan berada pada tahap yang baik.

Abd Ghafar berkata sehingga hari ini, peperiksaan SPM yang bermula pada 23 November lalu dan berakhir pada 20 Disember depan berjalan baik dan lancar seperti yang telah dijadualkan.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai peperiksaan SPM 2010 boleh dikemukakan kepada Bilik Gerakan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia yang beroperasi setiap hari peperiksaan dari pukul 7 pagi hingga 6 petang atau menghubungi talian 03-8889 3551, 03-8889 3601 atau 03-2889 3520. - BERNAMA

Warisan Merdeka diteruskan selagi berdaya maju: Najib

KUALA LUMPUR: Pembinaan Menara Warisan Merdeka akan tetap diteruskan selagi kajian mendapati ia berdaya maju daripada segi kewangan, menyumbang kepada pembangunan kawasan berkenaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ia adalah projek jangka panjang dan tidak harus dilihat bagi tempoh satu atau dua tahun.

Pelan Induk Kesaling Hubungan ASEAN percepatkan AEC: Najib

KUALA LUMPUR: Penggunaan Pelan Induk Kesaling Hubungan Asean oleh pemimpin perkumpulan itu akan mempercepatkan langkah ke arah Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang 2015, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Beliau berkata pelan kesaling hubungan itu, yang dibentuk dengan pakar antarabangsa, akan menambah baik hubungan infrastruktur, mengurangkan sekatan kawal atur kepada pergerakan barangan dan memudahkan perjalanan.
"Ini akan meningkatkan pelaburan dan perdagangan serantau serta mengukuhkan pertumbuhan persaingan dalam Asean dan dengan negara jiran Asean seperti India, China, Jepun dan Korea Selatan," kata beliau dalam ucaptama pada Seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean (AFMIS) Ketujuh di sini.
Bagi meningkatkan kesaling hubungan pasaran modal, hubungan dagangan elektronik dikenali sebagai Pintu Masuk Bursa Bersama Asean telah diwujudkan, yang akan meningkatkan kemampuan perkumpulan menjalankan dagangan merentasi pasaran.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Dana Infrastruktur Asean bagi menyokong projek-projek infrastruktur di rantau ini, kini berjumlah kira-kira AS$335 juta, dengan Malaysia dan Bank Pembangunan Asia masing-masing menyumbang AS$150 juta.

Perdana Menteri berkata hasil sokongan pembiayaan infrastruktur penting untuk pertumbuhan Asean.

"Kenaikan satu peratus dalam perbelanjaan infrastruktur di Asia boleh meningkatkan penggunaan persendirian sebanyak satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, hasil penting yang akan memberi faedah kepada komuniti pelaburan yang lebih luas serta negara-negara Asean," katanya.
Perdana Menteri berkata kini terpulang kepada sektor swasta untuk mengambil kesempatan terhadap regim yang ditambah baik yang dilaksanakan oleh pengawal selia pasaran modal.

"Pelabur sektor swasta kini boleh membangunkan lebih banyak produk yang mempunyai tarikan serantau, mengendalikan lebih banyak tawaran rentas sempadan serta meneroka peluang bersama untuk menjalankan perniagaan rentas sempadan yang lebih luas," katanya.

Najib berkata Asean juga melaksanakan pelbagai langkah untuk membina pasaran modal bersepadu dan mewujudkan kelas aset Asean untuk pelabur, dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukannya sebagai sumber bertanggungjawab dan moden untuk komuniti global.

"Pada peringkat kitaran perniagaan, kita amat memahami yang kekuatan Asean, dan Asean sebagai tempat pilihan pelaburan, ditingkatkan setelah Asean penuh tanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyokong pelaburan dan pertumbuhan global," katanya.

Sebaliknya, Asean mengharap kepada tindakan yang bertanggungjawab yang sama oleh pelabur antarabangsa dan domestik memandangkan mereka berkongsi faedah apa yang ditawarkan rantau ini, katanya.

Perdana Menteri juga menyentuh mengenai keperluan untuk membangunkan industri dana pencen swasta bagi membolehkan pekerja merancang dan menguruskan kekayaan untuk persaraan, terutama dengan demografi Asean yang lebih kepada penduduk golongan muda.

Beliau berkata dengan melaksanakan "tanggungjawab bersama tetapi berbeza", Asean menjadi rantau pilihan untuk pelabur yang mahukan pelaburan bertanggungjawab dari segi sosial.

Seminar sehari itu pertama kali diadakan selepas krisis kewangan global bermula pada 2008.

Lapan daripada 10 Menteri Kewangan Asean menghadiri forum berkenaan.
- BERNAMA

Israel dalang pembunuhan saintis nuklear: Ahmadinejad

TEHRAN: Presiden Iran menuduh Israel dan Barat menjadi dalang dalam dua serangan bom yang membunuh seorang ahli sains nuklear dan mencederakan seorang lagi dalam serangan di jalan raya di Tehran semalam.
Mahmoud Ahmadinejad turut mengakui untuk pertama kalinya bahawa cecacing komputer menjejaskan alat emparan program pemeringkatan uranium Iran.
Ahmadinejad dan pegawai Iran lain berikrar program nuklear itu tidak akan terjejas akibat apa yang beliau sifatkan sebagai kempen sabotaj, sama ada menerusi pembunuhan atau virus komputer.
Dua serangan bom itu dilancarkan penyerang bermotosikal yang melekatkan bom bermagnet pada kereta dua ahli sains nuklear yang memandu ke tempat kerja di dua bahagian ibu negara Iran semalam.

Bom terbabit meletup beberapa saat kemudian dan membunuh seorang ahli sains dan mencederakan seorang yang lain serta mencederakan isteri kedua-dua mangsa.

Sekurang-kurangnya dua ahli sains nuklear Iran dibunuh sejak beberapa tahun lalu, seorang daripada menerusi kaedah sama seperti semalam. - AP

Kerajaan awasi tiada unsur penghinaan perkara khilaf: Mashitah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengawasi dengan rapi untuk memastikan tidak wujud sebarang unsur penghinaan terhadap perkara yang khilaf antara empat mazhab agama Islam berikutan kedatangan ramai pengunjung Islam dari luar negara ke Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata kerajaan telah mengarahkan anak kariah memberi maklumat atau membuat aduan segera kepada Majlis Agama Islam sekiranya terdapat unsur yang mencetuskan fitnah berhubung perkara itu.
"Misalnya berdasarkan pentadbiran undang-undang Islam di Wilayah Persekutuan, perkara yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak boleh disebar atau diajar.
"Kita sedar ada perkara khilaf antara empat mazhab ini, cuma yang kita pelihara sekarang ialah supaya tidak ada unsur penghinaan ditimbulkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Nasharudin membangkitkan persoalan mengenai sensitiviti perbezaan mazhab berikutan kemasukan ramai pelancong, pelajar dan juga pemastautin beragama Islam ke Malaysia dari luar negara termasuk Iran.

Mengenai pembinaan rumah ibadat terutama di kawasan-kawasan perumahan baru yang dibangkitkan oleh Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil), Mashitah berkata satu garis panduan mengenai perkara itu sedang diteliti untuk menyelesaikan isu berkaitan dalam masa terdekat.

"Garis panduan ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut bertindak sebagai anggota jawatankuasa pelaksanaan itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu sensitif berkaitan agama dalam masyarakat di negara ini masih terkawal.

Katanya, JAKIM juga bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti majlis dan jabatan agama Islam negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengadakan pelbagai program bagi mendekati dan memberi kesefahaman serta membina hubungan baik kepada masyarakat bukan Islam. - BERNAMA

Penjawat awam perlu tingkat produktiviti untuk jayakan GTP: TPM

KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu terus berusaha meningkatkan produktiviti bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Model Ekonomi Baru mengakui bahawa produktiviti sektor awam tidak banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Perubahan dalam produktiviti semua penjawat awam adalah penting kerana hanya dengan ini sahaja penyampaian perkhidmatan dan output kerajaan dapat diperkukuhkan," katanya dalam ucaptamanya pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-15 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; dan Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf.

Muhyiddin berkata, struktur institusi perkhidmatan awam juga perlu direkayasa semula dan ditingkatkan, memudahkan proses dan prosedur bagi membolehkan penyertaan aktif sektor swasta dan rakyat dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar.

"Ini akan menginstitusikan perkongsian kuasa dan pembuat dasar secara formal dalam kerajaan atau institusi," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan awam juga perlu responsif kepada harapan rakyat kerana mereka kini hidup dalam era digital dan sarat dengan maklumat yang akan mendedahkan mereka kepada maklumat yang tidak betul.
"Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber yang kadang kala mungkin tidak betul.

"Dengan itu, perkhidmatan awam perlu mampu menangani isu-isu dan masalah yang diketengahkan oleh orang ramai secara efisyen dan profesional," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam proses ini kerajaan tidak mungkin dapat menyediakan semua mekanisme bagi warganegara, begitu juga jentera kerajaan, mereka perlu bersikap dan berfikiran terbuka kepada semua inisiatif.

"Dalam hal ini, perkhidmatan awam perlu menggalakkan dan menyokong persekitaran yang lebih kondusif di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Ia mewakili pandangan bahawa warganegara boleh membantu diri mereka dengan menjadi peserta yang aktif daripada hanya sebagai penerima program pembangunan.

"Tambahan pula, pembangunan berjalan lancar jika idea itu datang dari bawah ke atas dan bukan dari atas ke bawah," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata sinergi dalam sektor awam-swasta memerlukan satu keseimbangan dalam idealisme dan pragmatisme, sumber yang terkumpul dan kesediaan untuk bertolak ansur.

Bagi mencapai tujuan ini, kerajaan perlu berani melaksanakan perubahan bagi menyesuaikan semula rangka kerja institusi di Malaysia dan cara interaksi antara sektor awam-swasta dengan rakyat.

"Sudah tiba masanya bagi kita memikirkan semula dan membentuk semula rangka kerja institusi kita untuk menjadi model yang lebih baik dan berdaya saing bagi memastikan kelestarian pertumbuhan Malaysia.

"Satu rangka kerja tadbir urus bagi Malaysia adalah perlu. Kerajaan akan menyokong kerjasama yang lebih baik antara sektor awam, sektor swasta dan rakyat bagi meningkatkan penyampaian objektif politik, ekonomi dan sosial, katanya. - BERNAMA

Usul bincang kenyataan berbaur perkauman ditolak

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul membincangkan kenyataan berbaur perkauman oleh guru penyelia peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Lukut, 24 November lalu.
Usul dikemukakan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di kamarnya.
Er pada sidang media selepas itu berkata, usul itu ditolak atas alasan ia tidak perlu disegerakan berikutan Kementerian Pelajaran sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu.

Monday, November 29, 2010

Tiada peruntukan tetap kepada isteri PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menyediakan peruntukan tetap atau peruntukan kunjungan luar negara tahunan secara khusus kepada isteri Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata isteri Perdana Menteri bagaimanapun layak menerima dan menuntut perbelanjaan tertentu seperti kelayakan elaun makan, penginapan, sara hidup dan pakaian panas.
"Ia termaktub di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) berkenaan elaun-elaun dan keistimewaan bagi Perdana Menteri.
"Akta itu menyatakan isteri Perdana Menteri yang mengiringi semasa lawatan rasmi atau semasa membuat lawatan rasmi secara bersendirian ke luar negara atau dalam negeri adalah layak menerima dan menuntut perbelanjaan seperti kelayakan elaun makan, penginapan, sara hidup dan pakaian panas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Liew mahu Perdana Menteri menyatakan bilangan kakitangan kontrak dan tetap, peruntukan tetap, peruntukan kunjungan luar negara dan kemudahan lain yang diperuntukkan untuk isteri Perdana Menteri dari 2000 hingga 2010.

Najib berkata tiada kakitangan tetap dan kontrak yang disediakan khusus untuk isteri Perdana Menteri berikutan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dari semasa ke semasa membantu isteri Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi beliau. - BERNAMA

Korea Selatan beri amaran jangan teruskan provokasi

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak hari ini berkata beliau bertanggungjawab kerana gagal melindungi warga negara itu daripada serangan artileri tentera Korea Utara, minggu lalu dan memberi amaran agar Korea Utara jangan meneruskan provokasi.
Beliau berkata, serangan ke atas pulau kecil di Korea Utara itu oleh jirannya, Korea Utara yang mengorbankan empat orang sebagai 'jenayah yang tidak berperikemanusiaan'.
Myung-bak berkata demikian dalam ucapannya kepada seluruh negara di kediamannya di sini, sebentar tadi.
Beliau berucap bagi menjelaskan serangan Korea Utara terhadap negara itu serta latihan bersama tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat di perairan negara itu. - Reuters

Ringgit dijangka cecah RM2.20 berbanding dolar AS menjelang 2012: MIA

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mencecah RM2.20 berbanding dolar AS menjelang 2012, berikutan pengukuhan berterusan mata wang tempatan itu, kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA), Datuk Dr P.H.S. Lim.
"Ringgit, serta mata wang Asia yang lain, semakin menarik dan laris disebabkan oleh masalah kewangan selanjutnya dalam kesatuan Eropah dan memomentum ekonomi AS yang semakin perlahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lim berkata keluaran dalam negara kasar Asia dijangka mencecah 7.1 peratus berbanding purata global iaitu 4.8 peratus bagi 2011.
Beliau berkata Rizab Persekutuan AS sedang menyerap bil Perbendaharaan bernilai AS$600 bilion dan pada masa yang sama, mencetak lebih banyak wang kertas baru.

"Ini menyebabkan beberapa kerajaan menyarankan emas digunakan sebagai rizab, sekali gus menyebabkan harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada AS$1,364 bagi seauns," katanya.

Lim berkata, kerajaan AS terus memberikan tekanan kepada China untuk memperkukuh renminbi agar barangan China kurang berdaya saing.
Bagaimanapun, kata Lim, mata wang bukan satu-satunya faktor dalam pengeluaran dan perkhidmatan.
"Upah AS terlalu tinggi dan merupakan 60 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran dan perkhidmatan," katanya sambil menambah bahawa perang perdagangan dan mata wang saling berkait.

"Kita telah melihat perang perdagangan AS-Jepun dalam tahun-tahun 80-an dan sejarah sentiasa berulang. Sesetengah negara mencadangkan agar mata wang Amerika digantikan sebagai mata wang dan rizab antarabangsa," katanya.

Malah, banyak bank pusat meletakkan rizab di bawah nilai mata wang lain dan emas, katanya.

Beliau berkata pengurus dana, pelabur antarabangsa terus membeli emas dan wang panas memburu aset Asian dan Brazil, Russia, India dan China, hingga mencetuskan kebimbangan tentang inflasi.

Lim berkata, EU menghadapi satu lagi pusingan krisis kewangan dan memerlukan 440 bilion (1 Euro=RM4.14) bagi langkah-langkah menyelamat anggota-anggotanya yang dibelenggu hutang.

EU dan tabung Kewangan Antarabangsa telah menubuhkan dana bernilai 750 bilion untuk membantu Greece pada Mei, katanya.

"Kini Sepanyol menghadapi kemungkinan berlakunya krisis kewangan. Beberapa negara anggota tidak begitu gembira untuk menyediakan dana tambahan bagi kestabilan kewangan Eropah.

"Keadaan ini mungkin mendorong mata wang dan harga emas di Asia meningkat lagi," katanya. - BERNAMA

Sudan boikot Sidang Kemuncak EU-Afrika

TRIPOLI: Sudan yang Presidennya, Omar al-Bashir berdepan waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa akan memboikot Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU)-Afrika di Tripoli, Libya yang dijadual hari ini dan esok.
“Presdien Bashir tidak akan menghadiri sidang kemuncak," kata Menteri Luar Sudan, Ali Ahmad Karti dalam satu kenyataan hari ini.
“Kami akan menarik diri dan tidak akan diwakili sesiapa pada sebarang peringkat," katanya.
Beliau berkata, ketidakhadiran Bashir di Tropoli itu bagi mengelak daripada memalukan Libya yang menjadi tuan rumah kepada 80 negara pada sidang kemuncak itu.

Bashir dihadapkan ke mahkamah antarabangsa pada Mac 2009 kerana kesalahan jenayah perang dan pada Julai lalu beliau didakwa atas kesalahan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang dikaitkan dengan kekejaman tentera di
Darfur. - AFP

Sultan Selangor dukacita orang Melayu gadaikan perkataan Melayu

SHAH ALAM: Sultan Selangor hari ini melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan Melayu itu sendiri untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai 'Tanah Melayu' , 'Negeri Melayu Bersekutu' dan Raja Melayu sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.
Sultan Selangor turut melahirkan rasa bangga dan sukacita dengan langkah kerajaan Malaysia yang akan menjadikan subjek Sejarah sebagai syarat wajib untuk dipelajari oleh rakyat di sekolah negara ini.
"Beta percaya dengan arahan ini ia akan membuka minda dan kefahaman dari pengetahuan berhubung peranan penting yang berlaku dalam sejarah tanah air untuk tidak timbulnya syak wasangka dan persoalan yang mencurigakan hingga timbul salah faham terhadap sesama rakyat di negara yang kita kasihi ini," titah Sultan Selangor pada Wacana Raja Berpelembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini.

Gerakkan rizab negara, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Malaysia yang besar jumlahnya boleh digerakkan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Rizab kita hari ini terlalu tinggi. Kita ada rizab berjumlah lebih AS$100 bilion, yang boleh menampung lapan bulan import tertangguh," katanya.
"Negara hanya memerlukan rizab bagi hingga tiga atau empat bulan import tertangguh," katanya dalam ucapannya pada acara "Revisiting Vision 2020" anjuran Institut Pemasaran Malaysia di sini hari ini.
"Daripada AS$100 bilion itu, kita sebenarnya boleh menggerakkan AS$50 bilion, yang akan membantu kerajaan.

"Kerajaan berkata ia tidak ada wang untuk berbuat itu dan ini, tiada wang untuk memberi subsidi. Jadi, kenapa tidak gunakan wang ini," katanya.

Semasa krisis kewangan Asia 1997/98, rizab luar negara Malaysia berjumlah hanya AS$17 bilion dan semasa pemulihan jumlahnya ialah AS$30 bilion, katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti sama ada rizab yang lebih tinggi itu disebabkan oleh penyurunan nilai dolar AS atau itu merupakan rizab sebenar negara.
Dolar AS jatuh nilainya sebanyak kira-kira 20 peratus berbanding ringgit.

Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa setakat 15 November, rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM326.5 bilion (bersamaan AS$105.8 bilion).

Kedudukan rizab ini mencukupi untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan adalah 4.5 kali hutang jangka pendek luar negara, kata Dr Mahathir.

Beliau juga berkata Malaysia dengan mudah boleh muncul sebagai negara kaya jika ringgit mengukuh ke paras sebelum krisis iaitu RM2.50 bagi setiap dolar AS.

Pada masa ini, ringgit berlegar pada sekitar RM3.1 berbanding mata wang Amerika itu. - BERNAMA

Skim AHB beri peluang Bumiputera nikmati kekayaan negara adil, saksama: PM

KUALA LUMPUR: Skim pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang dilancarkan hari ini memberi peluang kepada golongan Bumiputera untuk turut sama merasai kekayaan negara dan berjaya dalam lapangan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelancaran skim ini merupakan hasrat kerajaan untuk membawa perubahan besar kepada ekonomi negara agar kekayaannya tidak tertumpu kepada golongan atasan semata-mata.
"Kita tidak ingin melihat jurang antara mereka yang berpendapatan tinggi dan rendah semakin melebar, melalui usaha seperti ini maka kita dapat membantu untuk mengurangkan jurang ini.
"Ia juga dapat memberikan satu lagi instrumen di mana kekayaan negara kita ini boleh dimiliki oleh seberapa ramai rakyat Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan AHB di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Kamalul Arifin Othman.

Najib berkata kerajaan berpegang kepada prinsip bahawa kekayaan negara haruslah diagihkan secara adil dan saksama kerana sekiranya sebahagian besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan Bumiputera tidak dapat merasai kekayaan negara secara adil maka keadaan ini telah menafikan hak mereka.

"Ini juga tidak menyumbang kepada kestabilan politik negara kita pada jangka panjang. Kita tidak mahu menafikan hak golongan Bumiputera untuk terus melabur dan mencapai keinginan mereka berjaya dalam perniagaan dan lapangan ekonomi.
"Tentu sekali kalau golongan Bumiputera lalu-lalang di tengah kota raya dan kalau mereka mendongak ke atas dan melihat bangunan pencakar langit dan bangunan komersil dan mereka merasakan bahawa bangunan yang tinggi nilainya itu tidak dimiliki oleh mereka, maka sudah tentu ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kurang senang di kalangan golongan Bumiputera," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera berkata langkah memperkenalkan skim ini dibuat bukan sahaja untuk meluaskan penyertaan pemilikan Bumiputera dalam aset-aset komersil bernilai tinggi, tetapi juga untuk mencari satu kaedah agar pemilikan itu terus berkekalan.

"Kerajaan akan terus bantu supaya pelaburan Bumiputera dapat terus mencari peluang pemilikan hartanah yang strategik dan bernilai tinggi supaya hasrat kita untuk memperlihatkan sebuah negara yang lebih seimbang dari segi pembahagian kekayaan akan tercapai," katanya.

Skim AHB telah diumumkan Najib yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini bagi memberi peluang kepada golongan Bumiputera mempertingkatkan lagi pegangan mereka dalam hartanah-hartanah komersil di lokasi strategik dalam negara.

AHB yang bersaiz RM1 bilion adalah terbuka kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang berumur dari tiga bulan ke atas, dengan syarat pelabur yang berumur bawah 18 tahun perlu seorang penandatangan penjaga sah rakyat Malaysia.

Unit-unit akan diniagakan pada harga tetap RM1 seunit.

Pelabur Bumiputera boleh menyertai pemilikan benefisial aset hartanah dengan pelaburan minimum sebanyak RM500. - BERNAMA

Subsidi gula diteruskan pastikan liberalisasi harga dilaksana berperingkat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan subsidi gula tahun depan bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain memastikan proses ke arah liberalisasi harga dapat dilaksanakan secara berperingkat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata tindakan penamatan program subsidi akan menjejaskan kredibiliti kerajaan terutamanya di kalangan rakyat yang telah menikmati faedah besar daripada subsidi itu.
"Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan terpelihara akibat kesan kenaikan harga terutama barang keperluan semasa.
"Oleh itu kerajaan masih meneruskan subsidi bagi gula dan tepung gandum demi memastikan harga barangan akhir tidak meningkat secara mendadak," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tan berkata, kementerian bercadang untuk melanjutkan kontrak 2,000 orang Pegawai Pemantau Harga bagi tempoh tiga tahun bagi memantapkan lagi tugas-tugas pemantauan harga. - BERNAMA

Sunday, November 28, 2010

Rogol anak tiri, mekanik dihukum penjara 18 tahun, 6 sebatan

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan kepada seorang mekanik atas tuduhan merogol anak tirinya tiga tahun lalu.
Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, yang berumur 27 tahun.
Tertuduh yang berasal dari Langkawi disabitkan dengan kesalahan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya, berumur 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Kampung Huma Mukim Ayer Hangat, Langkawi pada 20 November 2007 kira-kira 6 petang.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376B akta sama.

Peguam tertuduh, K Kartikumar meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lalu, di samping dia juga terpaksa menyara ibu dan bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Rizal Fadzil memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang mencerminkan kepentingan awam terhadap tertuduh kerana semua masyarakat tidak dapat menerima perbuatan seperti itu.

Kartikumar kemudian memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan hukuman kerana beliau mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mohd Sabri membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga menunggu rayuan dan menetapkan tertuduh membayar jaminan RM7,000. - BERNAMA

PAS Kelantan tak tolak pembangunan: Nik Aziz

GUA MUSANG: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS, yang memerintah Kelantan selama 20 tahun sejak 1990, tidak pernah menolak pembangunan dan sentiasa memberi keutamaan untuk faedah rakyat.
"Saya masih ingat semasa saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dahulu ada pelbagai pihak yang menuduh saya macam-macam.
"Antaranya pemerintahan kerajaan PAS bawah pimpinan saya tidak lama kerana tidak mampu melaksanakan projek pembangunan tetapi ketabahan itu berjaya memerintah Kelantan sampai sekarang," katanya kepada media selepas merasmikan pecah tanah tapak projek Bandar Utama Gua Musang, di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata antara usaha pembangunan ialah dengan melaksanakan projek pembinaan rumah Bandar Utama Gua Musang dan beliau yakin pembangunan itu hasil usahasama Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Syarikat Bandar Utama Gua Musang Sdn Bhd, akan mampu menampung keperluan rumah yang meningkat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan dalam projek seumpama itu asalkan ia boleh membawa kemajuan serta faedah untuk seluruh rakyat di Kelantan.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, turut menyifatkan pemimpin seumpama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat.

"Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya.
Semalam, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam ucapannya pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR, berkata Anwar adalah anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat di negara ini. - BERNAMA

Korea Selatan arah wartawan tinggalkan Pulau Yeonpyeong

PULAU YEONPYEONG: Kementerian Pertahanan Korea Selatan sebentar tadi mengeluarkan arahan agar wartawan dan media meninggalkan pulau berkenaan yang kini menjadi medan pergeseran dengan Korea Utara.

Kementerian terbabit berkata, situasi di pulau itu kini kurang memuaskan berikutan latihan bersama tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan di sekitar perairan Laut Kuning berhampiran pulau itu bermula hari ini. Awal hari ini, pihak tentera mengarahkan penduduk di pulau itu dan wartawan mendapatkan perlindungan berikutan beberapa tembakan artileri dikatakan dihalakan Korea Utara ke pulau berkenaan. - AP

AS, Korea Selatan mula latihan tentera bersama

SEOUL: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan hari ini mula menjalankan latihan besar-besaran tentera laut bersama di Laut Kuning bagi memberi amaran terhadap serangan Korea Utara ke atas pulau Korea Selatan, minggu lalu.
Latihan bersama empat hari itu membabitkan kapal induk pengangkut yang bermula jam 8 pagi waktu tempatan.
Ia dilancarkan selepas lima hari Korea Utara melancarkan serangan meriam dan roket ke atas sempadan pulau Korea Selatan yang mengorbankan dua tentera marin dan dua orang awam Korea Selatan.
Kapal induk George Washington seberat 97,000 tan itu mampu membawa 75 pesawat pejuang di atas dek kapal seluas 1.8 hektar dengan diperkuatkan oleh 5,500 anggota tentera.

Turut serta dalam latihan bersama itu ialah kapal perang pengiring, USS Cowpens, Lassen, Stethem and Fitzgerald.

Korea Selatan pula membawa enam kapal perang termasuk kapal pemusnah Aegis seberat 7,600 tan, kapal friget dan pesawat anti kapal selam. - AFP

Korea Selatan dakwa bunyi tembakan di Pulau Yeonpyeong

PULAU YEONPYEONG: Angkatan tentera Korea Selatan mendakwa pihaknya mendengar bunyi tembakan artileri di Pulau Yeonpyeong tetapi belum dipastikan sama ada tembakan itu mengenai pulau di sempadan Korea Utara itu.
Ketua Staf Bersama Tentera Korea Selatan berkata, satu pusingan tembakan artileti kedengaran dilepaskan dari Pangkalan Utara Tentera Korea Utara di perairan yang bersempadan dengan Korea Selatan itu.
Terdahulu, penduduk di pulau itu diarah untuk mendapatkan perlindungan. - AP

Saturday, November 27, 2010

Jawatankuasa bersama banteras penyelewengan diesel bersubsidi diwujudkan

BERA: Satu jawatankuasa bersama membabitkan beberapa kementerian diwujudkan bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi secara menyeluruh di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penubuhan jawatankuasa itu membabitkan kementeriannya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersetujui pada mesyuarat kabinet semalam.
Beliau berkata, pihaknya percaya penyelewengan diesel bersubsidi itu bukan hanya berlaku di kalangan nelayan, malah pihak lain yang turut menerima subsidi berkenaan seperti teksi dan bas.
"Kerajaan tidak akan berkompromi berhubung isu penyelewengan subsidi diesel ini kerana ia membabitkan wang rakyat," katanya selepas merasmikan karnival Kesihatan dan Keselamatan Parlimen Bera di Taman Kerayong Makmur hari ini.

Katanya, sebelum ini, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan di peringkat kementerian masing-masing sehingga menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, koordinasi dan pertukaran maklumat secara bersama lebih berkesan dalam membanteras kegiatan yang disifatkannya seperti mengkhianati negara sendiri.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan mencari mekanisme terbaik dalam pemberian subsidi diesel bagi mengelak perkara tersebut daripada berulang.
Mengulas laporan bahawa ada anggota penguat kuasa KPDNKK terbabit dalam penyelewengan subsidi diesel, Ismail Sabri berkata, kementeriannya tidak akan melindungi pegawai yang tidak berintegriti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah anggota yang terbabit, namun mengesahkan tiga penguat kuasa KPDNKK Pahang disiasat berhubung perkara itu.

"Jika ada kes, SPRM akan bawa mereka ini ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

Najib umum 2 jenis padi baru sempena MAHA 2010

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan dua variasi padi baru iaitu MR253 dan MR263 sempena perasmian Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.
Menurut satu kenyataan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kedua-dua variasi padi baru itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Bagi jenis MR253, ia mampu memberikan hasil padi yang tinggi walaupun ditanam di kawasan tanah bermasalah seperti tanah gambut dan tanah berasid.
Jenis padi itu sesuai terhadap persekitaran tersebut dan akan membantu meningkatkan hasil agar lebih berdaya maju dan membantu meningkatkan pengeluaran padi, kata kenyataan itu.

Di samping itu, hasil variasi itu juga mempunyai ciri-ciri lain seperti kerintangan terhadap perosak utama dan kualiti biji yang baik.

Menurut kenyataan itu, variasi MR263 pula mempunyai ciri utama yang rintang kepada karah. Jenis padi itu bakal menggantikan variasi padi yang sedang digunakan secara meluas di negara ini iaitu MR219 dan MR220.

Kerintangan MR219 terhadap penyakit karah telah didapati semakin menurun.
Sehubungan itu, jenis padi MR263 dihasilkan bagi melengkapkan variasi tersebut supaya dapat membantu mencegah perosak.

Turut hadir pada majlis perasmian MAHA 2010 ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. - BERNAMA

Kematian Tun Dr Lim satu kerugian kepada negara: Muhyiddin

GEORGETOWN: Pemergian mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang meninggal dunia Rabu lalu, adalah satu kerugian besar kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pemergian Dr Lim adalah satu kerugian besar bukan saja kepada Pulau Pinang tetapi kepada Malaysia di atas jasa dan sumbangannya.
Bercakap kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Lim di Dewan Sri Pinang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, Dr Lim adalah pengasas pembangunan Pulau Pinang yang moden kerana banyak usaha yang telah dilakukannya untuk membangunkan negeri ini sebagai sebuah negeri perindustrian.
"Kita tidak melihat dalam konteks Pulau Pinang sahaja tapi untuk negara juga banyak sumbangan yang mendiang berikan. Dalam soal politik juga kita tahu mendiang adalah salah seorang pengasas kepada Barisan Nasional, pandangan beliau sentiasa diambil kira dari sudut bagaimana hendak meningkatkan hubungan kerjasama antara kaum.

"Pertubuhan parti GERAKAN adalah satu bukti tentang pentingnya perpaduan rakyat menjadi satu perkara yang diperjuang mendiang Dr Lim. Disebabkan itu, kami merasai pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja kepada Pulau Pinang tapi negara," katanya.

Katanya, beliau mengenali mendiang secara peribadi sewaktu Dr Lim menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan beliau Menteri Besar Johor.

"Kita mengenali mendiang sebagai seorang negarawan Malaysia yang terulung dan secara langsung rakyat Pulau Pinang khususnya, mengetahui bahawa mendiang adalah pengasas pembangunan Pulau Pinang yang moden, banyak usaha yang telah dilakukan untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai negeri perindustrian yang termaju di Malaysia," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau dan isteri serta bagi pihak kerajaan Malaysia ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang Dr Lim berikutan kematian beliau.

Muhyiddin yang diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan beberapa pemimpin UMNO negeri tiba kira-kira 9.30 pagi dan berjumpa dua anak lelaki mendiang iaitu Lim Chien Aun dan Lim Chien Cheng.

Dr Lim, 91, meninggal dunia Rabu lepas setelah hampir sebulan dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat diserang angin ahmar.

Mendiang meninggalkan isteri, Toh Puan Goh Sing Yeng, dua anak lelaki iaitu Chien Aun, Chien Cheng serta dua anak perempuan Lim Pao Lin dan Lim Pao Yen. - BERNAMA

Ahli PKR seluruh negara 400,000: Saifuddin Nasution

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mengulangi kenyataannya bahawa parti itu mempunyai 400,000 ahli di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 50 peratus adalah Melayu, India (22 peratus), Cina (13 peratus) dan kaum di Sabah dan Sarawak (15 peratus).
"Mengikut rekod keahlian parti, sehingga 25 November lalu, keahlian kita mencapai 370,000 ahli dan sebanyak 24,000 lagi permohonan dalam proses menjadi ahli parti," katanya ketika membentangkan laporan Setiausaha Agung di Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di sini.
Majlis perasmian kongres oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, turut dihadiri dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Mengulas pemilihan parti, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata sebanyak 99.7 peratus ahli PKR layak mengundi pada pemilihan tersebut yang melaksanakan kaedah "satu ahli satu undi".

Saifuddin juga berkata, seramai 70,000 ahli di seluruh negara direkodkan keluar mengundi ketika pemilihan di peringkat Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang menyaksikan seramai 13,000 calon mencuba nasib bagi merebut pelbagai jawatan termasuk ketua cabang.

Mengulas jumlah aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Saifuddin berkata, sehingga Khamis lalu, sebanyak 18 aduan diterima.
Katanya, kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan. - BERNAMA

UMNO Kelantan harap pembinaan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dipertimbangkan

BACHOK: Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berharap Kerajaan Pusat dapat menimbang permohonan pembinaan segera jalan baru antara Kota Bharu ke Kuala Krai untuk mengatasi kesesakan yang teruk terutama pada musim perayaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata sudah sampai masanya permohonan itu diberi keutamaan memandangkan keadaannya semakin terdesak.
"Bila tiba musim perayaan, jalan yang ada sekarang tidak dapat menampung kenderaan anak-anak Kelantan yang bekerja di perantauan pulang berhari raya di kampung," katanya selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Pusat Kesihatan Beris Panchor di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 150 murid sekolah dari kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Tawang menyertai program itu secara percuma.

Dr Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat Kelantan terutama yang pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dua minggu lepas terpaksa mengambil masa antara 10 dan 14 jam untuk sampai ke kampung halaman disebabkan kesesakan jalan berbanding tujuh jam pada hari biasa. - BERNAMA

Bekas timbalan setiausaha agung PKR dakwa surat pecat Jenapala palsu

PETALING JAYA: Bekas timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johnson Chong, hari ini mendakwa parti itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memecat seorang lagi bekas timbalan setiausaha agung parti itu, P Jenapala.
Beliau berkata, "surat pemecatan" itu sebenarnya adalah palsu.
"Apa yang benar-benar menjijikkan saya ialah hakikat bahawa saya tahu seseorang di ibu pejabat parti tahu bahawa surat itu palsu. Ia dibuat bagi menutup kesilapan tidak disengajakan oleh seseorang apabila mereka mengatakan Jenapala telah dipecat dalam bulan Februari 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chong menjelaskan bahawa beliau adalah timbalan setiausaha agung yang bertanggungjawab membantu lembaga disiplin menangani kes yang dirujuk kepada mereka oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau berkata, ketika isu Jenapala timbul semasa pemilihan parti, seseorang dari ibu pejabat telah menghubunginya dan bertanya jika terdapat surat dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya.

"Saya kata tidak ada surat sedemikian dan tidak ada keputusan untuk memecatnya. Yang ada hanya keputusan untuk memecat beliau secara prinsip iaitu jika dia benar-benar didapati terlibat dengan pembentukan satu parti politik yang baru.

"Kemudian, tahu-tahu saja saya melihat ada surat yang ditandatangani setiausaha agung parti terdahulu, yang kononnya dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya pada Februari 2009. Saya jadi bungkam," katanya.
Chong berkata, beliau tidak ragu-ragu bahawa surat itu palsu, dan tercengang kerana PKR sanggup berbuat demikian bagi menutup kesilapan yang tidak disengajakan, yang sepatutnya dijelaskan kepada media sebelum beralih ke perkara lain.

Semalam, bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim membuat laporan polis kerana mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam surat pemecatan Jenapala.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung surat bertarikh 2 Februari 2009, yang kononnya ditulis dan ditandatangani Salehuddin.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman Jenapala terhadap tiga pemimpin PKR berhubung jawatan timbalan presiden parti itu.

Menerusi saman pemula pada 18 November lalu, Jenapala berkata, beliau ingin mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR. - BERNAMA

Puvaneswaran ketuai senarai ikon sukan Malaysia

GUANGZHOU: Beberapa atlet yang cemerlang di Sukan Asia ke-16 walaupun tidak meraih emas, boleh dilabelkan sebagai ikon sukan negara, kata ketua kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong.
Beliau berkata, atlet yang mengetuai senarai ikon sukan Malaysia itu ialah atlet karate, R Puvaneswaran yang menyumbangkan emas kelapan negara dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.
"Puvaneswaran sepatutnya telah bersara daripada pertandingan kompetitif ketika umurnya kini 35 tahun. Tetapi dia menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberikan Malaysia satu emas," katanya ketika memberikan rumusan temasya ini.
Puvaneswaran mula menyertai Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994 dan lima kali mewakili negara dengan menyumbangkan dua emas, satu perak dan satu gangsa kecuali edisi 1998 di Bangkok di mana penyertaannya dibatalkan.

Selain emas di sini, dia juga meraih emas dalam acara sama di Busan, Korea Selatan pada 2002.

Zolkples juga memuji atlet wushu wanita Chai Fong Ying yang menyumbangkan emas pada edisi Doha dan di Guangzhou.

Kejayaan Fong Ying, katanya memecah monopoli sukan yang secara tradisinya dimonopoli oleh atlet berbangsa Cina dari China, Hong Kong dan Taiwan.
Zolkples, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), turut berbangga dengan pencapaian Ibrahim Amir yang meraih perak dalam sukan billiard, acara perseorangan Lelaki 8 Bola Pool.

"Di usia 49 tahun, Ibrahim menunjukkan komitmen yang tinggi dan beliau tewas kepada pemenang emas dari Taiwan yang juga pemain Pool kedua terbaik dunia," katanya.

Bagi penembak Nur Suryani Mohamed Taibi, walaupun sekadar meraih gangsa dari acara 10m Air Rifle Wanita, satu-satunya pingat dari acara menembak, prestasinya menakjubkan kerana dapat mengekalkan konsentrasi di sini selepas beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi.

Ketika di New Delhi, Nur Suryani bergandingan dengan Nur Ayuni Farhana Abdul
Halim membidik emas dari acara 10m Air Rifle Berpasangan Wanita.

"Dalam tempoh 27 hari antara Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia, Nur Suryani berjaya mengekalkan prestasi," kata Zolkples.

Pasangan bola tampar pantai wanita, Luk Teck Hua dan Beh Shun Thing yang mara ke perlawanan separuh akhir sebelum tewas kepada China turut mendapat perhatian Ketua Pengarah MSN.

"Sasaran MSN hanya ke suku akhir tetapi mereka mara ke separuh akhir," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zolkples berkata Program Cabaran 2010 yang bermula pada 2007, dengan tujuan melahirkan atlet cemerlang bagi Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou, kini tamat.

Pada mulanya, seramai 547 atlet berada di dalam program berkenaan dan daripada jumlah itu, 300 atlet mengatasi had dan masa kelayakan untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Atlet program itu yang tidak menunjukkan peningkatan prestasi akan digugurkan bila MSN mengadakan program baru bagi menghadapi Sukan SEA di Indonesia tahun hadapan, Sukan Olimpik di London pada 2012 dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014," katanya.

Mengenai pengumuman beberapa atlet untuk menjadikan temasya di Guangzhou ini sebagai medan terakhir sebelum bersara seperti pemain badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan dua pemenang emas acara karate iaitu Ku Jin Keat dan Puvaneswaran, Zolkples berkata MSN mempunyai program pelapis untuk menggantikan mereka. - BERNAMA

Friday, November 26, 2010

Mahkamah Rayuan tolak permohonan ustaz semak keputusan kes rogol

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang ustaz, Ishak Shaari, untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya dipenjara 15 tahun kerana merogol seorang pelajar tingkatan dua.
Ketika membuat keputusan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan keputusan yang telah dibuat mahkamah yang sama sebelum ini.
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat oleh tiga panel hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Zaharah Ibrahim dan Mohd Hishamudin Mohd Yunus, berhubung permohonan Ishak untuk menyemak keputusan mahkamah itu terhadap kesnya pada 2008.
Terdahulu, mahkamah membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya yang diwakili Awang Armadajaya Awang Mahmud supaya menolak permohonan Ishak yang diwakili peguam Karpal Singh.

Pada 13 Oktober 2008, Mahkamah Rayuan telah memutuskan Ishak dipenjara selama 15 tahun dan lima sebatan kerana merogol seorang pelajar tingkatan dua.

Pada ketika itu tiga panel hakim sebulat suara mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membebaskan Ishak daripada tuduhan merogol pelajar itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Hari ini, Hakim Low dan Hakim Zaharah mengambil pendirian bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan sepertimana yang diperuntukkan di dalam Artikel 121 Perlembagan Persekutuan dan Seksyen 50 Akta Kehakiman Mahkamah 1964.
Hakim Hishamudin Yunus bagaimanapun memutuskan bahawa mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Ishak dan menyatakan permohonan itu mempunyai asasnya.

Dalam penghakimannya setebal 32 halaman, Low berkata usul notis tertuduh tidak menyebut mengenai semakan semula bidang kuasa dan tertuduh tidak boleh dianggap telah meminta Mahkamah Rayuan untuk menggunakan semakan semula bidang kuasa.

"Jika itu kesnya, harapan tertuduh mengenai semakan semula bidang kuasa sebenarnya tidak berasas. Usul notis tertuduh adalah kandungan satu notis rayuan. Tertuduh sebenarnya tidak puas hati dengan sabitan dan hukuman yang dibuat Mahkamah Rayuan.

"Bertentangan dengan hukuman dan sabitan, dia memilih rayuannya dengan cara permohonan diungkapkan dalam notis usul. Dia memilih untuk memujuk Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mahkamah dengan tawaran yang sama,” katanya.

Low berkata, afidavit sokongan adalah petisyen rayuan dan menyatakan secara ringkas kandungan rayuan penghakiman dan mengandungi butiran yang pasti mengenai undang-undang atau fakta di mana Mahkamah Rayuan didakwa telah silap.

"Notis usul dan afidavit sokongan secara kolektif berkisar mengenai litigasi semula dalam set prosiding yang sama di mana isunya telahpun dimasukkan terlebih dahulu dalam prosiding di Mahkamah Rayuan.

"Tertuduh sebenarnya menggerakkan mahkamah ini untuk menggunakan kuasa sedia ada dalam usaha untuk menjalankan bidang kuasa rayuan penjenayah yang mana mahkamah ini telahpun laksanakan dalam prosiding sebelum ini.

"Notis usul ini tidak dapat dikekal mengikut undang-undang kerana Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan satu rayuan terhadap keputusan mahkamah yang sama,” katanya.

Bagaimanapun Hakim Hishamuddin, berkata Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa sedia ada atau kuasa-kuasa untuk menyemak semula keputusan mereka sebelum ini dalam keadaan tertentu di mana mahkamah berpuas hati adalah perlu untuk berbuat demikian bagi menghalang ketidakadilan berlaku dalam keputusan sebelum ini atau untuk menghalang salahguna proses mahkamah.

"Had-had bagi bidang kuasa sedia ada tidak boleh sekali-kali secara tepat ditentukan sama ada oleh mahkamah atau Parlimen. Dan dalam hubungan ini, saya mesti menolak cadangan DPP bahawa Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca denagn Seksyen 50 Akta Kehakiman Mahkamah mengehadkan kuasa-kuasa sedia ada dalam Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

"Atau Artikel 121 dibaca dengan Seksyen 50 tidak memberikan sebarang bidang kuasa sedia ada kepada mahkamah bagi menyemak semula keputusan sebelum ini. Sebenarnya, adalah jelas bagi saya bahawa sama ada Artikel 121 atau Seksyen 50 mengurangkan bidang kuasa sedia ada bagi Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan.

"Artikel 121 memberikan kuasa kehakiman mengenai perlunya mempunyai bindag kuasa sedia ada agar keadilan dapat dibuat secara berkesan dan dalam keadaan yang penuh bermakna. Sewajarnya saya menolak bantahan awal DPP dan meminta Karpal untuk mengemukakan atas merit permohonan responden," katanya. - BERNAMA

Korea Selatan namakan menteri pertahanan baru

SEOUL: Korea Selatan menamakan pembantu keselamatan presiden dan bekas tentera sebagai menteri pertahanan baru selepas bekas menteri terbabit meletak jawatan berikutan serangan artileri Korea Utara.
Lee Hee-Won mengambil alih tugas Kim Tae-Young yang meletak jawatan semalam ketika pihak tentera dikritik hebat kerana tindakan balas lemah terhadap serangan Selasa lalu.
Serangan itu adalah yang pertama mengenai kawasan awam sejak Perang Korea 1950-53 dan membunuh empat orang di pulau bersempadan dengan Korea Utara.
Korea Selatan melepaskan 80 tembakan ke arah Korea Utara sebagai tindak balas terhadap serangan itu.

Lee, 61, adalah bekas jeneral empat bintang yang menjadi timbalan ketua turus Pemerintah Pasukan Bersama AS-Korea Selatan pada 2005.

Beliau bersara daripada khidmat tentera pada 2006 dan dilantik pembantu keselamatan presiden pada Mei lalu selepas insiden penenggelaman kapal perang Korea Selatan. - AFP

Presiden Laos akhiri lawatan ke Malaysia

SEPANG: Presiden Laos, Choummaly Sayasone, berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini selepas melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia.
Beliau bersama-sama isteri, Keosaychay Sayasone, serta anggota delegasi yang terdiri daripada menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Laos menaiki pesawat MH 788 di KLIA di sini pada 12.25 tengah hari.
Hadir mengucapkan selamat jalan kepada mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan Timbalan Menteri Luar Senator, A Kohilan Pillay.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Sayasone ke negara ini, sebagai membalas lawatan negara yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2008.

Pagi ini, Presiden Laos yang diiringi isterinya meluangkan masa melawat dan belayar di Tasik Putrajaya untuk melihat pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, pemimpin negara Laos dan rombongannya diberi taklimat berkaitan perancangan dan pembangunan Putrajaya di Perbadanan Putrajaya oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsuddin Osman.

Sepanjang berada di sini, Sayasone turut berkesempatan melawat Menara Berkembar KLCC dan Wisma Felda.
Hubungan antara Malaysia dan Laos bertambah erat dan maju sejak wujud hubungan diplomatik pada Julai 1966 antara kedua-dua negara yang meliputi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, ekonomi, pelancongan, pendidikan dan sukan.

Kedua-dua negara menikmati hubungan persahabatan rapat sebagai rakan anggota perkumpulan Asean.

Sementara itu, Samsudin berkata Presiden Laos itu meminta Perbadanan Putrajaya mengambil peluang membangunkan Laos yang ketika ini giat melakukan pembangunan.

Samsudin berkata, Perbadanan Putrajaya bersedia menawarkan konsultasi kepada kerajaan Laos dalam usaha membangunkan negara berkenaan. - BERNAMA

Pyonyang beri amaran perang makin hampir

PULAU YEONPYEONG: Korea Utara hari ini memberi amaran rancangan latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan membawa Semenanjung Korea hampir kepada peperangan ketika pegawai kanan tentera AS melawat pulau yang menjadi sasaran serangan artileri Pyongyang.
Agensi berita Korea Utara berkata, latihan ketenteraan membabitkan pasukan Korea Selatan dan kapal induk bertenaga nuklear AS di perairan di selatan tempat berbalas tembak antara negara Korea itu adalah rancangan cuai oleh "unsur yang suka menembak" dan mensasarkan Korea Utara.
“Situasi di Semenanjung Korea semakin hampir kepada peperangan," lapor Korean Central News Agency.
Laporan itu dikeluarkan ketika Jeneral Walter Sharp, komander tentera AS di Korea Selatan, melawat pulau yang menjadi sasaran serangan artileri Korea Utara Selasa lalu. - AFP

H1N1: 8 kes dilaporkan minggu lalu

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, hari ini mengesahkan lapan kes Influenza A (H1N1) dilaporkan minggu lalu iaitu dalam tempoh 14 hingga 20 November.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap perkembangan tersebut dan mengambil langkah pencegahan termasuk mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan virus tersebut daripada merebak.
"H1N1 kini dikategorikan sebagai endemik, iaitu penyakit yang akan berterusan berlaku di kalangan masyarakat. Namun, tiada kematian dalam tempoh ini.
"Tetapi orang ramai dinasihatkan terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan walaupun jangkitan virus ini masih ditahap minimum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran dagangan sempena kongres Oral dan Pembedahan Maxillofacial (rahang atas) Asia Ke-9 (ACOMS) selama tiga hari di sini hari ini.

Katanya, selain langkah pencegahan yang telah dimaklumkan sebelum ini, orang ramai dinasihatkan mendapatkan suntikan vaksin "trivalent" di hospital swasta berdekatan.

Ini kerana, katanya, pemberian vaksin tersebut di hospital kerajaan hanya memfokuskan kepada golongan yang berisiko tinggi.

Kebimbangan orang ramai terhadap jangkitan H1N1 meningkat kebelakangan ini setelah terdapat laporan mengatakan seorang rakyat Hong Kong dikenal pasti dijangkiti virus tersebut di negara itu pada 18 November lalu.
Sementara itu, beliau berkata kes kematian akibat denggi meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu, iaitu 127 kematian daripada 43,281 kes yang dilaporkan. Selangor mencatat angka kematian tertinggi iaitu sebanyak 43 kes.

"Berbanding tahun lalu, kes kematian akibat denggi cuma 78 kes daripada 3,715 kes terkumpul dan ini menunjukkan terdapat peningkatan ketara terhadap kes ini," katanya.

Rosnah berkata, orang ramai perlu mengambil sikap lebih berwaspada dengan mengutamakan kebersihan di kawasan tempat tinggal dan amalan gotong-royong.

"Jika terdapat pihak yang masih degil dan tidak menjaga kebersihan kawasan kediaman mereka, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM500," katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata bidang pembedahan oral dan rahang atas yang semakin berkembang di negara ini bukan sahaja menunjukkan Malaysia maju dalam bidang perubatan pergigian malah mampu menyumbang dari segi pelancongan kesihatan.

"Ini dapat dilihat menerusi perkembangannya yang seiring dengan kemajuan teknologi, pertambahan tenaga pakar yang bertauliah di samping kos pembedahan yang antara termurah di rantau ini," katanya. - BERNAMA

AMK berjuang bebaskan Anwar daripada tuduhan liwat: Shamsul

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) meletakkan perjuangan bagi membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat sebagai misi utama sayap parti itu.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan menghantar wakil ke luar negara untuk memberi penerangan kepada masyarakat dunia dalam usaha membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan itu.
Beliau menyamakan tuduhan terhadap Anwar kini dengan yang dihadapi pemimpinan dunia seperti Nelson Mandela dan tokoh demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, sebelum ini.
"Beberapa pemimpin AMK akan ditugaskan untuk memainkan peranan secara aktif dan komprehensif di peringkat antarabangsa bagi memberi penerangan kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang dihadapi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Usaha menuntut hak Anwar mendapat perbicaraan yang adil ini harus menjadi misi utama kita. Saya mahu melihat tenaga dan komitmen yang dipusatkan kepada misi ini lebih daripada komitmen dalam pemilihan yang baru lalu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional di sini, hari ini.

Korea Utara adakan latihan menembak dekat sempadan

SEOUL: Korea Utara melakukan latihan menembak artileri hari ini berhampiran sempadan Korea Selatan dan memberi amaran rancangan latihan tentera laut Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan membawa semenanjung Korea hampir kepada peperangan.
Tembakan itu menyebabkan penduduk pulau Yeonpyeong yang menjadi sasaran serangan Selasa lalu bertempiaran lari ke tempat perlindungan tetapi Seoul menyatakan ia cuma latihan dan tiada peluru yang jatuh dalam wilayahnya.
Insiden terbaru itu muncul ketika Seoul menghadapi tekanan politik dalaman apabila serangan Selasa lalu menyebabkan menteri pertahanannya meletakkan jawatan berikutan kritikan bahawa tindak balas terhadap serangan itu amat lemah.
Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, beberapa letupan kedengaran di antara waktu tengahari dan jam 3 petang ((0300-0600 GMT) dan berpunca dari Korea Utara.

"Kami menganggap Korea Utara melakukan latihan menembak," katanya.

Sumber tentera yang dipetik televisyen YTN menyatakan kira-kira 20 peluru artileri jatuh di kawasan Korea Utara. - AFP

Tiada sebab pembinaan jambatan ganti Tambak Johor tak boleh diteruskan: Dr M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiada sebab mengapa projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura tidak boleh diteruskan.
Beliau berkata, ini kerana semasa perancangan dan perundingan dengan kerajaan Singapura, projek itu tidak menghadapi masalah perundangan dan tentangan dari negara jiran itu.
"Saya dulu terlibat secara langsung dengan perancangan jambatan ini, semasa saya kaji cadangan ini, saya telah kaji segala peruntukan undang-undang terutamanya yang membabitkan Singapura, saya telah cuba meminta Singapura bersetuju supaya kita bangunkan jambatan ini bersama tetapi setelah dua tahun berlalu tiada respon menunjukkan mereka tak berminat.
"Dengan itu saya rancang sama-sama dengan arkitek tertentu untuk mengadakan jambatan ini di sebelah Malaysia sahaja tak melibatkan Singapura dan mereka tidak bantah, kita sebenarnya dah luluskan projek ini dalam Kabinet dan kerja-kerja telah dibuat bersama-sama kontrak CIQ," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan sebanyak RM7,000 oleh Pertubuhan Belia Islam Kepong (PBIK) untuk tabung kutipan Gaza di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52, Isnin lepas supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor diteruskan.

Baginda bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengulas bahawa kerajaan perlu membuat kajian mengenainya kerana terdapat banyak implikasi daripada segi perundangan, kos dan juga halangan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura.
Dr Mahathir berkata, Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor terdahulu, sendiri sanggup memberikan kawasan tanahnya secara percuma supaya jambatan ini yang lebih popular sebagai jambatan bengkok dapat dimajukan.

"Ini bermakna Almarhum Sultan memang sokong penuh pembinaan jambatan yang dikatakan bengkok ini, tidak ada bantahan dari mana-mana pihak.

"Saya ada jumpa dengan Sultan Johor yang sekarang ini (Sultan Ibrahim) dan baginda menyatakan bahawa baginda memang nak betul supaya jambatan ini diteruskan dan baginda akan menulis kepada kerajaan untuk buat cadangan bagaimana nak buat jambatan ini jika kerajaan pusat tidak ada duit," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu yakin sekiranya jambatan itu dibangunkan, ia akan mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya satu daripada sebab kita tak dapat kemenangan cemerlang di Johor, buat pertama kali kita kalah enam kerusi kerana rakyat Johor amat marah apabila dituduh mereka yang tidak mahu jambatan itu.

"Mereka tidak pernah ditanya sama ada hendak jambatan atau tidak, rakyat Johor marah dan sokongan mereka terhadap BN pada 2008 merosot, ada kawasan undi merosot dan ada yang kalah terus," katanya.

Mengulas mengenai pemberian sumbangan hari ini, Dr Mahathir yang juga penaung Perdana Global Peace Organisation (PGPO) mengucapkan terima kasih kepada PIBK kerana turut prihatin untuk membantu usaha-usaha menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza.

"Saya ucap tahniah kepada pertubuhan kerana usaha yang dibuat dengan sendirinya dan saya harap sikap seperti ini perlu dicontohi oleh belia-belia lain supaya dapat menunjukkan betapa kita kisah akan kedudukan keselamatan dan orang Islam yang ditindas dan dibunuh," katanya. - BERNAMA

Thursday, November 25, 2010

Lelaki Argentina dituduh rogol anak selama lebih 30 tahun

BUENOS AIRES: Seorang lelaki Argentina berusia 62 tahun ditangkap dan didakwa merogol anak perempuannya selama lebih 30 tahun dan menyebabkan anaknya itu melahirkan 10 anak, dalam kes yang "lebih teruk" daripada kes Josef Fritzl di Austria pada 2008, kata seorang hakim.
“Tertuduh menafikan pertuduhan itu tetapi ujian DNA mengesahkan beliau adalah bapa kepada anak yang dilahirkan itu," kata Hakim Virgilio Palud kepada radio tempatan.
Lelaki terbabit dituduh melakukan penderaan seksual berulang kali dan sumbang mahram, jenayah yang membawa kepada hukuman penjara 20 tahun.
Tertuduh yang identitinya tidak dinyatakan, ditangkap Jun lalu kerana mencuri lembu, menyebabkan anak perempuannya itu yang kini berusia 43 tahun, melaporkan perbuatan beliau kepada polis walaupun diancam.

Wanita terbabit yang identitinya tidak dinyatakan, mendakwa beliau dipukul dan dirogol sejak berusia 13 di rumah keluarganya di perkampungan Nicanor Molinas, 600 kilometer ke utara Buenos Aires.

Palud berkata, perbuatan rogol itu menyebabkan wanita berkenaan mengandung dan melahirkan 10 anak yang kini berusia antara 7 dan 27 tahun dan hanya anak sulung yang mengetahui bahawa bapa dan datuknya adalah lelaki sama.

“Ia lebih teruk daripada apa yang berlaku di Austria,” katanya merujuk Josef Fritzl yang dihukum penjara seumur hidup pada 2009 selepas mengurung anak perempuannya selama 24 tahun dan memperoleh tujuh anak serta membunuh seorang daripadanya. - AFP

Kes Sosilawati: Rayuan dua bekas pekerja ladang ditangguh 10 Januari

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga 10 Januari depan pendengaran semakan dan rayuan dua bekas pekerja ladang milik seorang peguam yang dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah membakar dan melupus mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu bagi mendengar permohonan peguam pemerhati bagi empat tertuduh kes bunuh Sosilawati dan tiga yang lain itu memfailkan notis permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes itu.
Ia juga permohonan bagi mendapat kebenaran berhujah berhubung isu undang-undang kerana wujud beberapa perkara jelas memprejudiskan anak guam mereka.

Keempat-empat tertuduh berkenaan ialah bekas peguam, N Pathmanaban dan tiga pekerja ladangnya, R Kathavarayan, R Mathan dan T Thilaiyagan.

Sukan Asia: Malaysia capai sasaran 9 emas

GUANGZHOU: Malaysia mencapai sasaran sembilan pingat emas di Sukan Asia apabila pasukan skuasy wanita negara menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Wanita ditinggal kekasih di Lombok malu pulang ke Terengganu

JAKARTA: Kisah wanita Malaysia termasuk gadis bawah umur lari bersama kekasih ke Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, bukan perkara baru dan sejak 10 tahun lalu, 15 kes seumpamanya telah dilaporkan berlaku di pulau itu.
Bilangan sebenar mereka yang pergi ke pulau itu atas nama cinta dipercayai lebih besar berdasarkan laporan media tempatan dan difahamkan mereka kebanyakannya rela menetap di sana walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Sehingga kini, jumlah sebenar mereka yang terbabit tidak dapat dipastikan tetapi kes ini bukan sahaja dilaporkan berlaku di pulau Lombok, malah tujuh kes serupa juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain iaitu di pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera dan Kalimantan.
Setakat ini, 22 kes dilaporkan ke Kedutaan Besar Malaysia di sini, sama ada oleh keluarga mereka melalui Wisma Putra atau secara langsung ke pejabat kedutaan di sini selain oleh pihak berkuasa Indonesia apabila wanita berkenaan berdepan dengan masalah.

Terbaru ialah kes Harlizan Ibrahim, 35, wanita Malaysia yang ditinggalkan kekasihnya di Lombok Barat dan telah bernekad untuk menetap di pulau itu kerana malu pulang ke pangkuan keluarga di Kuala Terengganu.

Itulah pengakuan Harlizan kepada wartawan tempatan dua hari lalu ketika menceritakan kisah hidupnya tinggal di sebuah kampung yang jauh dari kota, semuanya dibuat atas permintaan kekasihnya bernama Asitah, lebih setahun yang lalu.

Sejak itu Asitah telah pulang semula ke Malaysia untuk bekerja dan selepas empat bulan berlalu beliau terputus hubungan dan tidak mendapat sebarang khabar berita daripada kekasihnya.
Wanita itu yang melahirkan seorang anak lelaki enam bulan lalu dan kini ditempatkan sementara di sebuah rumah kebajikan Bude Rini, Mataram, Lombok, memberitahu wartawan tempatan beliau terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak, suatu kesukaran yang tidak pernah beliau lalui dalam kehidupannya di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan terpaksa menjual kesemua barang kemasnya untuk perbelanjaan anaknya dan sejak akhir-akhir ini Harlizan mengalami masalah tekanan mental dan telah dua kali dibawa ke Hospital Sakit Jiwa di Mataram oleh rumah kebajikan itu.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di sini sedang berusaha membantu menguruskan penghantaran pulang Harlizan ke tanah air selain menguruskan kebenaran untuk beliau membawa bersama anaknya, walaupun beliau sendiri sehingga kini masih menolak untuk pulang Malaysia.

"Pihak kami telah beberapa kali menghubungi Harlizan sejak 6 Oktober lalu dan sejak itu setiap tiga atau empat hari sekali menghubunginya sehingga 21 Oktober lalu, namun beliau tetap tegas tidak mahu pulang ke Malaysia," kata jurucakap bahagian Konsular Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu Harlizan dalam urusan dengan Imigresen Indonesia berkaitan kesalahan beliau tinggal lebih masa di republik itu manakala bagi anaknya pula, akan mengeluarkan visa yang sesuai kerana status anak itu ialah warganegara Indonesia mengikut Undang-undang di republik itu.

Undang-undang No.62 Tahun 1958 Tentang Kewarganegaraan Indonesia Bab II, Fasal 4 (c) menyebut: "Anak yang lahir di Indonesia daripada perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dan ibu warganegara asing, secara automatik menjadi warganegara Indonesia".

Jurucakap itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia difahamkan bahawa rumah kebajikan Bude Rini kini sedang membantu menguruskan pendaftaran sijil kelahiran anak itu selain menguruskan pasport untuk bayi itu.

Katanya, daripada 15 kes seumpamanya di Lombok, lapan orang adalah gadis bawah umur dan enam daripada mereka, termasuk lima kes bawah umur telah dihantar pulang Malaysia.

Sementara itu, empat daripada tujuh kes serupa di luar pulau Lombok telah juga dihantar pulang ke tanah air. Jumlah mereka yang telah dihantar pulang ke Malaysia sehingga kini ialah 10 orang.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia kini masih mengesan 12 lagi kes berkenaan di di Lombok dan di tempat lain di republik itu.

Di KUALA TERENGGANU, kakak Harlizan, Hartini Ibrahim berkata adiknya tidak perlu malu untuk pulang ke kampung kerana keluarga mereka sentiasa menunggu kepulangannya.

"Saya berharap adik saya segera pulang ke pangkaun keluarga kerana ibu, (Hasmah Sheikh Puteh) sangat merinduinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, hari ini.

Hartini berkata, keluarganya tidak mengetahui secara mendalam hubungan adiknya dengan pemuda Lombok itu, malah beliau yang paling rapat dengan Harlizan juga tidak tahu nama pemuda itu.

Katanya, adik ketiga daripada tujuh beradik itu sering menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar tetapi tidak bercerita mengenai kehidupan di sana dengan lelaki itu.

"Dua hari lalu saya baru berhubung melalui telefon dengannya. Dari perbualan itu, saya rasa Harliza tidak menghadapi sebarang tekanan, mungkin dia cuba sembunyikan apa yang berlaku daripada kami," katanya.

Hartini berkata, beliau telah berhubung dengan kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membawa pulang adiknya itu ke Terengganu. - BERNAMA

Nelayan tak seleweng diesel subsidi: NEKMAT

KUALA KEDAH: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) meminta orang ramai tidak menuding jari kepada nelayan berikutan pendedahan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bagi nelayan kerana penyelewengan itu membabitkan orang tengah dan bukan nelayan.
Ahli Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari, berkata apabila isu itu timbul, ramai yang menuding jari kepada nelayan sedangkan mereka yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan daripada kalangan nelayan.
"Saya harap segala tohmahan yang dibuat ini ditarik balik kerana kami (nelayan) mempunyai maruah dan perasaan. Saya sedih apabila isu ini timbul," katanya kepada pemberita di Wisma Nelayan di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, diesel bersubsidi yang diberikan kerajaan bukan hanya untuk nelayan tetapi sektor lain seperti pengangkutan dan stesen minyak.

"Jika kita lihat semula, kebanyakan yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdiri daripada pengusaha stesen minyak dan juga pemandu lori. Jika ada pun nelayan yang terlibat (sebelum 2006), jumlahnya sangat sedikit," katanya.

Katanya, nelayan sukar untuk melakukan penyelewengan kerana mereka perlu menggunakan kad e-diesel untuk membeli diesel.

Abdul Hamid berkata, setiap nelayan mempunyai had diesel tertentu untuk diisi bergantung kepada jenis bot yang digunakan.
"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai rekod setiap kali nelayan mengisi diesel atau petrol," katanya.

Beliau berkata, bagi Kuala Kedah, sebelum kerajaan melantik NEKMAT sebagai pemborong tunggal minyak diesel bersubsidi untuk sektor perikanan pada 2006, memang terdapat penyelewengan diesel tetapi selepas Nekmat mengambil alih, tidak ada tangkapan yang dibuat.

Di Malaysia terdapat 90,000 anggota PNK dan PNK Kuala Kedah mempunyai 4,500 anggota dan merupakan persatuan yang mempunyai anggota terbesar di negara ini.

Dua hari lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, dilaporkan sebagai berkata PNK dikesan menjadi dalang utama dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada kerajaan.

Katanya, kegiatan penyelewengan itu berjaya dibongkar hasil risikan sepanjang lima bulan membabitkan 80 anggota serta pegawai SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis serta Kedah, di mana semua yang ditahan terdiri daripada ejen PNK, pengusaha jeti, "orang tengah" dan pemandu lori. - BERNAMA

Kerajaan perkenal 10 pendekatan model baru ekonomi luar bandar

BANGI: Sebanyak 10 pendekatan strategik dengan 17 inisiatif ekonomi di bawah Model Baru Ekonomi Luar Bandar (MBELB) dikenal pasti untuk dipergiatkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pendekatan itu akan menjadi landasan ke arah perubahan lanskap ekonomi luar bandar serta bagi mewujudkan masyarakat luar bandar yang berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, antara pendekatan strategi itu ialah menggalakkan pengurusan dan pengendalian aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif.
"Sesungguhnya pendekatan kepada produktiviti dan inovasi dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi luar bandar perlu dilaksanakan di setiap rantaian nilai perniagaan yang meliputi peringkat asas seperti penanaman, pemprosesan, pelabelan, pengedaran dan pemasaran," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian dalam ucapan pada majlis Anugerah Ilham Desa Peringkat Zon 2010 di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Mohd Shafie berkata, aktiviti ekonomi yang dilaksanakan melalui pendekatan itu bakal memberi impak yang berupaya mengurangkan kos serta penjimatan daripada segi masa dan tenaga selain dapat meningkatkan kualiti produk dan kepuasan kepada pengguna.
Namun, katanya, bagi mencapai objektif yang digariskan dalam MBELB, ia memerlukan kepada pengembelingan kekuatan sumber ekonomi luar bandar secara menyeluruh, berorientasikan pasaran dan diselaraskan secara bersepadu bersama agensi kerajaan dan swasta.

"Terdapat juga beberapa isu dan cabaran yang telah dikenal pasti yang perlu difikirkan dan ditangani secara bersama bagi memastikan pembangunan ini mencapai matlamatnya," katanya.

Beliau berkata, antara isu dan cabaran itu ialah tahap penggunaan aplikasi dan inovasi di luar bandar di samping bagi mengurangkan kos dan meningkatkan hasil pengeluaran, masih rendah.

Selain itu, katanya, ekonomi luar bandar khususnya saiz pemilikan tanah yang kecil dan tidak ekonomik untuk kegiatan ekonomi secara komersial.

Beliau berkata, oleh kerana pentingnya inovasi sebagai sebahagian agenda utama pembangunan negara, pihaknya perlu bekerja keras untuk memajukan inovasi dalam pembangunan luar bandar.

"Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar Unit Inovasi yang sedia ada di kementerian diperluaskan skop fungsinya meliputi tanggungjawab membangun dan memantau pelaksanaan inovasi bagi program, projek dan aktiviti kementerian serta agensi di bawahnya.

"Dengan demikian, saya percaya pelaksanaan program ilham desa dan lain-lain program pembangunan sosio-ekonomi desa akan dapat dimantapkan," katanya.

Pada majlis itu, johan bagi Zon Utara ialah Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah; Kampung Terusan Ulu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Zon Tengah/Selatan); Kampung Telok Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu (Zon Timur); Kampung Lubuk Temiang, Labuan (Zon Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan) dan Kampung Long Tuma, Lawas, Sarawak (Zon Sarawak). - BERNAMA

Kes Sosilawati: Perayu fail notis dakwa dipaksa buat pengakuan

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja ladang memfailkan notis usul dan afidavit sokongan bagi mengemukakan bukti baru berhubung dakwaan bahawa beliau dipaksa mengaku salah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
K Sarawanan, 19, yang dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, pada 15 Oktober lalu, mendakwa beliau dipukul dan diugut akan ditembak oleh polis, menyebabkan dia berbohong membuat pengakuan salah tanpa kerelaannya.
Justeru itu, dia memfailkan notis usul itu menerusi peguam A.S. Dhaliwal untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini meminda dan memperbetulkan nota keterangan atau rekod rayuan kes yang dihadapinya.
Dalam notis usul itu, beliau mendakwa mahu memperbetulkan fakta-fakta yang dibentangkan kepada Mahkamah Majistret itu bagi memberi gambaran tepat, betul dan sebenar berhubung kes jenayah itu semasa hukuman dijatuhkanya terhadapnya.

Ekoran notis usul dan afidavit itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtarudin Baki, yang mendengar permohonan semakan hukuman dan rayuan itu hari ini, menangguhkan prosiding kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan oleh Sarawanan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, memohon mahkamah supaya diberikan masa bagi menjawab notis usul dan afidavit yang dikemukakan oleh perayu (Sarawanan) petang semalam.

Pada prosiding sama, peguam Amer Hamzah Arshad sebagai peguam pemerhati bagi tertuduh kes pembunuhan itu, N. Pathmanabhan, telah memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran mencelah dan diberi peluang untuk berhujah dalam perkara berbangkit semasa proses semakan rayuan itu berjalan.
Amer Hamzah berkata antara sebab permohonan itu dikemukakan kerana anak guamnya dan tiga lagi tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih belum dibicarakan lagi.

Fakta-fakta kes dalam prosiding kes Sarawanan secara tidak langsung telah memprejudiskan anak guamnya dan tiga tertuduh yang lain dan anak guamnya adalah mereka yang terkilan, katanya.

Ketika Mohtarudin bertanya dalam keadaan mana anak guamnya terkilan, Amer Hamzah berkata pertuduhan ke atas Sarawanan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan membabitkan Pathmanabhan dan elemen kesalahan itu perlu dibuktikan.

Katanya permohonan notis usul itu menamakan pendakwa raya, Sarawanan dan U. Suresh, 26, yang turut sama-sama dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan sama oleh Mahkamah Majistret.

Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, seorang peguam, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga yang lain iaitu Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Rahim dan Kamaruddin Shamsuddin. - BERNAMA

Petronas bantu majukan Pengerang, Teluk Ramunia jadi hab minyak: PM

JOHOR BAHRU: Petronas akan menerajui usaha pembangunan Pengerang dan Teluk Ramunia, di tenggara Johor, menjadi hab minyak dan gas serantau, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, walaupun Petronas dan rakan kongsinya telah melabur dalam hab berkenaan, kerajaan akan menyediakan kemudahan infrastruktur yang sewajarnya.
"Ia akan jadi pelaburan Petronas dengan rakan kongsi antarabangsa, kerajaan boleh melihat kepada sokongan infrastruktur tetapi pelaburan sebenarnya akan ditanggung oleh Petronas dan rakan kongsinya.
"Ia (Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hab minyak dan gas) akan menjadi pembangunan utama, memberi khidmat ke seluruh rantau Asia Pasifik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Asiaflex Products Sdn Bhd di Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, di sini hari ini.

Kilang berharga &8364;150 juta milik Technip yang berpangkalan di Perancis itu direkabentuk untuk membina paip fleksibel berteknologi tinggi dan umbilikal yang digunakan oleh lapangan minyak dan gas laut dalam di Asia Pasifik serta Timur Tengah.

Perdana Menteri berkata, keputusan Technip menempatkan kilangnya di Malaysia membuktikan negara diiktiraf sebagai hab untuk minyak dan gas laut dalam di rantau Asia Pasifik.

"Kami telah dianggap sebagai hab," kata beliau sambil menambah dengan pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara bagi minyak dan gas, Malaysia akan menjadi hab utama untuk industri itu.
Kilang seluas 20 hektar itu satu-satunya kilang yang mengeluarkan paip fleksibel dan umbilikal di Asia Pasifik, memenuhi pesanan dari China dan syarikat minyak dan gas utama lain seperti ConocoPhilips.

Najib berkata, Technip kagum dengan kualiti tenaga kerja tempatan yang setanding dengan yang terbaik di dunia.

"Prestasi pekerja kita mengagumkan Technip," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas, yang hadir sama pada sidang media berkenaan berkata, pembangunan Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hab minyak dan gas serantau berkembang dengan baik.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Technip, Thierry Pilenko; dan Presiden Technip Malaysia Bernard Di Tullio.

Mengenai krisis perbankan Ireland dan kemungkinan mempengaruhi ekonomi Malaysia, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata krisis itu boleh memberi kesan seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia.

Namun, katanya, situasi di Ireland pada masa ini adalah terkawal.

Beliau berkata, pemulihan Amerika Syarikat yang kukuh akan membantu Malaysia kerana banyak kilang dan syarikat multinasional di negara ini bersedia untuk mengeksport produk mereka ke Amerika Syarikat.

"Jadi, jika permintaan luar besar dan kita negara dagangan utama (dengan AS), ia tentunya membantu beberapa mata peratusan dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya. - BERNAMA

Sukan Asia: Pakistan sekat Malaysia sapu bersih emas skuasy

GUANGZHOU: Pakistan menafikan usaha Malaysia menyapu bersih semua pingat emas dalam acara skuasy pada Sukan Asia ke-16 di sini apabila memenangi emas acara berpasukan lelaki hari ini.
Pakistan menumpaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan akhir di Gimnasium Bandar Sukan Asia di sini setelah Farhan Mehboob menewaskan Ong Beng Hee 11-4, 11-4, 11-7 dalam masa 23 minit.
Pemain muda, Aamir Atlas Khan, 20, melakukan kejutan apabila menundukkan pemenang emas perseorangan, Mohd Azlan Iskandar 14-12, 15-13, 11-4, dalam masa 42 minit untuk mengesahkan pingat emas kedua Pakistan.
"Malangnya, kami terlepas pingat emas apabila sudah menghampirinya. Kami harap sekiranya Azlan menang, kami yakin Mohd Nafiizwan Mohd Adnan boleh menewaskan pemain nombor tiga Pakistan.

"Saya turun hari ini atas alasan teknikal. Saya mengalami keracunan makanan sejajak beberapa hari lalu dan sebab itu saya tidak turun semasa menentang India dalam perlawanan kumpulan dan Hong Kong pada saingan separuh akhir," kata Beng Hee, selaku ketua pasukan.

Mohd Azlan berkata, beliau berasa amat kecewa kerana gagal membantu menyumbang pingat emas untuk negara.

"Tiada apa-apa yang boleh saya katakan masa ini. Saya tahu saya perlu memang supaya mencerahkan peluang emas tetapi Aamir memberi persembahan baik sekali," katanya.
India dan Hong Kong masing-masing memperoleh pingat gangsa selepas tewas dalam separuh akhir. - BERNAMA

Serangan di Korea Selatan: Korea Utara tuding jari ke arah AS

SEOUL: Korea Utara hari ini menamakan Amerika Syarikat sebagai sebahagian punca yang membawa kepada serangan artileri negara itu terhadap sebuah pulau yang menyebabkan empat warga Korea Selatan terkorban.
"Washington adalah penyebab kerana peranannya yang 'menghalalkan' sempadan laut selepas Perang Korea pada 1950-53," kata Wakil Tentera Pyongyang dalam satu kenyataan kepada tentera Amerika.
“Kawasan perairan di Laut Barat Korea (Laut Kuning) menjadi kawasan tumpuan yang mencetuskan risiko konfrantasi dan pergeseran antara pihak Utara dan Selatan.
"Ini disebabkan Amerika sudah menggariskan kawasan sempadan halal di Garisan Had Utara.

“Justeru, Amerika tidak boleh mengecualikan diri bahawa mereka tidak bertanggungjawab ke atas kejadian berbalas serangan ini," kata kenyataan itu.

Korea Utara enggan mengiktiraf Garisan Had Utara yang dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai Amerika itu sebaik tamat perang berkenaan.

Mereka menuntut had sempadan itu sepatutnya lebih jauh lagi di Selatan.
Pertikaian sempadan dua negara berjiran itu berlarutan sehingga tercetusnya serangan pada 1999, 2002 dan terakhir, November lalu. - AFP

Usah percaya perjuangan yang terpesong: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini meminta generasi muda supaya tidak membiarkan diri mereka terikat dengan kumpulan yang berkepentingan tersendiri walaupun kumpulan itu membawa ideologi atau perjuangan yang indah bunyinya.
Berucap merasmikan seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemimpin muda seharusnya tidak mudah terpedaya untuk mempercayai perjuangan yang telah dipesongkan kebenarannya.
"Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan beberapa isu yang disensasikan dan dipolitikkan di mana kebenarannya boleh dipertikaikan. Isu berkaitan agama, undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hubungan kaum dan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang menjadi perkara mutlak yang hangat dibincangkan dan secara tidak langsung membawa kepada keadaan hubungan tidak baik antara kaum dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman.
"Pemimpin muda jangan biarkan diri anda dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin berkata, pemimpin muda sebaliknya hendaklah menggerakkan tenaga mereka ke arah mencadangkan jalan penyelesaian isu relevan yang boleh menjana negara ke arah Malaysia maju.

"Pemimpin muda hendaklah bertindak dengan cara yang progresif dan bercirikan sikap yang betul di mana mereka dapat meluahkan potensi yang setimpal untuk kemajuan ekonomi, sosial, politik, agama, pelajaran dan sebagainya serta menggunakan tenaga dan hasrat murni dalam membina negara," katanya.
Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk generasi muda dalam memastikan negara ini mempunyai modal insan yang berintegriti.

"Kerajaan telah melandaskan sebuah sistem demokrasi untuk diwarisi, maka generasi muda pada hari inilah yang bertanggungjawab untuk kesinambungan generasi akan datang," katanya.

Justeru, Muhyiddin mahu pemimpin muda pada hari ini untuk menyahut cabaran dan mengambil peluang untuk menjadikan diri mereka dan negara maju ke tahap yang lebih tinggi dan terus berbangga dengan kejayaan yang dicapai.

Muhyiddin berkata, kerajaan memang mengambil berat tentang pembangunan generasi muda di mana pada masa kini, terdapat kira-kira 11.9 juta golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun.

"Oleh itu pengiktirafan kerajaan kepada golongan muda ini adalah penting supaya mereka dapat memberikan sumbangan secara positif dan menjadi teras kepada pembangunan negara.

"Anda semua adalah orang penting yang bertindak sebagai penaksir, moderator dan ejen dalam mencapai standard modal insan yang berfikiran positif selari dengan kemajuan dunia.

"Adalah menjadi harapan kita semua pemimpin pelajar muda seperti anda dapat terus memikirkan apa yang dikira sebagai rasional dan objektif dan tidak mudah dipengarusi oleh sebarang unsur luaran negatif," katanya.

Seminar sehari bertemakan "Pemimpin Muda Malaysia-Membina Rasa Kebersamaan" itu dianjurkan Jabatan Parlimen bertujuan memasyarakatkan pemimpin pelajar dengan pemahaman mengenai asas negara Malaysia di mana Parlimen adalah sebuah badan yang mempertahankan demokrasi untuk seluruh rakyat amnya dan negara khususnya. - BERNAMA